Tuesday, October 16, 2018

REVOLUSI KASUT HITAM DALAM PENDIDIKAN MALAYSIA




Menteri Pendidikan Malaysia telah memberitahu bahawa Kementerian menetapkan pertukaran kasut putih kepada hitam akan selesai pada 2021.  Satu revolusi telah dimulai dalam pendidikan Malaysia dengan memindah perhatian dari otak ke kaki. Menurut Menteri Pendidikan, warna hitam adalah lambang kecerdikan kerana kasut hitam boleh menyembunyikan kekotoran di kaki pelajar yang boleh dilihat dengan jelas jika pelajar memakai kasut putih.  Menteri Pendidikan telah merevolusikan kefahaman kita tentang putih yang tidak lagi menyerlah sebagai simbol kejujuran dan kebaikan dalam kebudayaan Melayu; beliau gantikan dengan konsep hitam yang lebih perkasa dari segi makna dan pengaruh. Hitam adalah pakaian pejuang, pakaian para Ninja yang berani dan setia kepada Ketua. Itulah nilai baru yang mahu ditanam dalam budaya politik Malaysia Baru.  Anda perlu berhati-hati bila bercakap tentang Malaysia Baru, kerana di situ juga terselit unsur penipuan yang tiba-tiba dijadikan bahan jenaka yang membuat orang tertawa, bukan memaki hamun seperti biasa. Contohnya tentang penghapusan tol jalan raya. Kata Tun Mahathir, tol tak boleh dihapuskan kerana bayaran balik kepada syarikat sangat tinggi. Dia sebut perkara itu dalam pilihan raya (dalam manifesto) kerana dia tidak yakin akan menang. Sekarang sudah menang, apa macam? Penjelasannya cukup senang: minta maaf tak dapat dihapuskan tol!!  Ada orang kata, unsur berbohong begini adalah nasi makan air minum dalam politik, dilakukan oleh semua ahli politik, termasuk yang menggunakan Islam sebagai umpan mengundi.  Saya lihat aspek lain dari pengakuan Tun Mahathir; dia jujur dan tidak ragu-ragu untuk mengaku kesilapannya yang membawa tuah kepada Pakatan Harapan. Tidak pasti berapa ramai pengundi yang membeli gula-gula bebas tol itu sehingga PH tiba-tiba menang pilihan raya keramat itu. Keramat kerana akhirnya UMNO dilempar ke gaung sejarah, yang masih boleh hidup dan sedang merangkak perlahan-lahan naik ke tebing untuk bertarung dengan UMNO BARU yang memakai nama BERSATU, masih menggunakan warna merah seperti UMNO lama.  UMNO baru yang bernama BERSATU memilih DAP untuk menjadi sekutunya, dengan itu menerima konsep Malaysian Malaysia yang diberi branding baru sebagai Malaysia Baru.  Yang aneh, DAP dituduh cuba membahagikan Malaysia menjadi dua, satu untuk Melayu satu lagi untuk bukan Melayu, didominasi oleh DAP. Ini cerita lama, yang pernah dicadangkan oleh seorang setiausaha politik Menteri Kesihatan (MCA) ketika itu (sekitar 1980-an), seorang lulusan Taiwan yang menjadi SU Politik menteri. Kerana terlalu cepat isytihar benda itu, dia dipecat serta-merta.  Bodoh sangat, atau sangat angkuh, buat perisytiharan itu terlalu cepat. Saya ada sebut peristiwa ini dalam salah sebuah karya saya. Boleh semak di sana, dan saya pun minta ahli sejarah kita menafikannya supaya saya boleh pertahankan cerita itu.

Sebenarnya cerita ini sudah lama, terjadi pada zaman Tunku Abdul Rahman lagi, yang memberi kemerdekaan kepada Singapura untuk menyelamatkan Melayu di Semenanjung. Saya fikir inilah jalan keluar yang bersifat perkauman untuk memberi kemerdekaan kepada kaum yang dianggap akan menenggelamkan Melayu. Antara dua golongan ini, mana satu sebenarnya yang perkauman?  Bagi saya, istilah perkauman adalah satu istilah politik yang amat bodoh, yang boleh memisahkan rakyat dalam kelompok yang bermusuhan. Di sinilah kejayaan Tun Mahathir dalam PH yang menolak kebodohan ini dan menjadikan semua sama rata dan sama taraf. Siapa yang mahu membantah?  Dengan yakin saya berkata, bodohlah orang yang berbuat begitu. Di sinilah kehebatan YB Anwar Ibrahim ketika berucap pada hari kemenangannya sebagai ahli Parlemen Port Dickson.  Tiada perbezaan Melayu, Cina dan India, seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia. Tentulah pelik UMNO tidak sedar hakikat ini, padahal merekalah yang buat Perlembagaan itu bersama-sama MCA dan MIC.  Nasib baiklah PH menang, maka dapatlah dikembalikan persetujuan asal itu.

Inilah konteks yang melahirkan seorang Menteri Pendidikan yang revolusioner yang saya sebut di atas. Penyatuan bangsa dimulai di sekolah melalui pemakaian kasut hitam, beg sekolah hitam, uniform hitam. Saya yakin burung gagak yang masih ramai di Malaysia akan lari berterbangan melihat anak-anak sekolah yang hitam berjalan ramai-ramai menuju ke sekolah. Kita boleh selesaikan dengan mudah masalah gagak ini melalui pakaian hitam budak-budak sekolah.  Tidak kita sangka masalah yang dibangkitkan oleh Usman Awang dalam sajak burung gagaknya akhirnya diselesaikan oleh seorang Menteri Pendidikan secara yang amat revolusioner.  Sungguh hebat para pensajak Malaysia yang begitu dekat dengan masalah rakyat setelah melihat kebodohan dan kezaliman satu ketika dulu menembak burung gagak. Yang memang tidak boleh dihapuskan dan tidak wajar dihapuskan. Kehadiran burung gagak adalah penting, untuk membersihkan alam sekitar.

Perpaduan yang kini sudah menjelma dalam politik, wajar jika dibawa pula ke dalam perkembangan seni. Dengan itu saya cadangkan supaya kerajaan PH, dengan inisiatif YB Anwar Ibrahim sendiri, membina Dewan Kesenian Negara Port Dickson. Indonesia sudah lama membina Dewan Kesenian Jakarta yang terkenal itu. Dewan Kesenian Negara yang akan dibina di Port Dickson itu akan memberi perhatian kepada perkembangan ilmiah dalam tiga bidang besar; (1) persuratan, (2) dialog berkala soal-soal intelektual; dan (3) dewan pameran yang besar untuk membawa segala artifak dan hasil kesenian Malaysia untuk disaksikan oleh rakyat dan pelancong. Dewan Kesenian Negara ini juga akan menjadi tempat para pelancong belajar mengenali Malaysia secara dekat, di samping mendidik anak-anak kita dalam kebudayaan.  Kita benar-benar  berharap YB Anwar Ibrahim tidak menghampakan permintaan rakyat ini.  Dengan wujudnya Dewan Kesenian Negara ini kita berharap keutamaan kepada kaki dapat dikembalikan kepada pembinaan otak yang cerdas di kalangan pelajar dan rakyat melalui Dewan Kesenian Negara ini, yang akan menjadi pusat perkembangan ilmu yang benar setelah DBP dan ITBM gagal dalam usaha mereka yang mengutamakan kegiatan picisan dalam program mereka. Saya menunggu bantahan dari semua pihak terhadap idea revolusioner yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan kita.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14 Oktober 2018.





No comments:

Post a Comment