Tiba-tiba
saya teringat Polan Cupan, watak genius dalam sastera Melayu (lebih tepat,
dalam persuratan Melayu). Ini membuat
saya membaca semula Balai Maqamat,
yang telah saya tinggalkan sekian lama. Satu idea penting dalam karya ini ialah
perbezaan antara menulis (pandai tulis) dengan mengarang. Apa kaitannya dengan konsep wacana dan cerita
dalam PB? Saya tidak perlu jawab soalan
ini. Saya fikir sesiapa juga yang kenal PB tahu jawapannya. Saya hanya ingin
menegaskan bahawa Balai Maqamat
adalah sebuah karya besar yang tidak boleh difahami oleh sarjana dan
sasterawan, termasuk pengkritik sastera, kerana mereka sudah tenggelam dalam
khayalan dan fantasi karya sastera. Balai
Maqamat, sebagai sebuah karya persuratan, memaksa pembacanya berfikir,
sesuatu yang tidak digemari oleh para sarjana dan sasterawan. Uniknya karya ini
ialah kepelbagaian isu dan persoalan yang dibawanya menjadikannya sebuah
kumpulan cerita pendek, tetapi dari segi pengolahan setiap bahagian atau bab
dijalin begitu rupa untuk dibaca sebagai sebuah novel, tetapi sebuah novel yang
diadaptasi daripada genre maqamat yang disesuaikan dengan persuratan Melayu. Baca dan renungkan kutipan ini:
“Cerita-cerita
dalam buku ini harus dibaca dengan cara tertentu. Melaluinya saya memaksa
pembaca menyerlahkan kecerdikan sendiri dan bukan hanya hendak mengetahui
ceritanya. Dengan berbuat begitu, tafsiran dan penilaian karya ini akan
bergantung pada ilmu yang dimiliki oleh pembaca dan cita rasa mereka sama ada
kasar atau halus selain pengalaman ilmiah mereka yang luas atau sempit atau
tidak ada langsung. Saya kini menguji
kecerdikan pembacaku, orang Melayu. Barangkali pengkritik sastera, atau
pengulas buku juga. Saudara sebagai seorang sarjana tentu dapat membaca maksud
saya.” (hal. 6).
Dengan rasa
gembira, dan kagum, saya mengaku seorang pembaca seperti yang saya maksudkan
telah menulis satu ulasan yang tidak saja menarik, tetapi penuh kekuatan
intelektual yang hampir tidak saya dapat di kalangan sarjana ciritan, apatah
lagi pengkritik yang hanya menjadi pak turut teori sastera Barat yang tidak pun
difahaminya dengan mendalam. Beliau ialah Najibah Abu Bakar. Ulasan beliau
dapat Hadiah Sastera anjuran Negeri Selangor. Tahniah.
Dengan bukti
ini, orang tidak boleh berkata ukuran yang saya anjurkan tidak boleh dicapai.
Untuk makluman anda, Puan Najibah adalah seorang Pustakawan, bukan sarjana
sastera dan tidak juga pengkritik sastera; tetapi anda boleh belajar daripada
ulasan beliau yang rapi dan memikat itu.
Ini pun menjadi satu bukti bahawa PB boleh difahami jika mahu difahami. Ada satu perkara penting yang perlu saya sebut
di sini, sebagai bukti betapa memihaknya juri peringkat kebangsaan untuk
memilih kumpulan dan kawan-kawan sendiri untuk menerima Hadiah Sastera
Kebangsaan. Mereka ini tidak saja jahat menolak konsep ilmu yang benar; tetapi
juga tidak amanah dalam membuat pilihan. Sebenarnya sebodoh-bodoh lembu pun
tahu memilih rumput dan dapat membezakan daun kering daripada rumput. Tetapi
tidak golongan ini.
Perhatikan
kutipan ini: “Saya sedang meneroka
belantara kreatif yang belum diminati para sasterawan. Kerana itu saya membezakan antara kegiatan
yang bercorak sastera dengan persuratan. Kedua-duanya tidak sama. Tidak mungkin
lahir karya maqamat daripada
sasterawan, kerana asasnya bukan ilmu. Sastera hanya berminat kepada emosi,
naratif dan aspek kejahatan daripada kehidupan manusia. Sementara persuratan
pula berminat kepada ilmu, wacana dan aspek kebaikan daripada kehidupan
manusia. Maqamat ialah sejenis wacana
kreatif yang bersifat didaktik dan kaya dengan pengajaran moral, di samping
untuk berhibur.” (hal. 7-8).
Itulah inti
pati yang menjadi isu dalam Balai Maqamat;
oleh itu setiap episod membicarakan aspek tertentu dalam kehidupan manusia dan
pemikiran mereka. Kemuncak daripada pelbagai episod itu ialah kehidupan Polan
Cupan, yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia, diolah begitu rupa untuk
menyerlahkan makna kehidupan sebenar seseorang manusia yang berfikir. Karya seumpama ini tidak pernah terlintas
dalam kepala para sasterawan negara, apatah lagi menulisnya dengan segala
kesedaran estetika dan makna yang mendalam. Dengan kesimpulan ini, saya
mencabar para sarjana, pengkritik dan sasterawan negara untuk menolak
kesimpulan ini, sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan
kedudukan istimewa para sasterawan negara dan para sarjana yang bergelar
profesor atau profesor madya.
Balai Maqamat wajar mendapat kritikan paling keras yang terdaya
dilakukan oleh para sarjana sastera untuk membuktikan karya ini tidak mempunyai
kualiti yang saya tegaskan. Mereka tidak ada pilihan lain untuk mempertahankan
kedudukan istimewa mereka dengan menyahut cabaran ini. Sekiranya mereka
memutuskan cabaran ini tidak perlu dilayan, kerana cabaran ini tidak
menjejaskan kedudukan mereka, maka mereka telah membuktikan kedudukan sebenar
mereka sebagai sarjana ciritan. Oleh itu, tidak mungkin terdapat kemajuan
pemikiran dan akademik dalam sastera Melayu moden jika para pelakonnya
mengambil jalan bodoh dan mudah untuk berdiam diri kerana mereka sebenarnya
tidak mempunyai hujah. Saya terus menerus mengemukakan kepalsuan para sarjana
dan sasterawan ini kerana perkara inilah yang menjadi penghalang kepada
pendidikan sastera di Malaysia.
Walau betapa
gigih sekali pun usaha para sarjana ini untuk menidakkan kehadiran PB dalam
perkembangan intelektual Malaysia, mereka tetap gagal kerana yang menyerlah
dengan jelas ialah tiadanya sifat objektif mereka dalam bidang akademik. Betapa
lekeh dan selekehnya mereka terbukti dengan sikap anti-intelektual mereka
kononnya mereka tidak perlu memberi perhatian kepada apa juga yang bersangkut
dengan PB; oleh itu mereka tidak berminat hendak mengkritik dan menghuraikan
peranan Balai Maqamat dalam sastera
Melayu, terutama sekali mengenai keistimewaan cerita pendek “Rumah Impian Polan
Cupan” yang kaya dengan idea itu, yang sejak permulaan cerita pendek itu lagi
peranan para sarjana yang selekeh ini dijadikan permulaan karya ini. Dr. Polan
Cupan tertawa lucu apabila Prof. Ayu Bestari mengemukakan soalan yang bodoh,
walaupun nama beliau “Ayu Bestari”. Jika anda membaca karya istimewa ini dengan
kritis, anda akan dapati Prof. Ayu Bestari adalah contoh popular kualiti
sarjana sastera, sama picisannya dengan para sasterawan. Bandingkan watak ini dengan watak guru Polan
Cupan, yang serta-merta kenal bahawa muridnya itu seorang genius, dengan itu beliau mengusahakan supaya muridnya mendapat
peluang terbaik untuk menyerlahkan sifat geniusnya. Dalam konteks ini, sang
guru jauh lebih bijak dan cerdik daripada sang profesor yang bernama “Bestari”
tetapi bodoh. Now I want to ask you,
adakah “profesor” seumpama ini wujud di kalangan sarjana sastera? Saya telah
memberi contohnya berselerak di dalam entri blog ini. Hanya pembaca yang bodoh
dan cetek meraba-raba saja yang tidak kenal siapa mereka.
Setiap kali
anda membuka blog Gagasan Persuratan Baru, anda akan membaca peringatan ini:
“Sesiapa juga yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar. Itulah hukum alam dan jalan yang mesti
dilalui oleh orang-orang berilmu.”
Sebagai peringatan untuk diri saya dan juga untuk orang yang bergelar
sarjana, peringatan itu tepat sekali. Itulah panduan yang wajar dijadikan
ikutan oleh para sarjana. Tetapi
nampaknya peringatan ini diremehkan saja oleh para sarjana, pengkritik dan para
sasterawan. Apakah yang menjadi panduan mereka?. Jawapannya diberikan oleh
Prof. Ayu Bestari.
Sekiranya
anda masih ragu-ragu tentang kualiti kreatif dan kualiti pemikiran dalam Balai Maqamat, terutama sekali dalam
“Rumah Impian Polan Cupan,” yang menjadi
inti sari keseluruhan Balai Maqamat, maka objek yang menjadi sorotan sekarang
ialah kualiti pemikiran anda sendiri.
Jika anda seorang intelektual, saya pasti anda berasa tidak selesa dan terlalu
tercabar. Tidak seorang pun di antara
sasterawan negara yang berani mengemukakan sebuah karya terbaik yang mereka
hasilkan untuk dibandingkan dan dikaji bersama dengan Balai Maqamat, maka dengan itu mereka secara sedar dan suka rela
mengakui bahawa Balai Maqamat adalah
sebuah karya besar yang tidak mungkin mereka tandingi dari perspektif apa
pun. Bagaimana pula reaksi seorang
sarjana sastera? Tidak ada sarjana sastera yang boleh membicarakan dengan
mendalam hatta sebuah cerita pendek seperti “Rumah Impian Polan Cupan”, apatah
lagi untuk membicarakan Balai Maqamat.
Demikianlah kedudukan para sarjana sastera.
Itulah
keadaan yang kita hadapi sekarang, sama ada anda mengaku atau tidak. Maka dalam
konteks ini, bagaimana anda boleh menolak Gagasan Persuratan Baru yang mencabar
semua teori sastera dunia? Dengan
pertanyaan ini, saya membuka jalan kepada anda untuk membuktikan kesimpulan ini
tidak boleh dijadikan pegangan; malah anda boleh berkata jika anda mahu, tiada
satu pun teori sastera Barat boleh dicabar oleh mana-mana “teori” yang dicetus
di Malaysia, tidak juga Gagasan Persuratan Baru. Kesimpulan ini menjadi lebih
sulit untuk dibuktikan, kerana anda harus memahami dengan mendalam PB dan teori
Barat untuk membuat kesimpulan itu. Kedua-duanya belum ada lagi dilaksanakan
oleh mana-mana sarjana Malaysia.
Sekiranya anda membaca kertas kerja para sarjana ini yang menggunakan
teori Barat untuk menilai karya para sasterawan negara (Seminar Pemikiran
Sasterawan Negara), anda akan melihat betapa ceteknya kefahaman mereka terhadap
teori Barat. Mereka hanya tahu menyebut, tetapi tidak memahaminya. Sekiranya
mereka memahaminya, saya yakin mereka tidak akan menggunakannya seperti yang
mereka papar dalam kertas kerja mereka. Saya telah memberi beberapa contoh
dalam beberapa entri dalam blog ini. Kesimpulan ini merupakan satu cabaran hebat
yang memalukan para sarjana ciritan ini, yang tergila-gilakan teori Barat
padahal tidak memahaminya. Jika mereka benar-benar faham implikasi teori Barat
dalam sastera Melayu dan dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia, mereka akan
berasa betul-betul tebal muka disalut kulit babi (ini peribahasa orang tua-tua
Melayu, bukan ciptaan saya!) kerana kejahilan mereka yang membuat mereka begitu
angkuh menolak alternatif yang diberikan oleh PB. Di mana salahnya PB; di mana pula betulnya
keangkuhan mereka. Jikalau mereka tidak dapat melihat kedudukan sebenar mereka
dalam persoalan ini, maka jelaslah mereka berada dalam kandang pandirisme.
Berada dalam
kandang pandirisme bukanlah sesuatu yang membanggakan. Inilah idea besar yang
ingin disampaikan “Rumah Impian Polan Cupan”, sebuah karya yang benar-benar boleh
berdiri gagah dalam sastera dunia mencabar karya para sasterawan besar dunia di
mana saja. Sekiranya anda tidak dapat melihat implikasi ini, maka sudah jelas
anda tidak lebih dari penghuni kandang pandirisme. Berada di dalam kandang
bukan suatu kedudukan yang membanggakan, apatah lagi jika anda berada dalam
kandang pandirisme.
Dilihat dari
perspektif ini, kedudukan Balai Maqamat
sebagai sebuah karya persuratan yang hebat mencabar kemampuan intelektual anda
untuk menolak kesimpulan ini atau terus mendiamkan diri seperti lembu
kenyang. Berkali-kali saya ulang
kesimpulan serupa ini dalam pelbagai bentuk untuk memberi kemudahan kepada anda
memahaminya dan dengan itu melancarkan serangan balas untuk membuktikan Balai Maqamat tidak bermutu dan PB
sendiri telah gagal menghasilkan karya yang kaya dengan pemikiran. Sangat mudah
melakukan serangan balas itu dengan membuktikan karya para sasterawan negara
bukanlah karya picisan. Percubaan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dari Universiti Malaya untuk mengangkat novel
picisan Naratif Ogonshoto telah gagal
secara total, seperti yang saya buktikan dalam beberapa entri dalam blog
ini. Analisis (?) profesor ini pun tidak
kurang picisannya, oleh itu kedudukan novel picisan ini tidak dapat diangkat
sebagai novel terbesar Malaysia sekiranya anda sedar kedudukan “Rumah Impian
Polan Cupan” sebagai sebuah karya besar dunia tidak dapat dicabar oleh novel
picisan ini, walaupun telah dijadikan novel terbesar Malaysia sepanjang zaman.
Sebodoh itukah para sarjana ciritan ini? Para pelajar sastera, terutama di
univefrsiti, perlu sedar akan hakikat ini dan mereka perlu membuat pilihan yang
tepat, sama ada menerima karya picisan seperti Naratif Ogonshoto itu atau menolak dengan tuntas “Rumah Impian
Polan Cupan” sebagai sebuah karya besar dunia.
Tanyalah profesor kamu bagaimana ini boleh dilakukan. Dengan itu kamu tahu di mana kedudukan Balai Maqamat sebagai karya persuratan
yang boleh mencabar mana-mana karya besar dunia dari segi pemikiran dan teknik
mengarang. Banyak yang kamu perlu
pelajari jika kamu tidak dapat melihat makna kesimpulan ini dalam perkembangan
intelektual di Malaysia. Seperti yang
ditunjukkan dalam Balai Maqamat, kamu
juga perlu mencabar kewibawaan intelektual dan akademik profesor kamu dalam
persoalan akademik ini. Perkara ini dibincang dalam Balai Maqamat. Itu sebabnya saya anjurkan anda membaca dengan
kritis dan kreatif Balai Maqamat,
seperti yang telah dibuat oleh Puan Najibah Abu Bakar dalam ulasannya.
Sejauh mana
saya telah memberi kepuasan intelektual kepada anda dalam tajuk yang tertulis
di atas, banyak sekali bergantung pada kemampuan intelektual anda sendiri.
Kesimpulan ini sendiri pun merupakan satu cabaran besar menguji kemampuan
intelektual anda sejauh mana anda memahami kedudukan ilmu dalam persuratan.
Saya terbuka untuk dikritik seberapa kritis yang anda terdaya
melakukannya. Silakanlah. Sebagai peringatan ikhlas, biarlah kritikan
anda itu tidak membuat tikus pun tertawa.
Mengapa? Kerana Sang Tikus tahu anda lebih teruk daripada “tikus
membaiki labu!”
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 4 Oktober 2018.
No comments:
Post a Comment