Tajuk kali
ini sebenarnya berupa satu cabaran kepada para penentang PB, yang sekali gus
para penentang peranan ilmu dalam karya kreatif, untuk memberi pukulan maut
kepada PB sebagai satu disiplin dalam kritikan sastera. Dalam makalahnya yang
termuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa,
Anwar Ridhwan menegaskan betapa pentingnya disuburkan “industri kreatif” di
Malaysia untuk memastikan sastera akan mendapat faedah daripada “industri
kreatif” itu. Industri kreatif adalah industri hiburan, bukan “industri intelektual”.
Ini mesti jelas dan setiap orang yang berbicara tentang tajuk ini mesti faham
maksud “industri kreatif” itu dalam budaya hawa nafsu (the sensate culture) yang kini sedang dipergiatkan di Malaysia
melalui TV dan drama/filem. Apa yang disebut sebagai “industri kreatif” oleh
Anwar Ridhwan sebenarnya adalah “industri penglipur lara”, yakni industri
hiburan yang seluruhnya berasaskan keinginan hawa nafsu manusia yang sudah
ketagih dalam hiburan yang bersifat sensasi. Semua ini terbukti dalam karya
Anwar Ridhwan sendiri. “Industri
penglipur lara” sudah lama bungkus, tetapi rupanya masih mahu dihidupkan oleh
para sasterawan negara dan pengikut mereka.
Salah satu manifestasi kegilaan kepada dunia penglipur lara ini telah
ditunjukkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang memanjat bumbung
kilang besi berkarat untuk mencari ilham penglipur lara, yang dalam tulisannya
mahu dijadikan salah satu kegiatan arus perdana dalam kebudayaan bercorak
hiburan ini. Dalam sikap tidak siuman
ini muncullah Sang Hanuman dalam bentuk Hikayat
Salim Adil, yang muncul sebagai saudagar jutawan yang menjual “sampah sastera” dalam bentuk buku-buku
sastera yang tidak laku, yang diracik untuk diperdagang ke luar negeri. Bagi Salim Adil, semua karya sampah dari
jenis karya picisan, termasuk karya para sasterawan negara sendiri masih
berguna untuk diperdagang sebagai sampah yang akan dijadikan kertas untuk
dijual dengan harga mahal di Malaysia. Selain dari mengelak berlaku pembaziran, ribuan buku tidak laku di DBP
(tidak ada di ITBM, semua bukunya laku kerana sanggup menjualnya seringgit atau
dua ringgit, supaya habis stok!) boleh dijadikan bahan eksport dalam bentuk
sampah racik untuk kemudiannya dijadikan kertas. Ini adalah satu inovasi yang
kreatif yang digalakkan dalam era One MDB yang menjadi kebanggaan Malaysia
sekarang.
Kemunculan Hikayat Salim Adil menjadi tamparan
hebat kepada para sasterawan negara, kerana tidak sebuah pun karya mereka boleh
menandingi Hikayat Salim Adil. Walaupun para sarjana (ciritan) dan pengkritik
sastera telah menamakan Naratif Ogonshoto
sebagai karya teragung dalam sastera Melayu, sebuah karya agung sepanjang zaman
yang menjadi kemegahan Kementerian Pelajaran yang telah mengangkat novel agung
ini di bilik-bilik darjah untuk dikunyah oleh para pelajar sastera, namun
sebaik saja Hikayat Salim Adil dibaca
dan dinilai dengan kritis bersama Naratif
Ogonshoto, semua orang yang berakal akan melihat dengan jelas Naratif Ogonshoto itu sebuah karya
nihilisme yang tidak bermutu, yang menentang kebaikan dan mengangkat kejahatan
sebagai nilai murni untuk diajar di sekolah dalam pelajaran sastera. Dalam konteks ini Hikayat Salim Adil muncul sebagai ukuran yang tidak dapat dielakkan
untuk dijadikan landasan ketika menilai karya para sasterawan negara. Keadaan
ini akan memudahkan kerja akademik para sarjana sastera kerana mereka boleh
merujuk kepada Hikayat Salim Adil
untuk mencari ciri-ciri karya kreatif yang bertaraf intelektual dan sedap pula
dibaca sebagai sebuah karya kreatif, yang tidak ada pada Naratif Ogonshoto. Dengan
itu kepalsuan novel teragung sastera Melayu ini boleh dilihat dengan jelas,
tidak boleh lagi ditutup dengan mantra palsu kononnya karya sampah ini
mempunyai makna berlapis-lapis! Sekarang
anda perlu menunjukkan satu persatu makna yang berlapis-lapis itu. Lapisan
sampah atau lapisan permaidani sutera?
Anda hanya
mempunyai satu pilihan, iaitu membuktikan Gagasan Persuratan Baru, yang menjadi
panduan dalam penulisan Hikayat Salim
Adil, adalah satu gagasan karut dan bodoh. Sebenarnya anda tidak mungkin
menidakkan kehebatan Gagasan Persuratan Baru sebagai satu sistem lengkap dalam
kritikan sastera dan juga yang boleh dijadikan panduan dalam penulisan
kreatif. Bagaimana anda boleh menidakkan
Balai Maqamat, Hikayat Buyung Lurus, Pujangga
Melayu, Aligupit dan Hikayat Salim Adil dengan membuat
tuduhan bahawa semua karya itu sebagai karya picisan? Yang picisan bukan karya
itu, tetapi anda sendiri yang … (saya beri kebebasan kepada anda untuk
melengkapkan tempat kosong itu.) Kemunculan karya persuratan ini menolak dengan
tegas segala dolak-dalik yang digunakan selama ini untuk memberi penilaian
tinggi kepada karya picisan para sasterawan negara. Apa yang anda boleh buat
ialah dengan terjun dari menara KLCC menggunakan payung kertas anda yang selama
ini anda peragakan sebagai bukti ketahanan payung akademik kepunyaan anda.
Ujian ini tentulah berat, oleh itu anda tidak mungkin dapat melakukannya.
Samalah keadaannya dengan kegagalan anda menjawab cabaran Gagasan Persuratan
Baru dan karya persuratan yang lahir dari gagasan itu. Anda bernasib baik kerana Salim Adil tidak
tertawa mengejek anda yang kebingungan menghadapi cabaran yang seberat itu,
bersenjatakan satu payung kertas yang rapuh!
Ini memberi
saya satu idea bernas untuk menulis sebuah karya satira berjudul Hikayat Payung Kertas terjun dari menara
KLCC. Jika anda mempunyai cadangan yang
boleh saya gunakan untuk menulis karya satira itu, saya dengan tangan terbuka
bersedia menerimanya, walaupun tidak semestinya saya pakai. Mungkin cadangan itu
memberi saya bahan baru yang tidak terfikirkan oleh saya selama ini. Tetapi
tidaklah sampai naik bumbung kilang besi berkarat untuk mendapat ilham…
Seperti yang
saya sebut dalam entri yang lepas, keistimewaan paling menonjol Hikayat Salim Adil ialah keupayaannya
merangkai tiga genre dalam satu karya kreatif yang bersifat intelektual, yang
tidak pernah terlintas dalam fikiran para sasterawan negara untuk menulisnya,
malah mereka tidak mungkin dapat menulisnya kerana kecetekan pengetahuan mereka
dan kelemahan daya kreatif mereka sendiri, seperti yang tertayang dengan jelas
dalam karya sasterawan negara paling unggul, Anwar Ridhwan. Cukuplah untuk saya tegaskan sekali lagi,
kelemahan paling ketara dan amat memilukan ialah kelemahan perwatakan dalam
semua karya Anwar Ridhwan. Saya telah
membuktikan kesimpulan ini dalam dua kertas yang saya rujuk dalam entri
bertarikh 20 November 2017. Sila lihat
di sana.
Saya fikir
kesimpulan paling baik untuk mengakhiri entri ini ialah dengan memeriksa
pandangan jujur Dato’ Prof. Rahman Shaari yang memperlekeh syarahan perdana Prof.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Pandangan beliau menarik bukan kerana kualiti
akademiknya, tetapi kerana keyakinannya bahawa beliaulah satu-satunya yang
benar-benar memahami Gagasan Persuratan Baru. Inilah kesimpulan beliau dalam tulisannya yang
tersiar dalam Mingguan Malaysia
bertarikh 16/12/2007 ketika membicarakan buku Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu, tajuk syarahan
perdana. Kata Prof. Dato’ Rahman Shaari: “Kandungan buku ini merupakan salinan
(carbon copy) pandangan pengkritik
itu [Mohd. Affandi Hassan]. Sukar sekali untuk kita menemukan pandangan Ungku
Maimunah sendiri, malah kelihatannya Ungku Maimunah memang berhasrat membiarkan
ketiadaan pandangannya. Mungkin beliau berpendapat, eloklah beliau menyampaikan
pandangan Mohd. Affandi Hassan melalui satu syarahan perdana, kerana Mohd. Affandi tidak mempunyai
kedudukan untuk berbuat demikian”. (huruf condong ditambah). Maksud Prof. Dato’ Rahman Shaari, tidak
sepatutnya Prof. Ungku Maimunah membuang masa membicarakan Gagasan Persuratan
Baru. Menurut beliau: “Gagasan ini
mudah, iaitu ringankan cerita dan beratkan ilmu. Pelaksanaannya juga tidak
sukar, kerana sebarang karya yang dipenuhi hujahan yang mantap adalah karya yang
dikehendaki. … saya masih yakin saya
dapat menghasilkan karya yang berpadanan dengan kehendak Affandi, Ungku
Maimunah dan Zariat itu, jika nanti saya terdorong.”
Sekarang
timbul persoalan: kalau Gagasan PB mudah, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Dato’
Rahman Shaari, bagaimana pula para
sasterawan dan pengkritik sastera, juga sarjana sastera, mengatakan PB sukar
difahami dan terlalu ideal, tidak dapat dilaksanakan, oleh itu wajar
ditinggalkan saja. Sekiranya kesimpulan Dato’ Prof. Rahman Shaari betul,
tentulah yang lain-lain itu berbohong. Sekiranya mereka betul, maka sudah
tentulah Prof. Dato’ Rahman Shaari berbohong. Ini tidak mungkin, kerana beliau
mempunyai kedudukan (yang saya tidak ada) sebagai seorang profesor sajak yang
dihormati, yang telah mengemukakan syarahan perdana beliau sendiri 2004 tentang
kemantapan sajak-sajak Melayu. Saya telah memberi komentar kritis saya kepada
syarahan perdana ini, dan sungguh malang bagi saya untuk sampai kepada
kesimpulan bahawa ini bukan syarahan perdana yang berbobot, yang akademik dan
kritis; hanya sebuah esei biasa yang memang boleh ditulis oleh budak-budak
sekolah yang sudah belajar sastera Melayu. Ukuran yang saya pakai cukup mudah:
sebarang syarahan perdana yang tidak dapat mengatasi syarahan pengkukuhan Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas 1972, atau mempunyai imbasan ilmiah seperti itu,
maka jelaslah syarahan perdana itu terlalu selekeh dan lekeh, tidak wajar
dijadikan syarahan perdana. Mujurlah saya tidak mempunyai kedudukan tinggi
dalam bidang akademik, oleh itu pandangan saya tidak boleh dipakai. Tetapi saya
yakin buku-buku saya mengenai persoalan ini belum lagi dapat diatasi, diberi
koreksi, atau diremehkan sebagai sampah sahaja. Saya rujuk kepada buku saya Pendidikan Estetika daripada Pendekatan
Tauhid (edisi pertama, DBP 1992), yang telah diterima di peringkat antara
bangsa sebagai satu sumbangan besar dalam bidang kritikan sastera berasaskan
nilai-nilai Islam; dan edisi ke-2 buku Gagasan
Persuratan Baru. Dalam buku Gagasan Persuratan Baru (bertentangan hal. 340) terdapat bukti penerimaan itu. Nampaknya saya
tidaklah selekeh sangat seperti yang dianggap oleh Prof. Dato’ Rahman Shaari,
yang saya tahu beliau belum lagi membuktikannya melalui buku-buku ilmiah yang
bermutu. Nampaknya persuratan Melayu berada di sebelah saya, yang akan
berkembang menjadi satu tradisi persuratan moden yang berasaskan konsep ilmu
yang benar, yang ditolak oleh Prof. Dato’ Rahman Shaari dan taman-teman akademiknya yang belum lagi
muncul dengan buku-buku yang setanding dengan buku-buku saya tadi. Tidak
semestinya seorang penulis yang tidak bergelar profesor seperti saya tidak
mampu menulis buku-buku ilmiah yang
berkualiti; malah sudah jelas gelaran profesor bukanlah satu jaminan bahawa karya atau tulisan seseorang yang bergelar itu
menghasilkan karya yang berkualiti. Mahu saya senaraikan buku-buku itu?
Saya sentiasa bersedia untuk membincangkannya sehabis kritis dengan sesiapa
saja yang tampil ke depan untuk membahaskan buku-buku itu yang telah
disenaraikan dalam beberapa entri dalam blog ini.
Dengan
munculnya Hikayat Salim Adil, wajah
sebenar para sarjana palsu ini dapat dikenali dengan lebih mudah. Thank you Salim Adil kerana sudi
membantu saya.
Adakah
kesimpulan yang keras ini adil? Cuba
anda perhatikan kata-kata sindiran (lebih tepat ejekan) Prof. Dato’ Rahman
Shaari terhadap syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah: “Sukar sekali untuk kita menemukan pandangan
Ungku Maimunah sendiri, malah kelihatannya Ungku Maimunah memang berhasrat
membiarkan ketiadaan pandangannya. Mungkin beliau berpendapat, eloklah beliau
menyampaikan pandangan Mohd. Affandi Hassan melalui satu syarahan perdana, kerana Mohd. Affandi tidak mempunyai
kedudukan untuk berbuat demikian”. (huruf condong ditambah). Ejekan ini tentulah amat biadab untuk
dilemparkan ke muka seorang sarjana yang memang dihormati input akademik dan
intelektualnya, yang selesa menulis dalam bahasa Melayu tinggi dan bahasa
Inggeris yang akademik. Dalam konteks
akademik, adalah lebih wajar, lebih beradab, dan lebih santun jika pandangan
Prog Ungku Maimunah itulah yang dikritik dan disanggah, bukan dengan
menghadiahkan beliau sikap biadab yang tidak sepatutnya berlaku di kalangan
ahli akademik. Saya tidak bermaksud hendak merendahkan taraf akademik Prof.
Dato’ Rahman Shaari apabila saya berkata beliau belum lagi memperlihatkan
kemampuan akademiknya dalam tulisan-tulisan yang sampai ke peringkat
antarabangsa, seperti yang terjadi kepada Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.
Saya sendiri tidak menulis dalam bahasa Inggeris, dan karya saya pun tidak
pernah diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa besar dunia. Bolehkah ini
dijadikan ukuran, dan bukti, bahawa karya saya “tidak berguna” dan “tidak
bermutu” jika dibandingkan misalnya dengan karya Anwar Ridhwan yang telah
diterjemahkan ke dalam hampir semua bahasa besar dunia, oleh itu nama beliau
kini dalam perhatian jawatankuasa Hadiah Nobel untuk menjadi satu-satunya
sasterawan Malaysia sampai ke taraf itu, yang belum lagi tercapai oleh
mana-mana sasterawan besar Indonesia yang menulis dalam bahasa
Melayu/Indonesia. Katalah Anwar Ridhwan
betul-betul dianugerah Hadiah Nobel, maka adakah ini bererti kritikan saya
terhadap karya beliau adalah salah dan
palsu? Atau, sebaliknya, pemilihan itu menguatkan hujah saya akan kepalsuan
karya picisan itu yang dinilai dari perspektif ilmu yang benar? Kalau saya mahu
bertindak nakal dan memberi ejekan yang paling keras, adakah ini bermakna
sumber ilmu dari al-Quran yang menjadi asas PB menjadi tidak bermakna kerana
ternyata telah ditolak oleh AJK Hadiah Nobel? Orang-orang yang cerdik tentu
akan tertawa besar membaca cabaran ini, dan sebenarnya berasa kasihan kepada
Melayu yang menolak sumber ilmu dari al-Quran dengan menerima kepalsuan
penilaian yang berasaskan budaya hawa nafsu. Untuk makluman, inilah yang telah
terjadi kepada Naquib Mahfudz, yang nasibnya tentu anda semua sudah tahu.
Di mana Hikayat
Salim Adil dalam kemelut kepalsuan akademik ini? Pertanyaan ini
benar-benar mencabar kewibawaan para ahli akademik, pengkritik sastera dan para
sasterawan. Saya tertunggu-tunggu dengan
excitement untuk mendengar kritikan
mereka. Saya mahu lihat secerdik manakah mereka bila berdepan dengan Salim
Adil? Tetapi sebenarnya saya sangat yakin mereka tidak akan membuang masa
memperlihatkan kecetekan ilmu dan kemandulan kreatif mereka untuk mengkritik Hikayat Salim Adil. Sastera Melayu sudah mempunyai ukuran
berasaskan pandirisme, oleh itu apa juga pembaharuan yang diketengahkan tidak
akan dipedulikan, tidak dapat difahami, dan amat galak dicemuh. Lihat saja
bagaimana Prof. Dato’ Rahman Shaari mencemuh syarahan perdana Prof. Ungku
Maimunah, kerana beliau sendiri tidak dapat berfikir sejauh itu dalam
kerja-kerja akademiknya. Sebagai seorang sarjana yang bergelar profesor,
sepatutnya Dato’ ini membahaskan tesis Prof. Ungku Maimunah secara akademik
dalam syarahan perdana beliau, sekiranya beliau (yakni Prof. Dato’ Rahman
Shaari) benar-benar mempunyai persoalan penting yang mesti diketengahkan. Bukan
dengan mengejek dan merendahkan hasil pemikiran seseorang. Saya akan bincang
perkara ini dalam entri yang lain nanti, Insha Allah. Apakah kesannya perbuatan
biadab menghina dan mengejek ini bila dilakukan oleh para sarjana? Mereka
mengajar para pelajar menjadi biadab, menjadi bodoh, tidak boleh berfikir, dan
tidak bebas berfikir. Itulah jasa mereka ahli akademik seperti tokoh yang kita
bicarakan ini yang terbesar untuk negara, mengajar pelajar menjadi bodoh.
Itulah juga jasa besar para sasterawan negara, mengajar masyarakat menjadi
bodoh. Kesimpulan ini tidak mungkin ditolak dan diketepikan, kerana buktinya
terlalu banyak. Bukti terbaik ialah kemunculan Salim Adil, yang mencabar
kesemua mereka untuk mengkritiknya. Hikayat
Salim Adil menjadi ukuran sejauh mana cerdiknya para sarjana dan sasterawan
ini; sama ada mereka mendiamkan diri atau lebih-lebih lagi bila mereka
bersuara. Tetapi jangan bimbang, yang akan tertawa hanya Salim Adil, bukan
pencerita hikayat ini. Cuma, sebagai
satu ingatan kecil, tidak sepatutnya kita bangga dengan kecetekan akademik dan
ketandusan kreatif, seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Dato’ Rahman Shaari dan
teman-temannya. Saya diberitahu, dan
melihat dalam FB seorang teman, memang ada usaha teman-teman profesor ini untuk
mengangkat beliau sebagai seorang sasterawan negara. Saya kira munasabah.
Standard mereka sama. Tiada masalah. Itulah kualiti mereka pun (meminjam gaya
Shahnon Ahmad.) Seperti yang diucapkan oleh Salim Adil, “Kita terima sajalah
penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka lebih tahu.” (hal. 62)
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 28/11/2017.
No comments:
Post a Comment