Percubaan
para aktivis sastera yang berada dalam persatuan penulis (kebangsaan, negeri,
daerah) untuk menentang sebarang perubahan bagi kebaikan mereka adalah sesuatu
yang wujud, bukan sesuatu yang bersifat andaian dan sangkaan. Mereka ini anti
perubahan kerana mereka tahu kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif mereka
tidak tinggi, oleh itu amatlah penting jika mereka berkumpul sesama mereka
untuk melonjakkan kewujudan mereka dalam masyarakat sebagai golongan yang
berperanan untuk memajukan masyarakat. Inilah
kumpulan Mutual Admiration Club. Kumpulan ini pada umumnya anti ilmu, sangat
menyampah terhadap sesiapa juga yang mereka anggap cuba memberi petua atau
nasihat kepada mereka. Tetapi sikap mereka terhadap orang “bergelar” adalah
jauh berbeza. Saya diberitahu, nama para sasterawan negara, antaranya Muhammad
Haji Salleh, Anwar Ridhwan dan A. Samad Said sangat popular dan amat dihormati
oleh para penulis Kelantan. Saya fikir di tempat (negeri lain) pun sama juga. Bagi
saya tidak ada salahnya jika mereka memilih orang bergelar untuk diberi
keistimewaan, kerana itu adalah tinggalan benih feudalisme dalam kebudayaan
Melayu yang memandang tinggi kepada orang bergelar. (Baca dengan kritis entri
lepas mengenai anjing dan patik dalam budaya Melayu). Tetapi sikap ini sewajarnya tidak
terbawa-bawa kepada perasaan benci dan hasad ketika menghadapi sesuatu yang agak asing dari
kebiasaan pengalaman intelektual yang terbatas. Jika tidak berhati-hati, sikap
ini akan menjadi suatu sikap negatif terhadap ilmu, sehingga boleh membawa
kepada sikap anti-ilmu, atau ingkar ilmu. Itulah maksud keganasan intelektual
yang menjadi tajuk entri ini. Dalam
keadaan inilah akan lahir keganasan tersembunyi yang meremehkan sesuatu yang
dianggap tidak menguntungkan mereka, atau menyukarkan mereka sebagai sasterawan
apabila mereka diminta (diharapkan) untuk lebih terbuka kepada perubahan.
Tetapi ini suatu perubahan yang tidak diingini.
Jika anda
membaca dengan kritis tulisan atau kertas kerja yang dibentangkan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014
(dicetak dengan judul, Sastera Teras
Negara Bangsa, ITBM 2014), anda akan dapati betapa tebalnya konservatisme
para penulis kertas kerja itu. Mereka berpusing-pusing di kincir air sastera
seperti keldai yang ditutup matanya untuk berjalan beribu batu, tetapi masih di
tempat yang sama. Apakah buktinya? Mereka menolak dengan tegas sebarang
perbincangan tentang ilmu dan peranan ilmu dalam penulisan kreatif. Saya sering kali meminta mereka yang terlibat
untuk menafikan kesimpulan ini, supaya saya diberi peluang untuk memberi
penjelasan dan kritikan yang lebih tegas. Tidak ada lagi yang berminat kerana
mereka sedar mereka tidak akan mendapat manfaat apa-apa, malah akan membuat
tokoh-tokoh besar seperti para sasterawan negara dan para profesor sastera naik
darah jika mereka berfikiran bebas untuk berbincang dengan kritis masalah yang
sebenarnya berada dalam sastera Melayu, iaitu masalah kecetekan ilmu dan
kedangkalan maklumat.
Keganasan
intelektual boleh menjelma dalam berbagai-bagai bentuk yang sesuai dengan seseorang
atau sesuatu kumpulan. Ia boleh terjadi
dalam ucapan, seperti yang dilakukan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji
Salleh dan Dr. Fatimah Busu dalam entri yang lepas, bila mereka menganjingkan
orang yang mereka jadikan musuh mereka. Boleh juga berlaku dalam bentuk idea
yang dicuri dari Barat, seperti yang dilakukan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad,
Dr. Norhayatie Ab. Rahman, Dr. Mawar Shafei dan lain-lain. Walaupun mereka
Islam, tetapi kerana kejahilan dan keinginan mereka untuk berlagak pandai,
mereka mencuri idea Barat yang langsung tidak berguna kepada orang Islam. Malah perbuatan itu boleh menyesatkan mereka
kerana mereka terang-terang menolak konsep ilmu berasaskan al-Quran.
Sekiranya mereka berkata mereka tidak menolak konsep ilmu dari al-Quran,
perbuatan mereka yang memberi laluan untuk mengabui mata masyarakat dengan teori feminisme dan
intertekstualiti, yang mereka sebenarnya tidak faham asal usulnya dalam budaya
Barat, hanya seronok meniru dan mencuri saja untuk diperagakan, maka perbuatan itu
terang-terang menafikan sumber ilmu daripada al-Quran. Walau bagaimana pun, saya masih memberi
mereka peluang untuk memberi penjelasan, yang sebenarnya hanya sejenis pembohongan
akademik yang diketahui oleh sesiapa juga yang biasa dengan pembohongan jenis
ini dalam sastera Melayu. Tak mungkin
mereka akan sanggup berdebat dalam persoalan ini, kerana mereka tidak mempunyai
ilmu baik yang datang dari tradisi Islam mahu pun daripada tradisi Barat. Yang terbaik yang boleh mereka lakukan, seperti
yang dilakukan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah
Busu, ialah menganjingkan orang, tanpa menyedarinya mereka telah bertindak
dalam konteks tuduhan mereka sendiri. Kalau mereka sukar hendak memahaminya,
makna ayat ini ialah mereka telah menganjingkan diri mereka sendiri!
Mengapa kita
masih menaruh harapan dan menerima manusia begini untuk mempengaruhi
masyarakat? Inilah kelebihan mereka,
yang mendapat hegemoni daripada pemerintah, dengan itu karya mereka yang
menentang sumber ilmu itu dijadikan bahan kajian di sekolah dan di universiti.
Tidakkah ini satu kecelakaan (disaster)
besar yang dihempap ke atas kepala anggota masyarakat? Kerana mereka ini mendapat faedah besar
daripada kelakuan mereka, maka mereka dengan gembira melontarkan kebencian
mereka dengan berkata, “Sour grape”,
merujuk kepada serigala yang tidak dapat mengambil anggur walau pun sudah
melompat tinggi. Serigala, seperti yang kita semua tahu, makan daging. Anjing
terkenal dalam peribahasa Melayu makan tahi, “Kalau tak makan pun cium ada!”
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22/12/2017.
No comments:
Post a Comment