Hikayat Salim Adil adalah sebuah karya kreatif yang
sangat istimewa, yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh mana-mana sarjana dan
pengkritik sastera jika mereka benar-benar jujur dan berilmu. Saya cukup sedar
kesimpulan ini akan mendatangkan
kemarahan, kebencian, perasaan meluat dan segala keburukan yang terfikir
oleh mereka yang menganggapnya demikian. Tetapi itulah kenyataannya, yang
membuat para sarjana dan pengkritik sastera tiba-tiba menjadi lumpuh sambil
meraung marah kerana kononnya mereka diejek dengan zalim sekali. Anda pun tahu
apa yang mereka boleh buat. Mereka menempelak penulis hikayat ini sebagai
manusia yang tidak sedar diri, memuji karya sendiri, menyeranah orang yang
tidak menyukai karya ini. Semua ini anda boleh buktikan dengan mudah akan
kepalsuannya. Saya tidak memuji diri sendiri, dan tidak perlu pun melakukannya,
sebaliknya saya hanya memberitahu mereka bahawa Hikayat Salim Adil adalah
istimewa dari segi persembahan atau teknik, dari segi pengolahan yang berteraskan
konsep ilmu, dari segi gaya yang bersahaja tetapi ibarat seorang pendekar yang
tangkas menumpas lawannya di tengah gelanggang yang bukan sebarang gelanggang,
tetapi gelanggang intelektual. Banyak lagi yang saya boleh sebut, tetapi saya
fikir wajar jika saya memberi peluang kepada pembaca yang serius dan kritis,
yang jujur kepada dirinya dan ilmu, memberikan senarai mereka sendiri tentang
kepalsuan keistimewaan karya persuratan ini. Atau, jika dia mahu, melonggokkan
segala keburukan, kekurangan, kelemahan, kekacauan dan berpuluh “ke.. apa-apa
pun … yang menafikan” kesimpulan saya. Saya fikir ini satu permintaan yang
adil, kerana saya fikir anda juga berhak memuji diri anda bahawa anda mempunyai
hujah yang berbeza dan hujah itu jauh lebih baik daripada hujah saya sendiri.
Masalahnya, anda tidak memberitahu kami keistimewaan anda, sebaliknya menyimpan
sebagai rahsia supaya tidak diketahui. Mengapa begitu? Ini suatu strategi yang
lihai untuk menutup kecetekan pemikiran anda dan sifat ingkar ilmu serta
keangkuhan yang menjadi kebanggaan anda. Inilah yang sebenarnya terjadi kepada
anda, dan yang istimewanya anda sendiri tahu itulah yang sebenarnya.
Dengan
sendirinya, dan dengan mudah pula, tertolaklah tuduhan dan tohmah anda bahawa
saya memuji karya sendiri dan diri saya sendiri, sebagai seorang pengarang yang
rakus kepada pengiktirafan dan dilambak dengan segala pujian seperti yang
diberikan kepada kepada Anwar Ridhwan. Mana ada! Seperti kata Imam Ghazali,
yang menjadi pegangan saya (saya beri ringkasannya, bukan kutipan dari kitab
asal): Jika engkau jujur dan ikhlas, engkau tidak terpedaya dengan pujian,
tidak juga berasa kecewa dengan kejian. Kedua-duanya sama saja bagi kamu,
kerana yang engkau cari bukan kemegahan dunia.
[Nota kecil: Sesiapa yang boleh membaca Jawi, sila rujuk terjemahan
karya al-Ghazali oleh Ustz. Muhammad
Saleh bin Haji Arshad dan Ustz. Abdullah al-Qari bin Haji Saleh, Inti sari Karya Tasauf (Pustaka Aman
Press, Kota Bharu 1980), hal. 45-46.
Menurut
hemat saya, itulah Salim Adil. Itulah yang membuat dia istimewa. Faktor paling
utama yang melonjakkan Hikayat Salim Adil
dalam perkembangan intelektual yang khusus tertumpu pada bidang kreatif ialah
kelainan yang sungguh berbeza daripada apa juga kelainan, yang kononnya
dilakukan oleh sasterawan negara, yang dicampakkan oleh Salim Adil dalam arena
pemikiran kreatif yang sebelumnya tidak pernah wujud. Ini yang membuat pembaca
yang cetek meraba-raba kehilangan arah, tidak tahu bagaimana hendak membaca Hikayat Salim Adil dan seterusnya
menilai karya itu dengan kritis dan kreatif.
Keistimewaan hikayat ini menjadi lebih bermakna apabila hikayat ini
tidak saja menilai kandungannya dengan amat kritis, tetapi juga menilai hampir
kesemua pengalaman kreatif yang pernah dicuba di Malaysia. Dalam melaksanakan
penilaiannya yang kritis itu, Hikayat
Salim Adil menilai dengan kritis kesemua
pencapaian para sasterawan, terutama di kalangan para sasterawan negara. Dalam
konteks inilah karya ini bertindak seolah-olah sebuah karya kritikan sastera
yang tidak memberi ruang langsung kepada keselekehan akademik para sarjana
sastera dan pengkritik sastera. Hal ini amat jelas ketika Salim Adil mengkritik
beberapa “sumbangan” akademik yang pada umumnya picisan, sebagai contoh
mengenai konsep-konsep yang dilontarkan oleh para sarjana dalam latihan ilmiah
mereka yang sebenarnya tidak membantu memajukan pemikiran baru dalam dunia
akademik. Yang terjadi adalah peniruan yang rakus, seperti misalnya penggunaan
istilah interteks, intertekstualiti dan sebagainya yang dalam tangan sarjana
picisan ini menjadi peneroka aspek
kejahatan dalam penyelidikan sastera. (Lihat misalnya hal. 96-97; hal.
105-106; hal. 130-134 tentang Naratif Ogonshoto; dan lain-lain contoh
yang anda boleh kesan dengan mudah.)
Saya kunci aspek ini dengan menurunkan kesimpulan yang ditulis oleh
Prof. Siti Hawa Salleh dalam kertas kerja beliau:
“Kita harus
menyedari bahawa seseorang atau sesuatu kumpulan tidak mungkin melaksanakan segala-galanya. Dalam zaman
orang ghairah memperkatakan karya agung, ternyata betapa perlunya ditubuhkan
suatu badan penyemak untuk mengawas segala pengeditan yang dihasilkan. Prinsip Pengurusan Bermutu yang wajar diberi
perhatian di sini ialah pengawalan mutu.
Janganlah pula seperti wujud suatu institusi kemafiaan yang bertugas menjaga,
mengawas, memerhati dan memastikan yang para pengarang agung yang telah didewakan tidak dinilai dan dikritik
(walaupun atas dasar ilmiah) biarpun dapat dibuktikan bahawa yang didewakan pun kadang-kadang mempunyai
kaki yang berlumuran lumpur. (Huruf tebal dalam asal). (Kertas kerja beliau
bertajuk, “Wacana Filologi: Tak Lekang dek Panas”, Seminar Seni dan Sastera,
anjuran bersama Jabatan Persuratan Melayu, UKM dan Akademi Seni Kebangsaan,
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, 25-27 April 1997 di
Seri Lagenda Resort Langkawi, Kedah Darul Aman.)
Prof. Siti
Hawa telah menyedari adanya unsur Mafia dalam sastera Melayu lebih awal
daripada saya, yang saya temui dalam penilaian yang berlebihan terhadap Naratif Ogonshoto yang pada hakikatnya
menempatkan Mafia sebagai perkembangan baru yang dialu-alukan dengan begitu ghairah
oleh para sarjana yang memberi pujian begitu tinggi dan istimewa kepada Naratif Ogonshoto. Di manakah Kumpulan Mafia sastera ini menjalankan
gerakan kemafiaan mereka? Saya fikir para sarjana dan pengkritik sastera tahu
tempatnya dan boleh menamakan tempat itu, jika mereka mahu. Barangkali mereka
lebih cenderung untuk menolak kewujudannya. Terpulang kepada mereka. Yang
pasti, inilah maksud Mutual Admiration
Club yang kini menjadi gerakan arus perdana, yang mendapat panduan dari falsafah
pandirisme sepenuhnya.
Mengapa
perkembangan ini penting dalam kegiatan intelektual kita? Adanya gerakan
kemafiaan ini menjadi faktor utama penolakan konsep ilmu yang diperjuangkan
oleh Gagasan Persuratan Baru. Inilah kumpulan ingkar ilmu yang mendapat
pengaruh daripada ajaran Iblis, seperti yang ditegaskan dalam al-Quran. (Rujuk
peristiwa kejadian Nabi Adam ‘a.s. yang kemudiannya diperdayakan oleh Iblis.
Berkali-kali al-Quran menegaskan bahawa Iblis adalah musuh manusia yang nyata,
misalnya dalam Surah Yasin). Sejauh mana para sarjana dan sasterawan yang
membaca Surah Yassin menerima Iblis sebagai musuh yang nyata, boleh kita lihat
dalam sikap mereka terhadap konsep ilmu yang menjadi teras Gagasan Persuratan
Baru. Kewujudan Mafia intelektual di kalangan sarjana dan sasterawan sukar
hendak dinafikan, apatah lagi ditolak. Mereka wujud dan aktif dalam menentang
peranan ilmu dalam penulisan kreatif/akademik. Totok sebagai kelakuan munafik,
mereka menegaskan sekiranya gagasan itu datangnya bukan dari Mohd. Affandi Hassan, kami terima dengan senang
hati dan mempraktikkannya. Dalam konteks
inilah mereka berkata saya mencerca peribadi sarjana dan sasterawan, padahal
yang berbuat demikian adalah mereka.
Sekarang
muncul Hikayat Salim Adil, yang
merombak habis-habisan cara menulis karya kreatif, yang hanya boleh dilakukan
atau dipraktikkan dengan persediaan ilmu yang mencukupi. Tidak mungkin penulis
yang cetek meraba-raba menulis sebuah karya persuratan dalam acuan Hikayat Salim Adil. Saya tidak boleh berbuat apa-apa jika kalbu
mereka hancur lebur menanggung malu. Apa yang mereka boleh buat ialah memaafkan
diri mereka, seperti kesimpulan dalam entri yang lepas (bertarikh 4 Disember
2017).
Pendekatan
yang saya ambil dalam tulisan di blog ini bukanlah untuk memujuk sesiapa
memahami dengan mendalam segala sudut Gagasan Persuratan Baru, sebelum membuat
apa-apa keputusan yang dibuat oleh Prof. Daro’ Rahman Shaari ketika mengejek
syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Yang dilakukan oleh Prof.
Dato’ Rahman Shaari ialah meletakkan maruah akademiknya begitu rendah dengan
sikap yang amat negatif. Yang terjejas teruk ialah beliau sendiri yang begitu
disanjung oleh teman-temannya, yang sanggup mengangkatnya menjadi sasterawan
negara. Gagasan Persuratan Baru tidak terjejas dengan seranah akademik beliau
yang murahan. Saya masih mengulas perkara ini hanya untuk memberitahu
murid-murid dan pengikut beliau bahawa Prof. Dato’ Rahman Shaari
telah memalukan golongan akademik dengan kelakuan dan sikapnya yang
begitu rendah menghina kedudukan ilmu dalam penulisan kreatif. Sejauh mana
beliau bersedia belajar daripada Salim Adil bergantung pada Salim Adil sama ada
bersedia menjadi guru tokoh kritikan ini. Yang pasti, para pelajar Universiti
P. Ramlee beruntung mendapat bimbingan daripada tokoh kritikan sastera yang
“tersohor” ini (saya cukup tidak suka menggunakan perkataan ini), tetapi kita
tidak boleh jamin mereka akan faham apa itu Gagasan Persuratan Baru. Oleh itu,
saya akan kirim ke Perpustakaan Universiti salinan secukupnya mengenai PB untuk
menjadi rujukan para pelajar. Di samping
itu saya akan menyediakan senarai buku-buku yang perlu dirujuk untuk mendapat gambaran yang saksama
tentang teori sastera Barat dan bagaimana dapat dimanfaatkan oleh para pelajar
dan guru-guru mereka. Membaca tulisan guru-guru ini meyakinkan saya mereka
kurang membaca buku-buku sarjana sendiri, hanya bergantung pada koleksi
makalah, dengan itu mereka terlalu bergantung pada sumber kedua. Sekiranya
mereka membaca dengan tekun Hikayat Salim
Adil, saya yakin mereka akan jadi terbuka kepada perbahasan akademik dan
lebih bersedia untuk menyaring teori Barat dari sumber asalnya, bukan daripada
antologi esei.
Ada lagi
beberapa keistimewaan Hikayat Salim Adil
yang boleh dibincang jika ada sesiapa
yang berminat. Cukup sekadar ini sahaja untuk memberi sedikit gambaran mengapa Hikayat Salim Adil perlu diberi
perhatian kritis dan kreatif. Terlalu
awal untuk menilai pengaruh dan sumbangan Hikayat
Salim Adil dalam penulisan kreatif di Malaysia, tetapi saya yakin selepas
ini sesiapa juga yang ingin berbicara tentang sumbangan para sasterawan negara,
akan menilainya dari perspektif kritikan yang dibincang dalam Hikayat Salim Adil. Sekiranya Salim Adil tidak diseret dalam
perbincangan penilaian itu, maka perbincangan itu tetap berada di sekitar
anggota Mutual Admiration Club, oleh itu tidak objektif. Aspek pengawalan mutu yang dicadangkan oleh
Prof. Siti Hawa dalam kertasnya wajar diberi perhatian. Saya kutip: “Prinsip Pengurusan Bermutu yang wajar diberi
perhatian di sini ialah pengawalan mutu.
Janganlah pula seperti wujud suatu institusi kemafiaan yang bertugas menjaga,
mengawas, memerhati dan memastikan yang para pengarang agung yang telah didewakan tidak dinilai dan dikritik
(walaupun atas dasar ilmiah) biarpun dapat dibuktikan bahawa yang didewakan pun kadang-kadang mempunyai
kaki yang berlumuran lumpur.”
Saya setuju “pengawalan
mutu” itu penting dalam kritikan sastera, kalau tidak kita akan membiarkan
sarjana sastera kita memanjat bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham,
suatu kerja yang sia-sia.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 6/12/2017.
No comments:
Post a Comment