Karya
persuratan Hikayat Salim Adil adalah
istimewa dari banyak segi. Adakah lucu bila saya berkata Hikayat Salim Adil kuda bima, manakala Naratif Ogonshoto kuda padi?
Saya cuba menarik minat pembaca yang kritis dan kreatif untuk membuat
perbandingan antara dua karya ini, setelah tiada siapa pun sanggup membuat
kajian perbandingan dengan Pujangga
Melayu yang kompleks itu dengan mana-mana “karya besar” sasterawan
negara. Ada orang sambil bergurau
berkata, tiada siapa pun berminat membuat perbandingan itu takut karya para
sasterawan negara nampak terlalu lekeh. Kalau karya saya lekeh tidak mengapa
kerana saya seorang penulis yang biasa-biasa saja, tidak ada kedudukan secara
rasmi, meskipun kedudukan sebagai seorang pemikir sastera amat jelas. Sebenarnya tidak ada sebab untuk sesiapa pun
takutkan pengaruh saya (yang tidak ada pun) dalam hal ini; oleh itu patut
benarlah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh dan Dr. Fatimah Busu menggelarkan
saya sebagai “anjing kurap” saja. Sampai hati kamu berdua menghina saya
serendah itu, tanpa menyedarinya kamu berdua sebenarnya menghina diri kamu
sendiri. (Rujuk buku masterpiece Dr.
Fatimah Busu, Nyanyi Sunyi Salam Maria
VS Sarjana Nasi Dingin (2007).
Kata Dr.
Fatimah Busu: “Benar seperti kata Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji
Salleh, situasi seumpama ini samalah seperti kita dikerkah seekor anjing kurap.
Justeru kita tidak mungkin dapat menendang anjing itu bagi membalas kerkahannya
pada waktu itu juga kerana kulitnya yang berkurap.” (hal 162). Kata-kata yang manis ini tepat sekali
menggambarkan sifat dan sikap para sasterawan dan sarjana terhadap Gagasan
Persuratan Baru; maka dari segi itu dua orang tokoh besar sastera Melayu telah
memberitahu kita semua bahawa itulah wajah sebenar mereka. Jadi kita yang
berpegang kepada adab dan kesantunan yang tidak dibuat-buat, mengalu-alukan
pengakuan dua orang sarjana besar ini tentang sikap mereka terhadap ilmu dan
adab. Buku Fatimah Busu ini sangat violent,
ganas dan bengis. Beliau membantu kita memperlihatkan imej sasterawan yang gila
glamour dan mabuk pujian. Paling menarik ialah Dr. Fatimah Busu
menegaskan bahawa dia adalah seorang penulis Islam yang ingin menegakkan Islam melalui
watak Maria Zaitun, yang menurutnya adalah wajah sebenar wanita Islam yang
berpegang kepada agama. Terdapat kontradiksi yang amat cantik antara sikap
bengis Dr. Fatimah Busu dengan sifat santun Maria Zaitun yang dibuat-buat.
Maria Zaitun dalam novel ini adalah sorang yang amat jahil, sama jahilnya
dengan penulis novel pura-pura ini. Andainya novel ini dipuji oleh seorang
sarjana yang bersimpati dengan Gagasan Persuratan Baru, maka sikap Dr. Fatimah
Busu tidaklah sebengis dalam bukunya itu. Saya yakin dia akan tersenyum simpul
kerana PB membela karyanya sebagai sebuah karya berteraskan ilmu yang benar.
Jika anda membaca buku yang violent
ini, anda akan pengsan membaca sumpah seranahnya terhadap Gagasan Persuratan
Baru, yang menurutnya dicipta untuk membela karya Mohd. Affandi Hassan, tidak
kena mengena dengan Islam! Inilah jenis
sarjana yang kini berlegar di universiti mengajar sastera Melayu, mengajar para
pelajar menjadi bodoh. Ketakutan kepada kebenaran adalah sifat Iblis, seperti
yang anda boleh lihat dalam al-Quran.
Orang berilmu dan jujur dengan ilmu tidak harus takut kepada ilmu. Yang
sebaliknya berlaku kepada dua orang tokoh besar ini, persis inilah yang
dimaksudkan oleh Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit sebagai kegiatan bersifat bullshit. Kegiatan begini
sangat kaya dalam sastera Melayu. Karya Dr. Fatimah Busu yang saya sebut adalah
hasil kegiatan bullshit, tidak ada
sedikit pun unsur-unsur yang bersifat ilmu dan pemikiran. Hanya ocehan yang
terbit dari jiwa yang pekat dengan sifat-sifat yang bercorak anti-ilmu, atau
yang ingkar ilmu, oleh itu tidak terbayang sedikit pun kejujuran untuk
memperjuangkan konsep ilmu yang benar dalam kegiatan ilmiah. Mengutuk dalam amukan retorik kosong seperti
yang dilakukan oleh Dr. Fatimah Busu dalam bukunya seharusnya tidak berlaku
jika beliau jujur dan sanggup menerima kelebihan orang lain walaupun beliau
tidak bersetuju dengan pendapat yang dibencinya itu. Tentulah sangat aneh
apabila beliau begitu bangga berlagak sebagai seorang tokoh ingkar ilmu dan
berlagak sombong menafikan pemikiran orang lain tanpa sebarang usaha untuk
memahaminya terlebih dahulu, kemudian memberikan kritikan yang wajar. Inilah
juga yang dilakukan oleh Prof. Dato’ Rahman Shaari seperti yang telah saya
bincang dalam entri yang lain. Inikah kelebihan dan kemegahan ahli akademik?
Saya lebih admire sikap Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang berusaha gigih memanjat bumbung kilang
berkarat untuk mencari ilham, walaupun hasilnya juga hanya sejenis bullshit. Sekurang-kurangnya beliau
telah menunjukkan kemampuannya untuk memanjat walaupun sudah tua. (Lihat hal.
80-82 dalam Hikayat Salim Adil untuk
penjelasan lanjut tentang tokoh besar ini.)
Kemunculan
karya persuratan Hikayat Salim Adil
dalam persuratan Melayu (juga dalam sastera Melayu), meletakkan asas yang kukuh
dalam sekurang-kurangnya dua genre sastera, dalam penulisan novel dan dalam
kritikan sastera. Dua perkara ini perlu
dibincangkan oleh ahli akademik jika mereka benar-benar serius dalam bidang
akademik. Salim Adil telah meletakkan ukuran
yang diperlukan untuk menulis karya kreatif yang berasaskan konsep ilmu yang
benar; dalam bidang kritikan juga Salim Adil telah mencabar tuan-tuan ahli
akademik untuk membincangkan pelbagai isu dalam kritikan sastera. Isu
terpenting ialah masalah ukuran yang standard, yang amat diperlukan jika kita
benar-benar mahu mempertahankan kedudukan para sasterawan negara. Dalam keadaan
sekarang, para sasterawan negara ini adalah penulis karya picisan yang bersifat
ingkar ilmu, atau membohongi ilmu dengan kononnya, seperti yang ditegaskan oleh
Dr. Mawar Shafei, menggunakan konsep intertekstualiti yang mengarut itu,
seperti yang telah disebut dalam entri terdahulu. Saya tegaskan lagi, intertekstualiti yang
difahami dan dipraktikkan adalah yang berasaskan konsep ‘iwajan (kebengkokan atau crookedness).
(Rujuk Arabic-English Dictionary of Qur’anic
Usage, eds. Elsaid Badawi & Muhammad Abdel Haleem. Brill: Leiden/Boston, 2008. hal. 651).
Apakah
implikasinya? Pada mulanya saya tidak
mahu melontarkan pertanyaan ini, tetapi nampaknya saya tiada pilihan.
Implikasinya sangat besar. Jika konsep intertekstualiti itu palsu, maka seluruh
analisis berasaskan konsep itu dengan sendirinya adalah palsu. Dengan itu,
hadiah gemilang yang diberikan kepada karya palsu Dr. Mawar Shafei adalah
hadiah yang melacurkan konsep hadiah sehingga tidak bermakna apa-apa. Tetapi ini
tidak menjadi kudis dalam pemberian hadiah, kerana novel terbesar sastera
Melayu ialah mengenai seorang pelacur yang berhati mulia! Perhatikan bagaimana
novel yang menjadi novel teragung dalam sastera Melayu adalah mengenai
kejahatan bercorak Mafia. Jadi kedua-kedua karya besar ini adalah karya yang
memberi makna yang istimewa kepada kejahatan. Itulah hakikat sastera Melayu
dalam tangan para sasterawan. Apakah pilihan mereka? Mendiamkan diri seperti
lembu kenyang. Itulah yang mereka lakukan.
Kini muncul Hikayat Salim Adil, mereka tidak boleh
mendiamkan diri lagi, kerana kepalsuan mereka diberi penjelasan dan analisis
yang memukau sesiapa juga yang menggunakan akalnya untuk berfikir, bukan
menggunakan perasaan untuk berlagak sambil memanjat bumbung kilang berkarat
untuk mencari ilham. Adalah amat ironik apabila para sasterawan terikut-ikut
mencontohi Raja Lawak dengan mereka sendiri menjadi raja lawak dalam
sastera. Para pelawak sastera ini dalam
ketakutan yang tidak dapat dielakkan kerana karya mereka kini terpaksa
menghadapi Gagasan Persuratan Baru yang membawa konsep yang berlainan daripada
yang mereka kenal selama ini. Sekarang konsep-konsep klise yang mereka pakai
tidak lagi dapat menepis konsep-konsep ilmiah yang dilontarkan kepada mereka oleh
Gagasan Persuratan Baru. Mereka yang menjadi pelawak (dalam ungkapan Kelantan
“pelawak” mempunyai makna yang berbeza) ini muncul sebagai Sancho Panza Melayu
yang menjadi pahlawan dengan berjuang dengan
wind mill yang mereka jadikan
naga. Mereka, para sasterawan ini,
akhirnya menjadi watak-watak dalam cerita jenaka Melayu yang terkenal itu. Jika
anda mahu contoh, bacalah tulisan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam
buku ITBM yang terkenal, Sastera Teras
Negara Bangsa (2014). Buku ini
sangat penting kerana di sinilah para Sancho Panza Melayu berdialog sesama
mereka untuk mendapat faedah peribadi yang lebih besar, yang mereka senaraikan
dalam Resolusi yang mereka luluskan. Siapakah Man of La Mancha di kalangan mereka?
Keistimewaan
Hikayat Salim Adil ialah dalam wacana yang mengajak pembaca bersikap kritis dan
kreatif terhadap pembacaan mereka.
Novel
teragung Malaysia, dan mungkin seluruh dunia, dikatakan oleh sarjana mempunyai
makna yang berlapis-lapis. Penulisnya sendiri juga berkata begitu. Agaknya,
berapa puluh lapis makna yang terdapat dalam novel itu. Saya hanya bertemu satu
lapis saja, iaitu novel ini mengenai Mafia dalam sastera Melayu. Walaupun satu
lapis, lapis itu sangat tebal, jika dipecah-pecahkan mungkin dapat tiga empat
ratus lapis. Perlukah sebuah novel mempunyai banyak lapis makna? Hanya sarjana sastera saja yang boleh
menjawab kerana hanya mereka saja yang tahu mengenai lapis-lapis makna
ini. Sekiranya anda diminta untuk
menghitung lapis-lapis makna Hikayat
Salim Adil, apakah jawapan anda? Sebenarnya tiada siapa pun tahu berapa
lapis makna yang terselit dalam novel persuratan itu. Mungkin juga tidak ada
apa-apa makna, hanya sebuah wacana yang berbelit-belit membicarakan banyak isu
yang tidak semestinya berjaya dicungkil oleh pembaca. Kalau begitu, bagaimana seharusnya anda membaca
novel ini? Sebagai contoh mudah, biar saya bayangkan sedikit lapis-lapis yang
akan anda temui. Misalnya dalam aspek politik, apakah yang dibincang oleh novel
ini? Bagaimana pula tentang aspek
kreatif? Dalam konteks ini anda boleh melihat isu teknik yang digunakan dalam
novel persuratan ini. Bagaimana teknik itu digunakan untuk menyerlahkan isu-isu
yang dibincang di dalam novel? Selain dari itu, jika anda melihat dari
perspektif teori sastera dan teori kritikan sastera, apakah isu yang menarik
minat anda? Sebagai bantuan awal, anda misalnya boleh meneliti Ruang 3, apa
yang anda dapat di sana? Jika anda pandai, dalam ruang ini saja pun anda boleh
tulis sebuah novel yang pasti menarik kerana isi perbincangan dalam Ruang ini
memang sangat kontroversial. Demikian seterusnya, jika anda meneliti setiap
Ruang. Saya lebih berminat kepada Ruang 8, mengenai Salim Adil berhanyut ke
Kuala Besar dengan beruknya. Mengapa Salim Adil memilih beruk untuk menjadi
temannya? Jangan-jangan Salim Adil ini keturunan Lodeh SPM, kerana namanya pun Salim Adil
SPM. Singkatannya sama, tetapi maknanya
berbeza. Dalam Ruang ini anda dapat
perbincangan yang sangat penting tentang politik, tentang kemungkinan Tanah
Semenanjung ini dipecahkan menjadi dua, Timur untuk Melayu yang mundur; Barat
untuk bukan Melayu yang lihai. Bagaimana anda membaca Ruang akhir ini? Di sini
saja pun anda mungkin bertemu tidak kurang dari 15 lapis makna! Semuanya
terpulang kepada kecerdikan anda membacanya, menyelongkar yang tersirat untuk
mencari mesej sebenar Ruang ini. Adakah mesej sebenar itu mewakili makna
sebenar novel ini ditulis? Dalam konteks
ini saya ingin mengutip pendapat seorang
sarjana Barat yang terkenal di Malaysia, yang sering disebut-sebut, iaitu
Jonathan Culler, dalam buku Umberto Eco,
Interpretation and
Overinterpretation (Cambridge University Press, 1992). Inilah pendapat
Culler:
“Interpretation
itself needs no defence; it is with us always, but like most intellectual activities,
interpretation is interesting only when it is extreme. Moderate interpretation,
which articulates a consensus, though it may have value in some circumstances,
is of little interest. A good statement of this view comes from G.K Chesterton,
who observes, ‘Either criticism is no good at all (a thoroughly defensible
proposition) or else criticism means saying about an author those very things
that would have made him jump out of his boots.” (hal. 110).
Sama ada
kita boleh terima atau tidak pendapat itu, kita lihat pula pandangan saya
mengenainya.
Apakah yang
tidak special, yang kurang, tentang Hikayat Salim Adil? Cara terbaik untuk melihat kekuatan karya
persuratan ini ialah dengan membuat senarai panjang mengenai kekurangannya
sebagai sebuah karya kreatif yang special.
Saya fikir ini cara terbaik untuk menolak adanya keistimewaan dalam karya yang
merangkum tiga genre ini. Cukup adil, dan amat munasabah, untuk kita memuaskan
hati para penentang Gagasan Persuratan Baru bahawa gagasan itu gagal menghasilkan
karya yang benar-benar berkualiti. Ingat
saja bagaimana Prof. Dato’ Rahman Shaari memperlekeh Gagasan Persuratan Baru
ketika mengkritik syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah tempoh hari. Wajar jika
tokoh ini diberi kepuasan bahawa beliau adalah seorang tokoh satu-satunya yang
memperlekeh PB dan berjaya pula meletakkan PB sebagai pengacau sastera Melayu
moden, walaupun buku-buku mengenai PB belum lagi disanggah oleh beliau dan
mana-mana sarjana ciritan yang menentang konsep ilmu dalam persuratan. Saya
tidak keberatan untuk membantu mereka menyiapkan sanggahan mereka supaya semua
sasterawan negara akan muncul sebagai golongan penulis yang tidak perlukan ilmu
untuk sampai ke peringkat gelaran sasterawan negara. Saya telah memberikan
beberapa cadangan yang boleh digunakan untuk menolak PB secara tuntas. Tetapi
nampaknya ini pun tidak dapat dikerjakan oleh para penentang ini, walaupun saya
amat bermurah hati memberi mereka laluan untuk memusnahkan Gagasan Persuratan
Baru sebagai pendekatan alternatif yang canggih, seperti yang dihujahkan oleh
Prof. Ungku Maimunah dalam kata pengantarnya kepada Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2 (2014). Seperti yang ditegaskan
oleh Prof. Dato’ Rahman Shaari, Persuratan Baru adalah mudah, oleh itu tidaklah
susah untuk memberikan hujah bagi menyanggahnya dan menolaknya terus supaya
tidak lagi jadi pengacau dalam penulisan kreatif dan akademik. Sekurang-kurangnya mereka yang menjadi
penentang ilmu ini boleh membaca Hikayat
Salim Adil sehabis kritis dan dengan itu membuktikan karya itu tidak
berkualiti, tidak ada pemikiran dan tidak ada apa-apa pembaharuan, hanya ocehan
pemikiran yang tidak teratur. Kalau ini tidak dapat mereka lakukan, maka
kekallah kesimpulan saya bahawa para sasterawan negara, menurut PB, adalah
sasterawan picisan dan mereka tidak layak diberi gelaran sebagai sasterawan
negara kerana sebab-sebab yang telah dihuraikan dengan terperinci dalam blog
ini. Masih belum puas? Antara kekuatan orang berilmu ialah kesediaannya untuk
menerima kesilapannya dan dari situ membuat pembetulan sewajarnya. Saya
bersedia untuk melakukannya dengan bangga supaya kesilapan tidak menjadi beban
berkekalan dalam hayat intelektual saya. Keberanian intelektual untuk membuat
pilihan hanya berada di kalangan orang berilmu. Anda boleh gunakan kesimpulan
ini untuk menilai kemampuan dan kejujuran intelektual seseorang.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 3/12/2017.
No comments:
Post a Comment