Dalam entri
yang lepas, anda tentu boleh agak mengapa diturunkan kutipan berikut: “Kita
terima sajalah penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka lebih tahu.”
Mengapa
entri itu disimpulkan dengan ungkapan itu?
Saya yakin ramai di antara anda yang tahu dan faham maksudnya. Kesimpulan
itu muncul dalam para terakhir entri itu, ketika membicarakan kemungkinan Prof.
Dato’ Rahman Shaari mendapat hasrat beliau untuk dijadikan seorang sasterawan
negara. Mengapa “dijadikan”, tidak dilantik?
Retorik seumpama ini anda akan dapati berlambak dalam Hikayat Salim Adil. Saya kini sedang
mengajak anda membaca Hikayat Salim Adil dengan kritis dan kreatif. Perhatikan permulaan para akhir yang panjang
dalam entri itu: “Di mana Hikayat
Salim Adil dalam kemelut kepalsuan akademik ini? Pertanyaan ini
benar-benar mencabar kewibawaan para ahli akademik, pengkritik sastera dan para
sasterawan.”
Mereka yang
menggelar diri mereka sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan,
tidak dapat mengelak dari menghadapi cabaran ini ketika membaca Hikayat Salim Adil. “Kemelut kepalsuan akademik” yang disebut
dalam kutipan itu adalah satu kenyataan yang terseringai dengan luas dari wajah
mereka yang dimaksudkan dalam kutipan itu. Sekarang Hikayat Salim Adil sedang mencabar mereka, adakah mereka akan
meneruskan “kemelut kepalsuan akademik” itu sebagai penipuan intelektual yang
dibanggakan? Saya berpendapat, perkara
ini telah dibudayakan dalam kritikan sastera Melayu, oleh itu bukan satu
kesalahan atau penipuan akademik. Itu sebabnya karya-karya yang terpilih untuk
memenangi hadiah sastera adalah karya sampah dan picisan, yang dikritik oleh
Salim Adil. Saya yakin inilah akibat pandirisme yang mencengkam sastera Melayu
sekarang, dan akan diteruskan untuk beberapa ketika lagi. Oleh itu bersedialah untuk menerima keputusan
yang telah dibudayakan itu, dengan itu karya picisan dan cetek akan terus diberi
hadiah kerana penulisnya adalah anggota Mutual Admiration Club yang juga
dianggotai oleh para juri yang menilai karya para anggota Mutual Admiration
Club yang termaklum.
Cabaran Hikayat Salim Adil dapat dilihat dalam
dua perspektif. Pertama, sebagai sebuah karya yang merangkum tiga genre sekali
gus. Kedua, sebagai karya kreatif yang sekali gus juga sebuah karya
akademik. Apakah implikasinya? Jelaslah
Gagasan Persuratan Baru memberi ruang yang amat luas untuk sesiapa juga yang
mahu menulis karya kreatif menggunakan tekniknya untuk menulis karya kreatif
yang bercorak akademik; dan karya akademik yang bercorak kreatif. Inilah makna
pembaharuan yang sebenarnya, yang bertunjangkan faham ilmu yang benar. Anda boleh gunakan Hikayat Salim Adil untuk menilai karya agung sastera Melayu, Naratif Ogonshoto, sama ada karya itu
dapat diuji kesempurnaannya dalam dua perspektif yang disebutkan. Katalah semua
ini tidak relevan, kerana karya besar dan teragung dalam sastera Melayu ini
boleh berdiri sendiri tanpa disandarkan kepada mana-mana teori atau sebarang
ukuran yang boleh menjejaskan kedudukan agung karya itu, apa yang perlu dikemukakan ialah ciri-ciri
keagungan karya itu perlu dijelaskan satu persatu dan mahu tidak mahu tidak
dapat mengelak dari aspek perbandingan.
Katalah anda berkata ada kucing yang sangat besar, adakah maksudnya sama besar
dengan harimau atau lebih besar daripada gajah. Sekiranya kucing dibandingkan sesama
kucing, maka itu tidak lebih dari perbandingan kucing, bukan perbandingan
sebenarnya. Kalau hanya di antara kucing saja kucing anda dikatakan besar, maka
semua tikus akan tertawa kerana mereka juga boleh berkata ada tikus yang besar
yang ditakuti kucing! Oleh itu, sebarang perbandingan mestilah jelas. Kerana
itulah saya masih pertahankan pendirian saya bahawa karya teragung sastera
Melayu ini mesti diuji dengan membandingkannya dengan Pujangga Melayu; dan kini dengan Hikayat Salim Adil pula sesuai dengan kedudukan hikayat itu yang
terdiri daripada tiga genre yang saya sebutkan. Mahu lari ke mana lagi? Tidak
ada ruang untuk lari, kecuali berdepan dengan kenyataan bahawa hanya dengan
membuat perbandingan saja barulah kita dapat melihat keistimewaannya. Samakah besarnya dan tangkas berlari kuda
padi dengan kuda bima? Kalau anda tidak tahu apakah kuda bima anda tidak dapat
membuat perbandingan dengan kuda padi. Mungkin ada yang akan berkata kuda padi
lebih besar daripada kuda bima. Kalau
anda tidak tahu bagaimana jenis kuda padi itu, pergi ke Sabah, jumpa orang Bajau
dan tanya mereka. Atau pergi ke negeri Arab, dan tanya mereka bagaimana
bentuknya kuda bima itu.
Kesimpulannya?
Pujangga Melayu dan Hikayat Salim Adil adalah jenis kuda
bima; dan Naratif Ogonshoto adalah
jenis kuda padi.
Kalau
pengetahuan anda tidak sampai ke tahap ini, maka anda samalah dengan keldai
yang ditutup matanya berpusing-pusing di kincir air.
Kini anda
akan dapat melihat dengan jelas mengapa Gagasan Persuratan Baru itu istimewa
sebagai satu hasil pemikiran yang teliti dan lengkap sebagai satu sistem
pemikiran yang boleh digunakan untuk memandu anda menulis karya kreatif dan
menilainya berasaskan ukuran Gagasan Persuratan Baru. Dengan kefahaman ini, anda dapat melihat
dengan jelas kritikan dan ejekan Prof. Dato’ Rahman Shaari terhadap syarahan
perdana Prof. Ungku Maimunah ibarat keldai di kincir air, berjalan beratus batu
tetapi tetap di tapak yang sama. Pengetahuan jenis keldai di kincir air
tentulah tidak dapat melihat keistimewaan Gagasan Persuratan Baru, dan
berasaskan pengetahuan keldai di kincir air itu anda dengan sombong berkata,
Gagasan Persuratan Baru itu mudah, beratkan ilmu ringankan cerita, lalu dengan
bangga berkata (berasaskan ilmu keldai di kincir air), “Aku pun boleh menulis
karya mengikut acuan PB dengan memberatkan ilmu dan meringankan cerita
sekiranya aku terdorong!” Itulah yang terjadi bila anda tidak dapat membezakan
jenis kuda padi dengan kuda bima. Bagi anda semua kuda anda borong adalah kuda
padi saja. Inilah maksud “cetek
meraba-raba” yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam
syarahan pengukuhan beliau 1972 di UKM.
Hikayat Salim Adil ditulis untuk membuat anda berfikir tentang isu-isu yang dibangkitkan di dalam novel persuratan itu. Sebagai contoh, khusus dalam kritikan sastera, isunya ialah apakah ukuran yang kita pakai untuk menentukan sesebuah karya kreatif itu benar-benar berkualiti. Isu ini tidak jelas pada waktu ini, kerana itulah terjadi pemilihan berdasarkan pertimbangan yang tidak tepat dan tidak wajar, seperti yang dihuraikan dengan terperinci oleh Prof. Ungku Maimunah mengenai novel Azizi Haji Abdullah, Harga Sebuah Maruah ( dalam Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan.) Contoh isu lain ialah tentang penulisan sejarah intelektual dalam persuratan Melayu (termasuk dalam sastera Melayu). Sejarah ini penting untuk melihat kemajuan yang telah kita capai dan tokoh-tokohnya. Khusus yang menjadi minat saya ialah analisis yang mendalam tentang karya para sasterawan negara berasaskan PB. Sudah tiba masanya penilaian oleh Panel Anugerah Sastera Negara dicabar dan dibuktikan tidak wajar. Beberapa entri dalam blog ini telah membincangkan isu ini.
Kemunculan Hikayat Salim Adil memulai sejarah baru
dalam penulisan kreatif berbentuk novel dalam sastera Melayu. Karya ini mencabar kedudukan novel teragung
sastera Melayu yang semakin jelas sifat nihlisnya; di samping itu Hikayat ini juga meletakkan asas-asas
yang kukuh dalam membuat penilaian terhadap karya kreatif dalam sastera Melayu,
terutama karya para sasterawan negara. Sejauh mana karya para sasterawan negara
itu boleh dipertahankan diberi ukuran
standard yang berbeza daripada yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera
Negara, dengan itu keputusan Panel dicabar oleh Hikayat Salim Adil dengan memberikan ukuran yang lebih tepat dan
jelas yang berada dalam Hikayat itu
sendiri. Apakah cabaran itu diberi penjelasan yang terperinci dalam Hikayat Salim Adil, oleh itu anda perlu
membacanya dengan kritis dan kreatif untuk mengenal pasti ukuran itu.
Satu cara
mudah untuk melakukannya ialah dengan membuat senarai lengkap kelemahan Hikayat Salim Adil dan berasaskan
senarai itu dibuat penilaian yang objektif bahawa Hikayat Salim Adil adalah sebuah karya picisan. Tetapi jangan berhenti di situ. Anda sekarang
perlu membuat senarai panjang tentang kekuatan dan kelebihan Naratif Ogonshoto sebagai novel teragung
dalam sastera Melayu, yang tidak
terdapat dalam Hikayat Salim Adil,
yang mungkin memberi tumpuan kepada nilai-nilai ilmu dan makruf. Berasaskan dua
senarai ini, anda sekarang boleh membuat kesimpulan mana satu antara Hikayat Salim Adil dan Naratif Ogonshoto yang menyerlah
kekuatan dari segi teknik, pengisian ilmu, penghujahan kepada isu-isu penting dalam
masyarakat, dan seterusnya mengikut suka hati anda sendiri menentukannya.
Dengan cara ini, anda dengan mudah boleh melihat Hikayat Salim Adil sebagai sebuah karya picisan, jika dibandingkan
dengan Naratif Ogonshoto yang muncul sebagai
sebuah karya ilmu dan serasi dengan ajaran al-Quran (seperti yang didakwa oleh
Anwar Ridhwan sendiri dan Dr. Mawar Shafei yang menegaskan Anwar Ridhwan
menggunakan alusi Banjir Besar zaman Nabi Nuh ‘a.s.) Alusi Banjir Besar ini dijadikan Dr. Mawar
Shafei sebagai sejenis mitos sama dengan kejadian tsunami yang diramal oleh
Resi Tua dengan memberi hujah sebaik saja penyu gergasi keluar dari
pertapaannya, maka terjadilah tsunami, dan ini memang betul berlaku dalam novel
ini. Bagaimana Dr. Mawar Shafei boleh
merendahkan darjat kisah Nabi Nuh sedemikian rupa memerlukan beliau memberi
penjelasan dan penafian. Beliau misalnya boleh berkata, dia menggunakan konsep
intertekstualiti untuk menjelaskan kewarasan (lebih tepat kegilaan) perbandingannya itu. Ini bererti, dia menyamakan kisah
benar dalam al-Quran dengan kisah penglipur lara yang digunakan oleh Anwar
Ridhwan. (Rujuk hal. 175, Novel Intertekstual Melayu, UKM
2010). Atau al-Quran pun mempunyai
makna berlapis-lapis seperti novel Naratif
Ogonshoto? Konsep intertekstualiti membuat seseorang sarjana menjadi begitu
jauh terkeliru, satu bukti betapa karutnya konsep interteks itu. Bagus juga sekiranya ada pembelaan daripada
para sarjana terhadap kesimpulan saya itu.
Intertekstualiti telah dikutuk oleh al-Quran dalam ayat pertama Surah
al-Kahfi, dalam istilah (?) ‘iwajan. Pembaca blog ini tentu masih ingat entri saya
mengenai persoalan ini.
Jika anda
melihat aspek ini dalam Hikayat Salim
Adil, ternyata Hikayat Salim Adil
jauh lebih siuman dan lebih kuat kedudukannya sebagai sebuah karya berasaskan
ilmu. Saya terbuka untuk dikritik.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 30 November 2017.
No comments:
Post a Comment