Sunday, December 10, 2017

CATATAN KECIL UNTUK SEBUAH KARYA BESAR



[Catatan: Anda perlu baca entri ini dengan cermat dan berhati-hati supaya tidak terjatuh ke dalam Sungai Kelang].

Apakah Masalah Kita?  Hikayat Salim Adil Yang Muncul Mengejut…

Kemunculan Hikayat Salim Adil membuat semua sarjana sastera, pengkritik dan sasterawan menjadi bisu. Kecetekan pengalaman intelektual mereka membuat mereka kelam-kabut,  tidak boleh memberikan apa-apa pandangan, takut ketahuan keterbatasan pengalaman intelektual mereka. Adakah ini karya sastera? Mengapa pelik macam ini? Yang pelik bukan karya itu, tetapi mereka sendiri. Manusia yang sering bercakap, dan bangga, tentang kelainan, tentang sesuatu yang baru, tiba-tiba menjadi bisu dan keliru, apabila yang mereka sebut sebagai kelainan dan pembaharuan itu amat memeranjatkan mereka kerana tidak pernah terlintas dalam imaginasi mereka akan muncul sebuah karya yang aneh tetapi menarik seperti Hikayat Salim Adil.  Zaman hikayat sudah tidak ada lagi, kata mereka dengan ragu-ragu. Zaman sekarang kita hanya membaca hikayat lama, tidak ada lagi hikayat baru. Yang ada ialah karya besar seperti Naratif Ogonshoto, karya agung sepanjang zaman yang tidak akan muncul lagi karya sehebat itu dalam sejarah penulisan novel Melayu. Adakah mereka sudah tidak siuman? Yang mereka sebut sebagai karya besar sepanjang zaman itu hanyalah sebuah karya picisan: picisan tekniknya; picisan temanya; picisan pengolahannya; picisan segala-galanya kerana tiada apa-apa pun yang boleh dijadikan sandaran intelektual dari segi “pemikiran”…  Sebuah karya besar sepatutnya boleh berdiri sendiri, tidak memerlukan pujian dan sanjungan dari sesiapa pun. Karya itu mampu menghadapi sebarang cabaran dari sesiapa sekali pun yang cuba atau memang meremehkannya. Naratif Ogonshoto tidak boleh berdiri sendiri, kehidupannya bergantung pada beberapa kerat manusia yang mengaku sarjana sastera tetapi tidak mempunyai ilmu yang mencukupi untuk membuat penilaian yang kukuh, yang tidak boleh digoyah dengan mudah hanya dengan jerkah kecil saja. Ketika karya agung sepanjang zamsan ini dijerkah sambil berdehem pun sudah terpelanting terguling-guling mencari tempat berpegang. Mana boleh sebuah karya besar begitu jadinya. Itu ciri-ciri karya picisan, bukan karya besar. Sebuah karya nihilis seperti Naratif Ogonshoto itu tidak ada gunanya disimpan dalam perbendaharaan karya sastera Malaysia.  Kata-kata ini memang keras dan tegas, sesuai dengan kedudukan karya itu yang didakwa sebuah karya besar sepanjang zaman.  Apakah ukurannya? Tidak seorang pun daripada sarjana yang mendakwa karya sepanjang zaman ini benar-benar hebat dan tidak boleh digoyah sedikit pun. Akar tunjangnya tidak ada, atau terlalu lemah, hingga begitu mudah dicabut dengan hujah-hujah yang paling lemah sekalipun.

Sekarang muncul Hikayat Salim Adil.  Para pemuja dan pemuji Naratif Ogonshoto bertanya sambil mengejek: Mengapa diberi judul hikayat, mengapa masih ditulis hikayat di zaman pascamoden ini?  Pertanyaan ini sangat aneh, dan amat menghibakan. Semua yang memuji Naratif Ogonshoto menegaskan dengan amat yakin bahawa karya agung ini ditulis dalam teknik intertekstual, yang di dalamnya banyak sekali cerita-cerita lipur lara yang dijadikan interteks yang amat berkesan dalam pembinaan teknik karya agung ini. Nampaknya mereka tidak mahu lagi menggunakan hujah ini, tetapi belum bersedia untuk menarik balik penilaian mereka yang amat lemah dan cetek serta banyak merapu.  Mengapa mereka tidak mahu menilai Hikayat Salim Adil dari perspektif yang mereka gunakan untuk karya agung ini?  Sebabnya, tegas mereka, Hikayat Salim Adil tidak mempunyai ciri-ciri khayal lipur lara seperti dalam Naratif Ogonshoto, oleh itu tidak asli dan tidak ada sedikit pun bentuk-bentuk alusi yang hebat-hebat yang terdapat dalam sastera Melayu lama.  Mereka tidak sedar bahawa mereka mengejek diri mereka sendiri; malah mereka tidak faham pun maksud kesimpulan ini.


Sekarang Naratif Ogonshoto telah masuk ke dalam Sungai Kelang, dikuis oleh Salim Adil kerana menghalang laluannya. Sekaranglah kita perlu berdebat, atau sekurang-kurangnya berbincang dengan gigih, mengenai Hikayat Salim Adil untuk memastikan kedudukan Naratif Ogonshoto tidak tergugat dan tidak terjejas sedikit pun dengan kehadiran Hikayat Salim Adil. Jika benarlah dakwaan para sarjana dan pengkritik bahawa Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya besar sepanjang zaman dan akan kekal begitu selama-lamanya, maka tentulah tidak ada halangan lagi untuk membuat penilaian perbandingan dengan Hikayat Salim Adil. Saya tidak boleh menentukan perkara ini secara sendirian. Kita memerlukan bantuan para sarjana yang telah mengangkat Naratif Ogohsoto ini seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Prof. Dato’ Rahman Shari, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dan Dr. Mawar Shafei, pakar intertekstualiti dalam sastera. Mereka inilah yang boleh mempertahankan kedudukan Naratif Ogonshoto, tetapi mereka tidak mahu kerana mereka juga akan diminta menilai Hikayat Salim Adil. Persoalan besar di sini ialah apakah ukuran yang akan mereka kemukakan untuk menilai Hikayat Salim Adil?  Di sinilah peranan konsep ilmu yang benar, yang ditolak oleh empat orang sarjana tadi, akan mengambil tempat untuk menilai kedua-dua buah karya ini. Kita tunggu bagaimana empat orang sarjana ini akan membongkar  kelemahan kaedah penilaian mereka sendiri sebaik saja dikenakan kepada Hikayat Salim Adil.   Yang akan terjadi, mengikut ramalan saya,  keempat-empat sarjana ulung ini akan tersungkur di gelanggang intelektual apabila mereka terpaksa mengaku bahawa mereka menolak konsep ilmu yang benar  sebagai asas penilaian; sebaliknya akan mengemukakan ciri-ciri lipur lara yang akan mengangkat Naratif Ogonshoto  sebagai sebuah karya picisan; yang bila digunakan untuk menilai Hikayat Salim Adil akan menyerlahkan kepalsuan  ukuran mereka yang berasaskan khayalan unsur lipur lara yang palsu itu. Apakah kesudahannya anda boleh bayangkan sendiri. Inilah cerita sebenar kritikan sastera Malaysia. 

Membincangkan Hikayat Salim Adil

Tetapi keempat-empat sarjana ini boleh mengembalikan maruah akademik mereka dengan sanggup membicarakan kedudukan Hikayat  Salim Adil dalam sastera Melayu mengikut ukuran mereka sendiri.  Inilah yang kita mahu tahu, yang sudah lama ditunggu-tunggu untuk dibentangkan dengan penuh keyakinan sesuai dengan kedudukan mereka sebagai sarjana utama sastera Melayu.  Saya sendiri akan menumpang tuah untuk memperlihatkan kemampuan kreatif dan intelektual saya sebagai seorang pengarang, yang diragui oleh kesemua empat orang tokoh ini. Seperti yang ditegaskan oleh Prof. Dato’ Rahman Shaari, Persuratan Baru adalah mudah untuk dilaksanakan, sekiranya beliau terdorong. Formulanya yang beliau berikan: ringankan cerita, beratkan ilmu.  Jika betullah formula beliau, bolehkah digunakan formula itu untuk menulis sebuah buku sehebat Hikayat Salim Adil?  Sebenarnya tidak semudah itu, kerana halangan pertama ialah makna dan maksud konsep ilmu yang benar; diikuti dengan konsep wacana dan cerita, yang kemudiannya ditempatkan  dalam ruang naratif yang tersusun.  Saya amat positif Dato’ Profesor Rahman Shaari akan terkial-kial untuk memahami konsep-konsep yang disebutkan itu. Dalam PB, semua konsep itu sudah diberi makna yang khusus, untuk mencapai matlamat tertentu. Kerana itu saya boleh buat ramalan yang tepat Dato’ Prof. Rahman Shaari dan orang-orang yang setaraf dengannya tidak akan sampai ke tahap Hikayat Salim Adil, jauh sekali untuk menandingi Pujangga Melayu; hatta untuk meniru Hikayat Buyung Lurus pun mereka tidak akan dapat lakukan. Tentulah saya akan sangat gembira, dan sangat bangga, jika mereka ini dapat mengatasi karya-karya yang saya sebut itu.  Dengan itu barulah terdapat kemajuan, bukan hanya bilangan karya. Panel Anugerah Sastera Negara akan bertindak tidak bijak jika mereka abaikan ukuran yang diberikan oleh PB.  Adakah Panel tidak berasa bahawa  mereka juga perlu berubah, tidak hanya menggesa penulis supaya berubah dan mencari kelainan. Kita perlu jauhkan situasi ketam mengajar anaknya berjalan betul, atau peribahasa itu tidak laku lagi dalam era pascamodernisme? Nampaknya begitulah. Inilah makna pandirisme, kalau anda masih belum faham.

Hikayat  Salim Adil dan Kedudukannya Dalam  Sastera Melayu

Di mana salahnya jika saya mengatakan Hikayat Salim Adil mempunyai tempat yang istimewa dalam sastera Melayu? Tidak penting anda setuju atau tidak setuju, kedudukan itu tidak berubah. Inilah maksud saya bila saya mengatakan, biarlah karya itu sendiri meletakkan dirinya di tepat yang wajar untuk dirinya, tidak perlu pujian dan sanjungan seperti yang anda lakukan terhadap Naratif Ogonshoto.  Bila hujah anda dirungkai dan dihanyutkan ke Sungai Kelang, anda tidak boleh berbuat apa-apa, lantas membawa sekali Naratif Ogonshoto hanyut dalam Sungai Kelang. Sangatlah tidak manis jika ini berlaku, maka itu sebabnya saya tegaskan biarkan karya itu menentukankan kedudukannya, tidak perlu sarjana (apatah lagi sarjana ciritan) untuk mengangkatnya… Setiap karya ada maruah masing-masing, kenali kedudukan maruah itu dan tempatkannya di tempat yang sesuai untuknya. Jika sesuai untuk dihanyutkan di Sungai Kelang, hanyutkan saja, kerana itulah yang terbaik, sekurang-kurangnya boleh dikutip oleh peniaga sampah seperti Salim Adil. Ada juga gunanya. Dapat juga dimanfaatkan. Bagaimana jika anda yang menghanyutkan Hikayat Salim Adil di Sungai Kelang?  Saya bersetuju dan saya sokong usaha anda itu, kerana saya mahu melihat bagaimana anda sendiri dihanyutkan sementara Hikayat Salim Adil akan dikutip oleh orang-orang yang mengenalnya.  Kedudukan Hikayat Salim Adil dalam sastera Melayu tidak boleh diusik, kecuali anda melapahnya beramai-ramai untuk menghancurkannya. Yang hancur nanti ialah kertasnya, tidak Hikayat Salim Adil sebagai sebuah karya yang akan terus hidup menghantui kehidupan anda. Melalui perbuatan itu sendiri anda telah mengiklankan kualiti ilmu anda sendiri. Apa pun yang anda buat, yang akan tersungkur dalam lumpur anda sendiri, bukan Hikayat Salim Adil.  Bagaimana keadaan ini akan terjadi sebenarnya telah diterangkan dengan terperinci dalam Hikayat Salim Adil. Jadi anda tidak ada pilihan melainkan membacanya dengan teliti dan kritis, serta kreatif.  Sebenarnya saya telah banyak sekali memberi idea dan cadangan untuk membantu anda menyerlahkan kualiti anda sebagai kumpulan ingkar ilmu.  Saya kira penjelasan itu sudah mencukupi.  Oleh itu anda hanya mempunyai dua pilihan: menerima Hikayat Salim Adil sebagai sebuah karya besar yang unik; atau menerima kedudukan anda sebagai kumpulan ingkar ilmu yang berlagak sebagai “the hollow men” dalam sajak T.S. Eliot.  Pilihan pertama tentulah lebih bijak, walaupun dengan pilihan kedua anda akan berada di peringkat antarabangsa.  Bagi saya, menempel kelebihan dan kedudukan orang lain di peringkat antarabangsa bukanlah satu kedudukan yang mulia. Kerana itulah saya tolak unsur Mafia dalam novel teragung Malaysia, Naratif Ogonshoto yang picisan itu.

Mercu Tanda Yang Menjadi Ukuran Penilaian:  Kesimpulan Muktamad

Sejauh mana benarnya Hikayat Salim Adil menjadi penanda aras kemajuan kreatif dan kritikan sastera Melayu? Atau, sejauh mana pula tidak benarnya kesimpulan itu?  Pertanyaan yang paling sukar dijawab ialah yang kedua itu; kerana jawapan kepada pertanyaan itu tidak boleh lari daripada analisis yang mendalam tentang karya para sasterawan negara, berasaskan konsep ilmu yang bersumber dari al-Quran.  Dengan itu, analisis dari segi kreatif dan kritikan sastera akan memihak kepada Hikayat Salim Adil.  Ada beberapa cara yang boleh anda kemukakan untuk menolak kedua-dua pertanyaan itu. Pertama, anda boleh berkata kedua-dua pertanyaan itu berasaskan prasangka terhadap karya yang bukan persuratan; dengan itu anda boleh berkata pertanyaan itu tidak wajar dikemukakan. Dengan itu saya akan mengemukakan pertanyaan lain: Kalau begitu, apakah pertanyaan yang sesuai dengan kedudukan para sasterawan negara, dan ukurannya diambil dari mana? Sebenarnya pertanyaan ini lebih berat daripada dua pertanyaan awal, kerana untuk menjawabnya, anda akan terus terjun ke dalam lubuk teori sastera Barat, dan anda pasti akan bergelumang dengan lumpur teori sastera Barat.  Saya tidak keberatan jika itulah yang anda mahu, tetapi anda mesti ingat, sarjana terbesar sastera Melayu, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh telah memberi amaran bahawa kita telah melakukan kesalahan menggunakan teori Barat untuk menilai karya sastera kita yang berjiwa Melayu. Anda tidak boleh menolak begitu saja keputusan dan kesimpulan sarjana besar ini sebagai “mengarut”, kerana beliau mengasaskan kesimpulan beliau daripada kajian mendalam teori sastera Barat dan kajiannya tentang sastera Melayu. Beliau mendapati kedua-duanya berbeza jauh, sehingga kita perlu menolak teori Barat jika kita mahu berlaku adil kepada karya sastera Melayu.  Tetapi di sini timbul satu persoalan besar yang Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri tidak akan mampu menjawab dan menyelesaikannya seumur hidupnya.  Persoalan besar itu ialah, beliau tidak saja menolak pengaruh Barat, tetapi juga pengaruh Islam. Beliau hanya menerima pengaruh penglipur lara yang akarnya animisme atau pengaruh Hindu-Buddha yang telah melahirkan karya klasik dalam sastera lama.  Bayangkan sekiranya Hikayat Salim Adil dinilai dari tradisi penglipur lara zaman Hindu-Buddha, atau zaman sebelum itu. Bagi saya ini suatu keputusan yang amat tidak siuman, malah jika silap langkah akan terus menjadi kesimpulan yang nyata  sekali gila. Tetapi saya masih boleh terima jika ada sesiapa sekali pun, misalnya Baha Zain, yang boleh membantu Prof.  Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh memberi penjelasan mengenai persoalan mengarut ini. Sekiranya mereka menerima pengaruh Islam sebagai definitif dalam perkembangan sastera Melayu, seperti yang telah dibuktikan dengan jelas dan tepat oleh Prof. Syed Muhammad Naquig al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972,  maka Hikayat Salim Adil mestilah diterima sebagai sebuah karya terbesar dalam konteksnya.  Saya dapati para sarjana kita terus menerus bermain sunglap, tidak mahu mengaku kesilapan mereka yang begitu jelas, malah mereka sendiri pun seolah-olah tidak tahu akan kesilapan mereka. Sarjana jenis apa yang begitu keadaannya? Kita mesti nyahkan mereka dari sebarang gangguan yang berunsur mengacau untuk kepentingan diri mereka, bukan kepentingan ilmu. Apa jenis sarjana yang anti-ilmu? Bagi Salim Adil, siapa mereka adalah jelas dan bagaimana kita harus melayan kehadiran mereka juga jelas. Semua ini terdapat dalam huraian yang mendalam dalam Hikayat Salim Adil.  Walau bagaimana pun, masih terdapat keraguan tentang perkara ini, hanya kerana mereka ingin selamatkan kedudukan para sasterawan negara yang tidak dapat diselamatkan jika kita menerima hakikat ilmu yang benar yang bersumber daripada al-Quran. Lainlah halnya jika anda menolak hakikat ilmu bersumberkan al-Quran. Kalau itulah pendirian anda, maka bolehlah anda kembali ke zaman animisme dan Zaman-Hindu Buddha. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, sahabat baiknya Baha Zain, Prof. Dato’ Rahman Shaari,  dan seterusnya boleh dengan mudah berkata sastera tidak menerima pembahagian zaman animisme, zaman Hindu-Buddha, zaman Islam, zaman pascamodernisme. Sastera adalah sastera, walaupun berciri animisme dan Hindu-Buddha atau apa saja. 

Bagi mereka tidak ada genuine literature yang dikemukakan oleh PB.  ITBM dan DBP menerima dan menjadikan kedudukan ini sebagai kedudukan rasmi yang tidak boleh dipersoalkan. Adakah ini sifat hakiki kesusasteraan? Jelas Bakhtin, yang menjadi ikutan para sasterawan Malaysia, telah menegaskan tidak. Kata Bakhtin, Sastera perlukan dialog, dan hanya dengan dialog saja sastera boleh berkembang. Nampaknya Bakhtin menyebelahi PB. Tetapi Bakhtin tidaklah segagah tiga orang tokoh besar yang disebut itu, oleh itu pendapat mereka bertiga itulah yang perlu dipertahankan, walaupun hanya sejenis bullshit.  Itulah kedudukan sebenarnya. Muktamad.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10/12/2017.

No comments:

Post a Comment