Wednesday, November 22, 2017

HIKAYAT SALIM ADIL: SEBUAH AUTOBIOGRAFI INTELEKTUAL

Hikayat Salim Adil kini berada di pasaran. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Penerbit Wadi al-Irfan (anak syarikat Klasika Media-Akademi Jawi Malaysia) yang terlibat dalam penerbitan karya yang amat unik ini. Mudah cerita, dalam pengalaman saya sebagai seorang pengarang, saya bermula dengan sebuah cerita pendek “Kapitalis Kecil” (diterbitkan dalam sebuah akhbar mingguan bulan Januari 1957.) Itulah permulaan perjuangan saya dalam penulisan kreatif, yang kemudiannya melahirkan Gagasan Persuratan Baru.  Dalam konteks inilah Hikayat Salim Adil dilahirkan.  Saya boleh berkata dengan selamat, dan objektif,  saya adalah satu-satunya pengarang yang sejak permulaan lagi tahu apa yang dibuatnya dan tahu pula apa yang ingin dicapainya.

Dari segi teknik, karya ini membicarakan kritikan sastera dalam bentuk cerita yang diwacanakan melalui perbincangan dan perbahasan. Sebuah cerita tentang kritikan sastera, dan soal-soal kemasyarakatan termasuk politik, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Salim Adil bercerita tentang pengalamannya sebagai tukang sapu sampah, yang kemudiannya menjadi seorang saudagar sampah yang pertama di Malaysia. Melalui perniagaan sampahnya, dia menjadi seorang jutawan.  Tetapi kerana beliau seorang intelektual, dia lebih terserlah sebagai seorang pemikir, meskipun pemikirannya agak aneh. Dia mencabar hampir semua persoalan yang timbul dalam masyarakat, dengan memberikan pendapatnya yang agak aneh. Dalam Aligupit,  watak Salim Adil hanya muncul  sebagai satu nama, orangnya tidak ada.  Walaupun tidak wujud, namanya amat ditakuti oleh tokoh yang bergelar YB. Salim Adil dalam Aligupit dibicarakan dan dihukum oleh Mahkamah Keadilan Negara yang dipengerusikan oleh YB. Kini Salim Adil muncul di tengah-tengah masyarakat membicarakan segala bentuk korupsi dan penyelewengan dalam masyarakat. Karya ini akan menyerlahkan wajah sebenar sastera Melayu, yang selama ini tertutup daripada pengetahuan masyarakat. Wajah sebenar sastera Melayu sangat buruk, meskipun diberi lukisan yang amat indah dengan melantik sekumpulan penulis untuk digelar sasterawan negara.  Pelantikan itu sepatutnya menggalakkan perkembangan ilmu dan memberi penekanan kepada peranan ilmu dalam penulisan; yang terjadi adalah sebaliknya. Apakah yang mendorong sarjana, pengkritik, dan sasterawan bersikap ingkar ilmu?  Hikayat Salim Adil memberi jawapan dan penjelasannya yang terbuka untuk dinafikan dan dikritik jika tidak benar.




Karya ini pada umumnya adalah sebuah karya kritikan sastera yang ditulis dalam bentuk cerita, untuk memudahkan pembaca memahami beberapa persoalan penting dalam kritikan sastera.  Seperti yang selalu saya tegaskan, isu terpenting ialah peranan ilmu dalam kritikan; dan ini berkaitan dengan peranan ukuran yang hendak digunakan dalam menilai karya kreatif.  Kedua, bagaimana kita hendak meletakkan kedudukan teori sastera Barat dalam perkembangan kritikan Melayu. Ketiga, isu pendidikan sastera yang perlu diberi penekanan dengan matlamat untuk mencerdikkan generasi baru supaya mereka bersedia membangunkan persuratan Melayu abad 21.  Ketiga-tiga isu besar ini diberi penekanan dalam Hikayat Salim Adil.  Sejauh mana anda bersedia, dan sanggup, menghadapi tiga isu besar itu? Di sinilah kita memerlukan dialog yang betul-betul terbuka, tidak lagi untuk mempertahankan golongan tertentu. Kita harus membina suasana intelektual yang benar-benar menuju ke arah meletakkan ilmu di takhtanya yang hak, bukan hanya sebutan yang tidak dibuktikan dalam karya. Hikayat Salim Adil boleh dijadikan penggerak ke arah ini dengan membincangkan pelbagai isu yang ditimbulkan dalam karya ini.  Saya tidak perlu membuat senarainya, kerana ini akan merebut kreativiti anda sendiri untuk menentukan apakah isu-isu itu yang terdapat dalam hikayat ini.

Antara isu besar yang tidak pernah dibincangkan dengan kritis ialah peranan sebenar Panel Anugerah Sastera Negara. Siapakah sebenarnya anggota Panel Anugerah Sastera Negara? Apakah yang mereka telah lakukan terhadap sastera Melayu? Berhubung dengan peranan Panel ini ialah kelahiran para sasterawan negara. Siapakah mereka dan apakah sumbangan mereka? Kita belum lagi mempunyai kajian menyeluruh mengenai peranan sebenar para sasterawan negara ini dan apakah sumbangan mereka yang sebenarnya. Terdapat keinginan yang berlebihan untuk mempertahankan mereka, seolah-olah kedudukan mereka sudah menjadi seperti golongan Brahmin (dalam konteks ini Brahmin sastera) yang tidak boleh diungkit dan tidak boleh dikritik. Perlukah kita kepada kumpulan Brahmin Sastera ini? Walaupun DBP telah mengadakan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara, tidak sebuah pun kertas kerja membincangkan aspek pemikiran ini. Yang terjadi ialah longgokan teori dan pendekatan Barat yang dipadankan dengan karya para sasterawan negara, dikemukakan kononnya untuk membuktikan karya para sasterawan negara ini boleh dinilai daripada pelbagai perspektif, dengan itu kata mereka akan terserlahlah keunggulan para sasterawan negara ini. Ini suatu lelucon yang amat murah, lebih rendah dan murah daripada lelucon pelawak yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Lawak Malaysia. Katalah semua kertas kerja itu telah berjaya menyerlahkan kehebatan pemikiran para sasterawan negara, membuktikan mereka boleh dinilai dan ditafsir dalam pelbagai lapisan makna, adakah ini bermakna semua pendekatan yang kita kenal telah digunakan dengan saksama? Bagaimana dengan pendekatan Persuratan Baru yang berasaskan konsep ilmu yang benar? Sejauh mana para sasterawan negara ini menampilkan pemikiran mereka yang mendalam dalam aspek ini? Lawak jenaka yang ditonjolkan oleh para penulis kertas kerja tidak membuktikan keistimewaan para sasterawan ini sehingga membolehkan mereka diberi gelaran sasterawan negara. Walaupun anda boleh meremehkan kesimpulan ini, tetapi anda tidak boleh meremehkan peri perlunya para sasterawan negara ini dinilai sehabis kritis, sesuai dengan kedudukan mereka “di takhta keunggulan” itu. Anda tidak boleh lari dengan tidak mempedulikan pendekatan kritis yang diberikan oleh PB. Hendak lari ke mana lagi?  Di sinilah anda perlu menunjukkan kejujuran ilmiah anda, yang anda sering sebut-sebut itu.

Tetapi sebenarnya, daripada pengalaman saya yang lama dalam bidang ini, yang disebut sebagai kejujuran itu sebenarnya tidak ada; hanya ucapan semata-mata, untuk menuduh orang lain apabila seseorang tersepit tidak dapat melepaskan diri dalam sesuatu perbincangan. Ketika itulah dia menuduh lawannya tidak jujur; walaupun yang sebenarnya dialah yang tidak jujur kerana tidak mahu menerima kebenaran yang menghimpitnya.  Anda boleh lihat keadaan ini dalam sikap negatif sarjana, pengkritik dan sasterawan yang dengan angkuh menolak Gagasan Persuratan Baru hanya kerana mereka tidak dapat mempertahankan diri mereka ketika dicabar. Jika anda meneliti perkembangan di Barat, anda akan berasa hairan mengapa keadaan ini hanya berlaku di Malaysia. Di Barat setiap pendapat, apatah lagi jika pendapat baru, akan dibincangkan dengan kritis sehingga mereka mendapat suatu ketetapan kedua-dua belah pihak, sama ada untuk membiarkan saja perbezaan itu atau menerima sejenis persefahaman akademik. Banyak contoh mengenai perkara ini. Antaranya yang paling terkenal ialah antara Habermas dengan para pengkritik dan penyokongnya; antara Chomsky dengan Skinner; C.P.  Snow tentang “two cultures” dengan pengkritik Inggeris yang terkenal (saya pasti anda tahu siapa dia kerana kes ini sangat terkenal); manakala di dunia Arab terkenal polemik yang sangat hebat antara Muhammad Kurd Ali dengan intelektual Mesir yang terkenal, Ahad Amin, mengenai masalah adab. Anda tentu tahu polemik panas antara Derrida dengan ahli falsafah Amerika yang menuduh Derrida “kehilangan punca” dalam kerja-kerja akademiknya.  Ini memaksa Derrida menulis sebuah buku untuk “mengutuk” ahli falsafah ini sebagai bodoh dan hanyut dalam khayalan! Membaca semua polemik ini memberi kita dua perkara: betapa seriusnya mereka tentang “ilmu”; dan betapa garangnya dan sinisnya mereka ketika mengkritik lawan mereka. Perkara begini tidak berlaku di Malaysia, kerana dua perkara: pertama, kerana kecetekan akademik para sarjana; dan kedua kerana keangkuhan mereka untuk meremehkan usaha orang lain yang mereka tidak berdaya mencapainya dan yang sebenarnya membuat mereka terkejut hingga terkentut-kentut dalam gosip akademik sesama mereka untuk mengutuk orang yang mereka tidak dapat tandingi sebagai biadab dan kurang ajar, manakala yang mereka buat semuanya beradab dan bersopan santun. Sekiranya perbualan mereka didengar Pak Pandir atau Si Luncai, tentu mereka akan tertawa terguling-guling kerana terlalu lucu: mengata orang lain bodoh dan mengarut serta biadab, padahal itulah yang mereka buat!

Sebagai seorang penulis yang menguasai tiga bidang – kreatif, akademik, dan pemikiran baru – saya perlu memberi laluan kepada tiga bidang itu dalam sebuah karya yang menyatukan ketiga-tiganya. Itulah Hikayat Salim Adil. Dalam karya ini anda akan dapat mengesan bagaimana saya adun tiga kegiatan itu melalui cereka untuk memudahkan pembaca yang cerdik dan kritis melihat perkembangan ini dalam konteks yang betul. Kepada pembaca biasa yang bukan terlibat dalam bidang-bidang yang disebut itu, mereka akan dapat merasakan kelucuan serius dengan membaca episod yang diserlahkan dalam karya ini yang disengajakan untuk memaksa mereka membuat tafsiran kritis mereka sendiri. Pembaca yang cepat menyerah diri menghadapi lontaran cabaran bersifat kreatif, politik (terutama tentang korupsi), masalah sosial, masalah akademik dan lain-lain yang anda boleh kesan dengan mudah, pada akhirnya mereka akan bertemu sesuatu yang akan membuat mereka sedar apa yang telah, sedang, dan akan berlaku dalam politik, sosial, dan gerakan intelektual Malaysia. Barangkali yang akan benar-benar berdarah dilukai sindiran yang agak keras ialah para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Sebagai gambaran sekadarnya, Salim Adil senang-senang saja menjadi kaya raya, sebagai seorang jutawan, hanya dengan menjual sampah. Apakah jenis sampah itu? Saya biarkan pembaca membuat tafsiran masing-masing. Sekadar imbasan mudah, Salim Adil membeli mesin racik kertas untuk mengumpulkan sampahnya yang tidak laku di dalam negeri, tetapi mendapat sambutan di luar negeri yang kemudiannya dijual kembali dalam bentuk produk yang menarik minat masyarakat Malaysia untuk membelinya, tanpa mengetahui itulah sampah yang diolah menjadi produk yang canggih, baik dari segi bahan mahu pun dari segi isi.  Saya boleh bayangkan beliau akan diberi anugerah dan gelaran negara, barangkali paling kurang bergelar Datuk jika tidak pun Tan Sri kerana …. (tak mahu cakap!).  Sebenarnya Salim Adil tidak layak diberi anugerah atau gelaran apa-apa sekali pun, kerana setiap gelaran dan anugerah itu akan dikaitkan dengan sampah yang menjadi sumber kekayaannya. Tentulah tidak manis sekiranya orang yang tidak tahu apa-apa, secara innocent, berkata, “Itulah Datuk sampah … Itulah Tan Sri sampah. Kau tahu dia itu seorang saudagar sampah!”  Kaya sampah tidak sama degan kaya kata, walaupun kata-kata itu kedudukannya seperti sampah dari segi kandungan isinya.  Satu masa dulu saya pernah mencadangkan supaya semua sasterawan negara diberi gelaran Tan Sri, sesuai dengan kedudukan tinggi mereka “di takhta keunggulan”.  Lagi pula seorang sasterawan terkenal diketepikan daripada gelaran sasterawan negara, tetapi beliau diberi gelaran Tan Sri A. Samad Ismail!  Dia tidak layak, menurut Panel Anugerah Sastera Negara, untuk digelar sasterawan negara; tetapi layak mendapat gelaran Tan Sri. Dunia, begitulah keadaannya.

Apa agaknya komen Salim Adil mengenai perkara ini! Saya boleh agak, tetapi tidaklah perlu disebut di sini…


***


Hikayat  Salim Adil adalah sebuah karya paling unik yang pernah ditulis di mana-mana saja dalam dunia. Saya tersenyum sinis selepas menulis ayat ini. Mungkin anda tahu mengapa, mungkin juga tidak tahu. Tetapi saya tahu, dan orang yang tidak berkenan dengan style tulisan saya tentu, saya pasti, juga tahu. Kalau anda pernah main choh, satu permainan strategik yang dimainkan oleh budak-budak Kelantan (tempat lain saya tidak tahu), seseorang yang ingin memasuki “kubu” lawannya akan mengacah-acah betisnya untuk menerobos ke dalam…. Dan seterusnya. (Boleh tanya pakar permainan kanak-kanak di mana-mana universiti yang mengajar subjek kebudayaan dan seni permainan Melayu).  Style yang saya gunakan dalam Hikayat Salim Adil adalah style permainan choh itu, mempermainkan anda sebagai pembaca supaya lalai daripada kecerdikan untuk menjadi korban ketidak-telitian anda yang tentu saja akan merungut, “Apa jenis novel ini?”  Kalau anda cerdik, mempunyai keupayaan kreatif yang tinggi dan ketajaman intelektual yang juga tinggi, anda akan membaca sehabis kritis untuk sampai kepada kesimpulan paling objektif. Jarang pembaca Malaysia sampai ke taraf itu, termasuk di kalangan sarjana (ciritan), pengkritik (cetek meraba-raba) dan sasterawan (picisan).

Apakah kesimpulan paling objektif itu? Kalau anda pernah mandi sungai yang lebar, dan cekap berenang, anda akan ulang berenang dari pesisir pasir ke tebing, berulang alik. Pernah tengok Sungai Kelantan? Tebingnya curam, sebelah kampung saya pula berpasir. Zaman dulu, ketika kami membesar, satu keseronokan permainan kami ialah berlumba berenang dari tebing ke tebing, sampai tercungap-cungah lelah. Sebagai pembaca Hikayat Salim Adil, anda juga akan tercungap-cungap keletihan cuba menyeberang makna yang jernih tetapi tidak dapat ditangkap kerana belum cekap bermain dengan idea. Baru belajar berenang dalam sungai idea … Permainan idea dalam Hikayat Salim Adil akan dapat anda fahami jika anda pernah membaca Aligupit dan Hikayat Buyung Lurus. Tiga karya ini bersaudara. Perlukah saya memberi penjelasan? Anda lebih tahu.

Uniknya Hikayat Salim Adil adalah berseliratnya kelarai warna-warni yang seolah-olah memberi makna tertentu mengikut warna, tetapi apabila dilihat keseluruhannya anda akan melihat warna yang berbeza. Barang siapa yang pernah melihat permaidani sutera, dia akan melihat pelbagai warna mengikut sudut yang dilihatnya. Cuba cari permaidani sutera, misalnya dengan pergi ke kedai permaidani dan minta penjual anda mahu lihat permaidani sutera. Anda perlu lihat sendiri untuk tahu apa yang saya maksudkan. Hikayat Salim Adil juga begitu, berserabut dengan kelarai yang seolah-olah kacau bilau, tetapi sebenarnya wajah lain dari sebuah karya yang dijalin begitu rupa untuk memberi makna tunggal yang kecil tetapi bila diteliti keseluruhannya akan bertemu dengan makna keseluruhan yang mungkin menggerunkan anda akan kehebatannya.  Tetapi yang hadir hanya seorang watak, Salim Adil. Dalam Aligupit sangat bebeza, sebab tidak ada watak di situ, tetapi cerita berjalan lancar dan boleh difahami. Aneka warna, seolah-olah seperti permaidani sutera, tetapi bila dilihat keseluruhan anda akan melihat sebuah kisah yang diceritakan oleh idea semata-mata.  Dalam Hikayat Buyung Lurus, anda bertemu ramai tokoh, dan mereka saling berinteraksi, dengan didominasi oleh Buyung Lurus sendiri. Dalam Hikayat Salim Adil, hanya Salim Adil yang wujud sebagai watak tunggal dengan nama itu. Watak-watak lain semuanya tidak bernama. Yang disebut nama adalah tokoh-tokoh yang tidak berada dalam novel itu, tetapi memainkan peranan penting kerana mereka dibawa khas oleh Salim Adil untuk sesuatu maksud yang dia sendiri tahu. Tiga karya yang satu, tetapi dipersembahkan dalam tiga cara yang berbeza. Semuanya ditulis seluruhnya dengan menggunakan teknik stylization of ideas.

Adakah ini satu pembaharuan? Tidak. Hanya satu persembahan biasa yang anda pernah lihat dalam Mak Yong. Cerita dituturkan sendiri oleh pelakonnya.  Apakah nama yang kita boleh berikan kepada gaya ini?  Saya akan memberi jawapannya setelah anda membaca hikayat ini tiga kali dan betul-betul faham, tetapi belum begitu pasti anda mengerti sepenuhnya. Sekiranya anda pernah menonton Mak Yong, anda mungkin tidak memerlukan penjelasan saya lagi. Nasihat saya, anda tidak perlu bertanya mana-mana sarjana sastera, sasterawan atau pengkritik.  Lebih mudah jika anda bertanya Salim Adil sendiri.

Inilah maksud membaca dalam mod bacaan intelektual, bukan mod bacaan cerita. Anda perlu melihat bagaimana Salim Adil menggunakan ruang naratifnya.

Jika anda meneliti perbahasan saya, mungkin anda akan faham mengapa saya mengkritik Panel Anugerah Sastera Negara yang mereka tulis dalam laporan mereka.

Sekadar peringatan, yang juga berupa petua. Sebelum anda mendapat apa yang saya kemukakan dalam penjelasan saya, anda harus membaca sekurang-kurangnya tiga kali Hikayat Salim Adil ini. Bacaan pertama untuk mendapat sedikit gambaran kasar. Bacaan kali kedua untuk mengenal pasti beberapa isu dan persoalan yang menarik perhatian anda. Bacaan ketiga untuk memahami mengapa novel persuratan ini ditulis dalam bentuknya sebagai kritikan sastera yang bercerita tentang sastera dan pemikiran dalam sastera. Teknik yang dipakai seluruhnya ialah stylization of ideas, atau siratan makna.  Itu sebab saya pakai istilah kelarai tadi. Kelarai, atau pattern, adalah siratan makna yang mempunyai hierakinya sendiri, mana satu yang utama dan seterusnya. Hanya pada ketika itulah baru anda dapat “menikmati” aspek intelektual yang terdapat dalam karya ini. Kalau anda gagal mendapatnya, tidak semestinya karya ini telah gagal memberi makna kepada anda. Sabar dulu, cuba lagi, kerana karya ini jauh sangat berbeza dan berlainan dengan karya yang anda pernah baca. Kritis, tetapi menghiburkan daya intelek anda.  Kalau anda terus gagal, baca sajalah novel picisan yang senang didapati di pasaran. Mungkin setakat itulah saja kemampuan intelektual anda. So sorry for that!


KESIMPULAN SEBAGAI PERINGATAN


Dari perspektif mana pun anda nilai Hikayat Salim Adil, anda akan dapati karya ini benar-benar mencabar daya intelektual dan kejujuran intelektual anda.  Dari segi akademik, anda kini berdepan dengan tiga genre dalam satu karya: Hikayat Salim Adil sebagai sebuah novel persuratan; Hikayat Salim Adil sebagai sebuah wacana kritikan yang dipersembahkan dalam bentuk cerita; Hikayat Salim Adil sebagai falsafah politik dalam lingkaran persaudaraan dengan Aligupit, Hikayat Buyung Lurus.  Ketiga-tiganya menggunakan sepenuhnya kaedah stylization of ideas. Ketiga-tiganya berbicara tentang rasuah dalam pelbagai wajah, termasuk antaranya rasuah dalam dunia intelektual apabila pandirisme dijadikan arus perdana untuk melindungi para sasterawan negara supaya terus berada “di takhta keunggulan” hanya pada nama, tetapi tidak dikonkritkan dalam karya yang sebenarnya berada di tahap picisan. Anda akan dapat melihat dengan jelas bentuk-bentuk rasuah intelektual di kalangan sarjana dan pengkritik sastera dan para sasterawan, terutama sekali para sasterawan negara.

Hikayat Buyung Lurus diilhamkan daripada teknik tinju Muhammad Ali; manakala Hikayat Salim Adil pula diilhamkan daripada kegagalan ITBM, DBP serta badan-badan penulis memberi arah yang betul dalam perkembangan sastera Melayu, dengan itu mereka memberi kedudukan tinggi kepada sastera sampah yang ada di antaranya diberi kedudukan sebagai novel agung sepanjang zaman. Tidakkah ini tidak siuman? Mungkin belum gila, tetapi perbuatan memberi sanjungan tanpa alasan kepada sebuah novel karya seorang sasterawan negara adalah perbuatan paling tidak siuman.  Dalam tahun 2002 cerita pendek saya “Zaman Hanyut” disiarkan dalam Utusan Zaman.  Saya memang hendak menulis Hikayat Zaman Hanyut, membicarakan perubahan nilai dalam masyarakat Melayu. Dari segi perancangan Hikayat Zaman Hanyut sepatutnya terbit selepas Hikayat Buyung Lurus,  tetapi kerana sesuatu yang di luar jangka berlaku, Hikayat Zaman Hanyut tertangguh. Hikayat ini menceritakan peristiwa dialami oleh Zaman bin Hanyut, berasal dari Melaka.  Bagi orang Melaka, sejarah Melaka bermula selepas dikalahkan oleh Pertugis yang meninggalkan bangunan merahnya. Orang Melaka sangat bangga dengan peninggalan Portugis ini, yang membawa wang dari pelancongan dari seluruh dunia yang ingin melihat kekuasaan Portugis di Melaka. Zaman bin Hanyut berasa aneh melihat kesan sejarah Melaka dan kesultanannya langsung tidak ada. Yang lebih pelik, Melaka ada Bukit Cina dan Tanjung Keling; tetapi untuk Melayu hanya sebuah katil, lalu sebuah bukit kecil diberi nama Bukit Katil!  Sejarah Melayu tidak bercerita tentang katil, walaupun sultan dan para pembesar Melaka memang terkenal dengan kegiatan perkatilan mereka. Satu-satunya peristiwa yang amat bersejarah ialah apabila seorang Ketua Menteri dituduh oleh seorang nenek bahawa Ketua Menteri itu telah mengacau cucu perempuannya yang gempal, ketika itu berusia baru 15 tahun. Ada kes mahkamah, tetapi yang masuk penjara seorang Cina yang kononnya “membela” gadis itu dan neneknya daripada gangguan Ketua Menteri. Cerita pendek “Bukan Orang Jahat” mendapat ilham daripada peristiwa ini.  Bagi orang politik, yang penting kemenangan, bukan kebenaran. Inilah pegangan ahli politik sepanjang masa. Adakah ahli politik akan berubah bila berdepan dengan neraka nanti? Kata mereka soal neraka terlalu jauh; yang penting menang pilihan raya.

Hikayat Salim Adil wajar dibaca dan dibincang dengan kritis kerana novel persuratan ini mempunyai makna beratus lapis kerana karya ini merupakan rangkuman tiga genre sastera. Belum ada lagi karya seperti ini di Malaysia, mungkin juga di dunia. Tetapi ini hanya andaian, mesti dibahaskan, dan kedudukan sebenarnya mesti diputuskan oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Bila berdepan dengan karya saya yang pelik ini, tiba-tiba mereka menjadi bacul dan bisu. Kita tunggu suara mereka, jika mereka berani bersuara.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya
22/11/2017

No comments:

Post a Comment