Bagaimanakah
kita mengukur kecerdikan seseorang, umpamanya seorang sasterawan negara. Adakah
ini pertanyaan atau hanya kenyataan umum? Sekiranya kita mengambilnya sebagai
satu pertanyaan, maka jawapannya berbeza daripada sekiranya kita mengambilnya
sebagai satu kenyataan umum. Sebagai satu pertanyaan, kita boleh bertanya pula,
dari perspektif apakah kita boleh mengukur kecerdikan seseorang sasterawan
negara? Tentu saja dari karya mereka.
Adakah karya mereka mencerminkan kecerdikan mereka? Soalan ini sangat sukar
dijawab, kerana amat sensitif. Kalau karya mereka tidak mencerminkan
kecerdikan, maka tentulah mereka tidak terpilih untuk dilantik sebagai seorang
sasterawan negara yang setiap kali kita menyebut namanya mesti dimulai dengan
ungkapan “Sasterawan Negara” Anu Anu! Oleh itu, kita tidak boleh berkata sukar
kita mendapat kecerdikan dalam karya para sasterawan negara kerana pemilihan
mereka bukan didasarkan kepada kecerdikan mereka. Sekarang kita perlu jelaskan
apa yang kita maksudkan dengan “istilah” kecerdikan itu.
Jika anda
membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita mendapat kesan “kecerdikan”
bukanlah satu sifat yang penting atau utama seseorang sasterawan negara. Ada
ukuran lain yang lebih penting, yang kerap disebut oleh Panel Anugerah Sastera
Negara dalam laporan mereka. Adakah
ukuran itu boleh juga dipakai untuk mengukur kecerdikan seseorang sasterawan
negara? Saya fikir tidak. Mari kita kupas beberapa ukuran yang disebut oleh
Panel Anugerah Sastera Negara, untuk melihat bahawa ukuran itu tidak
menggambarkan kecerdikan seseorang sasterawan negara. Malah kadang-kadang
sebaliknya. Masalah kecerdikan ini
penting, kerana tidak ada gunanya sekiranya kita membaca karya seorang pengarang
yang tidak cerdik, yang menulis karya yang tidak cerdik. Apa bila anda sudah
diberi gelaran “Sasterawan Negara”, anda berhak dinilai dari perspektif
kecerdikan dan kemampuan intelektual anda. Kalau anda tidak mahu dinilai dari
perspektif itu, tidak mungkin anda akan berasa bangga dan megah jika dinilai
dari kebodohan anda. Lagi pula sebagai seorang sasterawan negara, anda tentulah
tidak tergolong dalam kumpulan manusia yang bodoh-bodoh. Seseorang wartawan
mungkin boleh, malah digalakkan untuk berlaku bodoh untuk kepentingan tertentu;
tetapi tentu tidak sasterawan negara. Tetapi ini hanya berlaku di Malaysia. Di
Barat, wartawan yang bodoh ditendang ke dalam tong sampah dan dilempar ke dalam
laut. Mungkin mereka melakukannya dengan halus dan bijak, tetapi ini berlaku dalam
mana-mana bidang. Dalam bidang akademik pun nampaknya lebih banyak terjadi.
Saya akan memberi beberapa contoh nanti. Kita lihat dulu ukuran yang dipakai
oleh Panel Anugerah Sastera Negara.
Kita mulai
dengan kes Shahnon Ahmad. Dia orang kedua menerima anugerah yang amat
“berprestij” itu, selepas Keris Mas. Mendahului Usman Awang dan A. Samad Said.
Ketika dia menerima anugerah itu dia baru saja tulis beberapa buah novel
yang biasa-biasa saja, kalau dikira kualitinya belum layak diangkat ke taraf
karya seorang sasterawan negara sekiranya seorang sasterawan negara seseorang
yang istimewa dan “special”. Laporan tentang karyanya yang terpendek dan paling
lekeh di antara laporan yang pernah terbit. Nampaknya ada masalah yang dihadapi
oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Kita mahu tahu mengapa Shahnon melangkah
kepala Usman Awang, A. Samad Said dan
lain-lain yang lebih senior dan lebih “mewah” karyanya. Penjelasan ini penting, kerana bayang-bayang
unsur politiknya sangat menonjol. Adakah pelantikan “tokoh” ini mempunyai
rahsia tertentu? Kami mahu tahu, jangan sembunyikan sebarang rahsia kerana ini
pelantikan penting yang seharusnya terbuka, tiada syak wasangka. Tidak wajar
berahsia dalam perkara sebegini. Pihak
yang berkenaan mesti berani tampil memberi penjelasan. Sekiranya anda merasakan tidak perlu
membuang masa memberi penjelasan, maka itu sudah cukup untuk menjadi bukti bahawa
ada sesuatu yang bersifat bangkai dalam projek sasterawan negara ini. Strong
words, tidak syak lagi; tetapi itulah kenyataannya.
Laporan
tentang Keris Mas dimulai dengan “Pengenalan”, dikuti dengan Tema, Bentuk,
Perwatakan, Gaya Bahasa, Kesan – Pengaruh.
Bandingkan dengan laporan tentang
Shahnon Ahmad: dimulai dengan “Pengantar”, seterusnya Tema, Perwatakan, Bahasa
dan Stail. Laporan tentang kehebatan karya Shahnon Ahmad terlalu pendek,
seolah-olah tidak cukup bahan untuk dibicarakan dengan lebih mendalam.
Laporannya kontot saja, seperti sajak-sajak Baha Zain yang dikritik Shahnon
Ahmad sebagai sajak-sajak kontot, oleh itu tidak layak diangkat untuk menerima
anugerah gelaran sasterawan negara. Teks tentang Keris Mas 29 halaman; teks
tentang Shahnon Ahmad 21 halaman. Teknik
penulisan laporan awal ini kelihatan seperti cara budak-budak sekolah menulis
esei mereka, seperti yang diajarkan oleh guru sastera mereka. Guru sastera pula
belajar daripada para sarjana dan pengkritik sastera; oleh itu tidak hairan
jika laporan Panel Anugerah Sastera Negara masih berada dalam bingkai tulisan
budak-budak sekolah!
Laporan
tentang Usman Awang adalah yang terpanjang, teks saja 70 halaman;
keseluruhannya termasuk Lampiran menjadi 106 halaman. Siapakah yang menulis
laporan panjang ini? Salah seorang anggota Panel ialah Prof Dr. Muhammad Haji Salleh,
seorang pensajak yang kemudiannya menjadi sasterawan negara ke-6 (1991). Mengapa tentang Usman Awang begitu
terperinci? Saya fikir sentimentaliti dalam karya Usman Awang menjangkiti
penulis laporan yang juga menulis sebuah laporan yang sentimental. Anda perlu
membacanya untuk dapat menikmati sentimentaliti Sang Pelapor atau Penulis
Laporan. Laporan tentang tiga orang
tokoh besar sastera Melayu ini, yang menjadi pelopor para sasterawan negara
lainnya, amat tidak memuaskan. Panel memilih teknik bercerita dalam laporan
mereka, bukan berasaskan analisis yang kemudiannya diakhiri dengan kesimpulan
yang mantap. Kesimpulan yang mantap itu tentu saja berhubung dengan “pemikiran”
para sasterawan negara pelopor ini, bukan tentang cerita biasa yang mereka hasilkan.
Tidak bolehkah cerita biasa yang mereka hasilkan itu dijadikan luar biasa
melalui laporan yang lebih berbobot? Di sinilah teknik membaca dengan betul
perlu dijadikan panduan, supaya setiap bacaan boleh menonjolkan kekuatan
“pemikiran” para tokoh besar ini, di samping kecanggihan teknik mereka, dan
keampuhan intelektual mereka yang terserlah dalam cara mereka mengolah cereka
yang mereka sampaikan melalui karya mereka. Mereka mestilah luar biasa, kerana
mereka diberi gelaran yang sangat istimewa, seorang sasterawan negara yang
setiap kali disebut namanya mesti dimulai dengan ungkapan, yang berupa gelaran
yang berprestij, yakni Sasterawan Negara Keris Mas, dan seterusnya seperti yang
berlaku hingga ke hari ini. Tidak ada lagi tokoh yang sehebat para sasterawan
negara ini, yang mesti dihormati dengan menyebut “gelaran” yang diberikan
kepada mereka. Biasanya kita hanya menggunakan gelaran yang berupa pangkat
akademik, misalnya gelaran “Profesor” untuk seseorang ahli akademik yang telah
mencapai keulungan akademik yang tidak dapat disangsikan lagi.
Mengenai
gelaran “sasterawan negara” ini banyak sekali perkara yang kita sangsikan,
terutama sekali keperluan untuk menyebut gelaran itu setiap kali kita menyebut
nama mereka. Mengapa begitu istimewa? Padahal karya mereka tidaklah istimewa,
seperti yang dibuktikan dari laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri,
yang telah saya kritik secara objektif dengan bersandarkan konsep ilmu, seperti
yang dihuraikan dalam Gagasan Persuratan Baru.
Sekiranya anda berkata, PB tidak boleh dipakai untuk menilai sasterawan
negara, yang bererti para sasterawan negara ini mengatasi PB, maka anda boleh
dituduh sebagai bersikap ingkar ilmu, kerana terlalu angkuh meletakkan para
sasterawan negara ini di atas kedudukan ilmu, sesuatu yang amat aneh kerana
jika ini benar, maka inilah yang dimaksudkan dengan pandirisme. Kita perlu
mendapat penjelasan daripada para penilai yang meremehkan ilmu ini. Nampaknya
kedudukan yang diberi pembelaan yang tidak masuk akal ini terlalu lucu untuk diberi
perhatian serius! Para sarjana dan
pengkritik sastera tidak wajar menjadikan para sasterawan negara ini
seolah-olah Raja Lawak dalam sastera Melayu; apatah lagi apabila terdapat di
antara mereka yang sanggup naik bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham,
yang hasilnya benar-benar hampas, seperti yang telah dibuktikan dalam ulasan
saya, “Keunggulan Yang Cacat”.
Beberapa
tahun sebelum sasterawan negara dipilih, saya telah menulis tentang wujudnya
Brahmin Sastera, yang menganggap diri mereka sangat istimewa dan tidak boleh
dikritik. Bila sasterawan negara diwujudkan, saya tidaklah terkejut sangat;
malah agak gembira kerana pemerhatian saya adalah tepat, memang benar mereka
ini menuju ke arah itu. Sekarang sudah berapa orang Brahmin Sastera yang sudah
kita lantik? Gelaran Brahmin Sastera
lebih “berprestij” daripada gelaran sasterawan negara kerana sudah ada
tradisinya dalam kebudayaan Melayu ketika orang Melayu beragama Hindu-Buddha.
Kalau kita mahu hidupkan cerita-cerita penglipur lara dan mengadakan Department
of Penglipur Lara di universiti, (cadangan sasterawan negara Muhammad Haji
Salleh dalam tulisan atas bumbungnya),
maka amatlah wajar jika gelaran Brahmin Sastera itu kita gunakan tanpa
ragu-ragu. Sasterawan negara paling
unggul, penulis novel terbesar sastera Melayu sepanjang zaman, adalah seorang
sasterawan yang amat mesra dengan budaya Hindu-Buddha ini, yang begitu jelas
dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman
dan Naratif Ogonshoto, dan
novel-novel beliau yang lain (Pawang Kri
misalnya). Beliau diberi pujian tertinggi
dalam ulasan para sarjana, pengkritik dan sasterawan sendiri kerana
keunggulannya menghidupkan penglipur lara, sehingga seorang Muhammad Haji
Salleh (terkenal sebagai penulis esei di atas bumbung kilang besi berkarat)
dengan bangganya berkata (dalam ucap utama beliau) bahawa Anwar Ridhwan telah
membawa cerita penglipur lara ke dunia global.
Para sarjana lain, antaranya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Mawar
Shafei memuji penulis agung ini kerana sangat cekap menggunakan unsur lipur
lara itu dalam karya beliau (beliau menggunakan istilah yang amat berprestij
untuk maksud itu, hipertex dan intertext, intertextuality); begitu juga Prof. Solehah Ishak yang
menterjemahkan Naratif Ogonshoto,
terpesona dengan keunggulan Anwar Ridhwan sebagai seorang pelipur lara moden.
Berasaskan fakta ini, cadangan saya supaya gelaran Brahmin Sastera itu dipakai
untuk mengganti gelaran “sasterawan negara” amat tepat, dan sesuai dengan
budaya lama Melayu sebelum Islam. Lagi pula, Anwar Ridhwan sendiri memberi
kedudukan tertinggi kepada Sang Resi yang telah menyelamatkan Negara Ogonshoto
dari terkena tsunami. Sang Resi memberi amaran, jika penyu keramat keluar dari
sarangnya, akan terjadi tsunami. Dan terjadilah… Negara Ogonshoto, menurut
Anwar Ridhwan, telah diselamatkan oleh Sang Resi itu. Menurut Kamus Dewan, “resi” bererti “orang suci”. Nah, bukti apa
lagi yang anda mahu? Tepat sekali jika para sasterawan negara ini digelar
Brahmin Sastera, kerana mereka semuanya adalah “resi sastera” yang suci dan
tidak boleh dikritik.
Itulah
kenyataan yang terbentang di hadapan kita, tidak dapat disangkal oleh sesiapa
pun. Tidak pasti sama ada Panel Anugerah Sastera Negara sedar atau tidak kepada
kenyataan ini; tetapi jika kita meneliti laporan mereka, kita boleh membuat
kesimpulan yang selamat bahawa mereka tidak sedar akan kenyataan ini; malah
sebaliknya mereka memberikan pujian tinggi kepada karya para Brahmin Sastera
ini tanpa sebarang hujah, hanya melontarkan kenyataan yang tidak dibuktikan
dengan fakta dan analisis. Kata-kata pujian
yang mereka gunakan, seperti eksperimen, kelainan, pembaharuan, keindahan
bahasa dan style, sebenarnya tidak bermakna apa-apa kerana semua itu tidak ada,
tidak terdapat di dalam karya yang mereka puji itu. Mereka menggunakan
kata-kara pujian yang kosong itu hanya dengan maksud yang bertentangan dengan
semangat kemuliaan ilmu. Pembuktian yang terperinci telah diberikan dalam entri
bertarikh 28/10/2014 dan bertarikh 11
Ogos, 2015 untuk rujukan anda. Tulisan 2015 itu penting kerana di situ anda
akan dapat melihat wajah sebenar Prof. Dato’ Rahman Shaari, yang kini menjadi
seorang anggota akademik penting di ASWARA.
Saya harap sesiapa juga yang berminat kepada ilmu membaca entri 2015 itu
kerana di situ kita mendapat pandangan akademik yang berharga daripada Prof.
Dato’ Rahman Shaari tentang konsep ilmu dan peranan PB dalam sastera Melayu.
Apakah kesimpulan yang kita dapat? Jika anda benar-benar percaya Naratif Ogonshoto itu novel paling agung dalam sastera Melayu sepanjang zaman, anda juga harus menerima hakikat bahawa novel itu menerima Sang Resi sebagai tokoh besar yang mewarnai karya agung itu. Yang kedua, karya ini menolak segala rupa yang boleh kita panggil nilai-nilai murni, kerana menurut penulisnya, nilai-nilai murni tidak diperlukan dalam menegakkan hegemoni seseorang pemerintah untuk mengekalkan kuasanya. Inilah yang difahaminya dari ajaran Machiavelli. Walaupun kesimpulan itu salah dan lucu serta tidak berasas, namun para sarjana ciritan yang memuji karya ini telah memberi kata putus sesama mereka inilah karya teragung dalam sastera Melayu. Kesimpulan ini dibenarkan dalam politik seluruh dunia, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam eseinya yang memuji karya agun g ini. Walaupun kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan lain-lain penyokong beliau tidak mempunyai asas akademik, mereka mempunyai penyokong terkuat dalam Panel Anugerah Sastera Negara yang memilih Anwar Ridhwan diberi gelaran sasterawan negara. Dalam kes ini, satu analisis terperinci diperlukan untuk menentukan bahawa novel ini benar-benar sebuah novel agung. Dalam apa juga kajian, anda tidak boleh mengelak daripada membuat perbandingan kerana kini sudah menunggu Pujangga Melayu untuk dinilai sehabis kritis dalam satu kajian perbandingan dengan novel agung sepanjang zaman ini. Kredibiliti para sarjana, ciritan atau tidak, bergantung pada cara mereka mempertahankan novel picisan ini sebagai sebuah novel teragung sepanjang zaman dalam sastera Melayu. Cara paling mudah untuk melakukan ini ialah dengan menjawab satu soalan mudah dan bodoh: Mana satu di antara dua buah novel ini, Naratif Ogonshoto atau Pujangga Melayu yang boleh mencerdikkan pelajar sekolah? Budak-budak sekolah pun boleh menjawab soalan itu. Mengapa PENA tidak saja mengadakan satu seminar kebangsaan dengan menjemput wakil budak sekolah untuk membincangkan dengan akademik pertanyaan mudah dan bodoh itu?
Apakah kesimpulan yang kita dapat? Jika anda benar-benar percaya Naratif Ogonshoto itu novel paling agung dalam sastera Melayu sepanjang zaman, anda juga harus menerima hakikat bahawa novel itu menerima Sang Resi sebagai tokoh besar yang mewarnai karya agung itu. Yang kedua, karya ini menolak segala rupa yang boleh kita panggil nilai-nilai murni, kerana menurut penulisnya, nilai-nilai murni tidak diperlukan dalam menegakkan hegemoni seseorang pemerintah untuk mengekalkan kuasanya. Inilah yang difahaminya dari ajaran Machiavelli. Walaupun kesimpulan itu salah dan lucu serta tidak berasas, namun para sarjana ciritan yang memuji karya ini telah memberi kata putus sesama mereka inilah karya teragung dalam sastera Melayu. Kesimpulan ini dibenarkan dalam politik seluruh dunia, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam eseinya yang memuji karya agun g ini. Walaupun kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan lain-lain penyokong beliau tidak mempunyai asas akademik, mereka mempunyai penyokong terkuat dalam Panel Anugerah Sastera Negara yang memilih Anwar Ridhwan diberi gelaran sasterawan negara. Dalam kes ini, satu analisis terperinci diperlukan untuk menentukan bahawa novel ini benar-benar sebuah novel agung. Dalam apa juga kajian, anda tidak boleh mengelak daripada membuat perbandingan kerana kini sudah menunggu Pujangga Melayu untuk dinilai sehabis kritis dalam satu kajian perbandingan dengan novel agung sepanjang zaman ini. Kredibiliti para sarjana, ciritan atau tidak, bergantung pada cara mereka mempertahankan novel picisan ini sebagai sebuah novel teragung sepanjang zaman dalam sastera Melayu. Cara paling mudah untuk melakukan ini ialah dengan menjawab satu soalan mudah dan bodoh: Mana satu di antara dua buah novel ini, Naratif Ogonshoto atau Pujangga Melayu yang boleh mencerdikkan pelajar sekolah? Budak-budak sekolah pun boleh menjawab soalan itu. Mengapa PENA tidak saja mengadakan satu seminar kebangsaan dengan menjemput wakil budak sekolah untuk membincangkan dengan akademik pertanyaan mudah dan bodoh itu?
Kesimpulan
Pertanyaan yang menjadi tajuk entri kali ini bolehlah dijawab oleh budak-budak sekolah dalam seminar yang dimaksudkan, setelah para sarjana sendiri sudah hilang akal tidak dapat mempertahankan keputusan mereka bahawa Naratif Ogonshoto sebuah novel teragung di Malaysia, sepanjang zaman. Budak-budak sekolah yang kini sudah mempelajari dengan mendalam novel agung ini, tentu saja boleh memberi keputusan yang kita perlukan. Tidak mengapa jika mereka tidak dibenarkan membaca Pujangga Melayu, kerana novel mini ensiklopedia itu tidak memerlukan budak-budak sekolah untuk membuat penilaian. Kita beri peluang kepada guru sastera, guru budak-budak sekolah tadi, untuk membuat penilaian mereka. Setelah Panel Anugerah Sastera Negara telah dibuktikan gagal memberi keputusan muktamad yang tepat, kita biarkan budak-budak sekolah pula membuat keputusan itu, untuk membuktikan pengajaran sastera sudah mencapai maksudnya mencerdikkan murid-murid sekolah. Kita biarkan mereka sendiri menentukan kejayaan dasar pendidikan negara yang dihempap ke atas bahu mereka.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20/11/2017.
No comments:
Post a Comment