Tuesday, November 7, 2017

DI MANAKAH KEKUATAN KARYA SASTERA?



Pertanyaan dalam tajuk ini bermaksud untuk menggariskan dengan jelas dan padat cici-ciri kekuatan karya sastera, terutama yang dihasilkan oleh para sasterawan negara. Dalam entri yang lepas mengenai Pujangga Melayu, dijelaskan beberapa ciri kekuatan karya persuratan yang tidak terdapat dalam karya sastera yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, sehingga dibuat kesimpulan mereka tidak layak diangkat dan dilantik sebagai sasterawan negara. Yang paling istimewa menurut para sarjana sastera dan pengkritik sastera, ciri utama karya para sasterawan negara ini ialah sifatnya yang berunsur penglipur lara. Keistimewaan ini diakui oleh Prof. Solehah Ishak  dalam kata-kata beliau, “Anwar is the master pelipur lara (raconteur) who will regale his readers with such  wondrous tales.” (hal. ix).

Dengan pengakuan itu, beliau membenarkan kesimpulan saya bahawa para sasterawan negara adalah penglipur lara, bukan pemikir sastera yang berbobot.  Tetapi Prof. Solehah Ishak dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengakui sifat penglipur itulah yang menjadi kekuatan Naratif Ogonshoto.  Adakah mereka serius?  Saya fikir mereka serius, kerana memang itulah sifat asasi semua karya para sasterawan negara. Saya melihat ini dalam konteks Gagasan Persuratan Baru yang melahirkan Pujangga Melayu. Tidak mungkin mana-mana karya para sasterawan negara ini mencapai taraf Pujangga Melayu dari perspektif ilmu dan teknik kreatif, seperti yang saya buktikan dalam entri yang lepas. Saya telah membuktikan kebenaran kesimpulan ini dengan merujuk cerita pendek awal saya (1957) yang menjadi asas karya kreatif saya dan tidak berubah hingga sekarang. Kesedaran itu amat awal dan masih kekal hingga sekarang. Lebih-lebih lagi semua ini terserlah dalam karya saya yang diterbitkan selama ini.  Dengan kenyataan ini, saya sekali lagi menjemput semua para sarjana yang tidak bersetuju dengan kesimpulan ini memberi hujah mereka. Jika mereka tidak mahu, atau tidak mampu, maka mereka ternyata tidak mempunyai kejujuran akademik dan ini sangat merugikan masyarakat kerana mereka akan terus menerus menipu masyarakat melalui pretensi intelektual (saya sudah bincang aspek ini lama dulu).  Tugas mereka untuk meyakinkan kita bahawa sastera mempunyai kekuatannya untuk diteruskan. Tentu saja mereka tidak boleh berdolak-dalik untuk meneruskan suatu usaha yang sebenarnya sia-sia dan tidak berguna untuk diteruskan. Sekarang sudah ada alternatif baru yang lebih canggih, maka dengan itu amatlah wajar jika para sarjana sastera dan pengkritik sastera, bersama-sama para sasterawan, memberikan hujah mereka yang mantap mengapa mereka mesti meneruskan kehidupan intelektual mereka yang cetek meraba-raba dan keliru dalam konsep ilmu.

Bila kita bercakap tentang alternatif, kita sebenarnya mempunyai pilihan. Dengan itu anda boleh saja meneruskan apa yang anda buat sekarang, tanpa mempedulikan perkembangan baru yang lebih mencabar. Saya lihat kemunculan Gagasan Persuratan Baru adalah suatu cabaran intelektual yang sebelumnya tidak pernah muncul. Saya sudah sering mengatakan dengan keyakinan yang kuat bahawa Gagasan Persuratan Baru adalah satu-satunya anugerah intelektual kepada Malaysia untuk dikritik sehabis kritis, atau diberi sokongan sehabis jujur untuk dijadikan panduan dalam penulisan kreatif dan akademik. Kalau anda membaca perkembangan intelektual di Barat, anda akan dapati mereka sangat gigih mengemukakan pendapat kritis mereka dan bersedia untuk menerima kritikan daripada sesiapa sekalipun. Kita belum ada kesedaran itu. Ini kerana kelemahan yang nyata dalam penguasaan ilmu. Sudah berkali-kali saya mengatakan bahawa tulisan para sarjana kita tentang pemikiran para sasterawan negara amat mengecewakan. Tidak saja para sasterawan negara ini sudah diterima sebagai penglipur lara moden; malah para sarjana dan pengkritik sastera juga menjadi penglipur lara dalam dunia akademik palsu yang gagal menyumbangkan pemikiran yang benar-benar mencabar dunia akademik kita.

Kesimpulan ini perlu dicabar oleh para sarjana dan pengkritik sastera untuk membuktikan tidak benar, malah mungkin mengandungi unsur fitnah yang besar. Tetapi jika sebaliknya, jika kesimpulan ini memang tepat dan benar, berasaskan penelitian kritis terhadap sumbangan para sasterawan negara ini, maka apakah sikap dan pendirian mereka selepas itu? Pada waktu ini cabaran seumpama ini amat ditakuti oleh para sarjana dan pengkritik sastera; dan di kalangan para sasterawan negara pula mereka menggeletar ketakutan kerana para sarjana dan pengkritik yang membela selama ini buntu, mati akal bila berdepan dengan cabaran ini. Biarlah saya jelaskan mengapa cabaran ini penting dan perlu disambut dengan tuntas oleh pihak yang berkenaan.  Saya telah membuat kesimpulan bahawa karya terbesar dalam sastera Melayu, Naratif Ogonshoto, adalah sebuah karya picisan yang memperagakan tindakan jahat golongan Mafia yang menguasai Negara Ogonshoto (yang hanya ada dalam khayalan Anwar Ridhwan).  Yang diberi gelaran Presiden dalam novel ini adalah seorang ketua Mafia; oleh itu segala kebaikan yang disebut oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan lain-lain sarjana dalam pembelaan mereka adalah bertujuan untuk menjadikan idea Mafia yang dibentangkan dalam novel agung ini sebagai kelainan dan pembaharuan yang unggul yang menyedarkan masyarakat bahawa kejahatan dan kezaliman adalah penting dalam kepemimpinan sesebuah negara yang maju, seperti Negara Ogonshoto itu. Itulah model yang perlu diikuti oleh semua negara dunia, termasuk Malaysia. Inilah yang dimaksudkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kata-katanya ketika membuat kesimpulannya, “Naratif Ogonshoto berdiri sebagai sebuah teks yang lengkap teradun pelbagai unsur daripada pelbagai sumber, dan teks ini terhasil sebagai karya yang tinggi nilainya ibarat madu yang telah melalui proses penyaringan daripada sumber yang pelbagai. Naratif Ogonshoto menawarkan satu penyelesaian yang menarik dalam usaha para seniman menghantar suara radikalnya untuk mengkritik sesuatu golongan yang berkuasa. Karya ini telah menampilkan keupayaan karya seni untuk memberikan teguran yang keras tetapi berkias. Dari segi ini, Anwar telah memanipulasi kaedah kritikan cara Melayu yang banyak ditemukan dalam sastera rakyat dan sastera sejarah dengan cara yang sangat halus tetapi menikam.”

Ketika membaca kesimpulan ini, saya yakin Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berada dalam dunia ilusi yang sangat hebat, yang hanya boleh muncul dalam mimpi. Semua kesimpulan yang diberikan oleh beliau adalah jenis retorik hogwash yang diberi maknanya dengan jelas oleh Cambridge English Dictionary, “nonsense or words that are intended to deceive.”

Pembacaan yang kritis terhadap novel agung ini tidak memberikan apa-apa yang positif dari segi perwatakan, teknik, style, bahasa, dan persoalannya atau temanya.  Kesimpulan ini tidak dapat ditolak oleh mana-mana sarjana sastera, kecuali jika beliau seorang sarjana tiga suku yang memang berminat kepada kebodohan dan kejahatan yang melampau. Saya tidak pasti sama ada sarjana jenis ini terdapat di Malaysia; yang saya pasti mereka pada umumnya memberikan pendapat yang tidak siuman, seperti yang anda dapat lihat dalam beberapa contoh yang saya pernah kemukakan dalam blog ini.  Barangkali yang paling aneh ialah mengapa sifat tidak siuman itu kelihatan amat jelas ketika para sarjana ini memberi pujian tinggi kepada novel agung ini, tanpa memberikan sebarang hujah dan pembuktian yang kukuh.

Peranan kritikan jenis hogwash ini nampaknya mendapat sokongan para sarjana, kerana bagi mereka inilah satu-satunya kaedah yang boleh digunakan untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara.  Tetapi pembelaan seumpama ini tidak berfaedah langsung, kerana tidak ada hujah yang konkrit  yang boleh diuji tepat atau tidak. Ukuran yang tepat haruslah berasaskan konsep ilmu, dengan itu kita mahu pembuktian yang tidak dapat diragui bahawa karya para sasterawan negara ini mempunyai kualiti itu. Apakah yang menghalang para sarjana dan pengkritik sastera daripada mengemukakan hujah akademik mereka berasaskan peranan ilmu dalam karya para sasterawan negara ini. Kita mahu mendengar sendiri pengakuan konkrit daripada para sarjana dan pengkritik sastera mengenai perkara ini. Jika mereka tidak mampu melakukannya, maka pilihan terbaik bagi mereka ialah menerima penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru. Menolak PB tanpa hujah adalah satu jenayah akademik; oleh itu mereka ini  dituntut menyatakan pendirian mereka tentang peranan ilmu dalam karya kreatif dengan mengemukakan buktinya daripada karya para sasterawan negara sendiri.

Jika para sarjana ini serius dan benar-benar percaya dari segi akademik bahawa “sastera adalah teras negara bangsa”, mereka perlu tampil memberikan hujah yang konkrit, yang tidak terdapat dalam buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa.  Yang terdapat dalam buku itu hanya slogan, bukan penghuraian yang konkrit dan akademik.  Setelah dicabar oleh gagasan Persuratan Baru, kedudukan sastera tidak lagi seperti dahulu, sudah diturunkan darjatnya menjadi karya kelas dua selepas karya persuratan. Apa akan terjadi kepada para sasterawan negara yang ternyata hanya berjaya menyerlahkan pandirisme dalam karya mereka, bukan berasaskan ilmu yang benar. Sekarang mereka perlu menyatakan dengan tegas bahawa tidak ada konsep ilmu yang benar itu; kerana yang menjadi keutamaan ialah  sensasi dan khayalan jenis penglipur lara, seperti yang diakui sendiri oleh Prof. Dr. Solehah Ishak dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Pengakuan ini memberi makna bahawa tiada seorang pun di antara para sasterawan negara ini layak digelar pemikir; hanya sejenis penglipur lara moden seperti yang ditegaskan oleh Prof. Dr. Solehah Ishak.

Di manakah kekuatan karya sastera? Mengikut Prof. Solehah Ishak dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan lain-lain sarjana yang memuji tinggi Naratif Ogonshoto, termasuk Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, kekuatan karya agung itu ialah pada sifat penglipur laranya dan sensasi yang berlebihan serta kejahatan manusia yang tidak terbatas, dengan kata-kata yang lebih tegas, kekuatan itu kerana gerakan Mafia telah berjaya diterjemahkan dengan cantik dan berkesan sekali dalam novel agung Naratif Ogonshoto oleh sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.  Karya agung ini, menurut penulisnya, kaya dengan unsur Islam oleh itu sebuah karya intelektual berasaskan Islam. (Rujuk tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar.)  “Teori kerancuan sastera” yang ditelurkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad boleh digunakan untuk mempertahan karya agung satu-satunya dalam sastera Melayu moden, Naratif Ogonshoto.  Sebagai  perbandingan, yang juga satu peringatan kecil, “kerancuan” dalam makna yang diberikan oleh semua kamus bahasa Melayu/Indonesia adalah ‘iwajan  dalam konteks al-Quran (Surah al-Kahfi, ayat 1).  Tetapi kerana para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan negara sendiri telah menolak konsep ilmu yang benar dan juga menolak al-Quran sebagai sumber ilmu, bagi mereka tidak ada percanggahan. Sastera adalah sastera, bukan sebuah karya teologi, tegas mereka dengan yakin. Di situlah kekuatan sastera Melayu moden.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7/11/2017.

No comments:

Post a Comment