Mathnawi
Rumi telah diterjemahkan dengan lengkap ke dalam bahasa Melayu, dan sebuah lagu
telah dihasilkan berasaskan terjemanah itu, berjudul “Mawar”. Melodinya bagus, peyampaiannya juga menarik;
tetapi di situ kita tidak bertemu dengan Rumi, kita hanya bertemu “duri-duri
mawar” yang kehilangan bunganya yang harum.
Saya sering mengambil satu kutipan pendek tentang “mawar” yang diterjemahkan dalam
bahasa Inggeris, (Camille & Kabir Helminski, Rumi Delight: Kuala Lumpur, 1996,
hal. 100):
If
your thought is a rose,
you are a rose garden;
If it
is a thorn,
You
are fuel for the bath stove.
Walaupun
ringkas, maknanya seluas angkasa lepas. Dari sekuntum bunga mawar (kini bahasa
Melayu telah menerima perkataan “ros” untuk bunga mawar) anda boleh membina
satu taman yang penuh dengan bunga ros yang beraneka warna, yang didatangi
lebah, rama-rama dan segala serangga yang sukakan manisan dalam bunga mawar itu. Bila sudah jadi sebuah
taman, maka kita tidak saja melihat keindahan
sebuah taman, tetapi juga keharuman bunga mawar itu sendiri. Sekuntum bunga tidak boleh dipanggil sebuah
taman; tetapi sekumpulan bunga yang sama warnanya boleh menjadi sebuah taman
yang menyebarkan keharuman mawar satu warna. Sekarang anda faham apa maksud
taman dan di mana letaknya sekuntum mawar di dalam taman itu. Tidak perlu
penjelasan lagi.
Apakah
peranan duri di situ? Adakah yang membina taman yang indah itu duri atau bunga
mawar? Anda boleh saja menggunakan
metafor “taman berduri” untuk merujuk kepada sesuatu organisasi yang megah,
tetapi penuh “duri”. Bolehkah kita berkata 1MDB adalah sebuah “taman
berduri”. Saya telah cuba memberi makna
dan kedudukan 1MDB sebagai sejenis plot dalam sebuah karya kreatif Malaysia
(lihat entri bertarikh 4 Ogos 2015).
Dalam “Taman 1MDB” tidak ada yang harum. Yang terserlah hanya kebusukan
yang berasal daripada ketamakan dan kerakusan manusia untuk mendapat feadah
peribadi dengan menggunakan nama rakyat untuk menghalalkan rasuah secara
besar-besaran. Rasuah adalah duri dalam daging politik dan kebudayaan Malaysia,
oleh itu rasuah tidak mungkin dibina menjadi taman dan diberi nama “Taman
Rasuah.” Jika betul ada “Taman Rasuah”
di negara Malaysia, maka apa yang dikatakan “taman” itu tentulah penuh dengan
najis rasuah yang busuk dan amat kotor. Jadi tidak mungkin sesiapa juga membina
sebuah taman daripada kegiatan rasuah, walaupun dengan memberinya nama
1MDB. Kini anda faham apa yang
dimaksudkan dengan rasuah dalam politik.
Dalam
konteks inilah tajuk entri ini harus
dibaca. Nama mawar itu asli Melayu
(walaupun mungkin berasal daripada bahasa lain, seperti asli itu sendiri
berasal daripada bahasa Arab), tetapi nama “ros” adalah baru, berasal daripada
bahasa Inggeris. Bolehkah kita berkata
“ros” sebagai nama tidak asli, walaupun bunganya asli. Jika kita lihat ini dalam konteks pembangunan
negara yang amat jelas meletakkan 1MDB sebagai satu projek raksasa dalam pembangunan
negara, maka dari perspektf mana projek
gergasi ini secara asli dikonsepsikan untuk rakyat? Saya telah menulis berapa buah cerita pendek
untuk menghuraikan aspek ini, antaranya “Pak Mat Pembangunan”, “Papan
Kemajuan”, dan “Tenggelam di Lautan China” (lihat kumpulan cerita pendek Mimpi Rakyat dan Bukan
Ahli UMNO). Cerita pendek ketiga itu
dijadikan judul sebuah kumpulan cerita pendek.
Dengan membaca tiga buah cerita pendek itu, jika anda seorang pembaca
yang cerdik dan cekap berfikir, anda boleh memahami mengapa saya menjadikan
1MDB satu perkembangan baru dalam penggunaan plot dalam penulisan kreatif
Malaysia. Kelahiran 1MDB dalam
pembangunan Malaysia telah dibayangkan secara kreatif dalam novel Aligupit. Novel politik pembangunan itu menegaskan betapa pentingnya Kerajaan Kedua
dalam politik Malaysia. Dalam konteks
inilah lahir 1MDB.
Kita
lihat aspek ini dalam konteks yang diberikan oleh konsep intertekstualiti yang
kini menjadi kegemaran dan kemegahan para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia. Sebuah tesis Ph.D. telah ditulis oleh Dr.
Mawar Shafie untuk membicarakan “tekstualiti” ini, dalam bukunya Novel Intertekstual Melayu (Penerbit UKM, 2010). Tesis yang dijadikan buku ini penting kerana
penulisnya menggunakan konsep “intertekstualiti” untuk menilai karya sasterawan
negara Anwar Ridhwan dan seorang penulis Indonesia (yang terkenal dengan
novelnya mengenai kentut yang dilepaskan
ke alam semesta menjadikan seluruh dunia berbau busuk). Apakah yang dapat diberikan oleh intertekstualiti
kepada perkembangan kreatif di Malaysia?
Seperti novel kentut karya
Putu Widjaya, maka demikianlah intertekstualiti memberikan sejenis kentut
intelektual kepada penulisan kreatif dan kritikan sastera di Malaysia. Pada halaman 176 bukunya, Dr. Mawar Shafie
memberikan kita Jadual 4.5 dengan tajuk yang amat memeranjatkan, “Pemindahan
dari al-Quran ke Naratif Ogonshoto.” Anwar Ridhwan dikatakan telah menggunakan
kisah Nabi Nuh ‘a.s. menghadapi banjir besar dalam konteks interteks perihal
berlakunya tsunami dalam novel apabila seekor penyu gergasi keluar dari
pertapaannya di dalam sebuah gua rahsia.
Bagaimana sebuah kisah benar di dalam al-Quran boleh dijadikan
perbandingan dengan kisah khayal dalam sebuah novel? Jika anda melihat perbandingan ini dalam
konteks duri mawar yang disebut oleh Rumi, anda akan dapat melihat bagaimana Dr. Mawar Shafie, dalam keghairahnnya untuk mengangkat
novel Anwar Ridhwan, menyamakan cerita benar dalam al-Qruan dengan kisah khayal
dalam sebuah novel. Dengan demikian, kebenaran
diletak setaraf dengan pembohongan.
Pembohongan dalam bentuk fictionality
sebuah novel menerima kedudukan yang tinggi dalam konteks intertekstualiti yang
dijadikan teknik bercerita dalam sebuah novel.
Dalam karya kreatif saya sendiri, saya menggunakan teknik sisipan untuk
memperkuat makna yang saya maksudkan
untuk memberi peluang kepada pembaca
untuk menangkap makna yang dimaksudkan dalam karya itu. Tekstualiti yang
digunakan Anwar Ridhwan dan diberi
kedudukan yang setaraf dengan cerita di dalam al-Quran, seperti yang
ditafsirkan oleh Mawar Shafie, akan membawa pembaca hanyut dalam kekeliruan
yang tidak perlu, oleh itu perlu ditolak supaya kekeliruan yang dibanggakan
oleh Mawar Shafie itu tidak diteruskan dalam penulisan kreatif. Di sinilah kita perlukan konsep ilmu yang
benar yang diajarkan oleh al-Quran sendiri, yang menegaskan dengan amat jelas
bahawa al-Quran tidak mengandungi sifat ‘iwajan
(crookedness atau kebengkokan) yang
diserlahkan dalam konsep intertekstualiti.
Penjelasan lanjut diberikan oleh al-Quran dalam Surah al-Kahfi. Sila rujuk di situ jikalau anda mahu memahami
maksud ‘iwajan yang ditegaskan dalam
al-Quran. (Lihat juga entri bertarikh 4 Januari 2015).
Jikalau
anda dapat menerima begitu mudah konsep intertekstualiti, dan menggunakannya
dengan perasaan bangga dalam karya
akademik anda, padahal anda tahu konsep itu hanya bikinan manusa biasa yang
kemampuan intelektualnya tidaklah terlalu tinggi sehingga membuat anda amat kagum; maka bagaimana pula
anda menjadi ragu dan mungkin benci untuk menerima konsep ‘iwajan yang sumbernya
al-Quran sendiri? Demikian pentingnya
memahami konsep ilmu yang benar, dan melihat peranan anda sebagai manusia yang
berilmu.
Dengan
mengemukakan contoh ini, anda akan dapat memahami dengan lebih jelas mathnawi
Rumi yang saya kutip itu. Sekarang anda
akan dapat melihat bahawa yang diberikan oleh karya sastera, seperti yang
dimegahkan dalam karya para sasterawan negara, adalah duri-duri yang hanya
layak dijadikan bahan bakaran untuk memanaskan air seperti yang ditegaskan oleh
Rumi. Inilah makna kepalsuan yang sebenarnya, yang memaksa kita menolak karya
para sasterawan negara sebagai karya yang penuh dengan sifat-sifat ‘iwajan.
Anda akan mengenal kepalsuan ini jika anda menjadikan konsep ilmu yang benar
sebagai asas untuk menganalisis dan menilai karya kreatif. Demikianlah
seterusnya, berasaskan konsep ilmu yang benar tadi, anda akan dapat melihat
dengan jelas kepalsuan konsep intertekstualiti yang menjadi kemegahan para
sarjana sastera dan sering ditonjolkan dalam karya atau tulisan “akademik”
mereka.
Dalam
mathnawi yang saya salin terjemahannya itu, di mana anda melihat sifat-sifat
intertekstualiti? Biar anda sendiri menjawabnya. Sekiranya anda berkata puisi itu terlalu
singkat untuk menggunakan intertekstualiti yang boleh memperkaya makna puisi
itu, maka anda telah menerima hakikat bahawa apa yang dipanggil
intertesktualiti itu bukanlah syarat untuk menjadikan puisi itu indah dan amat
mendalam maknanya. Kita lihat pula apa kata Dr. Mawar Shafie yang menilai novel
Hari-hari Terakhir Seorang Seniman
oleh Anwar Ridhwan. Kata sarjana
intertekstualiti ini: “Menerusi novel pertama ini, pengarang kembali jauh ke
pangkal tradisi kepengarangan Melayu; masuk semula ke genre sastera lisan iaitu
cerita rakyat lipur lara.” (hal. 159). Keistimewaan novel ini ialah kerana cuba
menghidupkan tradisi penglipur lara yang sudah jauh ketinggalan zaman dan tidak
relevan lagi dengan manusia beragama Islam yang mempunyai tradisi keilmuan yang
tinggi dalam pembinaan tamadun mereka.
Inilah usaha bodoh watak Pak Hassan yang lemah daya fikirnya dan tidak
mengenal tradisi intelektual bangsanya sendiri yang begitu kaya. Watak Pak
Hassan adalah satu watak yang sangat lemah, lembik dan keliru seperti budaya
penglipur lara itu sendiri. Apakah yang istimewa di sini? Menurut Mawar Shafie,
yang mewakili seluruh sarjana sastera Melayu yang tidak lagi menerima tradisi
persuratan Melayu yang berasaskan ilmu itu, novel ini istimewa kerana
“kekayaan” unsur intertekstualitinya. Menurut Dr. Mawar Shafie: “Tindakan
kembali kepada ‘tradisi’ merupakan refleksi penghargaan Anwar Ridhwan terhadap
khazanah tradisi kesusasteraan Melayu; merujuk, mengaplikasi, memperaga dan
melestari peranannya dalam penghasilan sebuah teks sastera moden.” Lalu ditegaskannya
dengan nada megah: “Ia dibuktikan
melalui beberapa proses pemindahan, pembaikian (sic), penciptaan baru dan persamaan daripada cerita rakyat “Si
Gembang” atau “Teluk Bidung Kota Lama” ke novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.” Seterusnya Dr. Mawar Shafie (mewakili
sebahagian besar sarjana Melayu yang memuji novel ini), memuji sasterawan
negara Anwar Ridhwan: “Apa yang jelas melalui novel ini, Anwar Ridhwan
memperlihatkan kemahirannya masuk ke dalam diri dan pemikiran watak seorang tua
seperti Pak Hassan dengan menggembeling plot naratif serta konflik
hipoteksnya. Jelas melalui proses
interteskstual, kekacauan fikiran dan penderitaan Pak Hassan dijelmakan dengan
lebih jelas dengan sokongan hipoteks menguatkan lagi struktur naratif novel.” (hal. 132) . Kesimpulan ini tidak saja amat
naif kerana tergelencong jauh dari sifat sebenar persuratan Melayu yang
berasaskan ilmu, bukan lagi berasaskan khayalan untuk berhibur seperti yang
terdapat dalam cerita-cerita penglipur lara. Dr. Mawar Shafie menyebut kejayaan
Anwar Ridhwan ialah kerana kejayaannya menggunakan intertekstualiti dalam
novelnya untuk menjelmakan kekacauan
fikiran Pak Hassan. Benarkah kesimpulan Dr. Mawar Shafie tepat dengan
saranan Rumi dalam mathnawi beliau yang saya kutip? Jikalau kita membaca novel ini dengan kritis
dan kreatif, berasaskan konsep ilmu yang benar yang menjadi teras dalam tradisi
persuratan Melayu, maka yang menghadapi kekacauan
fikiran itu ialah Anwar Ridhwan yang menulis novel ini dan Dr. Mawar Shafie
yang menilainya. Jelaslah
intertekstualiti tidak dapat membantu mereka melihat kedangkalan intelektual
novel ini, yang tepat sekali dengan kritikan Rumi, “if it is a thorn, you are fuel for the bath stove.” Anwar Ridhwan tidak berbicara tentang
keharuman mawar intelektual persuratan Melayu yang berasaskan ilmu yang benar,
demikian juga Dr. Mawar Shafie sendiri gagal secara total untuk membuktikan
bahawa penggunaan intertekstualiti dalam penulisan kreatif berupaya melahirkan
sebuah novel yang kaya dengan aspek pemikiran yang waras (bukan yang kacau), yang benar-benar mencerminkan tradisi penulisan
Melayu dalam persuratan Mereka. (Keterangan lanjut terdapat dalam entri
bertarikh 16 Jun 2015 dan yang
berikutnya bertarikh 24 Jun 2015).
Saya
ulangi kesimpulan saya untuk memberi anda peluang mencabarnya.
Jikalau anda dapat menerima begitu
mudah konsep intertekstualiti, dan menggunakannya dengan perasaan bangga dalam karya akademik anda, padahal anda tahu
konsep itu hanya bikinan manusa biasa yang kemampuan intelektualnya tidaklah
terlalu tinggi sehingga membuat anda
amat kagum; maka bagaimana pula anda menjadi ragu dan mungkin benci untuk
menerima konsep ‘iwajan yang sumbernya
al-Quran sendiri? Demikian pentingnya
memahami konsep ilmu yang benar, dan melihat peranan anda sebagai manusia yang
berilmu.
Mohd.
Affandi Hassan, 12 Mach 2016. Petaling Jaya.
Catatan:
(1) Anda boleh menggunakan konsep
intertekstualiti untuk memahami mengapa
saya memberi tajuk entri ini seperti di atas. Mengapa “ros” penting dalam tajuk ini? Jika anda masih ingat perbincangan saya
tentang 1MDB sebagai teknik baru dalam penulisan kreatif, yang memberi
keutamaan kepada pembohongan dan sebagainya, maka anda akan membaca “ros” dalam
konteks itu.
(2) Rujukan kepada mathnawi Rumi untuk memberikan
gambaran kepada anda apa yang dimaksudkan dengan pemikiran dalam karya kreatif.
(3) Penggunaan intertekstualiti dalam
menganalisis novel Melayu telah mengetepikan aspek pemikiran berasaskan konsep
ilmu yang benar, dan mengaburkan serta mengelirukan aspek ukuran yang dipakai
untuk menentukan bernilai tidaknya sesebuah karya kreatif daripada perspektif
ilmu. Anda harus membezakan konsep
ilmu dan maklumat, yang anda boleh dapat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Perbezaan ini penting untuk
anda memahami konsep karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan.
Pembahagian itu diasaskan kepada konsep wacana dan cerita. Anda akan menjadi
seorang sarjana poyo (meminjam slanga anak muda) jika anda tidak dapat memahami
perbezaan ini, seperti yang kita dapat lihat dengan jelas dalam kertas kerja
“Seminar Pemikiran Sasterawan Negara
Anwar Ridhwan”, anjuran DBP, Julai 2013.
(4) Bahagian IV danV ulasan buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, akan menyusul dalam masa terdekat.
Asslm.wbkth.
ReplyDeleteTulisan yang menarik, mencabar wibawa jiwa dan ketajaman minda...syabas!
Sdr. Ramlee Wahab, terima kasih kerana membaca blog ini.
DeleteAda teguran mengatakan saya terlalu memberi perhatian kepada sasterawan negara, seolah-olah mereka saja yang wujud dalam sastera Melayu. Perlukah saya jawab? Beginilah, untuk mudah difahami. Katalah saya suka ayam percik, dan memilih ayam percik dari masakan yang lain, dan setelah merasanya berkata dengan tegas: Ini bukan ayam percik, ini ayam bakar yang tak masak disapu santan masam, bukan ramuan percik yang betul. Sekira-kira begitulah karya para sasterawan negara ini. Dipasarkan sebagai ayam percik yang tak masak, dengan ramuan santan yang masam, bukan ramuan ayam percik yang betul. Bagi orang yang tak pernah makan ayam percik, atau tidak mempunyai pengalaman menikmati ayam percik yang tulen, yang asli, maka dia pakai hantam saja, tak kira kualitinya kerana dia memang tidak tahu kualiti ayam percik yang sebenar. Itulah kedudukan para sarjana yang memuji melangit para sasterawan negara ini, dengan menempelkan segala istilah dari Barat yang mereka sendiri tidak faham secara mendalam dan dalam konteks yang melahirkan konsep-konsep yang mereka ratah mentah-mentah itu. Saya akan menulis tentang isu ini pada kesempatan lain, secara khusus, walaupun sebenarnya telah saya sebut banyak kali dalam blog ini. Isunya ialah mereka ini tidak mempunyai konsep ilmu yang betul, dan menolak konsep ilmu yang betul itu. Mereka tidak dapat membezakan antara ilmu dan maklumat, seperti mereka tidak dapat membezakan ayam percik yang tulen dengan ayam mantah yang disapu santan masam, bukan ramuan percik yang sebenar.