Wednesday, October 21, 2015

ULASAN BUKU: SASTERA TERAS NEGARA BANGSA (ITBM, 2014).



BAHAGIAN III

Sastera Abangan dan Sasterawan Abangan
dalam Sastera Melayu Moden


Bahagian ini adalah bahagian penting dan benar-benar mencabar dalam kritikan saya terhadap buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa. Perkara yang saya bincangkan dalam bahagian ini sudah saya bincangkan sejak 2010 apabila saya mula menulis dalam blog Gagasan Persuratan Baru.  Dari semasa ke semasa saya menarik perhatian anda, sebagai pembaca kritis, kepada beberapa entri khusus membicarakan persoalan ini, yang akhirnya dirumuskan dalam sebuah tulisan panjang, “Pandirisme dalam Komuniti Dunia” (bertarikh 10 Mac, 2015).  Aspek pandirisme ini amat jelas dalam kertas kerja yang dimuat dalam buku ITBM itu, tetapi tidak dapat dilihat oleh para sarjana dan sasterawan kerana hujah yang saya kemukakan tidak dapat mereka kaitkan dengan kekeliruan yang sedang mereka hadapi. Ketika menulis kesimpulan ini, saya teringat sebuah tulisan Prof. Sutan Takdir Alisjahbana yang membicarakan kehancuran nilai dalam masyarakat Islam abangan (masyarakat Jawa abangan) di dalam bukunya, Indonesia: Social and Cultural Revolution (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1966). Saya rujuk bab 5, “The disintegration of society and culture” (hal. 51-55), sebuah analisis beliau yang amat menarik tentang sebuah penempatan Jawa abangan di Pisangan, kira-kira 50km dari Jakarta.  Saya telah menyebut tulisan beliau ini dalam beberapa tulisan saya ketika berbicara tentang peranan Islam dalam kehidupan di Nusantara. Yang menarik ialah kesimpulan Sutan Takdir tentang kehidupan merempat dan berakhlak rendah Jawa abangan, walaupun beragama  Islam, sebenarnya tidak mengamalkan nilai-nilai Islam. Mereka dengan itu tidak tahu harga wang dalam kehidupan,  seperti yang difahami dan diamalkan oleh golongan “haji” atau priayai yang tahu nilai wang dalam kehidupan manusia seperti yang diajarkan oleh Islam. Mereka jadi golongan yang berjaya kerana kesedaran ekonomi mereka yang tinggi dan faham nilai wang dalam kehidupan manusia, dalam melakukan amal ibadat mereka sebagai seorang Islam. Untuk membayar zakat mereka perlu sejumlah wang, dari zakat itu boleh dibuat pelbagai kemajuan untuk manusia sejagat. Dengan wang juga mereka bersedekah, melaksananakan wakaf dari kekayaan mereka, membangun sekolah, hospital,  masjid dan sebagainya. Semua ini tidak ada dalam masyarakat Jawa abangan itu, yang membuat mereka terus miskin. Ini memberi saya satu alat analisis untuk memahami mengapa para sarjana sastera dan para sasterawan Melayu yang Islam menolak konsep ilmu yang benar. Mereka adalah golongan sarjana abangan dan sasterawan abangan dalam bidang akademik dan sastera, walaupun mereka sangat rakus dalam mencapai kemahuan material mereka seperti yang mereka tunjukkan dalam resolusi yang mereka bentang dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia itu. Mereka adalah kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba, menurut kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naguib al-Attas dalam syarahan pengkukuhannya 1972, yang hingga kini tidak pernah disanggah. Kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba inilah yang berkumpul dalam Mutual Admiration Club, membentuk golongan sarjana abangan dan sasterawan abangan dalam sastera Melayu moden, yang tetap dan terus keliru dalam konsep  ilmu mereka dan menjadi penghalang kepada perkemban budaya ilmu menurut pandangan Islam itu. Walaupun ada di antara sasterawan abangan itu kemudiannya diangkat menjadi sasterawan negara, namun sifat mereka yang pinggiran dan cetek meraba-raba itu mereka terus pamerkan dalam karya kreatif dan karya akademik mereka seperti yang terbukti dalam Sastera Teras Negara Bangsa.  Sifat “abangan” para sarjana  abangan dan sasterawan abangan ini terserlah dengan jelas dalam sikap mereka terhadap peranan ilmu dalam karya kreatif dan dalam analisis serta penilaian karya kreatif. Mereka tidak mempunyai kaedah yang boleh mereka gunakan dengan berkesan dan tepat untuk menganalisis dan menilai karya sastera daripada perspektif ilmu. Walaupun ada di antara mereka yang mengomel bahawa pendekatan Barat tidak sesuai digunakan untuk menilai karya sastera Melayu, namun mereka menjadi buntu apabila pada akhirnya mereka masih terus menggunakan pendekatan Barat yang mereka anggap tidak sesuai itu. Dalam hal ini mereka bercakap besar, tetapi kosong dari segi makna. Mereka tidak saja jahil dari segi konsep ilmu yang benar; malah mereka juga tidak jujur dalam menghadapi masalah ini. Mari kita lihat perangai sebenar mereka ini.

Buku Sastera Teras Negara Bangsa  memuat tulisan oleh empat orang sasterawan negara, yang dijadikan tumpuan dalam perbincangan sesuai dengan kedudukan mereka yang tinggi sebagai menusia pilihan yang tarafnya lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu.  Adakah kedudukan mereka mencerminkan ketangkasan mereka berfikir dan menghujahkan isu-isu penting dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 itu? Mereka sebenarnya tidak tahu, atau sekurang-kurangnya tidak jelas apakah isu-isu penting itu, oleh itu mereka hanyut dalam ocehan (idle talk) yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada perkembangan budaya ilmu di Malaysia. Baha Zain, seperti biasa dengan gaya bombastiknya, memberi pendapat yang mungkin memikat pembaca yang tidak kritis dari segi retoriknya,  tetapi tidak bererti apa-apa selain hanya untuk memamerkan peragaan pretensi intelektual yang sudah dicurahkannya ketika memberi ucap-utama dalam pertemuan penulis di Johor 2005. Kata beliau dalam kertas kerjanya:  “Sastera bukan sekadar gambar atau potret cerita yang mati, tetapi membawa bersama-sama dengannya idea, persepsi dan perasaan; kritikan yang keras atau peringatan yang mesra.  Kalau falsafah menuju kepada kebenaran akal, sastera pula menghidangkan kebenaran pengalaman; dan sastera kita akan memberikan tindak balas estetik terhadap transformasi negara.  ...  Tidak terlalu banyak yang dituntut oleh sasterawan dan penulis untuk dirinya, kecuali kebebasan berucap dan mencipta demi memenuhi bakat semula jadi atau untuk turut membangunkan warisan kebudayaan dan tamadun. Mereka sedar bahawa bakatnya itu amanah Tuhan demi memakmurkan alam serta mengangkat darjat manusia, baik sebagai individu, masyarakat atau pun bangsa. Amanah dan bakat yang dipinjamkan kepadanya juga tidak sekadar untuk meraikan orang atau gagasan yang baik, tetapi juga untuk menegur keburukan, korupsi, penyelewengan, dan ketidakadilan kerana kemakmuran bukan saja menyenangkan kehidupan, tetapi dapat juga menimbulkan akses sosial, ketamakan, dan perebutan kemewahan yang melanggar ketetapan hukum, amalan etik, dan moral” (hal. 229). Cuba kita baca Baha Zain dalam konteks ucapan dalam kertas kerjanya yang dibentang di  “Seminar 6 Sasterawan Negara” (UPM, 26 April 2014):   Bangsa kita juga masih sangat memerlukan pemikiran yang hebat , dan semangat yang besar bagi membangunkan kebudayaan rohaniah, bahasa kebangsaan , persuratan, ilmu pengetahuan, seni dan budaya yang menjurus kepada pemersatuan penduduk, dan jati diri bangsa.”

 Inilah ucapan penting dalam kertas kerja beliau yang berjudul, “Beberapa persoalan kesusasteraan Melayu sekarang dan masa depan  -  Mencari arah dalam kabus zaman: di mana sasterawan berada?”  Satu tajuk yang amat mencabar, sesuai dengan kutipan yang disalin di atas.  Di manakah “pemikiran yang hebat” dalam kertas kerja yang dimuat dalam buku ITBM itu?  Ayat pertama kertas kerja Baha Zain yang berada dalam kabus zaman itu berbunyi, “Dari waktu ke waktu penulis dan sasterawan perlu menilai zamannya; dan menaksir kedudukan dan tanggungjawab kebudayaannya.”  Dalam konteks inilah beliau meminta “pemikiran yang hebat” itu, yang tidak dapat diberikan oleh beliau sendiri, dan tidak juga oleh tiga orang sasterawan negara yang lain yang menulis di dalam buku ini, apatah lagi para penulis kertas kerja yang “kerdil-kerdil” belaka dibandingkan dengan stature empat orang sasterawan negara ini. Jika orang yang begitu hebat kedudukannya, yang diletakkan oleh Mana Sikana di atas singgahsana keunggulan,  gagal memberi apa-apa yang bermakna seperti yang mereka minta sendiri diharapkan untuk diberikan oleh orang lain, maka apakah rasionalnya memberikan mereka gelaran sasterawan negara, dan di mana pula buktinya karya sastera mereka boleh dijadikan “teras negara bangsa”?


Inilah contoh “pemikiran abangan” daripada sasterawan abangan yang kini dilantik menjadi sasterawan negara, mengatasi para ulama dan cendekiawan Melayu dalam persuratan Melayu. Sikap negatif mereka terhadap ilmu mendorong mereka  menolak konsep ilmu yang benar, walaupun mereka menggunakan istilah “amanah” penulis, yang tidak dikaitkan dengan tauhid dan penerapannya dalam kehidupan manusia melalui konsep taklif, yang di dalamnya terdapat tiga rahsia, menurut pandangan Shah Wali Allah. Amanah itu diterima ketika mereka mengakui keesaan Allah di alam alastu, tetapi kemudiannya diremehkan walaupun masih mahu bercakap tentang amanah dalam keadaan mereka yang tidak amanah dan menolak amanah itu. Inilah tabiat sasterawan abangan, yang tidak jauh bezanya dengan masyarakat abangan di Pisangan yang diceritakan oleh Prof. Sutan Takdir Alisjahbana itu. Tidak mungkin sasterawan abangan ini dijadikan contoh dalam pembangunan tamadun kita, apatah lagi karya mereka dijadikan teras pembangunan negara bangsa. Di sinilah silapnya ITBM dan PENA yang menerbitkan buku itu.  Mereka akan meneruskan kekeliruan ini kerana mereka tidak mempunyai maruah intelektual dan maruah keinsanan yang hanya mereka sebut sebagai retorik semata-mata, bukan sebagai komitmen dalam kehidupan mereka.


Dalam teori kritikan moden, terutama apa yang disebut postmodernisme, “the best is always the most irrational”  yang dikuasai aporia, kontradiksi dan ambiguiti, ketaksaan makna.  Mungkin salah faham inilah yang melahirkan konsep “pelanggaran” Mana Sikana, yang membuat seorang penulis menjadi besar dan hebat setelah melakukan pelanggaran itu. Oleh itu, dalam kamus sasterawan dan pengkritik sastera, sebuah teks yang ideal ialah yang tidak dapat difahami, yang berlapis-lapis maknanya dan semua lapisan itu mempunyai autoriti tersendiri, yakni semuanya betul. Dari segi aporianya, boleh jadi semuanya tidak betul, kerana “a reading is always a misreading; an understanding is always a misunderstanding”.  Inilah kegilaan kritikan sastera moden, yang timbul dari keyakinan yang irrational bahawa bahasa tidak pernah dikuasai pengarang, malah bahasa itulah yang menguasai pengarang, oleh hal yang demikian pengarang yang berjaya, yang ideal, ialah yang cekap bermain bahasa. Itulah maksud retorik, sebagai perhiasan semata-mata; bukan untuk mempertajam makna yang akhirnya berupaya membaca ayat-ayat (tanda-tanda) kewujudan dan kebesaran Allah, yang mencipta bahasa. Apakah implikasinya bagi orang beriman? Pencipta bahasa itu yang difahami dalam kritikan Barat sendiri bukanlah Allah ta’ala, seperti yang ditegaskan dalam al-Quran apabila para malaikat dicabar untuk menyatakan sesuatu, mereka tidak dapat kerana ilmu itu tidak diberikan kepada mereka, tetapi diberikan kepada Nabi Adam ‘a.s. secara fitrah; dengan itu bahasa tetap terarah untuk memahami ayat-ayat (tanda-tanda) kebesaran Allah dan di situlah manusia mendapat makna kehidupannya; dan dari situlah lahir konsep takwa, pengabdian, khalifah dan hamba Allah dan semua istilah yang dipakai dalam tamadun Islam. Semua ini tidak ada dalam kritikan moden, dan tidak kelihatan dengan jelas dalam karya para sasterawan negara. Saya telah memberi banyak contoh, terutama dalam “Keunggulan yang Cacat” untuk menolak kegilaan ini yang dalam penilaian karya kreatif Melayu dijadikan asas yang mendasari semua penilaian. Inilah kemudiannya menimbulkan idea keliru dan palsu bahawa sastera, yang demikian sifatnya, patut dijadikan teras negara bangsa (sastera sebagai teras negara bangsa). 

Jika anda tidak memahami konteks sebenarnya bagaimana teori Barat lahir dan menjadi kegemaran seketika, kemudian ditinggalkan, maka anda akan tetap berada dalam kegelapan makna kerana anda menolak konsep ilmu yang benar, seperti yang dilakukan oleh para sarjana abangan dan para sasterawan abangan. Di sinilah anda perlu membaca kembali dua kutipan penting yang saya perturunkan beberapa kali dalam blog ini, masing-masing oleh Prof. Fazlur Rahman tentang “self-deception” dan oleh Prof (Paderi) Montgemory Watt yang dengan amat halus menuduh Rasulullah SAW berbohong kerana pemikirannya lemah. Untuk mendapatkan panduan yang jelas dan tegas, anda perlu membaca Surah al-Kafirun sebanyak seratus kali, atau seribu kali, atau lebih dari itu supaya anda dapat melihat betapa besarnya perbezaan makna kebenaran orang Islam berbanding dengan golongan kafir. Kepada para sarjana dan sasterawan abangan, terutama sekali yang telah diberi gelaran sasterawan negara, anda harus memahami perbezaan ini supaya anda dapat melihat di mana letaknya nilai karya anda.  Semua ini akan memberi anda kesedaran betapa palsunya slogan baru (menggantikan slogan Asas 50 “seni untuk masyarakat”) yang dijadikan judul buku ITBM, “Sastera Teras Negara Bangsa”. Ini semua hasil cetusan “pemikiran” abangan dalam sastera Melayu moden.

Membaca teori dan kesarjanaan Barat dalam sastera anda akan menemui sebuah dunia yang gelap gelita, yang penuh dengan pertengkaran berasaskan hawa nafsu masing-masing. Bukan semuanya tidak betul, memang ada juga yang munasabah dan boleh dimanfaatkan, tetapi matlamat perbincangan mereka hanya untuk menegakkan rasionalisme peribadi mereka, bukan mencari kepastian yang diperlukan manusia, terutama sekali manusia moden. Sebaliknya, jika anda membaca perbahasan para ulama, anda akan melihat cahaya terang benderang, walaupun mereka berbeza pendapat. Matlamat mereka satu dan sama, iaitu mencari keredahaan Allah dan cuba memahami ayat-ayat Allah supaya manusia dapat diselematkan dari kesesatan yang menjadi projek utama Iblis sejak penciptaan Nabi Adam ‘a.s. lagi. Ini tidak diberi perhatian oleh para sarjana abangan dan sasterawan abangan apabila mereka lebih menerima dan mengutamakan pandangan Barat, seperti yang mereka perlihatkan dalam tulisan mereka dalam Sastera Teras Negara Bangsa. Supaya kesimpulan ini boleh difahami dengan mudah, sila rujuk John M. Ellis, Against Deconstruction; Michael Fischer, Does Deconstruction Make Any Difference?;  Fank Lentricchia,  After the New Criticism;  dan Geofrey H. Hartman, Ctriticism in the Wilderness: The Study of Literature Today.  Kunci kekeliruan dan kesesatan ini ialah konsep ilmu yang benar yang ditolak oleh Barat, dan diremehkan oleh sarjana dan sasterawan abangan Malaysia.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20/10/2015.



1 comment: