BAHAGIAN I
Buku yang saya baca ini diberi judul, Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM,
2014), kumpulan kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang diadakan di
Darulaman Golf Resort, Jitra Kedah, 24-26 Oktober 2014. Apakah maksud judul
ini? Bolehkah dibaca sastera itu menjadi
asas pembangunan negara bangsa? Nampaknya inilah maksud judul buku ini. Jika
betul, benarkah sastera itu begitu penting sehingga mengatasi agama dan
lain-lain kegiatan manusia bertamadun seperti bidang ekonomi, pendidikan,
politik dan sebagainya? Nampaknya begitulah, memang dimaksudkan sastera adalah
asas semua kegiatan manusia dalam pembinaan tamadun mereka. Dalam kata-kata yang mudah, semua nilai
manusia harus berpunca daripada karya sastera. Kalau benarlah ini maksud tajuk
persidangan kemuncak yang melahirkan buku ini, maka saya yakin Mephistopheles pun
akan terkejut kerana kumpulan mereka seolah-olah sudah diketepikan, padahal ada
di antara sasterawan negara sangat terpesona dengan kepintaran Mephistopheles
ini. Adakah ini satu perkembangan baru?
Tetapi saya lebih suka melihatnya dalam konteks yang lain, iaitu dari segi
perkembangan intelektual atau perkembangan pemikiran para cendekiawan Melayu
yang telah melahirkan sistem persuratan Melayu yang canggih yang telah berjaya
melahirkan beratus ulama besar dan para pujangga. Kegiatan sastera sangat baru,
seperti yang ditegaskan oleh Mohd. Khair Ngadiron dalam pengantarnya kepada
buku ini, iaitu bermula pada 6 Ogos 1950 apabila Asas 50 ditubuhkan di
Singapura. Bagaimana satu gerakan yang
sebaru itu sudah berjaya membina satu warisan besar dan berpengaruh sehingga
melayakkannya dijadikan asas tamadun bangsa Melayu yang sudah kehilangan nama
Tanah Melayu itu? Anda tentu tahu, kemunculan Asas 50 telah membinasakan
nilai-nilai budaya bangsa Melayu yang dulunya kuat berpegang kepada nilai-nilai
Islam. Asas 50 berusaha menghapuskan nilai-nilai itu yang dijelmakan dalam
tulisan Jawi, dengan mengatakan tulisan Jawi tidak ada kaitannya dengan agama
Islam (rujuk Warta, bil. 58 bertarikh
6 April 1954). Inilah “warisan” yang
kemudiannya melahirkan sasterawan negara dan kini pula menjadikan nilai-nilai
yang menjadi pegangan sasterawan negara sebagai kemuncak pembinaan tamadun
Melayu yang mahu menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa.
Begitu
banyak kata-kata yang dihambur dalam makalah yang biasa saja pengolahannya,
mengulang cerita lama dalam tema pokok yang saya sebutkan tadi. Antara persoalan penting yang kita mahu
diberi perhatian ialah tentang ukuran yang kita gunakan dalam membuat penilaian
terhadap karya sastera, sehingga membolehkan kita memilih sasterawan negara.
Apakah ukuran kita? Adakah ukuran itu tepat dan objektif sehingga kita tanpa
ragu dapat menentukan nilai sebenar (intrinsic
value) sesebuah karya. Ini yang tidak jelas, oleh itu sering kali yang
dikatakan karya bernilai itu sebenarnya sebuah karya picisan saja. Kita perlukan pembakuan dalam penilaian ini,
yang tidak semestinya begitu rigid dan mengongkong kebebasan berkarya. Apakah
yang kita nilai? Itu yang tidak jelas, seperti yang kita boleh lihat dengan
jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. (Sila baca dengan teliti entri 30/9/2015).
Jikalau masalah ukuran ini tidak beres, maka yang terjadi kita hanya berjaya
memitoskan sasterawan negara, padahal mereka tidak layak diberi kedudukan yang
lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan yang telah kita lahirkan dalam
persuratan Melayu. Dalam buku Sidang Kemuncak ini tradisi persuratan Melayu itu
tidak disentuh, seolah-olah tradisi persuratan itu tidak wujud. Apa jenis
penyelidikan yang dilakukan jika tradisi sendiri yang begitu jelas terpampang
di depan mata tidak dipedulikan? Seperti yang telah saya bincangkan, antara
tradisi persuratan dengan gerakan sastera yang masih baru itu, terdapat
perbezaan yang amat jauh. Yang pertama itu berasaskan ilmu yang benar; yang
kedua itu berasaskan imaginasi yang direka-reka yang penuh pretensi
intelektual, tetapi hampa dari segi pemikiran dan nilai ilmunya. Inilah yang
kini hendak dijadikan teras pembangunan negara bangsa Malaysia. Tidakkah itu
sangat songsang? Kita telah lama
merosakkan pelajar sekolah melalui pengajaran sastera yang selekeh, tanpa
pendekatan konkrit yang matlamatnya untuk mencerdikkan pelajar dan mendorong
mereka mencintai ilmu. Kegagalan ini nampaknya ditangisi oleh para penulis
kertas kerja, tanpa mengira sejauh mana sastera yang dijadikan subjek itu telah
mencerdikkan para pelajar dan menjadikan mereka mencintai ilmu. Bagaimana ini
boleh terjadi jika karya yang disogokkan kepada mereka tidak mempunyai muatan
ilmu? Kelemahan ini masih boleh dibaiki sekiranya kita mempunyai pendekatan
yang mendorong ke arah pemikiran kritis dan akhirnya mencintai ilmu. Dalam konteks ini, sejauh
mana pendekatan Barat yang kita gunakan selama ini telah mencerdikkan para
pelajar dan membuat mereka kenal mana yang palsu mana pula yang benar? Dua
aspek ini sangat penting dalam pendidikan. Jika dua matlamat ini diabaikan
seperti sekarang, maka pelajar akan menjadi bosan membaca karya sastera kerana
pendekatan yang digunakan tidak menjurus kepada penilaian kritis berasaskan
konsep ilmu yang benar. Dalam konteks inilah kita perlukan ukuran yang baku
yang disebut tadi, yang asasnya ialah konsep ilmu yang benar. Untuk mencapai
matlamat ini, cara pengajaran sastera yang ada sekarang perlu dirombak secara
total, diganti dengan pendekatan yang berasaskan konsep ilmu yang benar tadi.
Semua ini telah dihuraikan dan dibincangkan dengan mendalam dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan
Tauhid dan Gagasan Persuratan Baru. Kita telah mempunyai kaedah alternatif
yang boleh digunakan bila-bila masa sahaja. Tetapi Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia telah menolak tanpa sebarang hujah pendekatan alternatif ini, atau
mungkin juga para penulis kertas kerja tidak tahu adanya pendekatan alternatif
itu. Perbuatan itu tidak mencerminkan adanya sifat objektif dalam penelitian
para penulis kertas kerja ini, padahal mereka bercakap tentang sastera sebagai
teras negara bangsa. Hanya karya mereka dan angan-angan mereka saja yang layak
dijadikan teras, tidak misalnya pemikiran Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang konsep adab dalam kebudayaan Melayu
dan peranan ilmu yang benar dalam tamadun Melayu. Yang rugi dan nampak jahat
bukan yang ditinggalkan, tetapi perbuatan mereka sendiri yang begitu jelas
menunjukkan kualiti sebenar ilmu mereka dan kejujuran mereka.
SKPM Manifestasi Faham Liberal?
Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia adalah manifestasi faham liberal dalam kebudayaan
Melayu moden, yang pada dasarnya menolak konsep ilmu yang benar dan sekali gus
menolak peranan Islam dalam pembinaan
tamadun Malaysia. Sikap ini dapat kita
lihat dalam keengganan mereka kembali kepada persuratan Melayu, dengan menerima
secara membuta tuli, tanpa sebarang hujah ilmiah, apabila mereka menerima
bulat-bulat konsep sastera yang diperkenalkan oleh Asas 50. Jika kita masih
percaya kepada sejarah, dan masih dapat
memahami dokumen sejarah, kita akan menerima hakikat bahawa Asas 50 menolak
secara total peranan Islam dalam pembentukan kebudayaan moden. Asas 50 dengan
berani dan agak angkuh, berasaskan kejahilan mereka terhadap kebudayaan Melayu,
menjerkah orang Melayu bahawa tulisan
Jawi tidak kena mengena dengan ajaran Islam. Mereka mungkin tidak tahu, bahawa
bahasa Melayu dikembangkan oleh para ulama, bukan oleh para sasterawan. Hingga
kini pun bahasa Melayu yang baik dan bermutu tinggi masih lagi dikembangkan oleh para penulis dan
cendekiawan Melayu yang berpegang kepada hakikat sejarah bahawa kebudayaan
Melayu itu asasnya Islam. Apabila bahasa Melayu jatuh ke tangan para
sasterawan, maka keindahan bahasa Melayu
tidak lagi pada idea yang dikandungnya, tetapi berada dalam permainan bahasa
yang berasaskan retorik, bukan ilmu. Retorik itulah yang mereka jadikan asas
apa yang mereka gelar “keindahan estetik
dan kehalusan bahasa” dalam karya sastera. Kerana itulah maka para sarjana
sastera boleh menerima bahasa kontot dan cetek yang digunakan oleh para
sasterawan ini sebagai mencerminkan “keindahan” bahasa, seperti yang terdapat
dalam novel-novel Melayu, khususnya karya para sasterawan negara. Anda tidak
perlu berasa aneh apabila golongan ini menerima bahasa Melayu rendah dalam Ranjau Sepanjang Jalan, Salina, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, sekadar memberi contoh yang
mudah didapati, sebagai bahasa Melayu yang menggambarkan pemikiran unggul yang
sarat dengan isian ilmu, seperti yang kita dapati dalam karya persuratan
Melayu. Sikap ini menjadi dasar yang diperjuangkan dengan gigih dalam Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia, apabila mereka memberi judul kumpulan kertas kerja
itu Sastera Teras Negara Bangsa. Ini
bukan suara kebudayaan Melayu yang
bercirikan nilai-nilai Islam dalam persuratan Melayu. Ini adalah suara
Asas 50 yang diberi wajah baru oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Anda
mungkin tidak sedar bahawa gelaran sasterawan negara itu adalah gambaran yang diberikan oleh suku-sakat Asas 50 yang menolak unsur
Islam dan yang tidak menerima persuratan sebagai wadah kreatif dan ilmiah.
Semua hujah yang dibentangkan di sini tergambar dalam tulisan ideolog
kumpulan ini, Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad.
Permintaan
untuk mendapatkan 10 buah masterpiece
para sasterawan negara tidak sukar dilakukan, anda bebas menggunakan mana-mana
teori sastera dan apa juga ukuran yang anda fikir tepat untuk menilai karya itu
dan melayakkannya ditempatkan sebagai karya masterpiece
yang setanding dengan karya dunia. Tentu ada ukuran yang universal yang
boleh anda gunakan, sesuai dengan pendirian liberal yang anda pegang, untuk
menjadi panduan dan ukuran dalam analisis dan penilaian anda. Sekiranya tidak ada sebuah pun karya sasterawan
negara ini sampai ke paras masterpiece
itu, maka nilai siapakah yang anda gunakan untuk menjadikan sastera sebagai
teras negara bangsa?
Retorik Mimpi Sastera di Atas
Bumbung Berkarat
Dalam
konteks inilah saya sekarang mahu membaca makalah sasterawan negara Prof. Dr.
Muhammad Haji Salleh. Tajuk kertas kerja profesor ini cukup menarik dan penuh
dengan unsur puisi yang asli: “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang yang
Berkarat”. Tajuk ini original kerana
inilah kali pertama orang bermimpi di atas bumbung, lebih-lebih lagi di atas
bumbung kilang yang berkarat pula. Saya cuba bayangkan bagaimana rupa kilang
yang berkarat itu, yang pastilah sebuah kilang yang sudah lama ditinggalkan.
Kalau begitu, apakah yang menarik seorang pensajak untuk naik ke bumbungnya dan
bermimpi di atas bumbungnya?
Prof.
Muhammad memulai tulisannya dengan amat puitis: “Saya agak lama tidak menjadi
pentadbir atau perancang, jadi agak sulit untuk menempatkan diri saya dalam
keadaan yang demikian. Namun begitu, saya sering menulis cadangan untuk
perancang – sebahagian besarnya terselit di antara huruf dan dakwatnya dan
setahu saya ramai yang cuba mencungkilnya dan mempertimbangkannya.” Itulah
pendahuluannya, yang cukup puitis, sesuai dengan ketokohan penulisnya sebagai
pensajak terbaik Malaysia. Penggunaan
perkataan “cungkil” tepat sekali menunjukkan kualiti cadangan yang
dikemukakannya, ibarat sisa makanan yang lekat di celah gigi yang hanya dapat
dikeluarkan dengan mencungkilnya dengan kayu cungkil. Kita boleh merasakan
unsur penglipur lara di dalam pendahuluan ini, kesan pengaruh Pak Mahmud Wahid
Awang Batil dari Perlis, penglipur lara yang menjadi guru profesor ini yang
diabadikannya dalam syarahan perdananya. Seterusnya beliau berkata lagi: “Usia membentangkan pertimbangan dan pengalaman
– dan saya juga ingin membawa pengalaman dan manfaat sastera yang saya dapatkan
dari luar negara untuk sastera kita bersama ini. Usia membenarkan mimpi-mimpi
ini menari kembali kerana inilah tempat pengungsian idea-idea yang tidak diendahkan. Ruang
berwarna-warni dan fantastik ini sekarang melebar di depan saya serta
membenarkan saya bermimpi bagi pihak sastera Malaysia, untuk sekarang dan masa
depan. Mimpi seorang pensyair buat sastera negaranya.” Hasil dari luar negara
itu ialah terciptanya “Pulang Si Tenggang”, yang menurut para sarjana adalah
sajak teragung dalam sastera Malaysia. Saya pernah cabar kesimpulan ini, dengan
menyodorkan sajak “Al-Andalus”, tetapi
kerana sajak saya terlalu cetek, berbicara tentang perjuangan Islam, tentang
para ulama Andalus yang mengajar Eropah menjadi cerdik, maka tidak ada yang
berminat. Jangan-jangan mereka tidak kenal gergasi ilmu ini, anggap mereka itu
jenis jin yang terdapat dalam Hikayat Seribu Satu Malam! Bagi mereka
Si Tenggang adalah lebih hebat dan lebih cerdik daripada Ibn Rush, Ibn Tufayl,
Ibn Hazm, Ibn Bajjah yang mengajar Galileo yang bakal lahir. Apakah yang
dimimpikan oleh sasterawan negara ini, mimpi untuk sastera Malaysia? Inilah
yang membuat kertas kerja beliau cukup menarik. Beliau mengajak sasterawan
Melayu bereksperimen (macam nasihat Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau
salah seorang anggotanya) seperti yang dilakukan Salman Rushdie dan Orhan Pamuk
yang katanya “hasilnya cukup menarik dan bergemerlapan”. (hal. 204). Beliau
juga meminta penulis Malaysia mempelajari naratif orang asal seperti daripada khazanah “bahasa Temiar hinggalah
Mahmeri dan Semang serta Temuan”, sambil menyeru agak panik, “Bertindaklah
sebelum terlambat”, yang serta-merta mengingatkan saya amaran anggota bomba
kepada keluarga saya di Kelantan supaya segera berpindah sebelum terlambat
hingga ditenggelami banjir besar
baru-baru ini. Seterusnya beliau menyeru
lagi, “saya dengan penuh kejujuran ingin melihat pengarang kita mengenali sastera
lisan dan lama negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, dan Indonesia, di
samping Turki dan Parsi supaya kita juga
dapat belajar daripadanya.” Saya setuju,
kerana mungkin mereka juga mempunyai wayang kulit dan memulai pertunjukan
dengan “lagu bertabuh” mereka sendiri. Adakah sama dengan lagu bertabuh
Kelantan? Seterusnya beliau memberi nasihat, “Minumlah daripada laut-laut lain
kebijaksanaan dan kemahiran naratif. Laut-laut itu sangat besar dan
berbagai-bagai – di dalamnya ada lebih sejuta karya bertulis saja.” Saya fikir sasterawan negara ini belum lagi
merasa masinnya air laut, yang tidak tertelan kecuali jika anda lemas, tidak
ada pilihan. Saya yang jahil tentang sastera dapat merasakan “perbandingan” yang dibuat olehnya itu terlalu janggal, tidak
menyatakan sesuatu yang hebat yang boleh dicontohi. Za’ba mengajar saya supaya
tidak membuat kiasan melampau seperti ini, tidak ada faedahnya. Mungkin inilah
maksud eksperimen yang beliau saran itu! Dalam eksperimen anda boleh buat apa
saja, kalau berbetulan, jadi. Jika tidak, sia-sia. Tetapi dalam ilmu sains,
eksperimen dilakukan oleh ahli sains yang mahir, yang tahu ilmu itu secara
mendalam. Hanya dalam sastera eksperimen itu dilakukan oleh penulis yang
saja-saja ingin mencuba kot-kotlah menjadi!! Kerana saya bukan guru, tetapi
seorang birokrat yang tidak boleh membazir usaha, maka saya tidak pernah
memberi nasihat seumpama ini. Kerana itulah karya saya sendiri jadi macam dalam
sajak “Al-Andalus” itu, tidak ada unsur penglipur lara di dalamnya, hanya fakta
bulat-bulat yang tidak menarik langsung jika dibandingkan dengan cerita Si
Tenggang. Apakah yang anda boleh belajar daripada dua buah sajak ini? Setelah
memberi nasihat supaya sasterawan Melayu minum air laut yang masin itu, maka
berkatalah sasterawan negara ini seterusnya: “Baik kita berhadapan dengan wajah
sastera kita. Pencapaian moden kita juga masih sederhana, dan masih perlu
ditingkatkan lagi. Kita harus belajar bereksperimen. Kita boleh belajar tentang
teknik, gaya, suara, dan sudut naratif, watak, plot, cara menangani waktu dalam
penceritaan, dan ratusan hal lain daripada mereka ini. Ini genius dunia, kita
berhak mempelajari daripadanya dan mendapat manfaat.” Saya terkejut bila membaca ini, kerana
peniruan begini tidak sekali-sekali boleh melonjakkan seseorang penulis untuk bereksperimen.
Semua yang dicadangkan oleh sasterawan negara ini adalah barang klise, yang
memuntahkan para penulis Barat sendiri. Mereka sudah tinggalkan ini semua, dan
sedang tergila-gila dan berebut-rebut mencipta benda-benda baru. Mereka sudah
lama berbicara tentang “new narrative”, atau “sastera yang non-narrative”.
Sayangnya perkara ini tidak ditulis dalam buku kritikan sastera, tetapi
terdapat di tempat lain. Maka itulah sarjana sastera kita kelam-kabut dan
membuat kita berasa kasihan kerana masih bergayut kepada barang klise. Inilah
sedikit “pencerahan” untuk anda fikirkan. Saya petik kutipan penting ini untuk
sekadar memberitahu anda betapa jauhnya kita, sarjana kita, ketinggalan zaman
dan ketinggalan maklumat.
“For understandable reasons, we like to talk about
artistic innovations in terms of the way that they break the rules, open up new
doors in the adjacent possible that lesser minds never even see. But genius
requires genres. Flaubert and Joyce needed the genre of bildungsroman to contort and undermine in Sentimental Education and A Portrait of the Artist as a Young Man. Dylan needed the conventions of artistic folk
to electrify the world with Highway 61
Revisited. Genres supply a set of implisit rules that have enough coherence
that traditionalists can safely play inside them, and more adventurous artists
can confound our expectations by playing with
them. Genres are the platforms and paradigms of the creative world. They are almost never willed into existence
by a single pioneering work. Instead, they fade into view, through a
complicated set of shared signals passed between artists, each
contributing different elements to the mix. The murder mystery has been
coherent as a novelistic genre for a hundred years, but when you actually chart
its pedigree, it gets difficult to point to a single donor: it’s a little Poe,
a little Dickens, a little Wilkie Collins, not to mention the dozens of contemporaries who didn’t make
the canon, but who nonetheless played a role in stabilizing the conventions of
the genre. The same is true of cubism, the sitcom, romantic poetry, jazz,
magical realism, cinema verite,
adventure novels, reality TV, and just about any artistic genre or mode that
has ever mattered.” (hal. 191, Steven Johnson, Where Good Ideas Come From: The Natural History of Innovation (New
York: Riverhead Books, 2010).
Membaca
keratan ini mengingatkan saya kepada seorang profesor sastera, yang mengejek
espen dan karya persuratan sebagai satu genre baru in the making.
Apakah yang
ingin disampaikan oleh Muhammad Haji
Salleh, just blowing in the wind? Perhatikan kata-kata beliau ini:
“Kritikan ialah satu sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan
orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan
kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain. Saya
menginginkan suatu kritikan yang dipupuk kembali menjadi bidang yang bermoral,
beretika, bertanggungjawab, dan juga membantu penulis berkembang. Penulis juga
harus belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya. Kembalilah mencari
contoh daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain.” Itukah standard profesor ini? Tepat sekali
dengan kelakuan anehnya mencari ilham di
atas bumbung berkarat! Tidak sia-dia dia
mengaku dirinya seorang yang “schizophrenic.”
Bolehkah Kritikan Sastera Diasaskan
Pada Mimpi di Atas Bumbung Berkarat?
Sebagai
seorang sarjana sastera yang dihormati dan disanjung oleh teman-temannya, yang
kini bergelar Prof. Emeritus, pendapat beliau ini sangat tidak
bertanggungjawab, sengaja memberi
gambaran yang salah dengan maksud menghina para pengkritik sastera. Beliau
mengaku beliau sudah ketinggalan jauh, dan kini hidup dalam mimpi yang
dialaminya di atas bumbung kilang yang berkarat. Adakah ini membolehkan beliau
menghina pengkritik sastera? Saya tidak ada masalah dengan manusia angkuh
yang merasakan dirinya terlalu mulia dan tinggi darjatnya. Itu cara dia membawa
dirinya, tiada masalah dengan saya. Tetapi apabila seorang profesor yang
dihormati membuat tuduhan melulu, maka kita semua perlu memberi perhatian
serius. Kita tidak mahu dalam kesusasteraan kita, khususnya bidang kritikan,
ada sarjana bermaharajalela mencela orang yang tidak dinamakan atas nama
kritikan. Perbuatan seperti itu hanya mencerminkan kerendahan moral dan
tiadanya harga diri, seorang yang bacul dan tidak bertanggungjawab. Itu pun
saya masih boleh terima, tetapi beliau mestilah membuktikannya dengan hujah dan
analisis. Tidak boleh menuduh melulu tanpa sebarang penjelasan. Dengan
munculnya gagasan Persuratan Baru misalnya, kritikan sastera sekarang menjadi
lebih teratur dan lebih mementingkan ilmu.
Gagasan Persuratan Baru telah membuktikan kekuatannya sebagai satu teori
sastera dengan adanya satu korpus yang agak besar yang boleh digunakan untuk
menulis tentangnya dengan selesa, sama ada untuk menjelaskannya lagi, atau
mengkritiknya sehabis kritis. Bahannya tersedia, tidak sukar didapati. PB telah
membuktikan keupayaannya dalam bidang kritikan untuk memberi kaedah baru yang
boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai karya kreatif, di samping
menyediakan saranan yang jelas tentang penulisan kreatif yang bermutu. Tentu
saja ada orang yang tidak bersetuju, yang memang bagus dan tidak wajar disekat.
Tetapi tidak demikian halnya dengan sasterawan negara, yang tidak boleh
disentuh secara kritis, hanya boleh dipuji dan disanjung. Dari segi perkembangan
ilmu, sikap dan perbuatan begitu mesti ditolak kerana tidak sesuai dengan adab
Melayu. Oleh itu tidak timbul pengkritik biadab, sebaliknya para sasterawan negara itulah yang
lemah semangat kerana mereka sebenarnya bukan berhemah tinggi, tetapi terlalu bergantung
pada pujian dan sanjungan. Semua ini terjadi kerana mereka tahu karya mereka
tidak bermutu, tetapi dimasyhurkan sebagai bermutu. Kalau saya membuktikannya
begitu, bukanlah kerana saya tidak hormat sasterawan negara. Saya lebih
hormatkan ilmu, yang memberitahu saya karya yang dikatakan bermutu itu
sebenarnya tidak, hanya satu ilusi saja, bukan sebenarnya. Lalu saya buktikan
dengan hujah yang konkrit. Sebagai
pembaca yang kritis, anda berkewajipan untuk menolak hujah itu dan membuktikan
penilaian saya salah, sebaliknya satu ilusi saja. Anda juga boleh menilai karya
kreatif saya, membandingkannya dengan karya para sasterawan negara, lantas
membuat kesimpulan karya mereka jauh lebih bermutu. Adakah saya akan berdiam
diri? Tidak. Saya akan terus menulis karya kreatif kerana kekuatan saya sebagai
seorang pemikir ada di situ. Saya fikir pendirian begini tidak merugikan
sastera dan tidak juga merugikan saya, oleh itu perlu diteruskan. Mengapa
sasterawan negara tidak boleh bersikap seperti itu juga?
Satu perkara
yang saya rasa sangat pelik ialah apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji
Salleh menyanjung begitu tinggi Salman Rushdie. Anda boleh bayangkan betapa
tingginya ilmu kritikan beliau sebagai seorang profesor sastera. Kalau kamu
bawa Salman Rushdie sebagai sasterawan yang “gemerlapan” karyanya, maka kami
boleh nilai dengan mudah kematangan kamu sebagai seorang ahli akademik! Kamu
menilai berasaskan ilmu atau sentimen? Sebenarnya lebih tepat jika kita membuat
kesimpulan, yang mematahkan sayap kritikan itu ialah Prof. Dr. Muhammad Haji
Salleh sendiri. Percubaan beliau untuk berteori melalui Puitika Sastera Melayu gagal kerana tidak dapat dikembangkan untuk
menjadi suatu teori yang berguna. Tulisan itu hanya satu maklumat yang tidak
selalunya tepat. Usaha beliau untuk menolak teori sastera Barat juga sia-sia,
menjadi buntu kerana beliau tidak dapat menghuraikannya mengapa teori Barat mesti ditolak; akhirnya dia
sendiri “memerintahkan” penulis kertas kerja untuk seminar pemikirannya mesti
menggunakan teori Barat yang ditolaknya. Beliau sebagai sarjana tidak terkenal
kerana cermat, seperti yang ditegur oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan dan Dr.
Ramli Isin dan saya sendiri ketika membahaskan syarahan perdana beliau. Komen
dua orang sarjana itu anda boleh rujuk dalam buku Rangkaian Pemikiran dalam Karya
Sastera (DBP, 2006); borak Muhammad Haji Salleh tentang teori sastera Barat
terdapat dalam Teori dan Kritikan Sastera
Melayu Serantau (DBP, 2005).
Dalam ulasan ini saya memberi tumpuan kepada pandangan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh kerana beliau adalah sarjana sastera paling ulung di Malaysia; seorang pensajak yang paling terkemuka; seorang profesor yang paling berpengaruh (seperti diakuinya dalam makalahnya); dan satu-satunya sasterawan Malaysia yang berjaya mendapat perhatian dunia. Dengan kedudukan itu, yang memang ditekankan oleh beliau sendiri, maka kita perlu memberi kritikan yang wajar untuk melihat adakah semua klaim itu benar, atau hanya satu ilusi dalam bentuk mitos seorang maharaja seperti dalam dongeng Hans Chritian Anderson itu.
Dalam ulasan ini saya memberi tumpuan kepada pandangan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh kerana beliau adalah sarjana sastera paling ulung di Malaysia; seorang pensajak yang paling terkemuka; seorang profesor yang paling berpengaruh (seperti diakuinya dalam makalahnya); dan satu-satunya sasterawan Malaysia yang berjaya mendapat perhatian dunia. Dengan kedudukan itu, yang memang ditekankan oleh beliau sendiri, maka kita perlu memberi kritikan yang wajar untuk melihat adakah semua klaim itu benar, atau hanya satu ilusi dalam bentuk mitos seorang maharaja seperti dalam dongeng Hans Chritian Anderson itu.
(Ditulis semula
dan disunting daripada entri 5/12/2011).
Petaling Jaya,
3/10/2015.
No comments:
Post a Comment