BAHAGIAN II
Seminar Kritikan Sastera di UPSI
Dalam kertas
kerjanya yang dimuat dalam Sastera Teras
Negara Bangsa, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menempelak
pengkritik sastera yang telah mematahkan sayap kritikan sastera Melayu dengan
tindakan biadab yang penuh dengan kata-kata beracun, penuh kebencian, tidak
beretika, rendah maruah diri dan tidak hormat orang lain. Beliau mahu kritikan sastera “dipupuk kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika,
bertanggungjawab, dan juga membantu penulis berkembang” (hal. 206). Beliau sendiri tidak bersedia untuk
bertanggungjawab dengan tuduhan itu, oleh itu beliau tidak menamakan para
pengkritik yang dikatakan biadab itu. Apakah yang mereka telah buat yang boleh
melumpuhkan kritikan sastera Melayu?
Inilah sebenarnya contoh kata-kata beracun, yang dihamburkan dengan
penuh kebencian, yang tidak pula beretika, rendah maruah diri dan tidak hormat
orang lain yang dimusuhi. Kita tidak perlu memusuhi sesiapa untuk berlaku
kritis terhadapnya. Apabila profesor ini meminta kita meniru Goenawan Mohamad
dan Baha Zain, beliau hanya meminta kita memasuki Mutual Admiration Club yang
diketuainya. Apa yang anda boleh pelajari
daripada dua orang sahabat profesor ini?
Bagi saya inilah contoh seorang yang tidak mempunyai maruah intelektual,
yang jelas tidak dapat membezakan antara
tokoh ilmu dan tokoh buatan. Memberi
contoh begini nyatalah tidak beretika
kerana contoh yang diberikan untuk diikuti itu tidak boleh membantu penulis berkembang. Seorang penulis
hanya boleh berkembang sekiranya dia dibantu untuk memahami konsep ilmu yang
benar, yang tidak dapat diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
sendiri dan dua orang sahabatnya yang dijadikan contoh olehnya.
Siapakah
orang yang mematahkan kritikan itu? Ada gosip mengatakan bahawa orang yang dimaksudkan oleh sang
profesor ialah Mohd. Affandi Hassan. Saya tidak fikir begitu, tidak mungkin seorang
profesor yang amat bersantun dan menghormati orang lain, sanggup memburukkan orang
serendah itu. Lagi pula, jika benarlah
tuduhan itu, beliau patut berasa malu
kerana orang yang beliau tuduh itu sudah membuktikan kemampuan akademik dan
ilmiah beliau untuk menulis dan membicarakan dengan mendalam beberapa aspek
pendidikan estetika, mengemukakan gagasan Persuratan Baru yang boleh diterima
sebagai satu teori sastera. Jadi tentulah sangat aneh jika usaha yang beliau
sendiri tidak mampu melakukannya itu telah dibuat oleh orang yang dikatakan
menjadi matlamat kutukan beliau. Oleh itu, saya tidak fikir beliau menujukan
tuduhan itu kepada Mohd. Affandi Hassan.
Saya fikir apa yang diusahakan oleh Mohd. Affandi Hassan sebenarnya amat
membantu perkembangan kreatif dan akademik penulis Malaysia, jika mereka
menjadikan gagasan Persuratan Baru sebagai panduan kritis dan kreatif. Saya pernah mencadangkan kepada para pengikut
profesor ini untuk membicarakan sajak-sajak Mohd. Affandi Hassan, terutama
sekali “al-Andalus” untuk dibicarakan dengan kritis bersama sajak “Pulang Si
Tenggang”, supaya dapat dilihat sajak yang mana satu yang mempunyai isi dan
visi yang unggul. Sehingga ini belum lagi tampil murid profesor ini yang ramai
itu untuk menyahut cabaran itu. Beliau sendiri tentulah tidak akan melakukannya
kerana perbuatan itu akan menjatuhkan maruahnya yang tinggi sebagai sarjana
ulung dan sasterawan negara yang telah diangkat ke singgahsana keunggulan oleh
Mana Sikana. Jika benar kritikan sastera Melayu telah patah sayap, maka gagasan
Persuratan Baru telah memberikan sayap baru yang lebih kuat, yang mampu terbang
ke seluruh dunia, sebagai helang perkasa dalam teori sastera dunia. Ada pun para merbah dan murai yang bising, ke
Gunung Tahan pun tidak sampai, hanya
berkeliling di sekitar kampung mencari ulat dan serangga saja. Pengkritik jenis
ulat bulu dan serangga ini tidak ke mana sebenarnya, walaupun suara mereka kadang-kadang
sangat bising ketika berebut ulat dan serangga. Ini boleh kita lihat dalam resolusi mereka di Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014.
Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sudah
ketinggalan amat jauh dalam perkembangan kritikan di Malaysia. Dia tidak tahu
satu seminar besar telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, 28-29
September 2012. Sebuah buku prosiding seminar diterbitkan, dan dalam buku itu
dimuat semua kertas kerja, kecuali mengenai PB oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir tidak sempat diterbitkan. Kertas itu dijadikan Pendahuluan kepada buku Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua
2014. Kalau kritikan sastera sudah patah sayap, tentulah tidak dapat diadakan
seminar di UPSI itu, sayangnya beliau tidak dijemput memberi ucap utama,
padahal sudah dijadikan kanun setiap majlis sastera mesti diberi ucap utama oleh
sasterawan negara, kerana mereka juga perlu tunjuk muka dalam majlis seumpama
itu, walaupun ucap utama mereka, sepanjang yang sampai kepada saya, lebih baik
sedikit saja daripada ucapan Ketua Murid di sekolah saya dahulu, mungkin kerana
saya yang menulis ucapan kawan saya itu. Sekiranya diadakan seminar
antarabangsa di Kuala Lumpur membicarakan “pemikiran tinggi” para sasterawan
negara, dengan pembentangan laporan terperinci kemajuan sastera yang telah
mereka laksanakan sebagai sasterawan negara, maka orang yang paling layak memberi ucap utama di pertemuan itu ialah
Mohd. Affandi Hassan, sebagai satu-satunya pemikir dalam bidang kritikan
sastera terulung di Malaysia, berupa satu-satunya pengkritik Malaysia yang
berupaya mencabar setiap teori sastera Barat. Bagaimana pendapat anda, mahu
sasterawan negara juga memberi ucap utama sambil membebel seperti tukang sapu
di KLCC kerana dibayar gaji yang rendah padahal kerja tukang sapu itu, kalau di
Eropah atau di USA, dibayar sama tinggi dengan gaji seorang profesor di
Malaysia. Saya tahu sebab saya bercakap dengan mereka, sebagai seorang
pengarang yang sentiasa terbuka kepada maklumat. Walaupun gaji mereka sama,
kedudukan mereka berbeza. Profesor tetap lebih tinggi, tetapi ada kalanya
tukang sapu lebih mulia hatinya dan tidak angkuh kerana masih kenal manusia dan
masih mahu menolong mereka ketika pertolongan dari mereka diperlukan, walaupun
pertolongan itu hanya mengangkat bakul seorang perempuan tua yang mahu melintas
jalan. Anda pernah tengok peristiwa seperti itu? Saya pernah tengok seorang
profesor tua di Kanada membantu pelajarnya yang cacat untuk melintas jalan, dan
semua kereta berhenti untuk mereka berdua. Cantik bukan, pemandangan begitu? Boleh dapat di Malaysia? Saya belum
lagi diberi kesempatan melihatnya.
Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri dikatakan telah menelurkan satu teori
sastera yang bernama “Puitika Sastera Melayu.”
Saya diberitahu oleh beberapa sarjana sastera, Puitika Sastera Melayu bukan sebuah teori
kerana tidak terdapat syarat-syarat untuk membolehkannya diterima sebagai
sebuah teori. Sesiapa yang berminat boleh membantu saya merujuk tulisan yang
berkata begitu. Mungkin betul, kerana Puitika Sastera Melayu, berbanding
gagasan Persuratan Baru, tidak berkembang, malah ada sarjana memberitahu saya
telah difosilkan awal-awal lagi. Tidak boleh hidup sebagai teori kerana tidak
ada syarat untuk membolehkannya diterima sebagai sebuah teori sastera. Antara
syarat penting, saya diberitahu, ialah mengenai prinsip yang boleh dipakai
untuk menganalisis dan menilai karya sastera. Prinsip itu tidak ada, atau tidak
jelas. Berbanding dengan gagasan Persuratan Baru yang kini muncul sebagai satu
sistem yang mantap, yang cukup kuat untuk menangkis dengan mudah sebarang
kritikan atau sanggahan. Malah dikatakan PB berupaya menyanggah apa juga teori
sastera Barat yang kini amat digilai oleh para sarjana sastera Malaysia. Sejauh
mana kesimpulan ini benar terpulang
kepada penilaian anda sendiri. Tetapi dalam konteks ini ada satu perkara
penting yang perlu saya sebut, yang mungkin anda tidak mahu terima atau tidak
mahu mendengarnya.
Kedudukan Ilmu Dalam Kritikan
Sastera
Saya rujuk
sikap Sidang Kemuncak Penulis Malaysia terhadap kedudukan ilmu dalam
kesusasteraan. Saya dapati tidak sebuah pun antara kertas kerja itu secara
khusus membahaskan tajuk ini dengan tuntas dan mendalam. Mengapa berlaku
pengabaian ini? Adakah disengajakan? Atau kerana tidak ada penulis yang
berupaya membicarakannya? Bagi satu sidang kemuncak yang penting, yang mahu
menjadikan sastera sebagai teras pembangunan tamadun bangsa, soal ilmu tidak
boleh diabaikan sesuka hati. Tidak ada tamadun yang tidak berpaksikan konsep
ilmu, walau bagaimana sekalipun konsep itu ditakrifkan. Semua tamadun dunia
diasaskan kepada ilmu tertentu. Bagaimana pula tamadun Melayu boleh menolak
prinsip ini? Mungkin jawapannya ada di dalam kertas Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Tetapi sebelum saya bincang aspek ini, saya ingin komen sedikit lagi kertas
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Saya setuju dengan pandangan beliau
pengkritik dan sarjana tidak boleh bersikap kurang ajar, biadab dan
sewenang-wenang memperlekeh sesiapa juga. Ini soal sikap, selain dari soal adab
dan etika. Sekiranya anda diminta menulis
kertas kerja, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah rasa hormat
kepada penganjur dan pembaca anda. Untuk itu, anda tidak boleh mengemukakan
kertas yang ditulis sambil lewa, yang tidak memperlihatkan rasa hormat anda
kepada tuan rumah dan kepada pembaca anda. Hanya Prof. Muhammad Haji Salleh
saja yang tidak berbuat begitu, padahal
semua yang lain menulis dengan baik. Mengapa beliau mesti dikecualikan? Inilah
soal etika yang disebut oleh beliau. Dari segi etika, adalah biadab untuk
mengemukakan kertas yang selekeh untuk dihidangkan kepada khalayak yang
terhormat, membincangkan tajuk yang begitu penting dalam seminar yang begitu
gah diatur. Dari segi isi pula, kertas Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dengan sengaja meninggalkan dari
berbincang dengan objektif dan agak mendalam tentang perkembangan kritikan
sastera. Kita sudah mempunyai alternatif yang kuat dalam bidang ini, dalam
gagasan Persuratan Baru. Jika beliau tidak dapat menerimanya, beliau wajib,
kerana kedudukannya sebagai sarjana yang dihormati, untuk membicarakan dengan
objektif gagasan PB dalam konteks seminar itu. Beliau mempunyai kepakaran yang
mencukupi, hanya sanya sikap beliau yang negatif tentang peranan ilmu membuat
beliau memilih untuk menjadi biadab, satu pilihan yang tidak wajar bagi seorang
sarjana. Pilihan yang sangat buruk dan benar-benar menghina ilmu. Beliau
memberi contoh yang buruk kepada sarjana
baru, menjadikan emosi, bukan intelek, untuk membuat pertimbangan. Saya lihat
ini sebagai kesan kolonialisme dalam sastera Melayu, kerana sikap angkuh ini
memang diajar oleh Inggeris kepada anak jajahannya. Kita tentu masih ingat
pengakuan Prof. Muhammad Haji Salleh yang mengaku dengan bangga: “English
colonized me”. Keangkuhan akademik dan sifat ego yang diajar oleh Inggeris
menjadi darah daging profesor ini, yang dulunya mengutuk Mutual Admiration Club
(1973), tetapi kini menjadi ketua yang tidak rasmi dalam kelompok ini.
Nampaknya dalam hal ini ada kaitannya dengan tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang berbicara tentang masalah
hegemoni dalam kebudayaan, khususnya kesusasteraan.
Apakah
maksud hegemoni dalam kertas kerja Dr. Saleeh Rahamad? Maksudnya amat jelas,
iaitu hanya satu arus pemikiran (?) saja yang diterima dan boleh dibincangkan. Inilah
juga pendirian Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Lain dari itu akan
ditutup rapat dan tidak diberi tempat. Kerana itu Sidang Kemuncak ini sampai ke
kemuncak pandirisme dalam sastera Melayu moden apabila seluruh kertas kerja
difokuskan kepada mempertahankan sasterawan negara semata-mata, bukan
mempertahankan ilmu. Ilmu tidak penting dibandingkan dengan kedudukan
sasterawan negara. Mengapa mereka begitu taasub? Mudah saja sebabnya: kerana
itulah saja pilihan mereka kerana mereka terikat kepada pandangan teori Barat
sepenuhnya. Mereka menjadi hamba teori sastera Barat, dan sangat bangga
menghambakan diri. Sifat hamba ini amat jelas dalam kertas kerja yang
dibentangkan, sehingga apabila ada di antara mereka yang bercakap tentang
“minda tertawan”, mereka masih melihatnya dalam konteks sebagai hamba
pemikiran Barat. Konsep minda itu
sendiri adalah satu konsep yang menjadi masalah besar dalam falsafah Barat,
sehingga ahli falsafah Inggeris mengkritik keras sekali falsafah Descartes yang
menganggap mind itu sejenis mesin,
dan ini melahirkan satu gerakan untuk membina artificial intelligence dan
akhirnya melahirkan the robot
society. Kini robot hidup sudah berjangkit dan bertapak di Malaysia, di
kalangan para sarjana yang menjadi hamba teori sastera Barat dan sarjana Barat.
Inilah inti pati kertas Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Berasaskan konsep hegemoni
yang difahamkan dari dan dalam konteks Barat, sastera hanya wujud sebagai pernyataan
nasionalisme yang terpisah dari konsep ilmu yang benar. Bagaimana sikap ini
mahu dijadikan asas pembinaan tamadun, dengan menjadikan sastera sebagai seni
yang seluruhnya sekular sebagai teras? Mereka tidak boleh menolak kesimpulan
ini kerana dalam persembahan mereka, tidak disebut pun peranan ilmu dalam
pembinaan tamadun dan karya sastera. Siapakah yang memberi mereka autoriti
untuk menjadikan pandangan hidup seratus
peratus Barat ini menjadi tunjang tamadun Malaysia yang kononnya berasaskan
bahasa Melayu dan sastera Melayu. Ini masalah besar yang tidak disentuh sedikit
pun. Jelas mereka menolak konsep adab yang dihuraikan dengan mendalam oleh
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, tetapi mereka tidak mengemukakan apa-apa
hujah. Akhirnya yang mereka lakukan dengan mengadakan Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia ini ialah to endorse
pandangan hidup sekular yang diperjuangkan oleh Asas 50. Inilah agenda mereka,
dan agenda ini mesti ditentang kerana
sudah jelas Asas 50 adalah musuh ilmu yang benar.
Jikalau anda
melihat Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini dalam konteks yang betul, anda
mungkin tidak dapat menerimanya kerana terdapat sejenis kediktatoran budaya di
kalangan mereka ini. Mereka sebenarnya membina masyarakat tertutup, yang
menerima hanya satu tafsiran saja tentang konsep sastera itu, untuk menjamin
semua sasterawan negara terselamat daripada penilaian kritis berasaskan konsep
ilmu yang benar. Adakah mereka anti-ilmu? Pertanyaan ini tidak perlu lagi,
kerana semuanya sudah jelas tersirat dalam kertas kerja yang mereka bentang.
Kerana itu, ke manakah mereka hendak membawa tamadun Malaysia versi mereka yang
tertutup itu? Inilah sejenis ekstremisme
budaya yang sedang diperjuangkan oleh golongan Mutual Admiration Club ini.
Cadangan Konkrit Untuk Membina Tamadun
Berasaskan Ilmu
Idea yang
bagi mereka sangat bernas walaupun cetek, yang mereka mahu jadikan asas
tamadun, dikonsepsikan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kata-kata
berikut: “Saya cadangkan diadakan suatu
Kerusi Sastera Lisan dan suatu Kerusi Sastera Lama di Universiti dan juga
Jabatan Folklor atau Sastera Lisan. Tanpanya dua bidang ini biasanya tidak
diberi ruang atau makna yang hak padanya, dan hak pada jati diri kita.” (hal.
208). Jika kerajaan sudah sasau dan bersetuju dengan cadangan ini, apakah yang
hendak kita capai? Bolehkah kita melahirkan generasi celik ilmu dan cerdik
melalui pelaksanaan dua cadangan ini? Dalam kebudayaan Melayu, penglipur lara
adalah kegiatan hiburan yang bersifat pinggiran, tidak layak dibawa atau
diangkat sebagai kegiatan seni yang utama. Awang Batil adalah gelaran pencerita
di kampung-kampung sebelah utara Semenanjung, yang sudah pupus dan tidak perlu
dikembalikan lagi dalam kebudayaan tinggi yang sedang kita bina sekarang;
apatah lagi membawanya ke dalam sistem pelajaran/pendidikan kita. Gilalah
bangsa yang berusaha mengembalikan suatu budaya yang sudah ditolak oleh
masyarakat melalui proses pembelajaran moden dan yang berteraskan agama, atas
alasan kononnya untuk mendapat jati diri. Kekeliruan seumpama ini tidak wajar
dijadikan tajuk perbincangan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, kalau
sekadar ingin memuaskan kemahuan hawa nafsu seorang sarjana yang sepanjang
hidupnya tidak pernah memikirkan persoalan tamadun ini daripada perspektif
ilmu, tetapi hanya melihat sepintas lalu dalam konteks hiburan semata-mata.
Malulah kita kalau inilah yang kita perjuangkan untuk kononnya menjadikan
sastera teras pembangunan negara bangsa. Dalam konteks ini saya ingin
mengemukakan beberapa cadangan yang akan membolehkan kita memajukan bahasa
Melayu dan memberi kesedaran ilmu kepada masyarakat dan para pelajar. Kita
tidak perlu kembali ke zaman lampau, ke zaman animisme yang melahirkan
penglipur lara dan cerita-cerita dongeng berunsur Hindu-Buddha seperti yang
cuba dilakukan oleh sang profesor yang kelesuan daya intelek dan ingin kembali
hidup bersantai dalam dunia khayal zaman animisme kononnya itulah zaman asli
Melayu yang perlu dikembalikan semula secara aktif dalam dunia pendidikan
moden. Supaya lintasan angan-angan karut seumpama ini tidak lagi menjadi impian
kosong para sarjana, maka yang kita perlukan pada waktu ini ialah satu sejarah
pemikiran, satu sejarah intelektual bagi bangsa Melayu, untuk melihat bagaimana
mereka menerima pengaruh dan menggunakan pengaruh atau pengalaman intelektual
dari pelbagai sumber tamadun itu untuk membangunkan negara. Untuk permulaan,
kita boleh mulai terlebih dahulu menulis perkembangan pemikiran dalam
persuratan dan kesusasteraan Melayu, mungkin dengan bermulanya kerajaan Melayu
Melaka.
Perkembangan Pemikiran Dalam
Persuratan Melayu
Tapi saya
fikir lebih mudah dikerjakan dan lebih banyak manfaat jika dimulai dari Za’ba,
Syed Sheikh al-Hadi hingga sekarang, untuk melihat bagaimana idea tentang
persuratan perlahan-lahan disingkirkan dengan tibanya gelombang sastera moden
yang diperkenalkan oleh Asas 50. Peranan Panel Anugerah Sastera Negara dan
karya para sasterawan negara yang mereka pilih perlu dianalisis supaya lebih
jelas apakah sumbangan mereka yang sebenarnya dalam input yang bersifat
intelektual dan ilmu. Apakah nilai baru yang mereka tampilkan? Adakah ini yang
kita mahu? Kalau dihuraikan semua ini, kita nanti akan melihat apa yang
sebenarnya berlaku dalam perkembangan intelektual para sasterawan dan kesannya
dalam pembinaan budaya ilmu. Adakah kita sebenarnya membina budaya pandirisme,
bukan budaya ilmu? Tentu menarik jika persoalan ini dapat dilihat dengan jelas
dalam karya para sasterawan negara ini dan dalam kritikan sastera, terutama
yang diserlahkan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Sejarah kritikan
yang ditulis oleh Prof. Hashim Awang dan kawan-kawannya tidak menyentuh
sumbangan Panel, yang saya kira akan menjadi sangat menarik jika dibaca bersama
syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Sarjana sastera
tidak melihat karya ini sebagai sumbangan penting dalam kritikan sastera
Melayu, satu keputusan yang salah. Konsep hegemoni yang disentuh oleh Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertasnya perlukan analisis yang kritis, kerana
yang beliau maksudkan ialah pentingnya status
quo dikekalkan seperti sekarang. Dengan itu tidak perlu diadakan perubahan,
dan ini pula memberi implikasi pengaruh Barat mesti dipertahankan dan dijadikan
ukuran yang standard dalam kritikan sastera. Apakah nanti nilai-nilai yang
dijadikan sandaran? Semua ini perlu dijelaskan dan diberi konteksnya yang
betul. Jika tidak, penilaian kita terhadap karya kreatif tidak tepat, seperti
yang dapat dilihat dalam penilaian para sarjana terhadap karya para sasterawan
negara. Benarkah karya para sasterawan negara ini kaya dengan muatan ilmu? Atau
hanya rimbun dengan cerita penglipur lara saja? Pengaruh penglipur lara itu
sangat besar, tetapi tidak dilihat dengan jelas dan pasti oleh para sarjana
sastera kerana mereka terikat kepada teori sastera Barat. Misalnya sajak “Pulang
Si Tenggang”, Panel menganggapnya karya intelektual dan sajak ini menjadi
begitu terkenal. Padahal sajak ini adalah simbol pandirisme yang paling
menonjol dalam sastera Melayu moden. Bagaimana kita boleh huraikan kesimpulan
Panel dan kesimpulan kedua itu? Kita perlu meneliti teori sastera dan kaedah penilaian yang dipakai. Dalam konteks
inilah kita perlukan sejarah intelektual yang saya maksudkan.
Seperti yang
saya tegaskan, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia adalah usaha terancang untuk
melindungi para sasterawan negara dan para sarjana ciritan daripada kritikan.
Mereka tidak mahu adanya pembaharuan dan perubahan, kerana itu mereka sepakat
tidak perlu bincang dengan mendalam konsep ilmu dalam kesusasteraan dan dalam
kritikan sastera. Mereka tidak mahu gagasan Persuratan Baru dibincangkan,
kerana mereka berasa jika itu dilakukan, maka gagasan Persuratan Baru
seolah-olah ditonjolkan sebagai satu alternatif dalam kritikan sastera.
Bagaimana mereka akan hidup sebagai sarjana jika semua hasil tulisan mereka akan
dinilai daripada perspektif Persuratan
Baru? Sekarang anda lihat apa makna istilah hegemoni yang menjadi kegemaran Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad itu. Maknanya: jangan
ada perubahan, kerana ini akan menyusahkan kita semua. Kena belajar balik
banyak perkara, kena kritik pendekatan Barat yang memang senang digunakan dalam
penulisan kertas yang cetek meraba-raba itu. Persis inilah “minda tertawan”
yang mereka perkatakan tanpa memahaminya dalam konteks perkembangan falsafah
Barat. Mereka berbicara tentang diri mereka sendiri yang terbelenggu dengan
fahaman yang cetek tentang teori sastera Barat yang mereka peragakan dengan
sombong dalam tulisan mereka, mereka-reka cerita sambil menderetkan hujah
mereka dengan ambilan dari teori Barat padahal yang mereka jadikan hujah itu
kedudukannya seperti baju kertas Pak Kaduk, dijentik saja sudah koyak rabak.
Contoh paling mudah saya kemukakan dalam “Keunggulan yang Cacat” ( lihat entri
bertarikh 28/10/2014).
Tiga Jalur Perkembangan Intelektual
Pada
pemerhatian saya, kita mempunyai tiga jalur perkembangan dalam kesusasteran dan
persuratan Melayu. Jalur pertama berteraskan Islam, kita mulai dari Za’ba, Syed
Sheikh al-Hadi, Dr. Burhanuddin, Rahim Kajai, Syed Muhammad Naquib al-Attas,
Mohd. Affandi Hassan, Dr. Wan Mohd Nor dan lain-lain. Sebenarnya jalur pertama ini bermula dari
Hamzah Fansuri lagi, tetapi untuk memudahkan analisis, kita mulai dari
Za’ba. Apa nama yang sesuai untuk jalur
pertama ini? Saya cadangkan jalur persuratan, tetapi ini hanya cadangan mudah,
boleh diubah jika kita menemui judul yang lebih tepat. Jalur kedua saya
cadangkan dipanggil jalur nasionalis, Ishak Hj. Muhammad, Ahmad Boestamam,
Hamdam, Ahmad Bakhtiar (?), Harun Mohd.
Amin, Pungguk dan seterusnya. Jalur ketiga dipelopori Asas 50, boleh kita panggil
jalur sosialis marxis, atau lebih tepat lagi inilah jalur sasterawan.
Selepas
kerajaan Malaysia memberi muka dengan melantik anggota Mutual Admiration Club
ini untuk dijadikan sasterawan negara, maka mereka semakin berani mendesak
supaya kumpulan Mutual Admiration Club
ini diberi kemudahan yang melampau seperti yang diputuskan dalam rumusan
(mereka panggil resolusi) Sidang Kemuncak Penulis Malaysia. Dalam resolusi itu,
tidak terbayang peranan ilmu dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia, sebaliknya
ditekankan pentingnya mereka diberikan beberapa faedah baru/faedah tambahan.
Semuanya untuk faedah kumpulan Mutual Admiration Club. Kalau anda baca dengan teliti resolusi ini,
anda akan dapat melihat semua yang dicadangkan itu untuk memberi faedah kepada
kumpulan ini. Jika mereka sebut tentang pengajaran dan pendidikan sastera,
mereka berminat untuk menjadikan karya golongan mereka sebagai bahan bacaan
atau teks. Dari segi perkembangan ilmu dan pembinaan tamadun, kumpulan ini
sebenarnya berbahaya kerana mereka hanya berminat dalam mendapatkan faedah
maksimum untuk keuntungan kumpulan mereka. Baiklah ditegaskan di sini, jika
resolusi ini diterima dan dilaksanakan, maka terbinalah hegemoni kumpulan
Mutual Admiration Club ini. Persatuan penulis seluruh Malaysia, terutama yang
bergabung dengan Gapena, perlu mengkaji resolusi ini dengan kritis supaya anda
semua tidak terpedaya. Anda tidak boleh ambil mudah dalam perkara ini, kerana
anda sendiri akan bertanggungjawab dalam pembinaan tamadun negara anda. Jangan
biarkan kumpulan ini bertindak atas nama anda sedangkan yang buat itu
bertentangan dengan sifat peradaban yang diasaskan kepada konsep ilmu, bukan
berasaskan khayalan kreatif yang dikenali sebagai sastera.
Kesimpulan
Akhirnya untuk faedah persuratan Melayu yang sedang
kita bina kembali, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan yang boleh membawa
kita ke arah pembinaan budaya ilmu dan akhirnya menjadi tonggak pembinaan
tamadun kita yang berteraskan ilmu yang benar.
Pertama sekali, kita perlukan penulisan sejarah
pemikiran para cendekiawan Malaysia untuk menjadi rujukan dan panduan kita,
terutama dalam pendidikan. Kita perlu tahu siapakah tokoh kita sendiri dan
apakah sumbangan mereka dari segi pemikiran. Untuk tujuan menjayakan projek
ini, universiti perlu memberi kerjasama untuk menamakan pakar mereka dalam
bidang masing-masing. Supaya projek yang bersifat ilmu ini dapat diteruskan,
kita perlu wujudkan satu badan untuk meneliti semua aspek yang bersifat
intelektual, pemikiran, inovasi dan sebagainya. Apakah namanya yang sesuai
boleh kita fikirkan kemudian, tetapi kita perlu tahu apa yang kita hendak
laksanakan dan untuk maksud apa. Kita tidak boleh membuang masa, wang dan
tenaga jika kita tidak jelas dalam matlamat yang kita ingin capai. Kita tidak
perlu bangunan baru untuk menempatkan institusi ini, gunakan saja kemudahan
yang ada kerana hasilnya nanti akan berguna kepada institusi pengajian tinggi
dan penerbitan berkualiti. Siapa beruntung dia akan menerima tanggungjawab
ilmiah ini untuk ditempatkan di institusi mereka. Kalau kita benar-benar mahu
perkenalkan negara kita, inilah caranya yang paling bijak, kerana kita akan
memperkenalkan tokoh kita dalam semua bidang kehidupan kita dan pada waktu yang
sama memperkenalkan idea bernas yang mereka telah lahirkan. Rasanya cadangan
ini tidak wajar ditolak atau diketepikan dan semua persatuan penulis harus
menyokongnya. Pembangunan tidak saja pada bangunan dan berapa ribu ekar kelapa
sawit yang kita tanam, tetapi lebih utama ialah berapa ratus pemikir dan tokoh
penting dalam segala bidang kehidupan yang telah kita lahirkan, yang layak
diperkenalkan di seluruh dunia. Projek ini sangat bermakna kerana kita nanti
akan melihat manusia istimewa di negara kita dari semua bangsa dan semua
golongan masyarakat, termasuk di kalangan orang asal, yang mungkin akan muncul
sebagai pembina naratif penglipur lara yang ulung yang selama ini kita tidak
kenal kerana terlalu mementingkan kemajuan dalam budaya pandirisme untuk faedah
anggota Mutual Admiration Club semata-mata.
Pada waktu ini kita amat perlukan satu antologi esei
dalam bahasa Melayu yang mengandungi makalah dalam pelbagai bidang, ditulis
oleh pakar-pakar kita sendiri atau pakar-pakar luar. Katalah judulnya, Antologi Persuratan Melayu: Kumpulan Makalah
dalam Pelbagai Bidang Ilmu. Sudah ada tulisan yang baik-baik dalam bahasa
Melayu, misalnya tentang falsafah sejarah, falsafah sains, falsafah pendidikan,
kritikan sastera, tentang ilmu alam, dan dalam bidang-bidang sains
kemasyarakatan dan sains tulen, serta matematik. Kita hanya perlu seorang atau
dua orang editor yang akan membuat pilihan dan menulis pendahuluannya. Dengan
kata-kata aluan daripada sama ada Prof. di Raja Ungku Aziz atau Prof. Tan Sri
Syed Muhammad Naquib al-Attas. Tak sabar nak tengok buku ini diterbitkan, untuk
dijadikan teman waktu bosan membaca yang remeh-temeh yang tak dapat
dielakkan.
Pada waktu ini kita sepatutnya sudah mempunyai
sejumlah pengarang kita yang telah diteliti sumbangan mereka secara kritis dan
diterbitkan dalam bentuk karya lengkap pengarang yang kita pilih itu. Bila
agaknya kita boleh melihat hasil kerja para sarjana kita dalam menghormati para
pengarang kita dengan terbitnya kumpulan karya lengkap mereka? Ini yang kita
mahu lihat, kerana inilah tanda adanya pengarang kita yang layak diberi
penghormatan itu. Inilah bukti kejujuran kita membina budaya ilmu. Apakah yang
menghalang kita daripada melakukan usaha terpuji ini?
Cengkaman Budaya Pandirisme
Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia diadakan tergesa-gesa untuk menghabiskan peruntukan
kewangan yang tidak dibelanjakan. Walaupun
sidang ini dari segi persiapannya cukup memuaskan, namun dari segi perancangan
pengisiannya tidak berapa tersusun. Kertas yang dibentangkan tidak ada yang boleh
dijadikan bahan perbincangan yang mengarah kepada pembinaan budaya ilmu,
sebaliknya yang menyerlah ialah budaya pandirisme dalam pretensi intelektual
yang terlalu ketara dibuat-buat. Ambil saja kertas “akademik” Ketua I PENA.
Apakah yang dapat kita ambil manfaatnya daripada kertas yang berjela dengan
kutipan panjang-panjang ini? Kalau hanya untuk memberitahu apa maksud hegemoni dalam
politik (yang boleh dibawa dalam perbincangan sastera?) sebagai kesan dari
sesuatu ideologi yang dipaksakan ke atas masyarakat, maka rasanya kertas itu
telah salah masuk majlis, oleh itu tidak patut berada dalam majlis sastera.
Walaupun kertas ini memakai judul tema buku, isinya tidak sedikit pun
menghuraikan bagaimana karya sastera boleh dijadikan teras negara bangsa. ITBM telah banyak berbelanja dan peserta
membuang masa hanya untuk menulis resolusi yang lebih mengarah kepada
kepentingan diri sasterawan, minta itu minta ini, semuanya untuk kepentingan
diri masing-masing.
Supaya tidak
terlalu kecewa, saya cadangkan supaya ITBM berani mengadakan pertemuan untuk
membincangkan aspek ilmu dalam penulisan. Dan ini ada kaitannya dengan kaedah
yang digunakan untuk menilai karya bermutu atau tidak; dan bagaimana subjek
sastera itu boleh diajar dengan berkesan untuk membangkitkan daya fikir para
pelajar. Kaedah yang digunakan sekarang membebankan kerana terlalu banyak yang
remeh temeh dijadikan syarat untuk membangkitkan rasa gemar kepada karya
sastera. Tidak mungkin terjadi dalam kaedah yang ada sekarang. Para pelajar
tidak diajar untuk mengenal apa yang dimaksudkan dengan karya yang baik dan
bermutu, dari segi apa mereka dapat mengesannya, bagaimana pengarang menjalin
wacana dan cerita di dalam karya, dan apakah mesej besar yang mahu disampaikan.
Adakah mesej itu mengandungi nilai-nilai murni seperti yang dijadikan syarat
oleh Kementerian Pendidikan? Dengan kaedah yang betul yang memberi peluang
kepada pelajar untuk berdialog dengan bimbingan guru, apa juga karya yang
terpilih boleh dijadikan menarik untuk dibincangkan, paling tidak pelajar
didedahkan kepada kebodohan atau kecerdikan pengarang, biar mereka dapat
merasakan sendiri kepintaran pengarang menjalin karyanya atau gagal berbuat
demikian. Semua ini boleh dibincangkan dengan mendalam sekiranya diadakan
seminar mengenai peranan ilmu dalam kesusasteraan dan penilaian hasil kreatif.
Inilah yang akan membantu para pelajar membaca dengan betul, dan dari situ mereka
akan dapat melihat dan merasakan kehebatan karya yang hebat atau kebodohan
karya yang tidak terurus dari segi penampilan idea dan ilmu. Fokus mestilah
kepada ilmu, hanya dengan itu saja kita dapat mencerdikkan para pelajar kita,
dan guru-guru mereka juga.
Apakah yang menghalang Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia daripada membincangkan peranan persuratan dalam membangunkan tamadun
ilmu di Malaysia? Saya tertarik membaca tulisan mengenai “minda tertawan”
tulisan seorang peserta. Kesan saya, pertemuan penting dengan judul yang begitu
hebat (Sidang Kemuncak…), sebenarnya telah berjaya mendedahkan bagaimana
kukuhnya cengkaman “minda tertawan” itu dalam perbincangan tentang sastera di
Malaysia. Paling jelas, mereka seolah-olah
dalam ketakutan untuk membincangkan peranan ilmu dalam kesusasteraan, yang
sepatutnya mereka jadikan tema utama. Tetapi kerana “minda” mereka tertawan,
sudah ditawan oleh pengaruh pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden, maka
jadilah mereka seperti yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas,
mereka adalah kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba”, yang tidak mendalami
tradisi bangsa sendiri, dan tidak pula mendalami tradisi Barat yang mereka tiru
dengan penuh ghairah. Inilah wajah sebenar para sasterawan dan sarjana sastera,
sehingga membuat mereka jadi pemalu untuk berdepan dengan persoalan sebenar
dalam kesusasteraan Melayu, iaitu tentang kuatnya pengaruh budaya pandirisme
yang sudah dijadikan arus perdana. “Minda” yang tertawan itu hanya dapat
dibebaskan jika anda menolak pandirisme dan menerima peranan ilmu dalam
perkembangan sastera. Peranan pandirisme dalam sastera Melayu moden
dibincangkan dalam Gagasan Persuratan
Baru, edisi kedua 2014.
Pandirisme
adalah satu tajuk yang tidak boleh diketepikan dalam apa-apa juga persidangan
yang bercorak intelektual. Jika aspek
ini tidak diberi perhatian serius dan dibincangnan dengan mendalam, kemunculan para sasterawan negara akan
dianggap sebagai kemuncak hegemoni
pandirisme dalam perkembangan intelektual Malaysia. Ini telah dibuktikan dengan baik sekali oleh
Mana Sikana dalam bukunya, Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan, yang walaupun tujuannya untuk menyanjung para
sasterawan negara, namun buku itu gagal menghujahkan tujuan itu kerana tidak
ada ukuran yang boleh digunakan dan diuji ketepatannya. Dengan menggunakan
kaedah yang dinamakan teksdealisme yang dicadangkan oleh Mana Sikana, para
sasterawan negara telah gagal diberi analisis dan penilaian yang tepat.
Teksdealisme memberi tumpuan kepada kreativiti penulis, satu kaedah yang
popular Abad 19 dulu, gagal membuktikan para sasterawan negara ini telah
menghasilkan teks yang ideal, yang benar-benar unggul. Teksdealisme sendiri
telah dicabar sebagai kaedah yang amat sloppy dan selekeh, yang menolak aspek
intelektual dalam penulisan kreatif, terutama sekali jika dinilai daripada
perspektif konsep ilmu yang benar. Kalau
ukurannya sudah salah dan mengelirukan, maka bagaimana kita boleh pasti para
sasterawan negara ini telah menghasilkan karya yang benar-benar layak dijadikan
asas tamadun negara bangsa. Inilah isu besar yang sepatutnya dibincangkan
dengan mendalam di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia.
Mohd. Affandi Hassan,
14 Januari 2015. Dibaiki/sunting kembali 4/10/2015.
No comments:
Post a Comment