Monday, March 28, 2016

KRITIKAN SASTERA BARAT SEBAGAI LAMBANG KEMENANGAN IBLIS MEMPERDAYA MANUSIA: Satu Wacana Dalam “Decolonising the University.”

(Bahagian II)

Para sasterawan negara telah diletak di takhta keunggulan oleh seorang sarjana yang diragui kesarjanannya, sekurang-kurangnya itu kesan saya sendiri membaca tulisan beliau. Kalau itulah hasil kesarjanaan, maka hampir semua pelajar tahun satu layak menjadi sarjana andainya mereka mengemukakan hasil kerja yang baik. Saya ada contoh di luar negeri, tulisan seorang pelajar yang bernama Glen W. Butler, yang disiarkan dalam Lethbridge Undergraduate Reseacrh Journal, Volume 1 Number 1, 2006. Esei beliau berjudul, “New Criticism: the Challenger, the Winner, and the Lasting Legacy.” Membaca tulisan ini dalam konteks Gagasan Persuratan Baru, saya dapati tidak sebuah pun esei Mana Sikana, pengasas teksdealisme boleh sampai ke tahap yang dicapai oleh Glen W. Butler; tidak juga mana-mana tulisan yang terdapat dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Tentu saja kesimpulan ini perlu dicabar, untuk membuktikan kualiti akademik para sarjana sastera Melayu tidak boleh dicabar.

Benarkah sasterawan negara berada di atas takhta keunggulan?  Jika kita percaya Mana Sikana, tunggul pun berada di takhta keunggulan sebagai tunggul. Jika betul sasterawan negara ini mencapai kedudukan itu kerana mereka semua telah melakukan pelanggaran yang sangat hebat dalam pencapaian kreatif mereka, maka kita perlu lihat dengan kritis apakah maksud pelanggaran dalam teksdealisme. Kata Sikana: “Pelanggaran ialah konsep yang membawa unsur revolusi dalam sastera. Penciptaan yang bersifat konvensional dan mentradisi, harus dilakukan pemberontakan, rombakan dan pengubahan untuk meneroka  sesuatu yang baharu.  ...” (dan seterusnya, hal. 88: Berdiri di Akar Diri.) Apakah makna kutipan pendek ini? Inilah contoh tulisan sarjana ciritan yang memuntahkan kata-kata, tetapi kosong makna. Pelanggaran, apa pun maknanya, disamakan dengan revolusi; dan revolusi itu pula bermaksud rombakan dan pengubahan untuk meneroka sesuatu yang baru.  Katalah kita terima pengertian ini, maka kita akan dapati tidak seorang pun daripada sasterawan negara itu melakukan apa-apa pelanggaran dalam maksud revolusi itu. Kalau ada pun hanya cebisan pelanggaran, berupa kejutan sensasi yang tidak bersifat “revolusi.”   Karya para sasterawan negara memang kaya dengan cebisan sensasi ini.  Saya biarkan anda cari sendiri contohnya yang banyak boleh didapati dalam karya para sasterawan negara ini. Sensasi bukan revolusi. Katalah kita terima konsep revolusi itu; maka adakah itu bermakna karya yang unggul yang melanggar tradisi dan konvensi (entah apa maknanya tak usah peduli) itu unggul kerana melanggar tradisi dan konvensi?  Tradisi apa yang dilanggar dalam karya Anwar Ridhwan? Novel pertamanya tentang seorang penglipur lara, yang dinaikkan tarafnya sebagai seorang seniman. Adakah ini satu pelanggaran? Tetapi perwatakan Pak Hassan tidak sedikit pun menampakkan beliau seorang seniman yang berfikir dan dari situ menghantar idea revolusi kepada kita seperti yang ditegaskan oleh Sikana. Tidak ada pelanggaran apa-apa, hanya cerita biasa seorang penglipur lara Melayu yang dijadikan watak biasa yang amat lemah dalam novel ini, dengan kehidupan yang penuh takhayul yang memang cara hidup penglipur lara. Apakah yang baru? Selalu disebut, di luar konteks, yang baru itu ialah keupayaaan Anwar Ridhwan membawa seorang pelipur lara ke peringkat antarabangsa, dengan itu menjadikan sastera Melayu itu sangat terkenal di luar negara, dengan bukti karya itu diterjemahkan dalam banyak bahasa. Jika itulah ukurannya, maka hampir semua sasterawan negara, kecuali Anwar Ridhwan, adalah sasterawan biasa saja, tidak sampai ke peringkat antara bangsa untuk diterjemahkan. Tetapi saya fikir tidak wajar ukuran ini digunakan, kerana minat penterjemah tidak semestinya boleh dijadikan bukti keunggulan karya itu. Kita masih perlukan ukuran yang sungguh-sungguh mantap, yang bila dikena ke atas karya ini membuatnya betul-betul melepasi ujian penilaian yang mantap tadi. Apakah asas ukuran itu? Nampaknya inilah yang menjadi hambatan, oleh itu dengan mudah saja dketepikan dan tidak dibahaskan dengan sewajarnya oleh para sarjana sastera. Apa yang kita dapat daripada tulisan mereka  ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini bukanlah tentang “pemikiran”, tetapi hanya sekadar pemilihan ciri yang dianggap menojol yang boleh disesuaikan dengan beberapa teori sastera Barat, yang jelas di luar konteks. (Saya tidak akan menyebut contoh-contohnya di sini, kerana telah saya bicarakan dalam beberapa entri dalam blog ini. Sesiapa yang berminat silalah cari entri yang berkenaan.)

Saya ingin menegaskan lagi bahawa konsep “pelanggaran” hanya digunakan dengan selesa oleh pengkritik Barat kerana aspek ini ada disebut dalam teori mereka, walaupun  tidak ditegaskan, kecuali oleh Harold Bloom.  Jikalau kita masih bangga menjadi seorang Islam dan tahu cerita Iblis memperdaya dan menipu Nabi Adam ‘a.s. untuk  melanggar perintah Allah, maka itulah “pelanggaran” sebenarnya dan ini memang menjadi ukuran dalam teori sastera Barat yang telah menolak agama itu, maka adakah sarjana kita juga bangga menjadi pengikut Iblis seperti sarjana Barat yang menolak agama itu?  Apa yang anda boleh  buat, untuk mempertahankan konsep “pelanggaran” bikinan Sikana ini, ialah menafikan terdapatnya peristiwa itu dalam al-Quran, dan jika terdapat sekali pun, maka maknanya tidak seperti yang dimaksudkan oleh Sikana dalam konsep  “pelanggarannya.”  Hanya ketika itu saja anda boleh berbangga telah menemui satu  konsep unggul dalam kritikan sastera Melayu, yang membolehkan kita mengangkat para sasterawan negara di takhta keunggulan sebenar.  Dalam keadaan sekarang, konsep “pelanggaran” bikinan Sikana ini tidak boleh dijadikan ukuran dalam penilaian yang berasaskan ilmu yang benar yang menjadi anutan sarjana Islam (walaupun mereka tidak mahu mengaku), yang cukup tahu cerita di dalam al-Quran itu. Tentu saja sangat kejam jika ada yang berkata sarjana kita tidak pernah kenal siapa Iblis, walaupun mereka menggunakan perkataan itu ketika mereka marah atau ketika sedang menghamun seseorang yang mereka amat benci. Jadi sudah jelas mereka kenal Iblis dan benci sungguh kelakuan Iblis itu, yang menggunakan konsep “pelanggaran” untuk menipu Nabi Adam ‘a.s. supaya melanggar larangan Allah SWT.  Dalam novel Naratif Ogonshoto  karya terbesar Anwar Ridhwan, dan telah diterima sebagai karya teragung Malaysia (sila rujuk kertas kerja Prof. Madya Dr. Noriah Taslim dalam Seminar Pemikiran Sastera Negara Anwar Ridhwan 2013, juga  buku Mawar Shafie), maka pelanggaran seperti yang dimaksudkan oleh Sikana ialah dalam peristiwa tsunami yang dikatakan mencontohi cerita sebenar dalam al-Quran tentang banjir besar itu? Adakah rujukan Anwar Ridhwan ini terjadi hasil “pelanggaran” atau lebih tepat lagi hasil dari kejahilan beliau?  Mana-mana pun alasan atau ukuran yang anda ambil, kedua-duanya, dari perspektif al-Quran, adalah pembohongan yang tidak boleh dinafikan. Tetapi kata para sarjana, jika benar sekalipun satu kesilapan besar telah berlaku, secara keseluruhannya novel agung itu masih tetap agung sebagai sebuah karya kreatif yang ditulis dengan handal sekali, seperti kata Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam ucap utamanya, “Di antara pengarang kita, Anwarlah yang paling jauh langkah depannya – beliau sudah sampai ke simpang pilihan, terutama dalam Naratif Ogonshoto, dan yang dipilihnya ialah dunia antarabangsa serta gaya yang mengambil manfaat daripada Marquez serta beberapa pengarang lainnya.”  Kalau benarlah pendapat Prof. Emeritus ini lahir daripada seorang sarjana ulung yang dihormati, dengan menyebut Marquez sebagai contoh yang diangkat sebagai tokoh “supreme” dalam magic realism, maka beliau seolah-olah memberitahu kita peristiwa banjir besar dalam al-Quran yang terdapat dalam novel teragung ini digunakan oleh Anwar Ridhwan dalam konteks “magic realism”, oleh itu tidaklah menjadi satu kesalahan dalam karya kreatif, dibenarkan dalam proses intertektualiti seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mawar Shafie.  Walaupun penjelasan begini sangat aneh dan jelas sekali bermaksud untuk mempertahankan Anwar Ridhwan, bukan mempertahankan kebenaran al-Quran,  bagi sesiapa juga yang ada sedikit pengetahuan agama dan menerima al-Quran sebagai “kitab yang nyata” yang tidak terdapat di dalamnya unsur  ‘iwajan yang menjadi sifat utama novel sepert Naratif Ogonshoto ini,  tentulah tidak dapat menerima magic realism sebagai satu aspek yang penting dalam penulisan novel (inilah penegasan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh), mengatasi cerita benar al-Quran. Jika penghujahan ini anda anggap sengaja diada-adakan, anda harus memberi hujah yang lebih mantap untuk menolak bacaan saya.  Barangkali anda boleh berkata, Naratif Ogonshoto bukan sebuah karya persuratan yang memberi keutamaan kepada konsep ilmu yang benar, tetapi hanya sebuah novel sastera yang biasa ditulis di Malaysia, oleh itu apa juga aspek Islam tidak relevan dalam penilaian novel itu. Saya hanya boleh berkata, “Suka hati kamulah!”.

Saya diberitahu, karya persuratan tidak wujud dan tak akan wujud dalam penulisan kreatif Malaysia, kerana secara konsensus para sarjana sudah menerma dan menetapkan hanya karya sastera yang diiktiraf, yang kata mereka adalah juga karya ilmu. Ini telah dibuktikan dalam sebuah kertas kerja “seorang sarjana poyo” (penegasan ini oleh pemberi maklumat) yang dibentang dalam Seminar Pemikiran Anwar Ridhwan 2013 itu.  Inilah kesimpulan beliau:  “Kehadiran teks ini menepis pandangan yang ‘meragui’ sumbangan pengarang yang melihat bahawa sastera kreatif yang “diusahakan oleh para ‘sasterawan negara’ selama setengah abad ini, hanya memperlihatkan wajah buruk  dalam perkembangan budaya dan pemikiran Melayu, wajah tokoh-tokoh penulis yang keliru tentang konsep ilmu dan kacau dari segi nilai ... karya-karya baik d Malaysia pada hakikatnya hanya mencerminkan kekeliruan, kebodohan, kecetekan pemikiran, kejahatan manusia tidak (sic) yang dangkal, dan kepalsuan nilai dan penilaian yang dipakai ...” (Mohd. Affandi Hassan, 2008: 172-173). Justeru, cerpen ini merupakan yang terbaik dalam kalangannya yang fokus kepada peristiwa 13 Mei 1969.” (Kertas kerja Dr. Awang Azman Awang Pawi, “Sejarah, Strategi Naratif dan Ideologi 1305.”) 

[Nota: Teks yang dimaksudkan ialah karya Anwar Ridhwan,  Satu Tiga Sifar Lima, DBP 2012. Rujukan Mohd.Affandi Hassan kepada bukunya, Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, edisi pertama 2008. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia/ATMA, Bangi 2008.  Edisi kedua 2014 buku ini dengan judul baru, Gagasan Persuratan Baru.  Dengan pendahuluan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, “Persuratan Baru: Anjakan Positif yang diperlukan oleh Sastera Melayu,”  berasal daripada kertas kerja beliau yang dibentang di Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, UPSI 28-29 September 2012. Saya salin kutipan yang dibuat Dr. Awang Azman Awang Pawi sebelum diubah/edit oleh beliau:  “Sastera dalam konteks kreatifnya, seperti yang diusahakan oleh para ‘sasterawan’ selama lebih setengah abad ini, hanya memperlihatkan wajah buruk dalam perkembangan budaya dan pemikiran orang Melayu, wajah tokoh-tokoh penulis yang keliru tentang konsep ilmu dan kacau dari segi nilai. Mereka hanya peniru yang tamak dalam merangkul budaya barat, dan tidak malu mengisytiharkan diri sebagai pewaris sastera dunia, tanpa mengetahui implikasi dari segi nilai dan bentuk budaya yang hendak dibina daripada perisytiharan itu. Adakah mereka faham? Sebagai peniru, mereka tidak faham, dengan itu mencampakkan diri mereka dan karya mereka ke dalam lubuk kekeliruan dan kesesatan budaya hawa nafsu yang menjadi tunjang sastera barat yang ditiru itu. Akibatnya, karya-karya yang dianggap baik di Malaysika pada hakikatnya hanyalah mencerminkan kekeliruan, kebodohan, kecetekan pemikiran, kejahatan manusia tidak bermoral yang dangkal, dan kepalsuan nilai dan penilaian yang dipakai. Semua aspek ini dibahaskan dalam Pujagga Melayu dan dalam karangan-karangan saya yang lain, oleh itu tidak akan diperincikan di sini. Adakah keadaan ini perlu diteruskan? Inilah cabaran kreatif dan intelektual yang ditekankan dalam gagasan Persuratan Baru.”  (semua huruf condong adalah bahagian yang ditinggalkan atau diedit.]

Memang benar, inilah contoh penghujahan sarjana poyo, yang cukup jelas tidak memahami gagasan Persuratan Baru seperti yag dihuraikan dengan jelas dalam banyak tulisan mengenainya.  Seperti biasa, sarjana poyo begini tidak dapat membezakan antara konsep ilmu dengan maklumat. Jelas dalam kritikan beliau  yang cetek meraba-raba itu beliau meletakkan setaraf antara ilmu dengan maklumat. Apakah yang membuat para sarjana ciritan tidak dapat memahami perbezaan antara ilmu dengan maklumat?  Memang betul dalam teori kritikan sastera Barat, dua konsep ini tidak dibezakan, oleh itu mereka amat selesa menerima methodologi Iblis dalam kisah pelanggaran yang ditegaskan dalam al-Quran itu. Bagi orang yang tidak percayakan agama, dan menolak al-Quran sebagai sumber ilmu, tentulah tidak perlu dibezakan dua konsep penting ini. Tetapi saya kira ini bukan pendirian para sarjana sastera Melayu, kecuali oleh sebahagian di antara mereka yang bangga menjadi sarjana poyo yang cetek meraba-raba.

(Bahagian III akan menyusul.)

Mohd. Affandi Hassan, 28/3/2016.



No comments:

Post a Comment