Sunday, March 20, 2016

Bahagian III (penutup): MAWAR TIDAK SAMA DENGAN ROS: Satu Analisis Berasaskan Dekonstruksi Bikinan Jacques Derrida

Benarkah saya terlalu keras mengkritik sasterawan negara dan sarjana sastera yang memuji mereka?  Kalau anda pernah membaca karya kritikan Barat, dan juga karya falsafah, pertanyaan ini tidak timbul, kerana terlalu angkuh untuk dijadikan isu.  Kalau anda seorang yang tajam inteleknya, seorang yang cerdik, dan berminat dalam pemikiran para penulis, anda akan dapati saya tidak peduli pun para sasterawan ini, sebelum mereka dilantik menjadi sasterawan negara. Ketika itu, saya tidak membaca karya mereka, kerana  memberi tumpuan kepada perkara lain yang lebih bermanfaat. Hanya apabila mereka dilantik menjadi sasterawan negara, saya jadi terkejut dan amat hairan, maka ketika itulah timbul minat untuk membaca karya mereka. Benarkah mereka mewakili penulis paling cerdik, dan sejauh mana kecerdikan mereka? (Seseorang mencelah dengan sinis: Adakah anda sendiri cerdik, pintar? Mana buktinya?  Saya hanya menjawab mudah: Andalah buktinya!  Tentu saja dia tidak faham permainan bahasa falsafah. Saya fikir hingga sekarang pun masih tidak faham rejoinder saya itu.)  Saya membaca karya para sasterawan negara ini untuk mengetahui mengapa mereka layak dilantik menjadi sasterawan negara, apakah makna pelantikan mereka, apakah sumbangan intelektual mereka.  Ketiga-tiga soalan ini tidak pernah ditanyakan oleh sarjana sastera, yang daya inteleknya hanya sejenis “pulut pagi”, meminjam satu ungkapan Kelantan. Dalam konteks seharian, “mendapat pulut pagi” adalah suatu perkara yang menyenangkan; tetapi apabila digunakan dalam konteks kepintaran seseorang, “otak pulut pagi” tidak lagi bermakna seperti yang pertama. Pulut pagi senang didapat, dan harganya murah, menjadi makanan ringan bagi yang berminat dengan pulut.  Adakah para sasterawan negara juga hanya sejenis “pulut pagi”?  Saya telah menulis banyak tentang mereka, memberi pandangan yang kritis, tetapi diiringi dengan hujah dan bukti yang bila-bila saja boleh ditolak oleh sesiapa saja yang memahami hujah itu dan sekali gus  menafikan bukti yang diberikan.  Khusus berkaitan dengan tajuk entri ini, anda boleh rujuk misalnya entri bertarikh  24 Jun 2014 (Kemunculan sasterawan negara adalah satu penyelewengn budaya ...);  2 Jun 2014 (Manakah karya besar sasterawan negara? ...);  31 Mei 2014 (Tentang Pandirisme dan Mutual Admiration Club ...).  Lihat juga entri bertarikh 4 April 2014 (Revolusi Persuratan Melayu: Menangani Perubahan Abad 21 yang Tidak Dapat dielakkan).  Saya telah mengumpulkan sebahagian besar tulisan di blog mengenai sasterawan negara, diberi judul “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara” (manuskrip 251 halaman; tersimpan di beberapa perpustakaan penting, termasuk DBP).

Adakah penjelasan ini menjawab kemusykilan yang sering disuarakan, mengapa saya hanya memberi perhatian kepada para sasterawan negara dan sarjana sastera  pemuji mereka?  Sebagai seorang yang pemurah, saya memberi mereka (yakni para sarjana dan sasterawan) untuk menilai pemikiran saya dan kualiti kreatif saya; dengan misalnya mencadangkan supaya sajak “Al-Andalus” (tentang pemikiran tokoh tamadun Islam, dimuat dalam Pujangga Melayu) dengan membacanya secara kritis dan kreatif bersama sajak sasterawan negara Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tanggang”; atau membahaskan dengan kritis Gagasan Persuratan Baru dengan membandingkannya dengan apa yang disebut “teori sastera Melayu” yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh akademik yang amat terkenal (sering disebut “tersohor”), dengan meneliti prinsip-prinsip yang mereka lontarkan dan melihat sejauh mana mereka telah berjaya mempengaruhi perkembangan kritikan dan sejauh mana pula “fikiran bernas” mereka dimanfaatkan oleh para penulis. Kemudian, anda dijemput untuk membicarakan karya saya “Rumah Impian Polan Cupan” (termuat dalam Balai Maqamat), dengan misalnya membuat perbandingan dengan karya sasterawan negara Anwar Ridhwan yang dikatakan sudah dianggap Raja Intertekstualiti di Malaysia.  Walaupun karya saya sebuah cerita pendek yang sederhana, tetapi ilhamnya daripada Pak Pandir, tokoh Melayu yang paling cerdik yang telah melahirkan seorang cucu bernama Polan Cupan, seorang genius Melayu yang tidak dikenali. Bagaimana jika beliau dibaca bersama cerita Pak Hassan the creation of Anwar Ridhwan?  Ini satu peluang yang baik untuk para sarjana membuktikan mereka bukan sarjana poyo (meminjam slanga anak muda Malaysia), sebaliknya boleh berfikir seperti Jacques Derrida!  Walau bagaimanapun, anda tidak perlu melayan cabaran saya, kerana beban intelektual yang akan anda pikul terlalu berat bagi seorang yang hanya biasa mengangkat satu baldi kecil air untuk menyiram pokok bunga di dalam pasu di halaman rumah.  Tetapi saya ingin mencadangkan supaya ITBM (DBP tidak mungkin melakukannya) mengadakan satu seminar membincangkan kritikan saya terhadap sasterawan negara; atau lebih baik lagi diadakan seminar khusus untuk menilai sehabis kritis sumbangan Mohd. Affandi Hassan sebagai pencetus Gagasan Persuratan Baru dan  sasterawan negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang menelurkan Puitika Sastera Melayu. Lihat di bawah mengapa seminar ini penting.

Kita selalu mendengar bagaimana ghairahnya para sarjana sastera (sama ada mereka ini jenis poyo atau sarjana ciritan adalah hal lain)  ini bercakap tentang perlunya dialog, dan mereka dengan bangga pula menyebut nama Bakhtin, tetapi merekalah yang enggan  untuk berdialog secara ilmiah. Sebabnya sangat mudah: semua kegiatan para sarjana ini terarah kepada satu tujuan saja, iaitu mendapat faedah untuk diri dan kumpulan mereka dalam kumpulan Mutual Admiration Club. Jika anda baca resolusi panjang Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, anda akan berasa amat terharu (rasakanlah pedihnya sindiran ini!) bila melihat betapa mereka mencadangkan hanya perkara-perkara yang sudah menjadi klise dalam persidangan sastera, tetapi penting dalam usaha mereka  “berjuang gigih” mengambil segala kesempatan yang terbuka untuk mendapat faedah peribadi. Samalah dengan ahli politik yang bercakap sudah lebih setengah abad untuk membasmikan kemiskinan, dengan membiarkan yang miskin terus miskin, tetapi mereka sendiri sangat mewah dan kaya raya. Sungguh celaka sesiapa juga yang menggunakan kesempatan untuk mendapat faedah diri sendiri dan kelompok mereka. Ini yang kita lihat, dan dibuktikan oleh mereka sendiri dalam perbuatan dan tulisan mereka. 

Tentang klise yang saya sebut di atas, sangat menarik apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kertas kontotnya untuk Sidang Kemuncak itu menyebut perkara ini seperti ini: “Seminar cukup banyak -  berulang tajuknya. Biasanya kertasnya daripada falsafah baru – iaitu semuanya dikitar semula – kerana waktu yang diberikan kepada penulis hanyalah tiga minggu. ... “ (hal. 206).  Kalau kertasnya dikitar semula, maka apakah falsafah baru yang dikemukakan? Perhatikan betapa tajamnya sindiran ini ... tentulah untuk para penyumbang Sidang Kemuncak itu!  Atau mungkin juga  ditujukan kepada ITBM, dan ini agaknya lebih tepat kerana Prof. Emeritus ini merungut dia hanya diberi tiga minggu untuk menulis ...

Inilah yang berlaku apabila konsep intertekstualiti, yang dari segi perkembangan ilmu hanyalah sejenis klise, bukan sesuatu yang baru,  diperkenalkan dan digunakan  untuk memuji sasterawan negara ketika menganalisis dan menilai karya para sasterawan negara, padahal konsep itu sendiri telah mengaburkan, dan malah menyesatkan (contoh terbaik ialah menyamakan kisah Nabi Nuh ‘a.s. seolah-olah setaraf dengan cerita tsunami yang disumpah oleh seekor penyu gergasi yang keluar dari pertapaan.) Bolehkah kita terima kisah Nabi Nuh ‘a.s. yang menerima wahyu untuk membina bahtera dengan cerita penyu gergasi yang meramalkan terjadinya tsunami?  Kalau anda belum dapat melihat betapa karutnya konsep intertekstualiti ini dalam kritikan sastera Melayu, maka anda tidaklah lebih bijak daripada Pak Pandir yang diberitahu padi berat tetapi terus memilih padi hampa. Inilah yang terjadi dalam kritikan sastera Melayu, yang dengan indah sekali, dan penuh dengan kesantunan akademik yang tinggi dan halus,  yang diperlihatkan oleh Prof Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang menulis kertas kerjanya di atas bumbung kilang berkarat yang dikemukakannya dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia.  Sesuai dengan kecenderungannya kepada dunia khayalan penglipur lara, maka dia mengajak para sasterawan Malaysia mencontohi Salman Rushdie untuk mencari ilham dalam dunia penglipur lara, yang menurutnya amat kaya dengan nilai-nilai primordial Melayu sebelum dinodai oleh agama luar yang dianut silih berganti oleh orang Melayu.  Dengan amat serius, dia mencadangkan supaya diwujudkan Kerusi Sastera Lisan dan Kerusi Sastera Lama di universiti.  Kita tahu, dan dapat bayangkan, untuk siapa kedua-dua kerusi itu, yang layak mendudukinya, dan memang tidak ada orang yang berminat. Dalam ucapan perasmiannya di Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan 2013, dia menegaskan betapa istimewanya Anwar Ridhwan kerana kembali kepada dunia penglipur lara itu. Kata beliau, antara lain: “Sebagai pengarang Anwar Ridhwan selalu mencari – dan mencari melalui waktu, tahap hidup dan ruang geografi yang berlainan. Dalam gaya dan naratifnya beliau berdiri di depan anak tangga yang memanjat ke atas, ke arah kelainan dan ke arah dunia yang masih belum dikenali atau diperikan. Inilah langkah pengarang yang baik, dan Anwar Ridhwan ialah seorang pengarang yang saya anggap baik – dan oleh itu selalu dirundung persoalan penciptaan, masalah gaya yang saksama dan tema yang menyentuh pada jantung kewujudan.” (ucaputama, Seminar Sasterawan Negara Anwar Ridhwan 2013 anjuran DBP).

Bombastik, itulah pujian paling tepat untuk Prof.  Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Kalau betullah Anwar Ridhwan seorang pencari, apakah yang dicarinya? Jika kita lihat novel pertama beliau, tidak ada perkara baru yang wajar diberi pujian, dan sangat aneh apabila profesor ini berkata Anwar Ridhwan “selalu dirundung persoalan penciptaan, masalah gaya yang saksama dan tema yang menyentuh pada jantung kewujudan.”  “Jantung kewujudan”?  Tidak perlu komen.  Dia berbicara tentang “kelainan,” jika ini betul, apakah kelainan itu dan dari sudut mana kelainan itu penting kepada perkembangan kreatif Malaysia?  Bercakap secara umum  amat tidak sopan dilakukan oleh seorang Prof. Emeritus, yang kita anggap sangat mendalam  ilmunya dan boleh membantu kita yang biasa-biasa ini mendapat sesuatu yang bermakna daripada beliau. Tetapi itu tidak berlaku, sehingga kita boleh membuat kesimpulan dengan yakin, tanpa keraguan sedikit pun, bahawa novel pertama sasterawan negara Anwar Ridhwan adalah sebuah novel biasa yang dangkal pengolahannya, yang tidak sedikit pun cuba memberi wajah yang dinamik kepada seorang penglipur lara yang cerdik dan tahu berfikir sebagai seorang “seniman”.  Tidak bolehkah seorang penglipur lara berfikir dan bertindak tegas ketika dia perlu berbuat demikian, sesuai dengan tarafnya sebagai seorang “seniman”? Adakah “seniman” mesti bodoh dan tidak  berupaya berfikir sedikit pun untuk memahami apakah masalahnya dan bagaimana dia cuba menyelesaikannya?  Ini tidak terbayang sedikit pun dalam “novel besar” yang kaya dengan “kelainan” ini. Apakah makna “seniman” bagi Anwar Ridhwan. Ini telah saya ulas dalam entri bertarikh 28 Oktober 2014 (Keunggulan yang cacat.).  Saya menyatakan dalam entri itu, kelemahan paling menonjol dalam novel-novel Anwar Ridhwan ialah perwatakan, yakni watak-watak yang menjadi tumpuannya adalah watak-watak yang lemah. Saya ingin membiarkan anda membincang sesama sendiri mengenai kesimpulan ini, untuk memberi peluang kepada anda tidak bersetuju dengan kesimpulan ini. Selain dari itu, sifat suka membesarkan sensasi sebagai satu teknik untuk menarik perhatian pembaca adalah bagi saya satu kecacatan yang amat tidak patut dilakukan oleh sasterawan negara. Kerana ini dilakukannya ketika dia belum lagi dilantik menjadi sasterawan negara, tidak bererti kelemahan ini boleh diterima. Jika anda seorang pembaca yang kritis dan kreatif, yang dimaksudkan oleh Paul de Man dalam kutipan yang saya salin (“reading is an argument”), maka anda harus membaca secara kritis untuk melihat keunggulan pengolahan pegarang; dan secara kreatif untuk melihat bagaimana keunggulan itu dibina dalam struktur naratif yang benar-benar memikat daya intelek anda, bukan hanya emosi murahan yang mungkin mejadi pegangan anda. Ini suatu permintaan yang adil, yang seharusnya dapat diberikan oleh seorang sasterawan yang layak diberi gelaran sasterawan negara.  Mengenai perwatakan Pak Hassan dan lain-lain dalam novel ini, lihat entri bertarikh 20 November 2014 (Sesat dalam belantara maklumat) dan dua lagi yang berikutnya (dalam tiga bahagian).  Inilah antara komen saya dalam entri itu:
Tidakkah tujuan dan matlamat ilmu untuk dijadikan panduan manusia? Kerana itu ilmu tidak boleh mengusutkan masalah, antaranya dengan berhanyut dalam idle talk dalam pesta bullshit penuh dengan  pretensi intelektual semata-mata. Inilah yang terjadi kepada buku yang berasal daripada tesis Ph.D. Mawar Shafie, Novel Intertekstual Melayu(UKM, Bangi, 2010). Buku ini antara lain membicarakan karya Anwar Ridhwan daripada pendekatan intertekstual. Apakah hasilnya? Boleh saja anda puji beliau kerana ketekunannya menampilkan begitu banyak “bukti” untuk menunjukkan Anwar Ridhwan pandai menggunakan teks dari sumber lain untuk dimasukkan ke dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. (Rujuk antara lain hal. 118-132). Di sini  timbul satu persoalan besar yang tidak disentuh oleh Mawar Shafie, malah persoalan itu timbul akibat dari analisis beliau sendiri: Apakah pengajaran yang ingin disampaikan oleh intertekstualiti? Tidak ada apa-apa yang berguna, kecuali paparan teknik yang dikatakan digunakan oleh Anwar Ridhwan dalam menulis novel itu.”

Seterusnya Prof. Emeritus ini berkata:  “Di antara pengarang kita, Anwarlah yang paling jauh langkah depannya – beliau sudah sampai di simpang pilihan, terutama dalam Naratif Ogonshoto, yang dipilihnya ialah dunia antara bangsa serta gaya yang mengambil manfaat daripada Marquez serta beberapa orang pengarang lainnya.  Ada unsur sarwajagat yang diburunya, ada kebenaran bersama dan pemerian kenyataan seperti yang kita kongsikan bersama ini. Dan secara tidak langsung Anwar mengisytiharkan bahawa sastera Melayu/Malaysia juga boleh dibaca oleh manusia/negara yang sedang mencari makna ini. ...”

Profesor Emeritus ini tidak terkenal, dan tidak terbukti, sebagai seorang yang tajam daya inteleknya dalam kritikan sastera. Beliau tidak membaca dengan kreatif dan kritis karya Anwar Ridhwan, oleh itu mata sasteranya tidak nampak tabiat Anwar Ridhwan yang sukakan sensasi, yang melimpah ruah di dalam karyanya. Saya tidak perlu memberi contoh kerana mudah dikesan, jika anda membaca dengan kreatif dan kritis. Kata Paul de Man, “reading is an argument” (dikutip oleh Christopher Norris, Deconstruction: Theory and Practice,  3rd. ed., 2002; hal. 151.)  Kita tidak lihat apa-apa “argument” dalam pembacaan para sarjana sastera, seperti jelas dalam ucaputama Prof. Emeritus ini.  Seperti seorang penglipur lara, beliau hanya memuntahkan saja kata-kata yang bombastik yang tidak bermakna apa-apa kecuali untuk bermegah-megah, laksana seorang sarjana poyo (meminjam slanga anak muda Malaysia) yang mengada-ada. Supaya anda dapat memahami maksud saya, rujuk entri bertarikh 4/1/2014 (Sasterawan negara bukan pemikir); 31/12/2014 (Jangan baca karya sasterawan negara ...);  20/12/2014 (Sekali lancung ke ujian).


Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, dalam semua tulisannya mengenai kritikan sastera, menutup rapat apa juga perkembangan sihat yang diusahakan oleh “musuh sastera” beliau, tanpa  membaca dengan objektif pandangan orang lain yang berbeza dengan beliau. Adalah jelas beliau mempunyai self-esteem yang rendah,  dengan perangai kebudakan mengharapkan  hanya pujian terhadap karyanya, walaupun  pujian itu sangat janggal jika dikenakan ke atas karyanya.  Tetapi kerana kedudukannya sebagai seorang sasterawan negara, maka pujian seolah-olah menjadi haknya, walaupun kualiti akademik tulisannya tidaklah hebat  dan seringkali berwajah poyo (meminjam slanga anak muda Malaysia).  Dengan angkuh beliau menegaskan, menurut laporan/catatan Dr. Fatimah Busu (dalam buku picisannya,  Nyanyi Sunyi Salam Maria VS. Sarjana Nasi Dingin),  ketika menempelak pengkritik sastera yang mengkritiknya, “Benar seperti kata Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh, situasi seumpama ini samalah seperti kita dikerkah seekor anjing kurap. Justeru kita tidak mungkin dapat menendang anjing itu bagi membalas kerkahannya pada waktu itu juga kerana kulitnya yang berkurap.” (hal. 162).  Ini suatu pujian yang tinggi, yang diucapkan dengan sopan santun “bahasa anjing” yang menjadi salakan dalam tulisan kritikan tokoh-tokoh penting sarjana Malaysia, seperti Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (pencipta sajak paling indah di Malaysia, yang pernah diucapkan oleh seorang puteri raja dari Jordan, “Pulang Si Tanggang”),  dan Dr. Fatimah Busu, penulis novel Salam Maria yang mendapat penghargaan tinggi H. B. Jassin, oleh itu menurut penulisnya adalah novel terulung di Malaysia (kerana telah disahkan oleh H. B. Jassin, Paus Kritikan Sastera Indonesia).  Tetapi menurut pandangan Mohd. Affandi Hassan yang saya tahu, novel paling lucu dan serius ialah Aligupit, kerana di situ digambarkan dengan tajam perilaku aligupit yang menjadi amalan biasa di Malaysia. Saya diberitahu, yang membaca novel ini hanya tiga orang intelektual Melayu, iaitu Pak Ungku Aziz (yang satu ketika dahulu pernah membicarakannya dalam ceramahnya di jabatan kerajaan dengan gesaan supaya pegawai kerajaan membacanya), Dr. Syed Husin Ali dan Abdullah Tahir yang membicarakannya dalam satu majlis bicara buku anjuran PENA (kini satu organisasi Mutual Admiration Club) lama dahulu. (Sekarang PENA menumpukan kegiatannya kepada baca sajak, tiada lagi perbincangan ilmiah kerana semua orang sudah bosan dengan ilmu, lalu memindah perhatian mereka kepada hiburan yang mereka dapat melalui membaca sajak).

Mengingat betapa besarnya pengaruh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kesusasteraan Melayu moden, saya fikir wajar jika kita melihat “pemikiran” tokoh ulung bertaraf antarabangsa ini dalam perkembangan intelektual di Malaysia.

Pembacaan kreatif dan kritis saya terhadap tokoh ini meyakinkan saya bahawa beliau belum lagi dewasa dalam bidang akademik, masih keliru dan terus merayau dalam dunia ilmu yang membingungkannya. Beliau tidak mempunyai tradisi, seorang pengembara yang membawa beg galas yang tidak diketahui isinya dengan pasti, mungkin antaranya sebuah batil yang diterimanya daripada Pak Mahmud Si Awang Batil dari Perlis, dan gaya pengembara beg galas itu diperlihatknnya dengan begitu tegas jelas dalam tulisan terakhirnya yang saya baca, termuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa.  Menggunakan perbandingan dalam permainan kanak-kanak yang kadang-kadang digemari orang dewasa, beliau masih lagi bermain guli, (meminjam istilah Annemarie Schimmel ketika berbalas pandangan dengan seorang profesor dari Iran tentang Rumi, 1991 ketika perasmian ISTAC;  yang mengatakan Goethe dan Shakespeare hanya budak-budak pemain guli jika dibandingkan denagn Rumi, gergasi sebenar puisi dunia), dan   belum kenal gasing uri yang besar, yang mungkin belum pernah dilihatnya  (seperti belum pernah mendengar lagu bertabuh satu ketika dulu (1984), atau mungkin hingga sekarang masih tak dapat membezakan lagu bertabuh dengan yang lain yang terdapat dalam wayang kulit, kerana beliau tidak ada pengalaman budaya). Beliau terikat kepada penglipur lara yang dipelajarinya (menurut pengakuan beliau dalam syarahan perdananya 1989) daripada Pak Mahmud Perlis, Si Awang Batil. Muhammad Hj Salleh masih lagi bermain batil, ketika orang sudah tidak kenal lagi apakah batil yang tidak lagi dipakai, kini disimpan dalam muzium. Itulah Muhammad Hj Salleh. Seorang yang terlalu gigih mengunjung muzium, melihat dan terpesona dengan barang yang sudah pupus atau hanya tinggal sebagai artifak.  Apa juga yang diucapkannya tidak dapat dijadikan asas perkembangan intelektual, kerana beliau sendiri tidak tahu apa yang boleh dibuatnya. Sebagai pemain batil  akademik, beliau ada ketikanya memberikan cerita yang menarik, seperti tentang kedudukan teori sastera Barat, tetapi beliau tidak dapat membicarakannya kerana sebagai pemain batil, itulah saja kemampuannya, melontarkan cerita yang tidak diketahui asal usulnya. Dengan lagak seorang sarjana poyo yang aktif (menurut pengakuannya dalam kertas kerja), beliau tidak menonjol dalam analisis dan pemikirn, oleh itu yang terbaik yang dapat dilakukannya ialah menggesa orang lain, pengkritik sastera, supaya belajar daripada Baha Zain, teman rapatnya. Apakah yang kita boleh dapat daripada Baha Zain ini? What a let down!!!!  Itulah Muhammad Haji Salleh, yang secara de facto  adalah ketua mutual admiration club yang pernah dikutuknya (sejak 1973; tetapi kini beliau sedar betapa pentingnya mutual admiration club itu, yang melahirkan para sasterawan negara).  Gambaran ini tidak dapat dielakkan, kerana itulah beliau yang sebenar, yang cukup jelas boleh dilihat dalam ucaputamanya terhadap Anwar Ridhwan.  Bagi saya ini bukan satu kelemahan, atau sesuatu yang mencacatkan kedudukan beliau, malah satu keistimewaan, yang mungkin tidak ketara pada orang lain.  Apabila  beliau tidak sukakan seseorang dia tidak pernah menyebut nama orang itu kerana kesantunannya yang tinggi, tetapi kita tahu dia amat bencikan tokoh itu, (yang mungkin lebih besar daripada beliau sendiri!), maka inilah ucapannya:   “Kritikan ialah satu sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain. Saya menginginkan suatu kritikan yang dipupuk kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika, bertanggungjawab, dan juga membantu penulis berkembang. “Criticism with kindness” ialah suatu prinsip yang dapat diikuti. Penulis juga harus belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya. Kembalilah mencari contoh daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain.” (hal. 206.)

Saya bersetuju dengan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh bahawa kritikan sastera Melayu sudah patah sayap, dipatahkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri yang tidak mampu membesar menjadi helang yang boleh terbang jauh seantero dunia.  Beliau terus menjadi anak burung murai yang bising tetapi tidak boleh terbang, hanya menunggu makanan dibawakan kepadanya.  Bila beliau merayu (?) dengan kata-kata, “Berilah waktu secukupnya supaya penyelidikan dapat dibuat dan ideanya juga dapat mematang. Karya yang baik memerlukan waktu dan penyelidikan yang luas dan rumit,”  maka beliau menyuarakan bantahan para sarjana poyo dan ciritan yang selalu memberi alasan ini apabila mereka gagal menulis assignment yang diberikan kepada mereka.  Inilah jenis ucapan bullshit, menurut Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit, yang dibaca oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan teman-temannya setelah diperkenalkan dalam blog ini, tetapi tidak dimanfaatkannya kerana beliau sendiri menganggap bullshit yang dibicarakan oleh Prof. Frankfurt itu penting dalam kritikan sastera Melayu, kerana itulah sifat kritikan yang sudah dibudayakan dengan nama pandirisme dan diteruskan dengan gigih oleh sarjana poyo yang ciritan melalui Mutual Admiration Club mereka yang melahirkan sasterawan negara. Tanpa bullshit, mereka tidak dapat merempuh  dengan gagah dalam belantara kritikan yang menyesatkan pengkritik gasang yang disebut oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.  Bullshit adalah penting dan perlu diteruskan dalam budaya pandirisme yang dipelihara oleh Mutual Admiration Club yang secara de facto dikuasai oleh Prof. Emeritus ini.

Walaupun saya agak kritis dari dulu hingga kini terhadap tokoh ini, namun saya amat menghormati beliau yang berani dan tegas meneruskan budaya pandirisme dan sikap bullshit dalam kritikan sastera yang menolak konsep ilmu yang benar.  Menurut pengakuan beliau sendiri, beliau telah melahirkan tidak kurang dari 5,000 (lima ribu!) orang pelajar sastera, termasuk sarjana sastera dan yang telah memperoleh Ph.D. di bawah bimbingan beliau, yang semunya mempunyai pengetahuan sastera yang amat mendalam. Mereka inilah yang menghidupkan kegiatan sastera dan dunia penulisan di Malaysia, yang melahirkan para sasterawan negara dan para pengkritik serta ahli akademik yang bertaraf dunia yang sering kali mendapat hadiah sastera di Malaysia, dan masih menuggu untuk mendapat Hadiah Nobel.  Semoga mereka berjaya!

Berasaskan kedudukan beliau dan para pengikutnya yang diterima di peringkat antarabangsa, maka mereka dengan berani membuat keputusan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, setelah dengan jayanya melahirkan 13 orang sasterawan negara, yang semuanya telah berjaya menghasilkan karya yang bertaraf antarabangsa dan menjadi  rebutan di seluruh dunia. Sebagai contoh, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji  Salleh dalam ucaputamannya menyebut karya-karya Anwar Ridhwan telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Urdu, Perancis, Inggeris, Russia, Thai, Jepun, Jerman dan Korea, satu senarai yang amat impressive!  Inilah bukti sastera layak dijadikan teras negara bangsa.  Dalam hal ini, idea Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan rakan-rakannya adalah tepat dengan ucapaan Jonathan Culler,  “We should just use texts as we use word-processors, in an attempt to say something interesting.”  (dalam Interpretation and Overinterpretation, ed.  Stefen Collini,  1992: 116.)  Sekiranya anda hairan dengan kutipan ini diambil dalam konteks ini, bacalah tulisan Jonathan Culler itu.

Setelah mengikuti perbincangan ini dalam tiga siri, kita boleh membuat beberapa kesimpulan, dengan mengambil kira maksud mathnawi Rumi yang memulai tulisan ini.  Pertama sekali, konsep intertekstualiti yang dijadikan hujah oleh Dr. Mawar Shafie ternyata dilakukannya dalam konteks “duri mawar”, bukan bunga mawar itu sendiri yang harum yang boleh membina taman-taman indah.  Penilaiannya terhadap karya Anwar Ridhwan tidak memberi kesan sedikit pun sepanjang mengenai kualiti karya sasterawan negara itu, malah amat jelas terlalu diada-adakan untuk membina mitos palsu yang relai bertaburan apabila diuji dengan menggunakan ukuran berasaskan konsep ilmu yang benar.  Jadi kesimpujlan kedua, yang lebih penting daripada kesimpulan pertama, ialah mengenai sikap negatif para sarjana sastera terhadap peranan ilmu dalam kesusasteraan, dengan menolak secara angkuh konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran.  Kerana itu, maka terjadi kesimpulan ketiga iaitu sastera Melayu akan terus cetek meraba-raba sesat dalam belantara teori sastera Barat dan hanyut dalam lautan bergelora ambiguiti yang menjadi ukuran penting dalam kritikan sastera Barat.  Kalau sudah sesat dalam belantara teori Barat, dan hanyut dalam lautan ambiguiti, maka apa gunanya dibawa masuk segala macam konsep teori  sastera Barat yang tidak diberi tempat sewajarnya dalam konteks ilmu yang benar. Adakah sastera Melayu moden mahu berada selama-lamanya dalam gua kejahilan yang digambarkan oleh al-Quran dalam konsep  ‘iwajan (crookedness atau kebengkokan) yang menjadi sifat utama karya sastera, yang kini mahu dijadikan teras negara bangsa?  Sampai sejauh itu picisannya mereka ini.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18/3/2016

Nota:

Kata Prof Frankfurt, "It is just this lack of connection to a concern with truth - this indifference to how things really are - that I regard as of the essence of  bullshit" (hal. 33-34).












1 comment:

  1. Kepada pembaca, sila baca dan fahamkan baik-baik nota di penghujung entri ini. Good luck.

    ReplyDelete