Thursday, March 31, 2016

SENI AVANT-GARDE DI ERA PASCAMODERNISME

(Satu catatan ringkas)

Kalaulah pembaca blog ini tahu makna dan maksud pascamodernisme dalam kesenian, termasuk seni sastera, tentu mereka tidak membantah agak keras apabila dalam entri yang lepas saya mengatakan Sikana sebagai seorang penulis avant-garde terulung di Malaysia yang menjadi jurucakap pascamodernisme dalam kritikan sastera Melayu, telah meletakkan para sasterawan negara di atas tong susu yang dibuat daripada kayu gabus, yang banyak terbuang di Jalan Chaw Kit, Kuala Lumput.  Sikana menjadikan tong susu daripada kayu gabus itu sebagai singgahsana atau takhta keunggulan para sasterawan negara yang bertakhta di atas tong susu yang dilapik tuala kuning, lambang kemuliaan di raja para sasterawan negara.  Saya cukup berhati-hati ketika memberi contoh ini, dengan membawa masuk dalam perbincangan seorang tokoh avant-garde terkenal, M. Duchamp yang menjadikan urinal, mangkuk kencing, sebagai hasil seni avant-garde era pascamodernisme. Kalau Eropah boleh menerima Duchamp sebagai tokoh besar mereka dan menerima mangkuk kencing sebagai hasil seni daripada Duchamp, maka mengapa pula Sikana mesti diasingkan daripada jalur pascamodernisme Barat padahal beliau juga seorang tokoh besar avant-garde, seperti yang dibuktikannya dalam kumpulan cerita pedek abad 20 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya kira Sikana tentu amat gembira dan berasa megah kerana disetarafkan dengan M. Duchamp yang terkenal sebagai seniman avant-garde itu.  Mengapa beliau tidak boleh meletakkan para sasterawan negara di atas tong susu daripada kayu gabus yang di atasnya dihampar tuala kuning, lambang di raja? Sikana tidak mungkin dapat menyediakan takhta sebenar seperti yang diduduki raja-raja Melayu, dan jika dia mempunyai wang untuk membuat takhta keunggulan untuk diduduki setiap sasterawan negara, usahanya itu mungkin ditolak oleh para sasterawan negara sendiri kerana mereka tahu mereka tidak layak didudukkan di atas takhta keunggulan. Jadi apakah isunya?

Perbincangan tentang sasterawan negara masih lagi berada di peringkat pretensi intelektual yang dangkal dan penuh dengan retorik peragaan yang tidak diikuti dengan hujah yang mantap. (Baca entri bertarikh 10 Oktober, 2014). Para sarjana sastera dan sasterawan tidak menunjukkan kecerdasan intelektual mereka apabila dihadapkan dengan seni avant-garde dalam era pascamodernisme, walaupun dua istilah ini mereka sering sebut dalam tulisan mereka untuk menunjukkan mereka tidak ketinggalan, dan kenal seni avant-garde dan tahu dengan mendalam faham pascamdernisme itu, namun mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa para sasterawan negara itu tidak layak diberi kedudukan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu dengan meletakkan mereka di atas takhta keunggulan.  Jangan menuduh dulu, seolah-olah saya tidak faham bahawa Sikana menggunakan bahasa kiasan, metafor, ketika menulis bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan itu.  Isu paling besar yang tidak dapat dihuraikan oleh Sikana tentang sasterawan negara ialah mengenai sumbangan intelektual mereka sebagai pemikir bangsa yang melayakkan mereka diletak lebih tinggi daripada kedudukan para ulama dan cendekiawan Melayu.  Apakah sebenarnya kelebihan sasterawan negara? Persoalan ini tidak dapat diberi jawapannya dengan tuntas dan meyakinkan oleh Sikana, malah tidak pernah terlintas dalam keunggulan akademiknya sendiri untuk membahaskan persoalan penting ini, supaya kedudukan para sasterawan negara benar-benar diasaskan kepada keistimewaan intelektual dan pemikiran mereka.  Dalam konteks inilah saya mencabar Sikana untuk menolak bacaan saya dalam entri bertajuk, “Keunggulan yang Cacat.”  Anda boleh membaca penghujahan saya dalam entri tersebut.  Persoalan yang saya bangkitkan di sini mungkin boleh digambarkan dengan mudah dalam sebuah drama komedi berjudul, “Takhta Tong Susu Kayu Gabus Sang Sasterawan,” sebuah satira tentang peranan avant-garde dalam sastera Melayu, dengan membawa sekali urinal oleh Duchamp sebagai bukti bahawa mangkuk kencing pun boleh dijadikan seni avant-garde dalam era pascamodernisme. Saya harap para penulis drama yang hebat-hebat yang menulis di TV dalam slot drama boleh turun ke dunia intelektual untuk menulis drama avant-garde ini. Atau, lebih baik, jika Sikana sendiri menulisnya, sesuai dengan karya avant-garde beliau seperti di dalam cerita pendeknya.  
Kegagalan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam seminar tentang pemikiran sasterawan negara tidak sepatutnya berlaku, kerana semua kertas kerja ditulis oleh sarjana handalan bertaraf profesor atau paling kurang profesor madya, dengan title doktor di depan nama mereka.  Mengapa mereka memilih untuk tidak menunjukkan kemampuan akademik dan intelektual mereka yang tinggi dan benar-benar berwibawa?  Mereka boleh saja berkata dengan sinis bahawa penilaian saya tidak boleh dipakai kerana saya bukan seorang sarjana dan tidak mempunyai apa-apa jawatan di universiti terkenal di Malaysia. Ini telah pun dibuat oleh pakar sajak dan seorang pengkritik sastera setaraf dengan Sikana, bernama Prof. Rahman Shaari (kini bergelar Dato’) yang telah memperlekeh syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir kononnya dibuat untuk  bercakap tentang Persuratan Baru oleh Mohd. Affandi Hassan yang tidak mempunyai kedudukan di universiti untuk mengucapkan syarahan perdana beliau. Mereka boleh berkata, paling baik yang saya boleh buat ialah berbicara tentang pandirisme, satu tajuk yang simple dan simplistic, dan sebenarnya tidak mempunyai kekuatan akademik sedikit pun, kecuali untuk memberi gelaran sebagai seorang pengkritik gasang yang telah mematahkan sayap kritikan sastera Malaysia. Hanya dalam persoalan ini, anda tidak perlu blame saya kerana kekurangan dan kelemahan anda sendiri!  Ini boleh dilihat dalam kertas kerja anda tentang pemikiran para sasterawan negara. Malah Profesor Emeritus yang menulis tentang pengkritik gasang itu pun tidak dapat memperlihatkan ketangkasannya berfikir dan menulis tentang perkembangan intelektual dalam kritikan sastera Melayu, yang kita tunggu begitu lama akan lahir daripada beliau. Sehingga ini, beliau hanya mampu membuat tuduhan, tetapi tidak berupaya menyerlahkan kemampuan akademiknya untuk membicarakan perkembangan pemikiran dalam kritikan sastera Malaysia. Kasihan! What a pity!!

Demikianlah kelebihan tokoh yang diletakkan di atas takhta keunggulan oleh Sikana.


Mohd. Affandi Hassan, 31/3/2016.

No comments:

Post a Comment