Wednesday, April 6, 2016

PANDIRISME DALAM KOMUNITI DUNIA SUDAH TERBIT.

Catatan: Sila baca entri 9/4/2013 bersama entri ini; dan komen saya untuk entri ini.

Sebuah dokumen penting abad 20/21 sudah terbit, menjadi ukuran yang tak dapat dielakkan dalam penilaian karya sastera.  Dengan terbitnya dokumen ini, segala penilaian yang dibuat akan diukur sama ada hasil pendirisme atau hasil intelektual.  Ukuran ini menjadi begitu penting apabila dikenakan ke atas karya para sasterawan negara:  Adakah karya mereka mencerminkan pandirisme atau menyerlahkan kecanggihan intelektual mereka? Selama ini kita tidak dapat menentukannya kerana tidak ada ukuran yang boleh digunakan untuk menilai karya mereka.  Kini mereka tidak dapat lagi melarikan diri dari dinilai dengan kritis dan kreatif dilihat dari sudut ilmu. Para sasterawan negara ini harus membuktikan mereka lebih cerdik daripada Pak Pandir. Itulah cabaran intelektual yang tidak dapat dielakkan lagi.

Mengapa aspek ini penting dalam penilaian terhadap karya para sasterawan negara?  Sekurang-kurangnya terdapat tiga sebab yang perlu dihuraikan dengan jelas. Pertama, adakah karya para sasterawan negara ini mencerminkan dengan tepat pencapaian intelektual mereka? Kedua, jika tidak, apakah yang telah mereka capai. Ketiga, oleh itu, apakah sumbangan mereka yang sebenarnya dalam kemajuan intelektual di negara kita? Jika ketiga-tiga ukuran ini negatif, maka ini bermakna mereka hanya “berjaya” membina budaya pandirisme yang sifatnya cetek meraba-raba. 

Berasaskan tiga pertanyaan di atas, kehadiran pandirisme sebagai falsafah kritikan sastera Malaysia, menyediakan asas-asas analisis dan penilaian kreatif dari sudut ilmu yang benar. Kita masih boleh menggunakan semua teori kritikan Barat yang kita ingin pakai dalam kerja-kerja akademik kita, tetapi kita tidak boleh lagi sewenang-wenang  memakai teori Barat tanpa kesedaran kepada peranan ilmu yang benar itu. Tanpa kesedaran ini, anda terus sesat dalam belantara teori sastera Barat; atau hanyut dalam lautan ambiguiti yang menjadi asas teori sastera Barat. Anda tidak mungkin dapat memahami kesimpulan ini jika anda tidak mempunyai  pengetahuan yang memadai dalam epistemologi Islam, dan menerima hakikat bahawa ilmu adalah bersumber dari Allah SWT.  Sikap Barat yang menolak hakikat ini membuat mereka sesat dan hanyut seperti dalam kesimpulan tadi. Inilah juga yang dihadapi oleh para sarjana sastera dan para sasterawan sendiri, yang terus membenarkan diri mereka untuk sesat di belantara teori Barat dan hanyut dalam lautan ambiguiti ilmu yang menjadi kemegahan budaya Barat.  Apakah yang membuat anda memilih dunia yang gelap ini? Jawapannya diberikan oleh pandirisme yang anda anuti dengan meluas untuk dijadikan arus perdana dalam kegiatan intelektual anda.  Dari perspektif ini, anda tidak mempunyai pilihan kecuali menerima konsep ilmu yang benar, sesuai dengan pegangan agama anda. Oleh itu, jika anda ingin menolak pandirisme sebagai satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan kehadirannya, maka anda perlu memahami epistemologi Islam dan memahami dengan agak mendalam prinsip-prinsip utama teori sastera Barat. Kerana tidak ada kesedaran ini, maka tiadalah keinginan untuk menjadi cerdik dan bijaksana, maka dengan itu anda menulis kertas kerja yang cetek meraba-raba dan hanyut dalam kekeliruan akademik yang berpunca daripada keengganan untuk menerima hakikat bahawa anda perlu memahami konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam.  Itulah yang anda lakukan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang diterbitkan sebagai buku oleh ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Buku itu mencerminkan kegagalan intelektual anda dalam memahami hakikat ilmu dan peranan ilmu dalam pembinaan peradaban.  Jika anda ingin menafikan kehadiran pandirisme, inilah dua isu besar yang anda perlu fahami terlebih dahulu.  Begitu mudah sekali, tetapi pandirisme yang anda anuti membuat anda tertutup kepada kebenaran yang hanya boleh diperolehi melalui konsep ilmu yang benar.

Kehadiran Pandirisme Dalam Komuniti Dunia mencabar kegiatan intelektual anda selama ini, ke arah mana yang anda tuju, dan apakah matlamat anda untuk dicapai.  Semua ini kini menjadi isu penting yang perlu dibahaskan dengan jujur, sesuai dengan  kepercayaan anda, yang kononnya dipengaruhi Bakhtin, bahawa kita memerlukan dialog intelektual berasaskan ilmu dalam wacana ilmiah yang objektif, tidak lagi berasaskan hawa nafsu hedonistik yang sangat emosional yang kini menjadi pegangan anda.  Jika anda bersedia untuk bergelut secara intelektual dengan pandirisme dengan membahaskan  Pandirisme Dalam Komuniti Dunia, anda akan muncul sebagai kumpulan ilmuwan yang cerdik dan bijak, yang bersedia untuk membuat perubahan yang sebenarnya berasaskan ilmu, tidak lagi tenggelam dalam retorik peragaan yang tidak mempunyai makna dalam perkembangan peradaban, seperti yang anda perlihatkan dengan megah dalam Satera Teras Negara Bangsa.

Pilihan anda sangat mudah, kerana semuanya telah tersedia sebagai hidangan intelektual yang boleh dikunyah perlahan-lahan, untuk mengelak dari tercekik di kerongkong akademik anda.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 5/4/2016.




3 comments:

  1. Saya fikir bagus jika anda baca dengan kritis entri 9/4/2013 bersama entri terbaru ini. Saya menulis dalam tradisi Islam yang mencintai ilmu; di samping memahami agak mendalam tradisi kritikan sastera Barat. Menurut pembacaan kritis saya terhadap tulisan akademik sarjana sastera, saya dengan perasaan simpati yang sangat besar terhadap mereka boleh membuat kesimpulan yang wajar dan adil bahawa mereka, para sarjana ini, tidak menguasai dua tradisi ini dengan agak mencukupi untuk membolehkan mereka mengkritik PB atau pandirisme secara akademik, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai orang akademik. Oleh sebab mereka selalu klaim mereka adalah kumpulan yang jujur, yang tidak pernah menghina sesiapa (kecuali Mohd. Affandi Hassan dan PB), maka amat wajar mereka menerima cabaran untuk menyerlahkan kejujuran mereka dalam dialog mengenai ilmu dalam kritikan dan penulisan kreatif. Tetapi mereka memilih pandirisme. Itulah yang menyedihkan dan cukup menghampakan. Mereka tidak ingin memperlihatkan ketangkasan mereka berfikkir dan berhujah secara ilmiah. Mereka sanggup naik bumbung kilang berkarat untuk menunjukkan mereka berada di atas, tetapi hasilnya "hampas". Berapa lama lagi kita boleh sabar dengan kepalsuan ini? Jangan khianati generasi muda dengan penpuan ilmiah anda.

    ReplyDelete
  2. I would like to purchase 2 copies, may i know where i can get it??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Chloe Chan, kindly please contact Klasika Media Sdn. Bhd., to get this book.
      Address: 3-1, Jalan Seri Putra 1/2, Bandar Seri Putra, 43000 Kajang, Selangor, Malaysia
      Phone:+60 3-8928 9899

      Delete