Monday, April 11, 2016

RUPANYA KAMU SEMUA TAKUTKAN PELANGGARAN

Penerbitan Padirisme Dalam Komuniti Dunia memberikan saya banyak faedah dalam memahami kematangan berfikir para sarjana dan sasterawan. Mereka yang selama ini disanjung berlebihan, dipuji melangit melepasi tujuh petala langit (oleh itu hilang dalam kabus kerana tidak ada lagi langit yang dapat menerima pujian itu), atau yang diberi ungkapan dan kata-kata manis yang tidak tertelan kerana terlalu manis dan mewah dengan hiasan bersifat manisan pujaan yang tak terbawa oleh diri yang menerima kerana terlalu diagungkan dan dimuliakan, maka sewaktu mereka ini didatangi Pak Pandir memberikan sindiran yang amat tajam menusuk keangkuhan mereka, dalam kata-kata manis seperti, “Dirgahayu anda semua yang tidak bodoh seperti aku. Kamu gelarkan aku Pak Pandir dan berasa sangat bangga kerana sangka kamu hanya aku seorang saja yang layak menjadi Pak Pandir,  sekarang bagaimana apabila kamu diberi kedudukan yang mulia di atas takhta pandirisme, mengapa pula kamu menjadi marah? Marahkan siapa?,” maka ketika itulah mereka berasa telah dilanggar dengan kasar oleh hanya satu istilah, pandirisme. Kini mereka mula faham makna pelanggaran setelah mereka sendiri dilanggar untuk memberi jalan kepada kebenaran. Sebelum itu mereka sangat bangga apabila Sikana berkata, mereka telah melanggar semua kebiasaan yang ada untuk mencetuskan keistimewaan dalam karya mereka. Ketika itu mereka sangat bangga digolongkan sebagai sasterawan yang menjadikan pelanggaran sebagai wahana untuk mencapai tingkat paling tinggi sebagai sasterawan yang paling berani dan asli, atau menurut Sikana mencapai status tertinggi sebagai seorang pelanggar yang telah mencapai kedudukan individualismenya yang ulung, oleh itu layak didudukkan di atas takhta keunggulan. Mereka amat berterima kasih kepada Sikana yang telah membawa mereka kepada kedudukan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh sesiapa sekalipun sehinggalah mereka diberi gelaran “sasterawan negara.”  Dengan tidak semena-mena, mereka seolah-olah disentap dari tempat duduk mereka di atas takhta keunggulan yang diberikan Sikana itu untuk didudukkan oleh Pak Pandir di atas tikar buruk yang hapak berjenama pandirisme. Mengapa mereka tidak dapat menerima pelanggaran ini? Tidakkah pelanggaran itu satu kualiti paling tinggi dalam pemikiran manusia menurut Sikana? Gagasan Persuratan Baru telah melaksananakan tugas besar yang mulia itu dengan berjaya memberi  penilaian yang paling tepat kepada para sasterawan negara ini melalui falsafah pandirisme.  Mengapa mereka tidak dapat menerima pelanggaran sebagai satu konsep penting dalam pencapaian kritikan sastera?  Pandirisme adalah satu pencapaian tertinggi dalam kritikan sastera Malaysia berasaskan pelanggaran kepada semua teori sastera yang terpakai di Malaysia sekarang.  Mengapa pandirisme tidak boleh melanggar sasterawan negara yang jelas tidak layak berada di kedudukan itu? Apa sudah jadi?

Sesungghnya tidak gugur sehelai daun tanpa izin Allah (al-Quran).  Sesungguhnya pelanggaran telah diterima sebagai ciri terpenting teksdealisme Sikana yang telah berjaya meletakkan para sasterawan negara di takhta keunggulan.  Nah, sekarang mengapa pula pandirisme, satu “pelanggaran” yang paling ampuh dalam kritikan sastera Melayu, mesti ditolak oleh orang yang sama yang telah menerima pelanggaran sebagai ciri terpenting dalam keunggulan kreatif. Mengapa tidak boleh digunakan pelanggaran sebagai ciri terpenting dalam pencapaian pemikiran kritikan dalam sastera Melayu? Sekarang anda sudah dapat melihat betapa bodohnya konsep pelanggaran itu dalam kritikan sastera, dengan itu tidak boleh digunakan untuk memuji para sasterawan negara seperti yang dibuat oleh Sikana, maka ini pula memberi kesimpulan yang amat memedihkan para sasterawan negara sendiri apabila mereka sedar mereka sebenarnya tidak layak diletak di atas takhta keunggulan seperti yang telah dilakukan dengan tidak bertanggujngjawab oleh Sikana.

Baiklah, kata anda dengan menyesal, andainya benar teksdealisme telah gagal secara total untuk menilai pencapaian kreatif para sasterawan negara, kerana teksdealisme itu sendiri adalah palsu, maka ini, kata anda, tidak bererti sasterawan negara tidak layak diberi gelaran dan kedudukan itu.  Kata anda dengan yakin, mereka telah dinilai dengan tepat dan objektif oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang tidak tahu menahu tentang teksdealisme yang menjadikan pelanggaran sebagai ukuran tertinggi yang dicapai oleh semua sasterawan negara. Maka apakah pula ukuran yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara? Apakah jawapan anda?  Jika anda membaca laporan Panel Anugerah Sasera Negara, anda akan dapati mereka tidak menggunakan apa-apa ukuran pun; tetapi mereka sangat ghairah mencari alasan yang menurut mereka sesuai dengan ciri-ciri tertentu karya para sasterawan negara. Maka lahirlah istilah eksperimen, kelainan,  bersifat filosofikal, keindahan bahasa yang anti khutbah, tiadanya moral dan nilai-nilai moral, leluasanya kejahatan sebagai tema utama,  kecanggihan intelektual, alusi yang merentasi sempadan dan dengan itu bertaraf antarabangsa, dan lain-lain yang anda boleh dapat dengan mudah jika anda membaca laporan Panel. Tetapi ada satu aspek yang tidak disebut dengan tuntas, iaitu aspek kecanggihan berfikir dan kecanggihan kreatif. Walaupun semua sasterawan negara melalui ujian untuk  melonjakkan mereka sebagai “pemikir” melalui Seminar Pemikiran Sasterawan Negara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, namun tidak satu pun seminar itu berbicara tentang peranan ilmu dalam karya kreatif, malah mereka amat galak membicarakan aspek cerita dalam konteks penglipur lara yang memang digemari oleh para sasterawan negara keseluruhannya. Walaupun Muhammad Haji  Salleh dinilai sebagai pensajak intelektual, tetapi karyanya yang mendapat sanjungan tertinggi Panel adalah sebuah karya penglipur lara. Apa sudah jadi?

Kita banyak membuang masa dan wang membicarakan sasterawan negara ini, padahal mereka tidak layak diberi perhatian demikian. Hingga sekarang belum ada sarjana yang mahu tampil dengan berani untuk mengatakan para sasterawan negara itu jauh lebih berjasa dan lebih mendalam ilmunya daripada para ulama dan cendekiawan sehingga membolehkan mereka mengatasi kedudukan para ulama dan cendekiawan.  Adakah kesimpulan Panel dan para sarjana ini benar?  Nampaknya mereka berada dalam ketakutan yang amat sangat untuk mengiakannya, kerana mereka memang tahu tidak seorang pun di antara sasterawan negara itu layak diberi tempat yang lebh mulia daripada kedudukan para ulama dan cendekiawan; oleh itu sikap terbaik, menurut mereka, ialah mendiamkan diri. Tetapi sikap ini amat tidak bertanggungjawab, dan ternyata amat biadab, oleh itu mengapa mereka terus menerus mendiamkan diri, tidak mahu tampil menghujahkan isu ini dengan tuntas?  Kasihan kepada para sasterawan negara, yang kini diturunkan kedudukannya lebih rendah daripada kedudukan Pak Pandir sebagai tokoh dalam cerita jenaka Melayu, yang dengan tidak disangka-sangka muncul sebagai seorang pemikir Melayu yang ulung, yang mencetuskan falsafah pandirisme. Adakah ini menggambarkan para sasterawan negara ini berada dalam komuniti pandirisme antarabangsa, atau mereka memang tidak perlu mengatasi para ulama dan cendekiawan untuk diletakkan di atas takhta keunggulan, kerana tugas dan peranan mereka berbeza daripada para ulama. Kalau begitu, apakah tugas dan peranan mereka? Menurut Panel Anugerah Sastera Negara,  para sasterawan negara ini adalah para pejuang kemerdekaan negara yang ulung.  Tetapi kesimpulan Panel ini adalah satu penipuan besar. Yang menjadi pelopor perjuangan kemerdekaan ialah para ulama, diikuti kemudiannya oleh para nasionalis. Ketika itu sasterawan berada di mana?  Sekarang sudah jelas para sasterawan ini mahu membuat klaim yang menentang hakikat sejarah. Ini nampaknya dibenarkan, kerana tugas mereka sebagai penglipur lara ialah mencipta naratif penglipur lara dalam sejarah perjuangan kemerdekaan itu, dengan mereka muncul sebagai pelopornya.

Inilah hakikat pandirisme yang menjadi perjuangan para sasterawan negara ini. Mereka telah membawa nilai-nilai baru yang palsu dari Barat yang asing dalam tradisi persuratan dan tradisi intelektual kita. Ini telah diterima oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Perkara ini telah saya bincang agak meluas, oleh itu sesiapa juga yang tidak setuju boleh membacanya sendiri dalam blog ini.  Kalau anda tidak bertemu, janganlah pula berdalih anda tidak tahu mencarinya, atau malas mencarinya, atau memang tidak peduli. Kalau begitu, tepatlah anda berada dalam budaya pandirisme yang pinggiran dari segi intelektual, yang cetek meraba-raba dari segi ilmu. Inikah jenis manusia yang dijadikan sasterawan negara?

Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya, 11 April 2016.


2 comments:

  1. Salam En. Affandi Hassan.

    Sudah beberapa minggu saya "berulang-alik" ke blog ini untuk membaca tulisan yang provokatif dan separa ilmiah. Dan ada beberapa perkaru baru yang saya dapat. Khususnya tentang interpretasi sdr. terhadap konsep "Pandirisme" itu, yang saya kita amat kreatif, dan fictional.

    First impression saya, bahasa anda macam bahasa orang jual ubat. Kalau para sasterawan negara tu hanya tukang cerita, sdr pun apa kurangnya sebab tukang jual ubat. Jarang saya baca tulisan yang mengangkat tulisan sendiri dengan begitu tinggi. Kalau dalam sastera, waktu tahun 80-an atau 90-an, ada penyair yang menulis kertas kerja menggunakan namanya untuk mengangkat sajak-sajaknya yang menggunakan nama pena. Kini pada alaf baharu, ada orang yang menulis gagasannya dan mengangkat dan memuja gagasannya sendiri.

    Beberapa hari lepas saya baru berpeluang mendapat buku Prof Ungku Maimunah dan Zariat. Saya berpandangan, baik sdr. serahkan sahaja gagasan murni ini diuruskan dan dihujahkan oleh mereka memandangkan bahasa mereka yang lebih jernih.

    Sdr. banyak merujuk tulisan beberapa ilmuwan Islam seperti Fazlur Rahman dan Syed Nagouib. Cuba saudara teliti bahasa mereka dan penghujahan mereka dan bandingkan dengan bahasa anda. Sdr. juga merujuk Harry Frankfurt, cuba juga sdr teliti cara penghujahan beliau.

    Saya yakin sdr tak pernah belajar logika atau mantiq secara formal. Jika tidak, masakan dengan mudah sdr. menyusun premis dan melompat-lompat ketika membuat hujahan, seperti sirkus.



    ReplyDelete
  2. Mohd Shahrizal NasirApril 22, 2016 at 6:59 PM

    Saudara Anonymous,

    Saudara menulis seperti tok dukun. Tok dukun bercakap (baca mentera) tanpa dapat difahami dan berasaskan perkara dusta. Saudara bercakap perkara di atas awangan tanpa bukti dan hujah, memang seperti tok dukun. Saya sarankan, sekiranya tidak ingin menjadi tok dukun, tulislah ulasan dengan bukti.

    ReplyDelete