Perlukah
gagasan Persuratan Baru diterima oleh semua orang? Bagi saya pertanyaan ini
tidak siuman, kerana Islam sendiri pun tidak diterima oleh semua orang. Malah
amat ironik apabila orang Islam, yang mengaku amat cintakan Islam, tidak
menerima Islam secara keseluruhan. Adakah ini kerana Islam tidak sempurna? Ini satu soalan yang benar-benar mencabar
sifat siuman orang yang bertanya.
Kesempurnaan Islam telah ditegaskan dengan sangat jelas di dalam
al-Quran, sehingga tidak perlu dijadikan isu sama sekali. Anda akan berkata:
Kalau begitu mengapa orang Islam sendiri ada yang tidak menerima kesempurnaan
Islam? Ini bukan masalah saya. Para
ulama telah menghuraikannya dengan luas dan mendalam. Anda mungkin dengan nakal
bertanya: Adakah anda pasti para ulama itu telah menjawab kemusykilan
kami? Bagi saya jawapannya sangat mudah,
dan memang telah ditegaskan dalam al-Quran:
Jawapan kepada soalan anda telah pun diberikan oleh Iblis, ketika dia
berkata dia lebih mulia daripada Nabi Adam ‘a.s. kerana dia dijadikan daripada
api. Sekarang saya serahkan anda untuk
berdialog dengan Iblis, kerana semua kemusykilan anda memang boleh dijelaskan
oleh Iblis berasaskan logiknya. Saya
yakin anda akan berasa puas kerana anda telah mendapat sumber logik anda
daripada Iblis sendiri, yang begitu hebat kemampuan intelektualnya hingga dapat
memperdaya Nabi Adam ‘a.s supaya melanggar perintah Allah. Dalam teori sastera
Malaysia, anda akan berada di takhta keunggulan jika anda melanggar semua
peraturan, kerana anda telah diberitahu, dan anda sendiri telah menerimannya,
bahawa pelanggaran adalah kawajipan utama yang mesti dilakukan oleh seorang
sasterawan yang akan membolehkannya berada di takhta keunggulan sebagai
sasterawan negara. Inilah penegasan Sikana (Mana Sikana aka Dr. Abdul Rahman Napiah),
dalam dua buah bukunya yang diterbitkan oleh ITBM: Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan (2015), dan Berdiri
di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden (2013). Perkara yang paling menghairankan di sini
ialah, bagaimana sarjana sastera dan para sasterawan boleh menerima
“pelanggaran” Sikana sebagai ukuran keunggulan seseorang sasterawan dan
karyanya, padahal mereka tahu “pelanggaran” adalah konsep yang diajarkan oleh
Iblis? Kalau “pelanggaran” Sikana tidak sama dengan yang diutarakan oleh Iblis,
dari mana beliau mendapat idea itu dan apakah maksudnya dalam kritikan sastera?
Dalam dua buah bukunya itu, Sikana tidak memberikan penjelasan yang sewajarnya.
Yang kita dapat hanya ini (yang paling jelas):
Di bawah tajuk “Pelanggaran Paksi Utama”, Sikana menulis begini: “Pelanggaran ialah konsep yang membawa unsur
revolusi dalam sastera. Penciptaan yang bersifat konventional dan mentradisi,
harus dilakukan pemberontakan, rombakan dan pengubahan untuk meneroka sesuatu
yang baharu. Bagi mencipta sebuah teks yang unggul, pengarang harus mempunyai
sifat berani dan bijaksana. Berani mengemukakan sesuatu idea dan pemikiran yang
baharu dan bersedia untuk melakukan inovasi. Bijaksana pula merupakan sifat
yang mendorong pekerjaan teks itu supaya dilakukan dengan penuh kesedaran dan
bergerak dalam landasan keilmuan. Tanpa sifat tersebut, teks-teks yang
dihasilkan hanya akan bergerak dalam lingkungan tradisinya dan tidak memecah
kepada teks-teks yang unggul.” (Berdiri di Akar Diri, ... hal. 88). Saya sangat bersimpati dengan Mana Sikana
dengan memberikan kutipan yang agak panjang ini, walaupun saya sedar ini hanya idle talk,
sejenis bullshit dalam kritikan
sastera yang memang kita selalu dapat dalam tulisan penulis ini. Andaikan apa yang beliau tulis itu masuk
akal, maka siapakah di antara sasterawan negara yang memenuhi syarat bullshit beliau? Siapa di antara sasterawan negara itu yang
boleh digelar pemberontak tradisi penulisan; tradisi siapa; apakah yang baharu
dalam karya mereka; apakah idea baharu dan pemikiran baru yang inovatif dalam
karya para sasterawan negara ini. Kerana
saya telah banyak menulis tentang mereka, saya hanya persilakan anda membaca
dengan kritis, dan cerdik, “Keunggulan
yang Cacat” (entri 28/10/2014, satu pandangan kritis terhadap sumbanga
sasterawan negara dari segi pemikiran dan keupayaan kreatif.) Saya tidak fikir Sikana seorang pemikir yang
serius, walaupun beliau cukup yakin teksdealisme bikinan beliau itu suatu hasil
pemikiran yang terunggul, sesuai dengan namanya. Tetapi jika anda membaca dengan kreatif dan
kritis, sebagai seorang yang kenal dengan teori sastera Barat yang berselirat
dengan ambiguiti itu, anda akan dapati teksdealisme adalah contoh yang unggul
dalam budaya pandirisme yang kini menjadi
arus perdana dalam sastera Melayu.
Kalau anda ragu-ragu dengan kesimpulan ini, saya telah menghuraikannya
dengan mendalam dalam Pandirisme Dalam
Komuniti Dunia (Kuala Lumpur: Klasika Media, 2016). Anda boleh mengkritik buku itu sehabis kritis
yang anda boleh usahakan. Tetapi jika anda seorang sarjana yang jujur, saya
pasti anda akan menerima kehadiran buku itu sebagai suatu sumbangan yang
bermakna dalam perkembangan intelektual Malaysia, khususnya dalam bidang
kritikan sastera.
Sekarang
kita mempunyai dua pendapat mengenai sumbangan para sasterawan negara ini: satu
yang dikemukakan Sikana melalui teksdealisme
yang saya tolak bulat-bulat sebagai hanya sejenis bullshit saja; kedua, yang
dibicarakan dalam entri 28/10/2014 itu.
Adakah kedua-dua pendapat ini betul? Atau kedua-duanya salah? Atau yang
paling tepat ialah entri “Keunggulan yang Cacat” itu, yang menggunakan konsep
pandirisme sebagai ukuran. Para sarjana, dan sasterawan, perlu membuat pilihan;
atau sekurang-kurangnya membahaskan dengan kritis dua pandangan yang sangat
berbeza ini. Dalam penelitian saya, para
sasterawan negara tidak boleh lagi bergantung pada “pelanggaran” Sikana,
setelah mengetahui maksud “pelanggaran” dalam konteks Islam, yang bersumber
dari perderhakaan Iblis. Ciri-ciri
“pelanggaran” yang disenaraikan oleh Sikana tidak satu pun boleh dipakai untuk
mengukur sumbangan pemikiran para sasterawan negara ini. Kalau anda paling
malas pun, anda boleh baca sepintas lalu laporan Panel Anugerah Sastera Negara,
nescaya anda dapati Panel hanya melakukan kerja mudah mencari fakta-fakta
tertentu yang selalunya tidak tepat untuk membuktikan para sasterawan negara
ini wajar diberi gelaran itu. Misalnya, apakah yang revolusioner tentang A.
Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Shahnon Ahmad, Baha Zain? Usman Awang dipuji
kerana menggunakan unsur-unsur pantun dan sebagainya dalam sajaknya; Anwar
Ridhwan pula menggunakan penlipur lara sebagai asas penulisan novelnya. Apakah
yang revolusi dalam penulisan mereka? Saya telah berikan penjelasannya dalam
“Keunggulan yang Cacat.”
Sama
ada anda menggunakan teksdealisme, atau gagasan Persuratan Baru, anda akan
dapati tidak seorang pun di antara sasterawan negara itu memenuhi tuntutan
teksdealisme yang bersifat bullshit
itu, apatah lagi tuntutan Persuratan Baru yang mengasaskan penilaian kepada
konsep ilmu yang benar. Anda akan dapati
para sasterawan negara sekarang sedang berada dalam keadaan yang amat sulit,
kerana teksdealisme yang sepatutnya mengangkat mereka ke atas takhta keuggulan,
tidak dapat melakukannya kerana cici-ciri keunggulan bikinan Sikana itu tidak
ada dalam karya para sasterawan negara ini. Lagi pula mereka sendiri tidak mahu
dinilai daripada perspektif teksdealisme, yang secara tegas menolak peranan
tradisi dalam penulisan, sesuatu yang menjad kemegahan para sasterawan negara
sendiri. Apakah akan jadi jika karya
para sasterawan negara ini dinilai daripada perspektif Persuratan Baru?
Jawapannya telah kita dengar, diberikan oleh seorang tokoh yang menjadi anggota
Panel Anugerah Sastera Negara, yang dikatakan telah berkata, ketika menolak
Persuratan Baru, bahawa jika karya para sasterawan negara ini dinilai dari
perspektif Persuratan Baru, semua karya para sasterawan negara ini akan
dimasukkan ke bakul sampah! Saya amat
berharap orang yang berkata itu berani muncul di depan khalayak, kerana beliau
telah menghina Persuratan Baru dan para sasterawan negara sendiri. Tidak mungkin seorang yang begitu bacul dan
tidak bertanggungjawab diberi tugas untuk memilih para sasterawan negara,
dengan berada dalam Panel Anugerah Sastera Negara.
Sekarang
kita sampai kepada perkara yang ingin kita bincangkan: Adakah mutual admiration
club itu benar-benar wujud? Tokoh yang mula-mula bercakap tentang perkara
ini tidak lain daripada Prof. Emeritus
Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri, dalam kertas kerja beliau untuk Seminar Kritik
Sastera 1973 di Johor Baru. Kertas itu dimuat dalam buku terbitan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (nama lama),
Kritik Sastera di Malaysia: Kertas
Kerja Seminar Kritika Sastera 1973 (1974).
Menurut beliau: “Ada kumpulan-kumpulan penulis yang saling memuji satu
sama lain sebagai ahli-ahli suatu mutual admiration club.” (Kutipan penuh dimuat dalam Pandirisme dalam Komuniti Dunia (hal.
12-13). Pandangan tokoh besar sastera
Melayu ini sangat menarik, jika dikaitkan
dengan pertanyaan, Adakah para sasterawan negara ahli kepada mutual admiration
club? Muhammad Haji Salleh memberikan jawapannya dalam tulisannya yang dimuat
dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara
Bangsa (2014). Dengan yakin beliau
menegaskan, “Kembalilah mencari contoh ... daripada Baha Zain” (hal. 206). Kebetulan Baha Zain menyumbang satu kertas
kerja dalam buku itu, maka teruslah saya baca rencana beliau, “Meneguhkan sastera dalam agenda transformasi
negara.” (hal. 227-239). Membaca tulisan
klise ini, saya menjadi amat gerun untuk memberi komen, kerana jika inilah karya yang saya disuruh “mencari
contoh,” maka saya tidak perlu membuang
masa, kerana contoh yang jauh lebih baik dan lebih akademik saya boleh dapati
daripada sebuah tulisan yang ditulis oleh seorang mahasiswa dari Amerika yang
membicarakan tentang New Criticism,
yang tidak boleh ditulis oleh Muhammad Haji Salleh sendiri mahu pun oleh Baha
Zain, walaupun mereka berdua adalah warisan New
Criticism di Malaysia. (Sila rujuk, Glen
W. Butler, “New Criticism: The Challenger, the Winner, and the Lasting
Legacy.” Lethbridge Undergraduate Research Journal. Volume 1 Number 1, 2006.) Saya belum lagi bertemu esei mengenai New Criticism sebaik tulisan mahasiswa
ini. Saya agak, tidak ada sarjana
sastera berminat dengan teori ini, kerana tidak berguna bagi mereka; walaupun
teori ini luas dipergunakan.
Para
sasterawan negara masih boleh bertahan kerana semua mereka adalah hasil
daripada gerakan Mafia sastera, seperti yang diutarakan oleh A. Samad Ismail
sejak 1998 dan mungkin sebelumnya.
Gelaran Mafia sastera itu mungkin kedengaran terlalu kasar, maka gelaran
yang paling enak ialah yang diberikan oleh Muhammad Haji Salleh sendiri, iaitu
mereka semua mendapat perlindungan dalam mutual admiration club, yang dipayungi
oleh Panel Anugerah Sastera Negara.
Jikalau anda seorang pembaca yang kritis, dan dapat melihat logik yang dipakai oleh Sikana dalam teksdealisme
dan laporan Panel Anugerah Sastera Negara, anda akan dapat melihat betapa pentingnya
mutual admiration club itu dalam mempertahankan kedudukan para sasterawan
negara ini. Jikalau anda meneliti analisis Sikana ketika memberi kedudukan
istimewa kepada para sasterawan negara ini dengan meletakkan mereka di atas
takhta keunggulan; dan anda dapat melihat pula “keunggulan” Panel Anugerah
Sastera Negara menjadikan teori sastera Barat sebagai teras huraian mereka
untuk membuktikan para sasterawan negara ini layak diberi gelaran sasterawan
negara, dan lebih penting anda sedar bahawa baik Sikana mahupun Panel Anugerah
Sastera Negara, kedua-duanya menjadikan teori sastera Barat sebagai dahan
tempat mereka bergantung, maka jika dahan itu runtuh dipotong secara
intelektual dan “keunggulan” ilmu yang benar, maka dahan manakah yang akan
menjadi tempat berpaut para sasterawan negara ini sebelum mereka jatuh ke
lautan ambiguiti dalam kegiatan mereka?
Seperti yang telah ditentukan oleh Sikana dalam teksdealisme, seorang sasterawan
harus menjadi seorang revolusioner dan anti-tradisi untuk melanggar segala
peraturan yang ada, maka pelanggaran itu telah dihujahkan oleh Panel Anuterah
Sastrera Negara dengan memperincikannya dalam konteks eksperimen, kelainan, dan sebagainya yang anda boleh baca dalam
laporan Panel. Tetapi ceritanya belum selesai, kerana anda harus sedar bahawa
teori sastera Barat mendapat ilham dan kekuatan logik daripada pelanggaran
Iblis seperti yang diceritakan di dalam al-Quran. Jika anda berasa bangga
menjadi ahli waris sastera Barat, maka anda tidak ada pilihan selain menerima
hakikat bahawa warisan itu adalah diterima secara langsung oleh teori sastera
Barat daripada pelanggaran Iblis itu. Untuk memudahkan anda memahami kesimpulan
ini, anda mesti berlumba-lumba membaca dengan rakus buku yang sangat penting
yang memberikan anda penjelasan tentang aspek ini dengan jelas dan mudah
dibaca, iaitu buku Stephen R.C. Hicks, Explaining
Postmodernism: Skepticism and Socialism from
Rousseau to Faucault (2004; tarikh yang sama Balai Maqamat dan Hikayat
Buyung Lurus disiapkan). Buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa adalah
warisan terus dari teori sastera Barat ini.
Dalam pendahuluan kepada buku ITBM itu, Ketua 1 PENA, Dr. Mohamed Saleeh Rahamad, menulis tentang
betapa pentingnya sastera, yang memberi hegemoni kepada pembinaan tamadun.
Beliau mengambil idea ini daripada
Faucault.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 28/4/2016.
No comments:
Post a Comment