Sunday, May 1, 2016

GAGASAN PERSURATAN BARU TERUS MARA

1 April lepas Klasika Media menerbitkan  buku saya Pandirisme Dalam Komuniti Dunia.  Jualan di Pesta Buku Antarabangsa KL (Serdang, 29 April hingga 9 Mei 2016) khabarnya agak baik, kebanyakan dibeli oleh generasi muda, dan pembaca bukan sastera.  Nampaknya khalayak yang saya harapkan akan membaca karya yang menjentik akal mereka, seperti Pandirisme ... itu, tidak berminat. Tak seorang pun antara para sasterawan negara mahu memegangnya, apatah lagi membacanya. Tepat sekali seranah beradab Prof. Emertus Dr. Muhammad Haji Salleh, seperti yang dilaporkan oleh Dr. Fatimah Busu dalam bukunya yang membelasah habisan PB, bahawa jenis buku yang saya tulis  itulah seperti “anjing kurap”.  Tidak boleh diisentuh supaya tidak terkena kurapnya.

Biarkanlah para Si Luncai ini terjun dengan labu-labunya, untuk disorak oleh Pak Pandir yang melihat perbuatan Si Luncai itu amat lucu. Kelucuan ini menjadi hidangan enak tetapi pedas dalam Hikayat Buyung Lurus. (Terbit 29 April, 2016). Novel ini diilhamkan oleh gaya tinju Muhammad Ali, yang sangat tangkas berlari-lari seluruh pentas untuk memperdaya lawannya, mencari kesempatan untuk memberikan tumbukan KO kepada lawannya. Gaya inilah yang saya gunakan untuk menulis kisah seorang ahli politik kampung yang suka bermain politik dan bertanding sebagai calon bebas, walaupun kalah dan hilang wang pertaruhan.  Tiba-tiba dia menjadi legenda di Kampung Manifesto dan digelar oleh penduduknya YB Buyung Lurus.  Cerita menjadi semakin menarik apabila seorang ahli akademik berminat untuk mengetahui tokoh  Kampung Manifesto ini, dengan menulis tentangnya hingga menarik perhatian pembaca dan media elektronik seluruh dunia. Begitulah cerita itu berkembang, sehingga sampai ke puncaknya apabila rumahnya hendak dibakar oleh YB pilihan rakyat.

Novel ini ditulis untuk dibaca mengikut selera anda, oleh itu anda boleh mulai dari bab akhir, melompat ke bab di tengah-tengah buku, dan langsung dimulai membaca bab pertama. Gerakan bacaan anda betul-betul seperti gerakan Muhammad Ali di gelanggang tinju.  Dalam teori sastera Barat, ada teori yang mengatakan makna sesebuah karya ditentukan  oleh pembaca, tidak ada kaitan dengan tujuan dan matlamat pengarang.  Tetapi bagi Muhammad Ali, matlamatnya ialah hendak menghadiahkan KO kepada lawannya. Bolehkah kita berkata begitu juga kepada Hikayat Buyung Lurus ini? Pembaca yang kurang cerdik, yang mengharapkan untuk mendapat cerita sensasi seperti membaca karya para sasterawan negara, akan merasa terbeban kerana dikejar ke sana kemari untuk mendapat ceritanya, tanpa memberi perhatian kepada maknanya.  Cara bacaan begini mungkin sesuai untuk budak-budak sekolah, tetapi tentu saja tidak lagi sesuai untuk pembaca yang sudah dewasa.  Bagaimana jika pembaca yang dewasa dari segi umur itu masih berlagak seperti budak-budak sekolah? Dia akan terus membaca untuk mendapat hiburan daripada kelucuan gaya cerita, di samping kelucuan watak-wataknya. 

Satu kemajuan paling bererti dalam penerbitan novel ialah penyediaan indeks tentang tajuk-tajuk penting dalam novel. Inilah kali pertama sebuah novel diberi indeks oleh penerbitnya, satu percubaan yang saya alu-alukan dan saya percaya akan menjadi ikutan selepas ini. Sebagai percubaan pertama, indeks yang disediakan penerbit masih boleh diperbaiki untuk lebih menjelaskan kedudukan wacana dan cerita dalam novel ini. Misalnya, tentang Buyung Lurus kita boleh perincikan kegiatannya, kedudukanya di kalangan orang kampung, buhungannya dengan isteri dan keluarganya, pandangannya tentang penipuan dalam politik, tentang korupsi, tentang pembangunan, tentang pilihan raya, dan lain –lain tajuk yang boleh diperhalusi supaya dengan membaca indeksnya kita dapat tahu pemikiran Buyung Lurus dan perwatakannya. Dari segi kandungan novel  pula, kita boleh senaraikan dari segi peristiwa yang berlaku (sebagai contoh, seminar dan perbincangan yang diadakan, dan peranan Buyung Lurus dalam perbincangan itu),  bagaimana sesuatu peristiwa ditangani oleh pendudukan kampung, nilai-nilai yang mereka pegang, dan lain-lain tajuk  yang boleh membantu kita melihat keadaan masyarakat di kampung itu.  Semua ini akan dibaiki sekiranya novel ini diulang cetak dan indeksnya dikekalkan dengan tambahan yang saya sarankan itu.

Tidak saja style tinju Muhammad Ali menarik untuk dijadikan gaya penulisan,  peristiwa di sekitar 1MDB juga boleh dijadikan asas untuk membina naratif yang khusus yang tidak lagi memberi perhatian kepada cerita semata-mata, tetapi lebih utama ialah peranan wacana dalam menghuraikan peristiwa korupsi paling besar, dan paling menarik, yang pernah terjadi dalam sejarah politik Malaysia. Saya telah memberikan sedikit bayangan dalam entri bertarikh  4/8/2015,  “Plot 1MDB:  satu teknik dalam naratif pascamodenisme,”  juga disentuh dalam entri 1/8/2015.  Tiga perkara yang saya sebut itu tidak akan terjadi tanpa gagasan Persuratan Baru, yang memberi penekanan dan perhatian serius kepada peranan ilmu yang benar dalam penulisan, dan serentak dengan itu ialah penggunaan teknik yang tidak terfikir oleh para sasterawan Malaysia sebelum ini.  Penerbitan dua buah karya ini,  dan Balai Maqamat yang terbit 2014, mengukuhkan lagi kedudukan Persuratan Baru sebagai alternatif dalam cara menulis dan membaca, dan cara menganalisis serta menilai karya sastera. Jika para penulis muda memahaminya dengan kritis, mereka akan mendapat manfaat besar daripadanya, walaupun mereka tidak bersetuju. Mereka boleh membina pendekatan mereka sendiri yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan intelektual serta kemampuan kreatif mereka. Misalnya, jika anda menggunakan plot seperti dalam cerita arnab dan kura-kura, apa akan terjadi jika cerita itu diterbalikkan? Atau, jika tempo cerita itu  dipercepat atau diperlahankan?  Mungkin anda belum lagi bersedia untuk memahami maksud saya, dan masih perlu menggunakan imaginasi yang lebih mantap untuk memahaminya; tetapi sebaik saja anda dapat memahaminya, anda akan dapat menulis dengan yakin dan tahu ke mana arah anda dan tahu pula mengapa anda mesti berhenti di situ. Itulah kekuatan gagasan Persuratan Baru, memberi anda kemungkinan baru sekiranya anda berfikir dalam konteks ilmu.

Satu aspek dalam penulisan kreatif yang sering menjadi masalah, dan sering kali dihindarkan, ialah  masalah penguasaan bahasa dalam konteks penguasaan ilmu. Kita ambil contoh mudah ini: sekiranya anda ingin menggambarkan kekuatan perwatakan seseorang watak, adakah anda menggunakan sifat fizikal watak itu, atau kekuatan kognitifnya, atau sifat kemanusiaanya? Atau kesemuanya sekali? Jika anda pilih kesemuanya, anda tidak dapat mengelak daripada memperlihatkan kemampuan anda sendiri sebagai seorang pengarang yang berfikir, kerana pembaca yang cerdik akan dapat mengesan kekuatan kreatif dan kekuatan kongnitif anda sendiri dengan menilai aspek itu dalam karya anda. Hal ini telah dibicarakan dengan baik dan jelas oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam banyak tulisannya, misalnya ketika membicarakan karya Fatimah Busu, Salam Maria; atau karya Azizi Abdullah, Harga Sebuah Maruah.  Sekali lagi saya ingin menegaskan kepada anda, kemungkinan yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah itu tidak mungkin terjadi sekiranya anda masih menggunakan cara analisis yang sudah menjadi klise, menggunakan konsep plot dan sebagainya sebagai terpisah, sebagai acuan seperti anda sedang membuat buahulu.  Kalau anda masih belum dapat memahami kesimpulan mudah ini, sudah jelas anda perlu membaca lebih mendalam dan kritis gagasan Persuratan Baru. Anda masih meraba-raba. Tepat sekali ungkapan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, anda masih berada dalam keadaan “cetek meraba-raba”, masih berada di pinggiran dari  segi kefahaman tentang konsep ilmu dan tentang konsep kreatif dilihat daripada perspektif ilmu. Dengan memberi perhatian yang kreatif dan kritis kepada gagasan Persuratan Baru, anda akan dapat menulis seperti yang dihasilkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam analisis dan penilaian beliau. Itulah yang kita mahu, bukan seperti yang dihasilkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  [Untuk rujukan lihat catatan di bawah.]

Jalan keluarnya sangat mudah: baca dengan kreatif dan kritis Pandirisme Dalam Komuniti Dunia  dan Hikayat Buyung Lurus. Tidak mungkin ini pun anda tidak boleh buat, padahal anda seorang sarjana atau seorang sasterawan.

Catatan:   Lihat Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua; bab 9 untuk ulasan Salam Maria.  Untuk novel Azizi, lihat Islam, Feminisme Barat dan Sastera Melayu  (UKM. Bangi 2013), hal. 147-151, nota hujung 9, hal. 165.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1/5/2016.


No comments:

Post a Comment