Buku
ITBM ini diterbitkan edisi kedua 2015, dengan tambahan ucapan bekas MB Kedah
dan ucap utama Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan, dengan judul yang amat
memikat, “Penulisan umum dalam era keruntuhan tamadun dunia moden:
tanggungjawab moral yang semakin berat.”
Sejauh mana ucap utama ini dibincang dalam Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia 2014 ini tidak terbayang dalam buku ini, tidak ada laporan sama
sekali, walaupun diberi nama “edisi kemas kini”. Nampaknya ITBM tidak tahu
makna kemas kini, atau editornya hanyut dalam khayalan entah apa-apa. Sangat
wajar kita tahu apakah yang dibincangkan oleh para penulis handalan yang diberi
tempat dalam sidang kemuncak ini, lebih-lebih lagi di situ tercokol empat orang
sasterawan negara. Kita mahu tahu apakah
reaksi empat orang tokoh agung sastera Melayu moden ini mengenai ucap utama
yang begitu penting. Berkali-kali Prof. Kamal Hassan menyebut tentang
tanggungjawab moral dan peranan ilmu dalam penulisan, yang dikaitkan dengan
sumber ilmu daripada al-Quran dan Sunah. Agaknya kerana sangat terpengaruh dengan
Laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang menegaskan tidak perlu moral dalam
sastera, tidak perlu unsur didaktik dan segala macam, oleh itu tidak diperlukan
“khutbah” dan perbincangan tentang perkara penting dalam masyarakat (seperti
yang ditunjukkan dalam Hikayat Buyung
Lurus), maka para sasterawan dan sarjana ini menjadi marah apabila mereka diminta
memberi perhatian kepada aspek moral dan ilmu. Adakah semua ahli sidang sedang
berborak tentang karya mereka masing-masing ketika ucap utama itu diucapkan?
Mengapa mereka mendiamkan diri? Adakah mereka semuanya tidak mempunyai
tanggungjawab moral dan tanggungjawab ilmu? Inilah perkara yang perlu dimuat
dalam edisi kemas kini ini. Nampaknya catatan persidangan yang begitu besar
belanjanya itu tidak dibuat; atau jika dibuat, ditulis bukan sebagai laporan
yang profesional seperti yang berlaku dalam sidang sebesar ini. Shame on you, ITBM.
Kalau
ITBM semalas itu, atau kalau editornya (salah seorang editor ialah seorang sarjana sastera yang amat terkenal, ketua satu
persatuan penulis yang penting pula) tidak tahu bekerja, sepatutnya CEO ITBM
sendiri memilih editor yang baik untuk menerbitkan buku penting ini. Buku ini
penting kerana ITBM memberitahu kita sastera adalah teras negara bangsa, oleh
itu amat wajar jika kandungan buku ini menyerlahkan sedikit perbincangan
mengapa sastera wajar dijadikan teras negara bangsa. Lagi pula, ucap utama itu sendiri memberi
panduan kepada para peserta sidang ini untuk membincangkan perkara penting yang
sedang dihadapi dunia masa kini. Cetek sangatkah pengetahuan para peserta sidang,
sehingga tidak memberi reaksi sepatutnya kepada ucap utama yang penting
itu. Barang diingat, dalam sidang ini
tercokol empat orang pemikir agung sastera Melayu, yang diberi gelaran
sasterawan negara. Adakah mereka sendiri tidak dapat memahami permasalahan yang
disebut satu persatu dalam ucap utama itu? Saya agak, lebih tepat jika kita
membuat andaian, para sasterawan negara dan para pengikut mereka yang berada di
sidang itu tidak menganggap masalah tamadun moden yang dibincang dengan
terperinci oleh Prof. Kamal Hassan sebagai penting, kerana yang memberi ucap
utama itu bukan seorang sasterawan negara, tidak juga seorang sastrerawan.
Kalau begitu, ITBM sudah buat silap besar, tidak memberi laluan kepada para
sasterawan negara itu memberi ucap utama masing-masing dalam sidang sasterawan
itu. Dalam bahasa yang saya pakai, inilah contoh pandirisme yang menjadi
kemegahan para sasterawan. Mereka selesa
mendengar ucapan yang membicarakan mimpi di atas bumbung kilang berkarat, atau
celoteh dangkal para sasterawan negara dalam kertas kerja mereka. Kalau anda
membaca dengan “cool”, objektif dan saksama kertas kerja para sasterawan negara
ini, anda akan berasa sangat kasihan bagaimana mereka boleh diberi kedudukan
itu padahal mereka tidak dapat menyerlahkan keunggulan “pemikiran” mereka dalam
wacana ilmiah yang boleh mendorong pembaca berfikir dengan mendalam persoalan
yang mereka timbulkan. Keinginan mereka
untuk memuji diri dan kumpulan mereka terlalu besar, seperti yang dapat kita
lihat dengan jelas dalam kertas kerja Muhammad Haji Salleh dan Kemala. Tepat
sekali sidang kemuncak ini adalah sidang kemuncak Mutual Admiration Club yang
penuh dengan pretensi intelektual dan
retorik peragaan yang disalut dengan fatamorgana bahasa yang dangkal. Kalau
anda tidak dapat memahami kesimpulan ini, anda perlu baca pandangan saya
tentang perkara ini yang disiarkan dalam blog ini.
Akhirnya,
sekiranya ITMB begitu malas membuat edisi yang benar-benar kemas kini tentang
sidang penting ini, sekurang-kurangnya mereka boleh memasukkan resolusi panjang
yang dicapai oleh sidang kemuncak.
Resolusi itu penting dimasukkan kerana tidak ada perkara baru yang
diputuskan, hanya ulangan klise yang telah diutara sekian lama dan sekian
banyak dalam sidang-sidang yang lain. Resolusi itu juga memperlihatkan sifat
tamak para sasterawan meminta itu dan ini untuk faedah peribadi mereka; dan
jika mereka mencadangkan penubuhan beberapa projek dan institusi tertentu,
mereka tidak segan-segan mencadangkan merekalah yang patut mendapat faedahnya,
terutama di kalangan para sasterawan negara. Bacalah resolusi itu dengan teliti
dan anda akan melihat sifat tamak manusia dalam usaha mereka mendapat faedah
untuk mereka dan kumpulan mereka. Baca dengan kritis. Resolusi itu amat jelas bersikap anti-ilmu;
dengan itu dokumen ini menjadi contoh dan hujah yang amat jelas tentang betapa
kukuhnya pandirisme dalam sastera Melayu moden.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 19/5/2016.
No comments:
Post a Comment