Buku
ini hasil dari Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia 2014. Membaca indeks buku ini meyakinkan saya bahawa inilah
sebuah buku anggota Mutual Admiration Club dalam sastera Malaysia. Ini segera
mengingatkan saya satu pandangan kritis
A. Samad Ismail, yang ditulis
dalam suratnya kepada seorang pensajak, bahawa di Malaysia (tarikh surat 2003)
terdapat kumpulan Mafia dalam sastera
yang merosakkan sastera. Adakah maksud
beliau wujudnya kumpulan Mutual Admiration Club yang dikritik oleh Muhammad
Haji Salleh 1973 lagi? Sekarang kumpulan
itu dinaungi oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang melahirkan para sasterawan
negara. Mereka saling memuji sesama mereka, misalnya Muhammad Haji Salleh
sangat kagum dengan genius Baha Zain, sehingga tanpa ragu-ragu lagi beliau menggesa
sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera belajar daripada genius ini, sahabat karib Muhammad Haji Salleh yang disanjungnya sejak 1970-an
lagi. Kemala pula menyanjung Shahnon
Ahmad dengan memetik pendapat Shahnon tentang perbezaan antara sasterawan dan
pemikir (kertas Kemala, hal. 296). Shahnon
meletakkan sasterawan lebih tinggi daripada “pemikir”. “Seorang sasterawan mesti mempunyai pemikiran
yang sebati dengan kata-kata”, kata Shahnon. Pemikir ramai di universiti,
katanya. Mungkin juga Shahnon betul,
jika kita hitung ramainya profesor; tetapi berapa ramai sasterawan negara?
Sasterawan yang tidak bertaraf negara memang ramai, ada di antara mereka sambil
bergurau berkata, “ramai macam ulat”. Ulat sasterawan ini lebih hebat daripada
“pemikir” di universiti.... jika benar
andaian Shahnon. Pendapat Shahnon,
seperti biasa, menimbulkan masalah padahal bukan masalah. Kerana itu beliau
menentang pemilihan sang genius Baha Zain sebagai sasterawan negara, yang
menurutnya hanya menulis sajak-sajak kontot. Antara Muhammad Haji Salleh yang
memuja Baha Zain, seorang genius, dengan Shahnon Ahmad yang mengatakan Baha
Zain penulis sajak-sajak kontot, siapa yang bercakap benar? Atau kedua-duanya
tidak boleh dipakai? Saya kira ini bukan
persoalan, kerana yang menjadi persoalan
ialah penilaian dua orang yang memang pernah menganggotai Panel Anugerah
Sastera Negara. Bolehkah kita berkata penilaian para anggota Panel Anugerah
Sastera Negara itu tidak boleh dipakai?
Kalau anda membaca penilaian mereka, nampaknya begitulah. Mereka berkata meniru teknik Barat adalah
penting untuk menulis novel yang bermutu; tetapi moral tidak penting dalam
karya sastera; demikian juga pengajaran, dengan itu karya sastera tidak boleh
ada unsur didaktik, tidak boleh ada khutbah.
Sebaliknya, karya sastera mesti memperlihatkan kelainan, eksperimen,
teknik yang baru (walaupun meniru tidak mengapa, asalkan baru, seperti menggunakan
teknik realisme magis misalnya), tema yang baru (misalnya menggunakan balik
cerita berbentuk penglipur lara, seperti dalam karya Anwar Ridhwan). Paling menarik ialah pendapat Panel ketika memuji Kemala sebagai
seorang pensajak sufi. Mereka berkata, Kemala itu seorang pensajak sufi yang
bertaraf antara bangsa, kerana menggunakan alusi “Mark Antony dengan Cleopatra”
dalam sajak percintaan berbentuk kesufian. Kata Panel, Kemala memberikan
sastera Melayu keharuman kesufian dalam karyanya. Anda perlu baca laporan
mereka untuk Kemala, sekiranya anda mahu melihat kehebatan Kemala sebagai
pensajak sufi pertama di Malaysia.
Adakah sanjungan mereka... (tak boleh cerita, terlalu hebat, mengatasi
langit ke tujuh!)
Apa
bezanya Laporan Panel dengan buku SASTERA TERAS NEGARA BANGSA? Sebenarnya tidak
berbeza. Kedua-duanya hasil tulisan yang penuh pretensi intelektual, yang kaya
dengan retorik peragaan yang dibarengi dengan fatamorgana bahasa yang
bombastik. Inilah contoh kemiskinan
berfikir dalam sastera Melayu moden. Kedua-dua teks ini memperlihatkan betapa
jauhnya mereka ketinggalan zaman. Kedua-duanya kaya dengan klise murahan,
padahal pada waktu ini sudah diketengahkan satu alternatif yang sudah terbukti
boleh digunakan dengan selesa untuk menilai karya kreatif berbahasa Melayu,
iaitu gagasan Persuratan Baru. Sebuah
Sidang Kemuncak yang begitu penting, dihadiri oleh para pemikir yang begitu
handalan, dengan angkuh sekali menolak tidak saja pemikiran Syed Muhammad
Naquib al-Attas tentang ilmu, tetapi juga membutakan mata mereka untuk tidak
melihat kemunculan gagasan Persuratan Baru, padahal buku PENDIDIKAN ESTETIKA
DARIPADA PENDEKATAN TAUHID telah mendapat perhatian satu projek penting dalam
pemikiran Islam bertaraf dunia. Inilah
yang mereka namakan kejujuran intelektual, iaitu kejujuran mereka untuk tidak
jujur kepada ilmu. Semua ini terjadi dengan disengajakan untuk melindungi
kelemahan mereka, supaya tidak dinilai berasaskan konsep ilmu yang benar. Tidak
hairanlah jika mereka membisu terhadap ucap utama Prof. Kamal Hassan, yang juga
menekankan konsep ilmu dan peranan moral dalam pembinaan tamadun. Padahal mereka bercakap tentang teras negara
bangsa!
Begitu
banyak wang dihabiskan untuk hanya berbicara tentang bullshit, bukan tentang ilmu. Bullshit
sebagai teras negara bangsa. Hidupkan slogan
penting ini dalam perbincangan/tulisan anda.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 20/5/2016.
No comments:
Post a Comment