Saturday, May 7, 2016

APAKAH YANG SEBENARNYA BERLAKU DALAM SASTERA MELAYU MODEN?

Ini adalah iklan awal, untuk suatu analisis yang mungkin memeranjatkan pembaca yang belum biasa lagi dengan karenah sastera Melayu moden.  Analisis itu tidak akan disiarkan tahun ini, mungkin tahun 2017 untuk menyambut tahun baru. Mungkin juga bulan Disember nanti, terpulang kepada mood penulisnya memilih tarikh yang sesuai. Moga-moga dengan iklan awal ini akan timbul minat di kalangan sarjana dan sasterawan untuk membincangkan isu ini mengikut selera mereka. Sama ada yang mereka bincang itu selaras atau tidak dengan yang akan dihidangkan oleh penulis blog, tidak menjadi masalah, kerana setiap orang atau kumpulan mempunyai cara tersendiri melihat masalah penting ini. Apakah yang sebenarnya berlaku, atau sebenarnya tidak ada apa-apa, hanya ulangan klise yang diberi wajah “baru”, tetapi masih tetap cerita lama, atau klise. Kita tengok nanti apa yang sebenarnya berlaku.

Antara yang menarik, sasterawan negara sudah diremehkan oleh Kerajaan sendiri, dengan hadiah/anugerahnya disampaikan oleh Manteri Pelajaran, bukan lagi Agong. Mengapa terjadi perubahan tiba-tiba ini? Dengan itu sasterawan negara terbaru ini sudah tidak berada di takhta keunggulan lagi, sudah turun darjat. Kerajaan sudah bosan dengan penampilan sasterawan negara? Sekarang sasterawan negara seolah-olah sudah turun darjat.  Seseorang bergurau, inilah ketikanya kau diberi anugerah sasterawan negara, kerana sudah turun harga atau tidak berharga lagi, tak sama lagi dengan yang lama. Hadiah atau anugerah yang akan kau terima pun 50 sen saja, padan dengan derma kau satu ringgit dulu. Mahu kau terima? Tak ada masalah, kata saya serius (tentu saja bukan betul-betul serius). Mereka yang dijadikan sasterawan negara itu menulis karya picisan, harganya 10 sen (picisan bererti buku yang berharga 10 sen). Asal aku dapat lepas dari dijadikan picisan, 50 sen sudah banyak. Sekarang sudah ada barisan menunggu siapa akan terpilih. Antara yang dinamakan oleh Shahnon Ahmad ialah Mana Sikana dan Fatimah Busu; yang sedang menggelisah ialah Lim Swee Tin.  Kalau ada nama-nama lain, sesiapa yang tahu bolehlah hebahkan supaya peminat mereka boleh kirim ucapan tahniah. Tetapi yang paling baik masih lagi cadangan saya supaya diadakan Hadiah Persuratan PETRONAS, untuk menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dengan memberi hadiah (100,000 setiap satu) kepada sarjana yang menulis dalam bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang ditetapkan, misalnya bidang matematik, bidang sejarah, dan lain-lain yang sesuai. Sasterawan masih boleh diberi hadiah, tetapi bukan gelaran sasterawan negara yang mengelirukan itu. Memberi gelaran sasterawan negara adalah satu tindakan yang tidak beradab, kerana dalam kebudayaan dan peradaban Melayu, yang berada di atas ialah para ulama dan cendekiawan, bukan sasterawan. Adab ini mesti dipertahankan, jika kita masih mahu menjadi bangsa yang beradab.

Tetapi perkembangan paling hebat ialah kemunculan Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Sekarang apabila seseorang ingin berbicara tentang sastera tidak boleh lagi meninggalkan pandirisme dalam wacana mereka, kerana seluruh persoalan sastera adalah persoalan pandirisme.  Mendiamkan diri bukan strategi yang baik. Anda perlu menyatakan pendirian anda sesuai dengan suara lantang anda supaya semua orang bersikap jujur dan beradab.  Mahu tidak mahu persoalan pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden harus dibicarakan dengan tuntas, terutama  sekali apabila anda mempertahankan kewujudan sasterawan negara, yang kini cuba disisih keluar dengan menarik keluar daulat Yang di Pertuan Agong yang dia saja layak memberi gelaran itu, bukan Menteri Pelajaran.  Dari segi feminisme, penyisihan ini terang-terangan satu penghinaan kepada sasterawan wanita, yang jelas sekali tidak setaraf dengan sasterawan lelaki walaupun mereka memakai gelaran yang sama. Yang patut membantah ialah semua sasterawan negara, kerana meletakkan mereka sebagai golongan patriah yang kejam dan tidak bermaruah. Sepatutnya tidak seorang pun jemputan wanita hadir upacara itu, kalau mereka benar-benar percaya betapa pentingnya feminisme dalam sastera Melayu moden. Tidakkah ini satu bukti yang begitu pejal betapa kuatnya pengaruh pandirisme dalam sastera Melayu?

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 7/5/2016.

No comments:

Post a Comment