Penerbitan
Pandirisme Dalam Komuniti Dunia
adalah satu perubahan besar dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia,
yang tidak saja meletak satu asas yang kukuh dalam pembakuan ukuran yang boleh
digunakan, atau ditolak, ketika kita menganalisis dan menilai sesuatu karya
kreatif dan sekali gus mencabar
penilaian yang sedia ada untuk melihat sejauh mana kritikan sastera Malaysia
telah melangkah ke hadapan dari segi perkembangan ilmu. Paling penting dalam aspek ini ialah
kedudukan para sasterawan negara dan karya mereka, sama ada mereka telah diberi
penilaian yang wajar dan tepat dengan
kualiti karya yang dihasilkan oleh para sasterawan negara ini. Kelemahan yang ketara dalam kritikan sastera
Melayu perlu dibersihkan berasaskan konsep ilmu yang benar, tidak lagi dinilai
daripada perspektif cerita semata-mata, seperti yang dilakukan sekarang. Dengan
sikap yang tidak kritis begini, yakni dengan hanya memberi tumpuan kepada
cerita, kesusasteraan Melayu ketinggalan jauh dari segi pemikiran, kerana aspek
pemikiran ini tidak diberi penekanan dalam penulisan kreatif dan tidak juga
dalam penilaian karya itu sendiri. Usaha
untuk membina mitos di sekitar para sasterawan negara tidak boleh diterima,
dengan itu usaha Panel Anugerah Sastera Negara untuk mengangkat kedudukan para
sasterawan ini tidak memberi manfaat kepada perkembangan ilmu kerana ukuran
yang digunakan mereka tidak mencerminkan sistem nilai tamadun kita sendiri. Saya telah banyak mengulas
tentang perkara ini, dan sehingga ini belum lagi terdapat sanggahan yang
sekira-kira boleh membuktikan pembinaan mitos itu penting dalam perkembangan
ilmu. Jelas sekali Panel Anugerah Sastera Negara telah gagal memberi arah yang
betul dalam perkembangan ilmu dalam bidang kreatif, dan secara umum tidak
memberikan arah yang betul dalam perkembangan kreatif secara jelas yang perlu kita capai dalam abad
21 ini. Sekiranya anda menafikan kesimpulan ini tanpa sebarang hujah, anda
boleh saja meneruskannya; tetapi anda tidak dapat menghalang perubahan yang
memang kita perlukan pada waktu ini, untuk menempatkan ilmu dalam penulisan dan
penilaian yang kita lakukan. Saya ingin
mendengar hujah anda bahawa ini semua sudah kita lakukan dengan jayanya.
Terdapat
andaian bahawa gagasan Persuratan Baru ditentang oleh para sarjana sastera dan
sasterawan, terutama sekali, kata mereka, semua sasterawan negara menentangnya
habis-habisan. Bila saya minta
penjelasan mengapa Persuratan Baru ditentang, dan betulkah ditentang, maka saya
hanya diberi jawapan yang bukan jawapan, tetapi tuduhan: “Sebab Persuratan Baru
menghina para sasterawan, sarjana sastera, dan menolak semua karya sastera.
Kalau begitu, tidak adalah sasterawan negara!”
Ini suatu perkara yag sangat aneh, yang saya tolak bulat-bulat. Tidak mungkin para sasterawan dan sarjana
sastera menolak PB kalau itulah sebabnya.
Anda boleh fikirkan sendiri mengapa perkara ini tidak mungkin, oleh itu
saya tidak perlu memberikan pandangan saya.
Jika pun diperlukan penjelasan, bukan dari saya, tetapi dari para
sarjana dan sasterawan yang menolak PB. Tetapi itu tidak penting bagi mereka,
kerana mereka dan teman-teman mereka dalam Mutual Admiration Club telah
meletakkan mereka di tempat yang begitu tinggi sehingga mereka tidak perlu
memberi perhatian kepada PB yang bagi mereka adalah satu usaha remeh temeh yang
sia-sia. Kesimpulan ini membuktikan mereka tidak mempunyai sikap yang positif
dalam perkembangan ilmu, padahal mereka selalu bercakap tentang perubahan;
malah satu ketika dulu kita boleh mendengar keriuhan di kalangan mereka supaya
diadakan perubahan paradigma, dan betapa perlunya dikuasai apa yang mereka
namakan ilmu bantu. Semua ini tidak berlaku, seperti yang mereka sendiri
buktikan dalam tulisan mereka, terutama apabila para sarjana ini menulis kertas
kerja dalam seminar pemikiran sasterawan negara; tetapi bagi saya bukti terbaik
ialah kertas kerja untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang mengulang
klise lama, malah yang paling menarik diakui sendiri oleh tokoh-tokoh terkemuka
dalam bidang ini. Mereka yang membuat tuduhan itu sendiri mengulang klise lama
itu. Itulah yang paling menarik! Kita
boleh bayangkan apakah reaksi Pak Pandir bila melihat telatah mereka ini. Sekarang mereka tidak lagi bercakap tentang
perubahan paradigma; tidak juga tentang ilmu bantu. Mereka masih bercakap
tentang perlunya perubahan, tetapi perubahan itu dikaitkan dengan kelainan dan
eksperimen dalam penulisan, yang tidak semestinya lebih baik daripada yang
sudah ada. Dalam konteks ini mereka menegaskan gagasan PB tidak memberikan
apa-apa perubahan, kerana semua yang dicanang oleh PB sudah terdapat dalam
konsep sastera yang menjadi pegangan mereka, yang menurut mereka jauh lebih
baik dan lebih terbuka serta lebih bebas untuk berkarya. Tetapi sebenarnya
mereka tidak bercakap benar, malah amat jelas mereka amat takut jika benar-benar
berlaku perubahan seperti yang ditawarkan oleh gagasan Persuratan Baru. Mereka
tidak mahu perubahan itu, oleh itu mereka kini bangkit dengan gagah menentang
sebarang perubahan. Usaha mereka untuk menjadikan sastera teras negara bangsa
adalah usaha untuk menghalang sebarang perubahan daripada berlaku dalam
persuratan Melayu dan dalam kesusasteraan Melayu. Berasaskan pendirian mereka ini, saya pernah
menulis dalam blog ini tentang tidak perlunya sarjana dan sasterawan bersikap jujur,
sekiranya kejujuran itu merugikan mereka. Jadi mereka bukanlah dari golongan
yang jujur, tetapi mereka adalah pembicara yang sangat lantang tentang
kejujuran ini apabila ingin memberi gambaran buruk kepada seteru mereka. Itulah makna kejujuran bagi mereka. Untuk penjelasan lanjut sila lihat entri
bertarikh 5/7/2015, “Kejujuran akademik dan ketrampilan penilaian dalam
kritikan sastera”, satu entri yang agak panjang.
Ada
dua perkara penting dalam isu ini, yang mesti difahami terlebih dahulu.
Pertama, kefahaman para penentang PB tentang teori sastera Barat sangat cetek,
malah saya amat positif mereka tidak membaca, dan jika pun mereka membaca, maka
bacaan itu tidak mendalam. Mereka tidak
kenal pemikiran Barat dari perspektif falsafah terlebih dahulu, diikuti dengan
minat yang tinggi untuk melihat perkembangan intelektual di Barat, yakni apakah
persoalan yang menjadi tajuk utama dalam falsafah dan ilmu-ilmu sosial yang
mereka teroka.
Isu
kedua lebih penting, dan menjadi halangan besar kepada kumpulan ini. Isu itu
mengenai sikap negatif mereka terhadap ilmu, malah kita boleh berkata mereka
pada umumnya bersikap anti-ilmu. Dalam
konteks pemikiran Islam, ini suatu penyakit kerohanian yang amat teruk, kerana
mereka menolak bulat-bulat sumber ilmu itu daripada Allah SWT. Kerana itu mereka menolak konsep ilmu yang
benar, dan mengelirukan diri mereka sendiri apabila mereka tidak dapat melihat
perbezaan antara ilmu dan maklumat. Malah bagi mereka maklumat itulah ilmu!
Itulah
dua isu besar yang menghalang mereka dari mendekati Persuratan Baru dengan
positif. Mereka bukan dari golongan yang mencintai ilmu, yang boleh kita lihat
dengan jelas bagaimana mereka mempertahankan sikap mereka dengan berkata
sastera adalah universal, sedangkan Persuratan Baru hanya untuk orang Islam,
oleh itu tidak universal. Apa yang
dijadikan hujah oleh sarjana dan sasterawan tadi adalah persis pendapat dan
pandangan teori sastera Barat. Sebenarnya mereka sendiri (sarjana Barat) menolak apa yang disebut
nilai-nilai universal dalam karya sastera, kerana ini akan memaksa mereka
menerima nilai-nilai Islam sebagai
sebahagian daripada nilai umat manusia yang jelas dipraktikkan oleh orang Islam
seluruh dunia. Timbulnya konsep nilai
universal dalam sastera ini terjadi kerana kekeliruan sarjana dan sasterawan
kita yang boleh dikatakan tidak sensitif kepada apa yang sebenarnya berlaku
dalam teori sastera Barat. Jika mereka benar-benar mendalam kefahaman dan
kesedaran mereka terhadap kekurangan setiap teori, mereka akan lebih
berhati-hati dan tidak sembrono menerima
teori sastera Barat tanpa penelitian kritis. Dengan sedikit pengetahuan tentang
tamadun Islam, mereka akan sedar bahawa ilmu-ilmu yang dikatakan moden yang ada
sekarang diambil oleh orang Barat daripada para ulama dan ilmuan Islam. Anda
boleh mendapat maklumat tentang aspek ini dengan mudah dalam buku-buku yang
mungkin tak pernah anda baca, tetapi buku-buku itu wujud dan boleh didapat
dengan mudah. Saya beri dua contoh
daripada karangan dua orang sarjana Barat, yang membicarakan sumbangan Islam
agak kritis dan objektif (tetapi hanya dalam bidang kemanusiaan (humanities). Lebih besar ialah sumbangan ulama Islam dalam
ilmu fizik (sains) dan metamatik. Buku
yang saya maksudkan itu ialah The
Sociology of Philosophies: A Global Theory of Intellectual Change, oleh
Randall Collins (Harvard University Press, 1998); dan Ideas: a history of thought and invention,
from fire to Freud, oleh Peter Watson (New York: Harper Perennial, 2006).
Sebuah lagi buku Watson yang amat menarik untuk dijadikan rujukan ialah The German Genius (Harper Perennial, 2011). Dua buah buku pertama itu membicarakan
sejarah pemikiran dalam tamadun dunia; manakala yang ketiga khusus tentang
sejarah pemikiran di Jerman. Saya harap akan muncul seorang penyelidik yang
dapat menulis sebuah sejarah pemikiran Malaysia. Tetapi penulisan buku perkembangan
intelektual ini tidak akan ditulis di era sarjana ciritan yang menguasai
sepenuhnya dunia pandirisme Malaysia.
Selain mereka tidak mempunyai keupayaan akademik untuk melakukannya, mereka
juga tidak mempunyai kejujuran intelektual untuk menerima kehadiran PB dalam
kritikan sastera di Malaysia. Jika mereka menulis sejarah intelektual itu,
lebih dari separuh isi buku itu ialah mengenai PB dari segala aspek; yang
selebihnya itu hanya berupa sebutan
yang dari segi ilmu tidak signifikan, tetapi wajar dicatat dalam konteks
perkembangan pandirisme itu. Dalam konteks ini, siapakah yang akan menulis sejarah intelektual itu jika sejarah
intelektual itu hanya menyerlahkan kegiatan para sarjana ciritan dalam usaha
mereka membina mitos di sekitar Mutual Admiration Club mereka sendiri?
Ada
juga sarjana kita yang lawaknya lebih lucu daripada Raja Lawak, naik bumbung kilang berkarat untuk menulis
kertas kerja, dan mungkin juga sajak. Tetapi
hasilnya tidaklah lebih baik daripada yang ditulisnya dalam keadaan biasa.
Dalam sejarah kritikan sastera dan kesarjanaan sastera Malaysia, ITBM menjadi
pelopor kepada penulisan esei di atas bumbung kilang berkarat ini. (Sila rujuk Sastera Teras Negara Bangsa, hal. 203.) Apabila ada orang mengkritik tabiat yang
pelik ini, sarjana kita menjadi marah, padahal fiil mereka yang aneh itu amat
memalukan dunia akademik kita. Contoh
yang lebih hebat dan betul-betul mengagumkan ialah amukan Hang Jebat sastera
yang melanggar segala peraturan manusia siuman untuk mengherdik para
sasterawan, terutama penulis muda, supaya berani melanggar segala peraturan
untuk melahirkan sifat kepengarangan agung yang menjadi syarat lahirnya karya
agung yang akan melayakkan para sasterawan diletak di takhta keunggulan. Pada
waktu ini, hanya para sasterawan negara sahaja yang telah sampai ke tahap
falsafah Hang Jebat menderhaka dalam pelanggaran kreatif. (Rujuk buku ITBM, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, karya
Mana Sikana.) Saya tidak pasti sama ada para sasterawan
negara ini seronok atau tidak berada di takhta keunggulan setelah melakukan
segala macam pelanggaran. Untuk makluman para sarjana dan sasterawan,
pelanggaran ini dipelopori oleh Iblis, ketika dia memujuk Nabi Adam ‘a.s.
supaya melanggar perintah Allah, jika mahu kekal dalam syurga. Ceritanya ada di
dalam al-Quran. Bagaimana jika para
sasterawan negara ini menolak sama sekali konsep pelanggaran itu setelah
mengetahui pelopornya Iblis, adakah mereka masih layak berada di takhta
keunggulan? Barangkali mereka juga tidak layak diberi gelaran “sasterawan
negara”.
Para
sarjana dan pengkritik sastera mesti berminat dalam isu ini, kerana tentulah
amat memalukan kita jika Panel Anugerah Sastera Negara memilih para sasterawan
negara ini berasaskan konsep “pelanggaran” yang dipelopori Mana Sikana! Panel menggunakan beberapa istilah, umpamanya
eksperimen, kelainan, tidak didaktik, tiada khutbah, tidak perlu moral dan
lain-lain, yang tiap satunya adalah ciri-ciri pelanggaran dalam penulisan
kreatif. Mereka memuji sajak “Pulang Si Tanggang” yang
menegaskan, “aku telah belajar/jadi kurang ajar” sebagai tanda pelanggaran
paling berani oleh seorang sasterawan negara, walaupun telah mengetepikan
nilai-nilai murni dalam tamadun Melayu yang sudah Islam. Jika anda membaca
laporan tentang A. Samad Said, anda akan
menemui ciri-ciri pelanggaran itu amat dipuji oleh Panel (dalam hal ini Panel
mempunyai pendirian yang sama dengan Mana Sikana, yang menjadikan karya A. Samad
Said sebagai kanun yang mesti dicapai
oleh para sasterawan jika mereka pun ingin diletakkan di atas takhta keunggulan
juga.) Nampaknya para sasterawan negara
tidak mempunyai pilihan jika mereka mahu terus diletakkan di takhta keunggulan
berasaskan konsep pelanggaran itu, walaupun mereka kini sudah tahu bahawa
itulah perbuatan Iblis ketika memujuk Nabi Adam ‘a.s. (Sila rujuk entri bertarikh 23/7/2013 yang
membicarakan tentang pengaruh Iblis dalam kritikan sastera dan penilaiannya.) Bagaimanakah kita hendak selamatkan para
sasterawan negara ini? Kita mungkin boleh menyelamatkan mereka dengan menolak
konsep pelanggaran Mana Sikana yang disokong secara rasmi oleh Panel Anugerah
Sastera Negara dalam laporan mereka; tetapi ini mempunyai risiko para
sasterawan negara ini akan terlucut gelaran “sasterawan negara” yang memang
dinilai berasaskan konsep pelanggaran itu. Adakah mereka memang tidak boleh
diselamatkan? Sebenarnya mereka masih
boleh diselamatkan dengan menerima hakikat bahawa mereka adalah para sasterawan
yang menulis dalam imej teori sastera Barat. Tetapi mereka masih menghadapi
masalah yang lebih besar, apabila seorang sasterawan negara yang juga seorang
sarjana ulung dalam bidang sastera yang menegaskan para penilai sastera di
Malaysia (maksudnya ahli akademik, atau sarjana sastera) telah melakukan
kesalahan besar menilai karya yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan
nilai-nilai Melayu yang tidak cocok dengan teori sastera Barat. (Rujuk entri 1/11/2010 yang memuat kutipan
sasterawan negara ini; juga pertanyaan penting sama ada laporan Panel Anugerah
Sastera Negara juga melakukan kesalahan yang sama; dengan itu penilaian mereka
terbatal; dan pemilihan mereka terhadap sasterawan negara tidak boleh dipakai;
oleh itu sasterawan negara telah dipilih berasaskan kriteria yang salah?). Jadi ke mana hendak dilemparkan para
sasterawan negara ini? Penyelesaiannya sangat mudah, iaitu dengan menerima saja
pengaruh teori sastera Barat dan jadikan teori Barat itu kanun dalam penulisan
kreatif di Malaysia. Dengan itu
takhta keunggulan para sasterawan negara tidak terjejas. Mereka tetap berhak
untuk duduk di takhta keunggulan itu.
Tetapi terdapat sedikit lagi ralat yang perlu diselesaikan. Dalam
gagasan Persuratan Baru, karya sastera adalah kategori kedua di bawah kategori
pertama, karya persuratan, yang
berasaskan konsep ilmu yang benar (oleh itu serasi dengan epistemologi Islam,
yang menolak pelanggaran Iblis itu.) Adakah gelaran sasterawan negara itu masih
boleh dikekalkan? Inilah isu besar yang
harus dijawab dan dianalisis oleh para sarjana sastera dan pengkritik sastera
yang membuat penilaian itu. Masalahnya
mereka tidak mahu dan tidak berupaya melakukannya, kerana perbuatan ini akan
menafikan kedudukan sasterawan negara dan sarjana yang menegaskan kita tidak
perlukan teori sastera Barat itu.
Sungguh
rumit persoalan ini, tetapi boleh diselesaikan dengan mudah jika para
sasterawan negara ini dinilai berasaskan gagasan Persuratan Baru. Pada waktu yang sama, masalah teori sastera
Barat ini boleh diberi kedudukan yang wajar. Gagasan Persuratan Baru mampu
menghadapi kepalsuan teori sastera Barat ini dan dapat menempatkan teori itu
pada tempatnya yang sesuai. Dengan klaim
ini, sebarang usaha untuk menafikan kehadiran gagasan Persuratan Baru tidak
saja tidak bijak, tetapi juga mendedahkan para sarjana itu berada dalam
kelompok sarjana ciritan saja, satu
kumpulan yang keliru dan cetek meraba-raba.
Dalam
konteks teori sastera Barat, yang ditolak oleh dua orang sarjana yang salah
seorang ialah juga sasterawan negara, sebenarnya segala isu “gila-gilaan” ini
diselesaikan dengan mudah oleh dekonstruksi, yang menegaskan bahawa semua tulisan,
tanpa sebarang kecuali, mempunyai ciri aporia
yang tidak dapat dielakkan. Keistimewaan dekonstruks ini disedari oleh Muhammad
Haji Salleh, yang mencadangkan (menggesa?) para sarjana dan sasterawan menerima
dan menggunakan dekonstruksi sebagai kaedah kritikan. (Anda boleh baca ini
dalam syarahan perdana beliau, Puitika
Satera Melayu: Satu Pertimbangan, UKM 1989). Oleh itu tidak ada masalah. Yang mungkin menjadi
masalah ialah apabila konsep ilmu yang benar seperti yang dihuraikan dalam
al-Quran dijadikan pegangan. Ketika
itulah anda harus memilih antara ‘iwajan
dengn aporia.
Dalam
konteks perbincangan kita ini, ada satu perkembangan terbaru yang menggemparkan
negara, iaitu mengenai derma RM2.6 bilion yang dikatakan didermakan oleh anak
raja dari Arab Saudi kepada YAB Perdana Menteri dan dimasukkan ke dalam akaun
peribadi beliau. Cerita di sekitar derma ini sangat menarik, kerana pada
mulanya dinafikan oleh tuan hak, tetapi diakui diterima beliau apabila SPRM
membuat keputusan derma itu bukan rasuah; lebih menarik anak raja Arab Saudi
menafikan mereka yang memberi derma itu; maka terjadilah cerita baru bahawa
derma itu, lebihan daripada yag sudah dibelanjakan, sudah dipulangkan kepada
anak raja yang tidak diketahui orangnya. Yang berbaru, Menteri Luar Arab Saujdi
sendiri mengaku derma itu memang wujud dan telah didermakan kepada tuan yang
hak sebagai penghargaan kepada usaha YAB
Perdana Menteri membela agama Islam dan menyatu-padukan umat slam Malaysia.
Dalam kelam kabut naratif yang berbeza ini timbul cerita baru, bahawa wang itu
sebenarnya diambil daripada 1MDB, syarikat gergasi yang diusahakan oleh YAB
Perdana Menteri sendiri. Skandal 1MDB ini sampai ke kemucaknya apabila Peguam
Negara membersihkan YAB Perdana Menteri dari sebarang salah laku dan menutup
kes itu, tidak boleh dibincangkan lagi. Satu laporan rasmi oleh PAC telah
dikemukakan kepada Dewan Rakyat, dengan memotong dua ayat yang dihapuskan, yang
menurut anggota PAC sendiri (mewakili pembangkang) adalah penting. Semua ini
menarik minat saya sebagai seorang pengkritik sastera dan seorang penulis
kreatif, lalu saya kemukakan idea One MDB dijadikan teknik naratif dalam
Persuratan Baru (atau dalam menulis karya sastera) kerana kekuatan naratif
dalam politik, yang dibantu oleh pelaksanaan undang-undang yang memastikan
naratif itu diterima walaupun isu yang dibangkitkan belum selesai. Dalam budaya
pandirisme yang dijadikan arus perdana itu, kehadiran teknik One MDB adalah
penting untuk menjelaskan lagi kepalsuan budaya pandirisme itu. Anda boleh
rujuk entri bertarikh 4/8/2015 dan 1/8/2015 yang juga menyebut aspek ini. Teknik One MDB adalah bukti yang sangat jelas
betapa isu ‘iwajan ini penting dalam
politik dan juga dalam kesusasteraan Melayu.
Sebagai
kesimpulan, saya kutip pendapat ini untuk difikirkan:
“Any
intellectual movement is defined by its fundamental philosophical premises.
Those premises state what it takes to be real, what it is to be human, what is
valuable, and how knowledge is acquired. That is, any intellectual movement has
a metaphysics, a conception of human nature and values, and an epistemology.”
(Stephen R. C. Hicks, Explaining
Postmodernism, New Berlin/Milwaukee:
Scholarly Publishing, 2004; hal. 4-5.)
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 18/4/2016.
Askm Tuan yang arif. Terima kasih banyak atas penulisan ini. Terasa begitu deras “brain-juice” saya mengalir kerana banyaknya “terjahan minda” untuk difikirkan. Saya sedang menanti untuk memiliki buku terbaru tuan.
ReplyDeleteSementara menunggu, izinkan saya berbicara bagi mendapatkan sedikit mutiara hikmah dari tuan.
Sebelum itu, saya kenalkan diri dahulu, seorang yang boleh dikatakan serba-serbi baru - kurang 10 tahun : (1) berani menulis – itu pun sekadar menyumbang di forum Berita Harian dan setakat ini hanya 50 komentar yang telah disiarkan, (2) penerbitan buku baru satu itupun lebih sebagai buku panduan peserta berkaitan matlamat hidup dan kebahagiaan, (3) lebih kerap berlatih menulis dalam BM di FB –sebelumnya hendak cari peluang guna satu ayat BM seminggu pun sukar (4) pengalaman lebih lama menulis dalam “0” n “1” ie binary sbg software developer dan (6) bidang tumpuan kini adalah Psikologi. Dengan kebaruan yang dimiliki, tetap menyimpan tekad sebelum mengakhiri kehidupan ini menulis suatu yg bermakna buat generasi seterusnya.
Istilah ‘panderisme” pertama kali saya dengar dalam kuliah yang dipimpin oleh seorang anak didik tuan, yang sangat menghromati dan mengkagumi tuan. Sejak saya mula terlibat dan tumpu dalam kegiatan2 untuk masyarakat Melayu, khususnya generasi muda, minat saya dalam memahami psikologi individu Melayu dan “the malay mind” sangat tinggi, lebih2 lagi bagi menyokong serta menrealisasikan keyakinan arwah guru saya tentang peranan besar masyarakat Melayu dipersada dunia. Justru, ada dua perkara yang ingin saya ajukan kpd tuan bagi meneruskan asakan minda saya.
(1) Merujuk kpd buku “Myth of the Lazy Natives”, usaha mengubah perspektif negatif sekian lama yang dikaitkan dengan individu2 Melayu serta kesan psikologi yang dialami. Penafsiran semula yang diberikan oleh penulis tentang pencerapan oleh bangsa kolonial yang diharap dapat mengembalikan maruah individu serta mendorong semangat untuk membersihkan “arang di muka”.
Apakah tiada perlu kepada kebimbangan penonjolan budaya panderism akan nanti lebih bersifat “counter-intuitive” kepada usaha yang telah dimulakan? Mohon betulkan jika saya tersilap faham.
(2) Setakat apa yang telah saya perolehi, melalui perbandingan dengan kaum lain, psikologi individu Melayu lebih ‘lunak’ , sensitif tapi juga mudah terpelengot (tersinggung, simpan perasaan, berdendam). Sisi positifnya, psikologi begini lebih “experiential” justru lebih mudah mencapai pengalaman spiritual , suatu yang sangat didambakan oleh generasi alaf ini.
Pertanyaan saya, sejauh mana kesan yang dapat dijangkakan dengna menggunakan kaedah ‘keras’, ‘tegas’, “frank and blunt”, jika diaplikasi kepada individu Melayu. Dikalangan ahli falsafah, ada yang berpendapat secara psikologi, manusia lebih mudah patuh jika ada “fear factor” daripada kaedah lembut, memujuk dan ihsan. Begitupun, dalam Al-Quran, Nabi saw dipesan “Jika kamu berkeras dan kasar, mereka akan lari meninggalkan mu”. Justru, dalam kaitan dengan individu2 Melayu, berdasarkan pengalaman tuan yang arif, “limit of truth” aspek teguran-kritikan yang wajar.
Saya dahului dengan ucapan terima kasih . Mohon dimaafkan atas kekurang dari segi penguasaan bahasa yang masih lagi cuba ditingkatkan.
siti
Terima kasih di atas pandangan kritis dan ikhlas anda. Sudah menjadi kewajipan orang Islam saling mengingati sesama mereka. Semoga para sarjana dan sasterawan mendapat manfaat daripada peringatan ikhlas anda. Buku Pandirisme Dalam Komuniti Dunia adalah sebuah karya penting yang akan menjadi peringatan kepada para sarjana dan sasterawan dalam kerjaya mereka. Sebuah karya saya yang mendapat ilham daripada Muhammad Ali yang saya tulis 2004 (bersama Balai Maqamat) akan diterbitkan akhir bulan ini. Muhammad Ali memperlihatkan kelincahannya di pentas tinju; novel Hikayat Buyung Lurus menunjukkan kelincahan bahasa dalam penulisan kreatif. Saya harap novel ini dibaca dalam majlis baca naskhah kerana isinya dan style penulisannya lucu (seperti gaya Muhammad Ali) tetapi tajam (seperti tumbukan Muhammad Ali). Semoga ada persatuan penulis berminat mengadakan majlis baca naskhah ini. Saya juga akan menulis dalam teknik 1MDB, sempena skandal besar dalam politik Malaysia, yang wajar disambut oleh para penulis untuk melahirkan karya kreatif yang mendapat manfaat daripada skandal itu, seperti saya mendapat manfaat daripada Muhammad Ali. Kesusasteraan Melayu moden menjadi lumpuh setelah disihir oleh sasterawan negara dan pengikut mereka, yang menjadikan kehadiran mereka sebagai sejenis hegemoni yang amat negatif, yang menghalang pemikiran kritis dan dialog yang bersifat intelektual. Kehadiran mereka menjadikan komunikasi tentang sastera satu arah saja, untuk memuji dan mengangkat para sasterawan negara dalam kumpulan Mutual Admiration Club.
Delete