Saturday, March 26, 2016

KRITIKAN SASTERA BARAT SEBAGAI LAMBANG KEMENANGAN IBLIS MEMPERDAYA MANUSIA: Satu Wacana Dalam “Decolonising the University.”


Beruntunglah orang Islam kerana mereka diperkenalkan kepada sejenis makhluk yang amat jahat, bernama Iblis, yang menerima hakikat dia dijadikan oleh Allah SWT, tetapi tidak menerima perintah yang diperintahkan supaya sujud hormat kepada Nabi Adam ‘a.s.,  dengan menggunakan logiknya sendiri dialah makhluk yang terbaik kerana dijadikan daripada api, sedangkan Nabi Adam ‘a.s. dijadikan daripada tanah kering, oleh  itu perintah supaya sujud hormat kepada Adam ‘a.s. ditolak bulat-bulat.  Awal-awal lagi Iblis telah menentukan bagaimana seharusnya kelakuan dan perbuatan manusia untuk membuktikan dialah yang paling hebat.  Iblis memperdaya manusia melalui bahasa, dengan mencipta konsep-konsep yang mengelirukan. Untuk memperdaya  Nabi Adam ‘a.s., Iblis menggunakan istilah “khuldi” yang diberikannya sebagai nama pokok yang terlarang dan tidak boleh didekati itu, dengn memberi pengertian larangan itu bermaksud untuk dilanggar supaya Nabi Adam kekal dalam syurga. Adakah konsep “pelanggaran” dalam teksdealisme mendapat ilham, mungkin secara tidak sedar, daripada Iblis?  Yang pasti, penjana teksdealisme membuang pengaruh Islam yang didakwanya menjadi teras teksdealisme (lihat kertas kerja Mana Sikana dalam “Nadwah Kesusasteraan Islam” di DBP 1-3 Disember 1993, yang jelas mengaku berasaskan ajaran Islam, tetapi kemudiannya tidak lagi disebut dalam buku terbarunya, terbitan ITBM 2013, berjudul Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden, bab 6.)  Bagi Melayu ini, unsur Islam adalah sebati dengan unsur pascamoden, maka dengan itu dia puji Shahnon Ahmad kerana idea Islamnya selaras dengan nilai-nilai pascamodern. Lihat bukunya (terbitan ITBM), Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.

Walaupun awal-awal lagi penganut Islam diberitahu Iblis dan Syaitan adalah musuh “yang nyata kepada manusia dan hendaklah dijadikan musuh”, tidak boleh diikuti perintahnya, namun sarjana Islam dalam bidang sastera tidak menganggap ini satu isu besar.  Bagi mereka sastera dan karya sastera berada di luar Islam, oleh itu tidak perlu mengikut nilai-nilai Islam, sebaliknya MESTI mengikut nilai-nilai universal dalam teori sastera Barat. Anggapan ini sangat pelik dan lucu, kerana nilai-nilai Barat tidak bersifat universal, jika anda membaca karya kritikan mereka.   Inilah apa yang disebut dalam teori sastera Barat sebagai masalah “consciousness” dalam epistemology mereka. Yang bukan Islam hanyut dalam konflik yang tak mungkin diselesaikan kerana tiap seorang dari mereka menggunakan logik Iblis untuk menyatakan “kebenaran” menurut hawa nafsu mereka. Inilah yang berlaku dalam teori sastera Barat.  Ini juga yang berlaku di Malaysia, akibat pengaruh teori Barat yang begitu mencengkam kuat “pemikiran” sarjana dan sasterawan.

Teori sastera Barat yang menjadi pegangan dan ikutan di Barat menghadapi hanya dua masalah, tetapi sangat besar kesannya terhadap perkembangan ilmu dan kesejahteraan akal manusia. Isu pertama ialah ketiadaan autoriti yang boleh dijadikan rujukan, akibat penolakan mereka terhadap Tuhan. Bagi mereka Tuhan adalah mitos yang jadi penyebab segala kesengaraan manusia seluruh dunia dari permulaan tamadun hingga kini dan akan berterusan tanpa apa-apa penyelesaian. Bagaimanakah idea ini muncul dalam tamadun Barat?  Ia bermula dengan cengkaman agama Kristian yang telah dipinda oleh para rahib, untuk memastikan agama Kristian terus menjadi anutan setelah dibatalkan dengan lahirnya Nabi Isa ‘a.s.  Pindaan itu menjadi cengkaman ke atas kehidupan manusia dalam semua bidang, termasuk bidang sains, ekonomi, politik, undang-undang dan sebagainya. Kekuasaan paderi Kristian menimbulkan kemarahan rakyat, pada mulanya dengan pemberontakan teologi yang melahirkan Protestanisme.  Peperangan sengit dua mazhab Kristian ini melahirkan kebencian dan permusuhan yang tidak dapat diselesaikan, kerana masing-masing mengaku kumpulannya  berhak di atas agama Kristian. Agama yang pada mulanya agama tauhid, berubah menjadi agama trinity dalam tangan para rahib Kristian.  Dengan berubahnya kemajuan manusia, agama Kristian tidak dapat menghadapi perubahan itu, terutama dalam perkembangan sains dan juga dalam perkembangan ilmu secara umumnya. Semua ini meninggalkan kesan yang amat besar dalam teori sastera Barat.  Aspek ini akan dibincang kemudian.  Mungkin anda tidak sedar bahawa dalam sastera Melayu moden telah muncul kaum rahib sastera tersendiri, yang berkumpul di bawah kekuasaan para rahib mereka dalam Mutual Admiration Club.  Para rahib sastera ini memastikan dengan gigih ajaran salah mereka dalam kritikan sastera tetap diteruskan walaupun mereka sedar kesilapan mereka, seperti yang pernah disuarakan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang secara de facto mengepalai Mutual Admiration Club ini. “Bantahan” main-main Prof. Emeritus ini boleh dibaca dalam ucaputama beliau termuat dalam, Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP, 2005: 14).


Ketiadaan autoriti ini menimbulkan kekacauan yang lebih besar, apabila manusia sendirilah yang menentukan segala-galanya, dan ini hanya dapat dilakukan dengan kekerasaan dan paksaan.  Sebaik saja nilai ditentukan oleh manusia tanpa sandaran kepada agama, maka apa yang disebut nilai itu tidak lagi universal, sebaliknya ditentukan melalui kekuatan hujah dalam pertarungan tentang kewajaran sesuatu perubahan yang ditimbulkan oleh tokoh pemikir sendiri.  Di sinilah bermulanya  perkembangan teori yang berbeza atau yang disesuaikan mengikut perubahan cita rasa di kalangan sasterawan, penulis, sarjana yang turut mempengaruhi masyarakat untuk membuat pilihan mereka.  Maka terjadilah pertembungan pendapat yang kadang-kadang sengit, atau sekurang-kurangnya menimbulkan konflik  yang dengan secara tabii menimbulkan keraguan dalam kehidupan intelektual dan juga dalam penerapan nilai. Ini sebenarnya dapat kita lihat dalam perkembangan sastera Melayu moden.  Sebagai contoh awal, apabila Asas 50 muncul dengan slogan mereka, membawa  pengaruh ajaran sosialis  dan Marxist yang menjadi pegangan mereka, maka sastera dijadikan alat propaganda sepenuhnya untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu, tidak lagi menjadi wahana ilmu seperti dalam persuratan.  Hakikat ini hampir tidak diketahui oleh para sasterawan dan sarjana sastera sendiri, dengan itu kekeliruan dan kepalsuan dijadikan panduan yang dipertahankan dengan amat gigih. Kita ambil satu contoh lagi, sebagai kesan pengaruh Asas 50,  untuk  melihat bagaimana kekeliruan ini dijadikan hujah untuk membina negara bangsa. Dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, ditegaskan tanpa sebarang keraguan, walaupun  tidak ada hujah intelektual yang sahih, bahawa sastera wajar dijadikan teras negara bangsa.  Inilah cita-cita Asas 50 sendiri. Satu-satunya bukti yang dikemukakan ialah kehadiran 12 (ketika itu) orang sasterawan negara, yang secara automatis disahkan bahawa mereka adalah penulis/sasterawan terbaik yang telah melahirkan tidak saja karya yang tiada tolak bandingnya dari segi keindahan  dan ketinggian pemikirannya, tetapi juga amat kaya dengan pengalaman empirikal dan spiritual.  Tidak ada yang membantah kesimpulan yang amat naif dan cetek ini, kerana mereka tidak mahu dituduh tidak mempunyai wibawa untuk memberikan pendapat yang berbeza daripada yang diterima umum.  Kita boleh berkata tanpa ragu, hampir keseluruhan sarjana dan sasterawan menerima dengan bangga  bahawa sastera seperti yang dihasilkan oleh para sasterawan, terutma sekali, dan lebih-lebih lagi, yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, mempunyai ketinggian ilmu yang tidak dapat dicapai oleh mana-mana manusia biasa yang bukan sasterawan, megatasi sumbangan para ulama dan cendikiawan; maka dengan itu tepatlah jika mereka memilih untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, sambil meletakkan para sasterawan negara di atas takhta keunggulan yang tidak dapat dicapai dan ditandingi oleh sesiapa sekali pun, hatta oleh para ulama dan cendekiawan.  Adakah kehebatan yang diada-adakan ini memang terdapat di dalam karya para sasterawan negara dan mereka, sasterawan negara itu, memang ahli fikir yang amat canggih dalam mengemukakan pendapat yang tidak dapat disangkal lagi adalah semuanya bernas belaka?.  Adakah penilaian ini, yang memang dibuat oleh Panel Anugerah  Sastera Negara, satu penilaian yang tepat? Ini memerlukan perbahasan lanjut, dan kritis, yang masih menunggu untuk dilakukan. Menurut pemerhatian saya, mereka tidak akan melakukannya (yakni membahaskan isu penting ini), kerana perbuatan itu ibarat melondehkan kain yang dikilas kemas hanya untuk membuktikan pemakainya tahu bagaimana memakainya.

Sekarang kita menghadapi satu cabaran yang berat, iaitu untuk memberi penjelasan yang tidak dapat diragukan, mengapa kita perlukan sasterawan negara  padahal kita telah mempunyai ulama dan cendekiawan yang telah teruji kehebatan dan sumbangan mereka.  Apakah ukuran yang kita pakai untuk menilai para sasterawan negera ini dan adakah ukuran itu tepat sehingga membolehkan kita mencapai keputusan yang tidak dapat diungkit lagi.  Penilaian yang kita berikan kepada karya para sasterawan negara adalah luar biasa, yang ukurannya hanya boleh dipakai untuk mereka kerana jika ukuran ini dipakai untuk sasterawan yang selain dari mereka, kita akan dapati begitu canggung dan songsang sekali. Apakah ukuran yang memberi keistimewaan kepada para sasterawan negara itu?  Sumber kita ialah laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Pada pemerhatian dan perincian saya, Panel sebenarnya tidak memberikan apa-apa ukuran, sebaliknya hanya mencari alasan dan andaian umum  yang mereka anggap boleh dipakai untuk memuji seseorang sasterawan negara dengan menafikan ukuran yang boleh dikenakan kepada mereka yang tidak memberi kelebihan kepada mereka, walaupun ukuran itu lebh tepat. Kita ambil contoh tentang karya A. Samad Said seperti yang dinyatakan oleh Panel. Ketika Salina, sebagai sebuah novel, dikritik hebat sebagai karya picisan yang tidak mementingkan nilai-nilai moral masyarakat Melayu, Panel tampil  membela karya itu dengan mengatakan moral tidak perlu dalam karya sastera. Yang penting ialah soal-soal kemanusiaan, yang menjadi tema novel itu. Yang mereka maksudkan dengan kemanusiasan ialah kesengsaraan manusia yang menjadi korban peperangan, yang penuh dengan penderitaan dan kemiskinan yang secara khusus hanya dialami oleh penghuni Kg. Kambing. Keistimewaan Kg. Kambing ialah dapat melahirkan seorang pelacur yang cantik, yang baik hati dan menjadi pembela kepada masyarakat di situ. Dalam konteks novel ini, kesimpulan ini adalah satu pembohongan, kerana Salina bekerja untuk kekasihnya, dan jika dia sekali sekala membantu Hilmi, maka itu dilakukannya sebagai seorang sahabat. Salina bukan seorang pejuang yang berusaha membaiki masyarakat Kg. Kambing, malah novel itu ditulis bukan dengan matlamat itu, sebaliknya hanya untuk memperlihatkan bahawa pelacur juga mempunyai peri kemanusiaan dan hati yang baik dan peribadi yang mulia.  Apakah motif A. Samad Said untuk membela seorang pelacur?  Dalam teori sastera Barat, motif dan matlamat tidak penting, dan tidak perlu dijadikan ukuran untuk memahami dan menilai sesebuah karya sastera. Hanya dalam Islam saja motif dan matlamat itu penting, kerana itu merupakan ajaran Islam yang utama.  Oleh sebab karya sastera ditulis untuk  manusia sejagat, tidak terbatas kepada pembaca Islam saja, maka unsur-unsur Islam tidak diperlukan.  Inilah pendirian Panel Anugerah Sastera Negara, dan ini mendorong mereka menolak apa juga unsur moral dan unsur didaktik untuk kebaikan manusia. Biarlah pembaca sendiri menilainya, tidak perlu diajar dengan khutbah dan sebagainya.  Dengan pendirian seradikal ini, mengikut cita rasa Barat, maka tidak ada karya picisan dan erotik, dengan itu semua karya sastera bebas nilai, apatah lagi nilai agama atau nilai Islam.  Adakah ini antara nilai yang akan kita jadikan teras negara bangsa yang diutarakan oleh ITBM dalam bukunya Sastera Teras Negara Bangsa?  Kesimpulan ini ditolak dengan bengis dan keras oleh sarjana poyo yang ciritan, yang menegaskan nilai kemanusiaan itu adalah nilai-nilai Islam sendiri, oleh itu nilai Islam tidak perlu diberi penekanan, selain tidak sesuai dengan konsep sastera, nilai-nilai Islam itu berada di luar karya dan juga tidak boleh dijadikan ukuran dalam menilai karya sastera.  Inilah yang saya maksudkan dengan sasterawan negara membawa nilai-nilai palsu dan negatif ke dalam masyarakat yang sekian lama menerima nilai-nilai Islam sebaga ukuran dalam kehidupan mereka. Mengapa pula para sasterawan mesti diberi kelonggaran untuk tidak mencermin nilai-nilai Islam dalam karya mereka? Siapa yang memberi kebebasan itu? Kebebasan seumpama  ini meninggalkan kesan yang amat buruk dan negatif dalam penilaian sastera yang kita kanunkan. Saya akan bahaskan aspek ini kemudian.

Dengan panduan yang diberikan oleh Panel, maka Prof. Mokhtar Abu Hassan dalam kertas kerjanya yang dimuat dalam buku ITBM itu menegaskan, ketika berbicara tentang sajak Si Tanggang, bahawa dalam sajak itu terdapat nilai positif yang diperlukan dalam masyarakat moden, yakni kegigihan bekerja untuk mencapai cita-cita, misalnya dengan menjadi orang kaya dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Si Tanggang telah mencapai cita-citanya, dan ini, menurut Prof. Mokhtar Abu Hassan, perlu ditanam dalam pendidikan sastera di sekolah-sekolah untuk dijadikan teladan. Adakah ini satu pandangan yang siuman, satu pandangan yang betul?  Saya telah membincangkan isu ini dengan kritis dalam entri bertarikh 28/10/2014 (Keunggulan yang Cacat).  Kumpulan tulisan berjudul, “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara” (251 halaman) akan diterbitkan sebagai buku dengan judul, “Keunggulan Yang Cacat: Perlukah Kita Kepada Sasterawan Negara.” Akan dibuat penyuntingan sehingga menjadi tidak lebih dari 100 halaman saja, sekadar memberi peringatan kepada generasi abad 21 bahawa pembetulan harus/perlu dilakukan apabila sesuatu kesilapan besar telah terjadi. Melantik sasterawan negara adalah satu kesalahan besar dalam sejarah intelektual Melayu, kerana tidak mungkin dan tidak layak para sasterawan ini diletak lebih tinggi dan terhormat daripada para ulama dan cendekiawan Melayu.  Saya akan cuba mendapat kerja sama daripada Penerbit  USM untuk menerbitkan buku ini. Semoga tidak ada halangan. Penerbit USM telah menerbitkan sebuah buku penting, berjudul Decolonising the University: The Emerging Quest  for Non-Eurocentric Paradigms, eds. Claude  Alvares, Shad Saleem Faruqi, 2012.)  Buku saya tentang sasterawan negara ditulis dalam semangat yang ditunjukkan dalam buku ini.  USM telah mengambil inisiatif yang amat bermakna dalam perkembangan intelektual yang sihat di negara kita.  Saya pun ingin memberi sumbangan ke arah itu. 

Saya salin pandangan bernas ini untuk perhatian semua yang berkenaan.
Ucapan rasmi, Seminar 6 Sasterawan Negara, 13 Mac 2013, Dewan Za'ba, FBMK,  Profesor Abdul Mua'ti, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.  Antaranya kata beliau:   "Saya bukanlah sasterawan, saya orang komunikasi. Namun saya dan kita semua faham, bahawa dalam berkarya sesuatu karya yang bernilai tinggi harus mampu menarik perhatian pembaca dan menarik wacana intelektual tinggi terhadap pembaca kerana kini kita hidup pada zaman adiwara tinggi ... karya bermutu mementingkan mesej tertentu terutama ke arah peningkatan moral ..... konsep ilmu perlu diadun dalam karya kreatif yang bersifat naratif. Bangsa yang tidak menulis karya kreatif yang bestari dalam jumlah yang banyak dan tinggi kualiti, akan susah untuk bersaing di arena antarabangsa."

Kesedaran seperti inilah yang kita perlukan pada waktu ini.

(Bahagian II akan menyusul).
Mohd. Affandi Hassan,.


Petaling Jaya, 22/3/2016.

No comments:

Post a Comment