(Bahagian
III)
Ada
yang bertanya, mengapa saya guna Sikana, tanpa Mana. Dalam bahasa Arab
manasikana satu perkataan, bukan dua seperti nama samaran Dr. Abdul Rahman Napiah.
Sama ada Mana tunggal atau Sikana tunggal, kedua-duanya boleh dipakai, ada
makna tersendiri; tetapi bila dicantumkan barulah betul dan ini terdapat dalam
doa Nabi Ibrahim ‘a.s. ketika naik haji.
Itulah maksud unggul, dalam ibadat haji.
Dr. Abdul Rahman Napiah tidak boleh lagi menggunakan nama samaran
manasikana kerana dia telah membuang unsur Islam dalam teksdealisme. Itu jelas,
dan kita pun tahu ke arah mana dia mengarahkan manasiknya. Perkara ini disebut di sini untuk menunjukkan
beliau tidak mempunyai apa-apa wibawa untuk meletak seseorang sasterawan negara
ke atas takhta keunggulan. Dia sendiri tidak tahu di mana letaknya takhta itu! Sering
kali dia tersilap menganggap tong kayu gabus bekas susu yang banyak didapati di
Jalan Chaw Kit dalam pandangannya adalah sebuah takhta, dan di situlah dia
mendudukkan keunggulan para sastrerawan negara. Ini benar-benar seperti lawak
Wak Long dalam wayang kulit Kelantan, yang suka bergurau sekadar untuk membuat
orang tertawa. Kerja dalang yang tahu penontonnya perlukan comic relief itu.Dalam konteks manasiknya yang keliru dan
bercelaru, Sikana menjadikan pascamodenisme sebagai ukuran untuk menilai para
sasterawan Melayu, padahal faham sastera yang dipujanya itu menjadi lubuk
kekeliruan dan kebengkokan yang disebut sebagai ‘iwajan dalam al-Quran.
Sasterawan tidak boleh diangkat ke takhta keunggulan sekiranya karya
mereka kaya dengan sifat-sifat ‘iwajan. Kecuali jika para sasterawan itu, secara
metafor seperti yang difahami dalam retorik kritikan sastera bertaraf tinggi
yang dipraktikkan dalam dekonstruksi bikinan Jacques Derrida, seorang tokoh
yang menjadi idola (istilah ini cocok
sekali untuknya) Sikana, maka ketika
itulah para sasterawan ini layak didudukkan dulu di atas takta sindiran yang
sering digunakan Derrida ketika mengejek seterunya dalam polemik (misalnya
dengan memanggil John Searle sebagai Sarl, yakni salakan anjing) dengan
menjadikan tong susu sebagai takhta. Ini bukan suatu perkara yang pelik, bagi
Sikana yang memuja pascamodernisme yang menganggap dirinya seorang tokoh avant-garde, kerana seorang seniman
Eropah bernama Duchamp menjadikan
mangkuk kencing sebagai karya seni, sesuai dengan teori estetik avant-garde pascamodernisme yang mengatakan seni itu ialah
apa yang diangkat menjadi seni oleh sekumpulan peminat seni yang menerima
sesuatu karya sebagai hasil seni! Sikana boleh mengambil tong susu yang banyak
didapati di Jalan Chaw Kit untuk dilapik dengan tuala kuning, lambang takhta di
raja, untuk meletakkan sasterawan negara di atasnya sabagai tokoh unggul yang
istimewa kerana warna kuning itu dan kini diberi kedudukan sebagai manusia
unggul, seperti Duchamp menjadikan urinal
sebagai karya seni yang tinggi dan diterima oleh manusia Barat. Inilah teori seni yang menjadi pegangan
anggota panel Anugerah Sastera Negara,
walaupun mereka sendiri tidak tahu teori itu wujud. Dari segi itu mereka
mempunyai hujah, walaupun hujah itu sebenarnya diajukan oleh Iblis sebagai
pelanggaran kepada perintah Allah SWT kepada Nabi Adam ‘a.s. Dalam teori sastera Barat, pelanggaran dalam
konteks yang disarankan oleh Iblis kepada Nabi Adam ‘a.s. itu adalah satu
sayarat untuk menjadi sasterawan agung. Anda boleh baca tentang perkara ini dalam
buku-buku kritikan sastera Barat. Jika anda baca laporan Panel Anugerah Sastera
Negara, mereka memang menggalakkan pelanggaran dengan mengangkat sebarang eksperimen,
kelainan, dan yang seumpama itu sebagai ciri utama karya bermutu, yang kata
mereka terdapat dalam karya para sasterawan negara. Sudah jelas Panel
menggalakkan aspek ‘iwajan ini dalam
penulisan kreatif. Sekiranya anda mahukan contoh yang paling jelas, bacalah
laporan tetang Anwar Ridhwan, dan bandingkan dengan komentar saya dalam entri
28/10/2014, “Keunggulan yang Cacat”.
Jangan takut untuk berbahas jika anda benar-benar percaya apa yang anda
sarankan dan yang menjadi pegangan anda itu perkara yang benar dan perlu
diteruskan. Dunia akademik memerlukan perbahasan konkrit, bukan gunjingan di
belakang seperti yang anda lakukan sekarang.
Walau bagaimana pun, saya bersimpati dengan anda kerana inilah ajaran
Panel Anugerah Sastera Negara yang menegaskan moral tidak perlu dalam karya
kreatif dan dalam penilaian karya (rujuk laporan mereka untuk A. Samad
Said.)
Ajaran
Panel ini menjadi pegangan kukuh Sikana melalui teksdealisme yang juga menolak
moral dan adab dengan konsep pelanggarannya itu. Jika kita sedar tentang
perkara ini, maka sangat ganjil dan biadab apabila Sikana menegaskan
teksdealisme itu dicetusnya untuk membantu penulis muda mencapai keunggulan
melalui pelanggaran itu. Kerana begitu yakin pelanggaran itu bukannya berasal
daripada falsafah Iblis untuk manusia, maka Sikana dengan tegas pula berkata,
dengan nada yang angkuh, “Ramai penulis muda muncul. ... Bagaimana seharusnya mereka menghadirkan
segala pembahanan karya, melakukan pelanggaran, meneruskan pengukuhan karya
demi karya dan akhirnya mencapai puncak individualisme atau kepengarangannya. Teori ini sebenarnya suatu landasan untuk
penulis-penulis muda berkarya.” (hal. 93).
Saranan ini, setelah anda tahu maksud dan makna pelanggaran itu, samalah
dengan anda menggalakkan pengambilan dadah di kalangan penulis setelah anda
tahu bagaimana pengarang besar Barat juga mengambil dadah untuk menulis. Siapa
mereka? Tentulah anda tahu sendiri, atau jika tidak pasti boleh bertanya Sikana
yang tahu semua ini.
Pendapat
sarjana ciritan seperti yang diutarakan mereka bahawa teksdealisme boleh
membebaskan sasterawan untuk mencapai keunggulan dalam karya mereka, telah membelenggu pemikiran penulis dan
sarjana, dibelenggu oleh konsep pelanggaran yang sama sekali bertentangan
dengan cara otak manusia berfikir seperti yang dijadikan Allah Ta’ala. Otak
manusia tidak dapat menerima konsep seperti pelanggaran untuk mara ke depan,
kecuali dalam peperangan sebagai satu tektik perang yang berkesan. Dalam dunia
pemikiran, otak manusia berusaha membikin sistem pemikiran yang teratur dan tersusun, yang boleh mengukur
kemajuan yang ingin mereka capai dengan agak tepat. Contoh paling bodoh ialah
jika anda berjalan ke depan, anda akan sampai ke tempat yang dituju, betapa
jauh sekali pun. Sebaliknya jika anda
“melanggar” ke sana ke mari, anda bukan lagi manusia siuman dan anda tidak akan menjadi manusia unggul dengan perbuatan
itu.
Berkata
Sikana dengan megah, setelah menurunkan
satu kutipan daripada Hikayat Hang Tuah, “Itulah suara Hang Jebat yang bergema dalam
pembinaan Teori Teksdealisme ini. Tindakan
penderhakaannya merupakan suatu sifat pelanggaran yang dilakukannya dalam
tradisi masyarakat feudalisme. Hang Jebat sedar apa yang dilakukannya.
Sesungguhnya dia telah melakukan
pelanggaran terhadap dunia Melaka selama ini. Sesungguhnya akar kepada
Teori Teksdealisme ialah sifat pelanggaran itu dalam konteks membina keunggulan,
iaitu suatu pencapaian tertinggi dalam dunia kesusasteraan. Teks yang
dihasilkan mencapai taraf yang tinggi,
pengarang memiliki sifat kepengarangan yang cemerlang dan khalayak memiliki
tradisi penikmatan yang menggalakkan.” (hal. 86).
What kind of nonsense is this?
Sikana
menulis dalam bahagian pendahuluan bab 6 seperti ini: “Teori Teksdealisme
didasarka kepada peristiwa keberanian Hang Jebat yang melakukan pelanggaran
terhadap feudalisme Melayu, ingin membunuh Raja Melaka untuk menuntut bela atas
kematian Hang Tuah yang telah dijatuhi hukum bunuh tanpa usul periksa. Sewaktu
Hang Jebat melakukan pelanggaran itu, umurnya sekitar dua puluhan, hampir sama
dengan umur Teori Teksdealisme ini.” (hal. 83).
Sikana
melakukan dua kesalahan besar: pertama, teksdealisme bukanlah satu teori
sastera atau teori politik atau teori pemberontakan atau teori revolusi.
Teksdealisme hanya sejenis omongan, idle
talk mengikut Heidegger, yang tidak ada
unsur intelektualnya. Kedua, Hang
Jebat tidak memberontak, tetapi mengamuk untuk menstabilkam kemarahannya di
atas hukuman ke atas Hang Tuah, seorang sahabat karibnya yang amat
dihormatinya. Itu saja motifnya.
Pelanggaran
tidak mungkin mencetuskan revolusi dalam pemikiran penulis muda. Apa maksud
pemberontakan jika benar Hang Jebat seorang pemberontak? Pemberontakan adalah satu gerakan massa. Hang
Jebat tidak memberontak, hanya membalas dendam.
Kawan-kawannya sendiri pun tidak ikut sama, apatah lagi rakyat Melaka.
Selepas dia dibunuh, sistem feudal semakin kuat dan terus kekal hingga
sekarang. Apa hujah teksdealisme untuk membahaskan isu penting ini dalam
politik Melayu? Tukang teori Melayu
tidak membebaskan pemikiran penulis, malah membelenggunya. Kecuali jika mereka
cerdik dan dapat melihat kepalsuan pendapat yang diutarakan oleh teksdealisme
dan lain-lain “teori”, termasuk puitika sastera Melayu cetusan sasterawan
negara yang mengajak manusia Melayu “menjadi kurang ajar.” Gimana sih ini cara bikin kamu jadi cerdik
seterusnya unggul!
Adalah
suatu kenyataan yang amat ironik apabila kita menyedari bahawa teksdealisme itu
sendiri adalah cetusan feudalisme
intelektual yang akhirnya membelenggu pemikiran para sarjana ciritan yang
cetek meraba-raba, apabila mereka menerima teksdealisme sebagai satu teori
sastera yang canggih yang menjadikan pelanggaran satu kaedah untuk mencapai
keunggulan. Inilah amukan intelektual yang diwarisi daripada peristiwa Hang
Jebat menderhaka menurut pengakuan Sikana.
Amukan intelektual ini menjadi bahan tertawa di kalangan orang yang
celik ilmu, yang tahu membezakan konsep ilmu yang benar dengan hanya maklumat
mentah seperti yang dipegang oleh Sikana ketika membina “teori”
teksdealismenya. Sebaik saja Sikana
dicabar secara akademik untuk menghuraikan asas-asas ilmu tentang “teorinya”,
dia lari atau menjauhkan dirinya tidak mahu terlibat, kerana itu dia tidak
pernah berminat untuk hanya menyebut kemunculan gagasanPersuratan Baru yang
jika dinilai dari konsep “pelanggarannya” adalah suatu pelanggaran hebat yang
meruntuhkan sama sekali teksdealisme.
Sekalipun teksdealisme masih disogokkan kepada khalayak sastera Melayu
yang cetek meraba-raba, tidak seorang pun akan menghampirinya dengan yakin,
apabila mereka sedar bahawa konsep pelanggaran itu dipelopori oleh Iblis,
seperti yang disebut beberapa kali dalam al-Quran.
Kesan
paling baik yang dilahirkan oleh teksdealisme ialah gerakan pandirisme yang
kini menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera. Pandirisme yang
lahir dari teksdealisme kini menjadi asas pegajian sastera di UPSI, tempat
Dr. Abdul Rahman Napiah menjadi salah
seorang tenaga pengajar. Salah satu tugas
besar Sikana sebagai seorang ahli akademik (?) ialah menghalang para pelajarnya
mempelajari dengan mendalam gagasan Persuratan Baru, yang menurut Sikana tidak
mempunyai ciri akademik (rujuk tulisan beliau dalam Prosiding Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, Universiti
Perguruan Sultan Idris, 2012: 119-120).
Kata Sikana, “Masyarakat sastera, terutamanya pelajar di institusi pengajian
tinggi kurang berminat mendekati dan
mengaplikasi teori ini, akhirnya ia hanya hidup
di atas kertas saja.” Jelaslah
Sikana tidak mahu revolusi dalam kritikan sastera untuk memastikan teksdealisme
terus mengelirukan para pelajar, sasterawan dan sarjana sastera dengan menolak
konsep ilmu yang benar, tetapi menerima “pelanggaran” yang dipelopori Iblis
ketika menipu Nabi Adam ‘a.s. Dari
perspektif ilmu dan nilai akademik yang tinggi, buku Sikana Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera
Melayu Pascamodenisme, adalah setaraf dengan buku Dr. Norhayati Ab. Rahman
yang memenangi Hadiah Sastera Perdana yang berasal daripada tesis Ph.D. beliau,
Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, kedua-duanya adalah contoh yang baik sebagai
karya picisan dalam bidang akademik. Inilah
contoh pelanggaran dalam bidang akademik,
yang bersumber dari pelanggaran asal yag disebut dalam al-Quran. Lain-lain
contoh anda boleh dapati dengan banyak dan mudah, untuk anda pilih sendiri.
Sebahagiannya telah saya bincang dalam blog ini.
Oleh
sebab saya menulis karya kreatif, di samping karya kritikan, maka anda diberi
kemudahan untuk mengkritik saya sehabis kritis yang anda mahu, menggunakan
teori mana sekalipun yang anda suka. Saya sebut perkara ini untuk menolak
tuduhan yang tidak berasas bahawa saya hanya tahu mengkritik, padahal tidak ada
pun karya saya sendiri yang bermutu.
Oleh itu, anda mempunyai peluang yang sangat baik untuk menolak hujah
dan kritikan saya.
Untuk
makluman, sekadar memberi bahan yang
lebih terkini, buku yang berasal dari tulisan di blog ini, Pandirisme dalam Komuniti Dunia,
akan berada dalam pasaran bulan April 2016. Diterbitkan oleh Klasika Media,
No. 3-1 Jalan Seri Putera 1/2, Bandar Seri Putera, Kajang. Tel. 013- 606 7081. Sebuah
syarikat anak muda progresif.
(Kalau
perlu, bahagian IV akan menyusul.)
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 30/3/2016.
No comments:
Post a Comment