Beberapa
orang teman membantah dengan keras bahagian III dengan menuduh saya keterlaluan
“menghina dan meremehkan para sasterawan negara yang dipilih oleh negara dan
diberi tauliah oleh Agong sendiri.” Marah betul mereka. Tetapi adakah ini adil?
Kalau
tulisan saya dibaca dengan kritis dan kreatif dalam konteks “reading is an
argument” yang ditegaskan oleh Paul de Man, saya pasti anda akan lebih
berhati-hati. Pertamanya, saya bukan menghina sesiapa. Saya hanya mengkritik
perbuatan melantik sasterawan negara itu kerana TIDAK WAJAR SASTERAWAN DILETAK
LEBIH TINGGI DAN MULIA DARIPADA PARA ULAMA DAN CENDEKIAWAN Melayu yang jauh
lebih berjasa. Mahu saya sebut sumbangan mereka dan judul kitab-kitab mereka?
Kalau anda tidak tahu semua ini, apakah asas hujah anda? Memang benar saya mengkritik mereka agak
keras, tetapi ini tidak bererti tidak wajar kerana saya cukup cemat
menghujahkan pandangan saya. Jika mereka tidak boleh dikritik, anda akan bertindak
lebih tidak siuman kerana meletakkan mereka “beyond criticism”. Andainya anda berkata, boleh dikritik, tetapi
mestilah jujur dan wajar serta adil.
Maka saya jawab: Adakah penilaian dan pujian terhadap karya mereka tidak
melampau, jujur, wajar dan adil? Kedua, bagaimana dan apakah yang dikatakan
kritikan yang jujur, wajar dan adil? Saya telah melakukannya dengan memberi
hujah berasaskan bukti daripada karya mereka sendiri. Adakah itu tidak jujur,
tidak wajar, dan tidak adil?
Oleh
sebab saya telah banyak menulis tentang isu ini, tindakan anda yang paling
siuman ialah memeriksa dengan kritis (tidak kreatif pun tak mengapalah), maka
anda perlu bertindak dengan jujur, wajar dan adil dengan membaca dan faham
pandangan saya yang saya paparkan dalam tulisan yang berkenaan. Kalau anda
sendiri tidak membacanya dan tidak pula tahu asas penilain saya, bagaimana anda
boleh meletakkan diri anda sebagai manusia yang jujur, wajar dan adil?
Isu
sebenar yang cuba disembunyikan atau lebih tepat diketepikan dengan angkuh
ialah tentang konsep ilmu seperti yang diajarkan oleh Islam. Boleh dikatakan
semua sasterawan negara menolak aspek ini; apatah lagi para sarjana yang memang
tidak tahu apa-apa tentang konsep ilmu ini, maka dengan bangga dan agak angkuh
mereka menolak sambil memperli bahawa sastera itu sendiri adalah ilmu. Pendapat
ini sebenarnya ditolak oleh sarjana Barat sendiri, walaupun ada juga pandangan
yang mengatakan sastera lebih tinggi darjatnya daripada falsafah. Kalau saya
biadab saya akan menengking mereka: Kepala hotak kamu! Tetapi saya tidak pernah kata begitu. Saya
masih menerima mereka sebagai manusia yang wajar dihormati, seperti yang saya
nyatakan dalam entri itu. Malah saya
memberi peluang kepada mereka untuk mengkritik saya sehabis kritis yang mereka
mahu, kerana saya sendiri menulis karya kreatif selain karya akademik. Saya
cukup yakin karya saya boleh mempertahankan saya tanpa saya masuk campur dalam
perbincangan mereka. Malah inilah
pendirian para sasterawan negara sendiri. Oleh itu tidak ada isu sebenarnya.
Yang tidak boleh menerima kritikan bukan para sasterawan negara, tetapi para
sarjana yang menjadi penyokong mereka. Dengan itu saya rasa isunya ialah sikap
negatif terhadap ilmu dan keengganan untuk menerima kosep ilmu yang benar. Sepatutnya itulah yang patut dijadikan asas
penilaian kita.
Mohd.
Affandi Hassan, 21/3/2016.
No comments:
Post a Comment