Saturday, December 4, 2010

SEMINAR PEMIKIRAN DBP YANG GAGAL MENYERLAHKAN PEMIKIRAN

[NOTA:  Posting ini hendaklah dibaca bersama posting bertarikh 1 dan 3 Disember 2010]

Seminar 9-10 November 2010 di DBP tentang pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh adalah satu pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku. Tiga perkara yang amat menyerlah: (1) kertas kerja yang ditulis tergesa-gesa, tidak kritis langsung dan tidak satu pun menyerlahkan pemikiran tokoh yang diseminarkan; (2) rendahnya kualiti kertas yang tidak saja tidak akademik, tetapi mengulang perkara lama tanpa sebarang analisis yang munasabah; (3) tajuk-tajuk yang dipilih tidak satu pun dibahaskan dalam konteks pemikiran kerana istilah “pemikiran” tidak dijelaskan dan tidak ditakrifkan dalam mana-mana kertas sekalipun. Perkara yang menonjol dalam seminar ini ialah keinginan para penulis makalah untuk memuji Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, padahal  pujian dan sanjungan itu tidak dibuktikan dengan hujah dan analisis yang betul-betul akademik. Tidak seorang pun penulis kertas tahu bahawa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak mahu beliau dinilai dengan menggunakan teori dan pendekatan Barat. Sekiranya mereka tahu, maka sangatlah aneh dan ajaib bagaimana mereka masih tebal muka menggunakan segala macam teori Barat begitu galak sekali.

Saya bersetuju dengan pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa kita telah sangat lama, berpuluh tahun, menggunakan pendekatan dan teori Barat untuk menilai, kata profesor itu, “kita yang bukan Barat”, yang dibentuk oleh bahasa Melayu dan budaya Melayu.  Tidakkah pandangan profesor ini satu pandangan yang perlu dibahaskan? Mengapa tidak seorang pun menyentuh perkara penting ini? Mengapa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh diremehkan begitu saja dengan tidak menghiraukan kritikan beliau terhadap pendekatan dan teori sastera Barat?  Satu-satunya kertas yang agak serius ialah yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Arbak Othman, yang melihat sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dari perspektif semiotik. Tetapi usaha ini pun amat mengecewakan kerana tidak langsung dibahaskan dari segi semiotik  sajak “Pulang Si Tenggang” yang aneh itu, juga sajak “baris-baris dari muzium goethe” yang memeranjatkan itu. Kita mahu tahu, apakah tanda-tanda yang diserlahkan oleh kedua-dua sajak ini dari segi semiotik? Mengapa sajak “Pulang Si Tenggang” mesti ditolak dalam konteks budaya Melayu yang sudah diislamkan? Apa perlunya Si Tenggang ini dibawa ke dalam masyarakat Melayu moden? Apakah yang ingin dicapai melalui sajak yang mengajar bangsa Melayu menjadi kurang ajar itu? Banyak sekali persoalan yang timbul kerana ahli akademik kita telah gagal melaksanakan tugas akademik mereka untuk menilai sajak ini dengan betul-betul objektif dan berasaskan nilai-nilai budaya kita sendiri seperti yang diminta oleh Prof. Dr. Muhmmad Hj. Salleh sendiri. Mengapa permintaan beliau diremehkan begitu rupa oleh ahli-ahli akademik yang menulis kertas kerja, dengan memuji beliau bukan pada tempatnya? Beliau mahu dinilai secara adil dan objektif dengan tidak menggunakan apa juga teori dan pendekatan Barat. Adakah tuan-tuan ahli akademik tidak faham permintaan beliau yang jujur dan ikhlas itu? Khusus buat Prof. Madya Dr. Arbak Othman, dari segi semiotik, apakah tanda yang boleh dibaca dan ditafsirkan apabila Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berkata, “dan memihak pada pintar mephistopheles”? Apakah tafsiran semiotik yang boleh diberi pada baris ini? Adakah ini hasil pemikiran yang mendalam atau hanya sejenis latah yang spontan kerana terlalu mengagumi Goethe?

Sungguh pelik, ajaib, aneh dan amat menakjubkan apabila semua penulis kertas kerja meremehkan kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentang kesalahan para ahli akademik yang sudah berpuluh tahun (berapa puluh tahun: 30, 40, 50 puluh tahun atau lebih lama dari itu?) melakukan kesilapan dalam menilai karya sastera Melayu menggunakan teori dan pendekatan Barat yang asing itu.  Tidakkah kesimpulan ini sangat penting dan wajar diberi perhatian dengan membahaskannya dengan mendalam, lebih-lebih lagi jika dilihat dalam konteks kesimpulan yang dibuat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tahun 1972 yang mengatakan, para penulis dan sasterawan itu terdiri daripada “orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan kebudayaannya sendiri”, dengan itu mereka terdiri daripada golongan pinggiran yang keliru yang “tiada dapat membedakan yang benar dengan yang palsu”.  Tidakkah kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri membenarkan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas? Jika isu ini tidak penting pada pandangan ahli-ahli akademik kita yang bertaraf antarabangsa dan kelas pertama pula, maka isu apakah yang penting bagi mereka?  Sekiranya mereka berhujah tentang aspek ini, kita akan dapat melihat serba sedikit “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang mungkin boleh dijadikan tema kajian yang mendalam  nanti, yang boleh mencerdikkan para pelajar universiti yang mengambil jurusan sastera Melayu. Dalam keadaan yang ada, dengan kualiti kertas kerja yang begitu rendah, maka tidak hairanlah mutu perbincangn tentang sastera Melayu semakin kabur, semakin menurun kualitinya, dan semakin membosankan sehingga tidak lagi diminati oleh para pelajar, kecuali bagi yang tidak ada pilihan lain, yang terpaksa mengambil jurusan sastera Melayu sekadar untuk mendapat ijazah yang rendah pula kualitinya.  Dengan itu jelas bahawa yang meminggirkan sastera Melayu ialah ahli akademik dan sasterawan sendiri, dengan sikap mereka yang tidak kritis dan kegemaran mereka mengulang sesuatu yang sudah diperkatakan sekian lama. Dr. Azman Pawi, mengutip pandangan Prof. Siti Hawa Salleh, menyentuh perkara ini dalam konteks “sumbangan” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang sekadar mengutip dan mengulang pendapat sarjana lain.  Berasaskan kesimpulan Prof. Siti Hawa Salleh, bolehkah  kita berkata bahawa sebenarnya tidak ada apa-apa yang boleh disebut sebagai “pemikiran” yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang sekira-kira boleh menjadi asas perbincangan yang menarik. Itulah sebabnya kertas kerja yang dibentangkan begitu cetek, ditulis tergesa-gesa, mengulang perkara lama, kerana tidak ada perkara yang menarik untuk dibahaskan yang telah dikemukakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Jika inilah yang dirasakan oleh para penulis kertas kerja, maka mereka mempunyai alasan untuk meremehkan kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentang kesilapan menggunakan teori dan kaedah Barat itu, kerana beliau sendiri tidak menjelaskannya, sekurang-kurangnya memberi contoh yang konkrit apakah kesilapan dan kesalahan itu.

Mohd. Affandi Hassan, 3/12/2010.

1 comment:

  1. Atau barangkali -- untuk memberi sedikit ruang kepada para pembentang kertas -- apa yang berlaku adalah begini:

    Seolah-olah beberapa pembentang sengaja hendak bermain dengan emosi MHS, misalnya seolah-olah hendak "menganyi" (menganjing) MHS dengan menulis apa yang MHS tidak suka?

    Contohnya PM Dr HI, yang saya percaya beliau tahu bahawa MHS tak berapa berkenan atau tak berapa gemar kepada teori-teori (jika MHS sendiri ikhlas)kritikan Barat, maka HI sengaja mengambil teori Bakhtin. Dengan begitu, walau pun tampak zahirnya HS memuji MHS, sebenarnya secara tersirat HS telah mempermainkan MHS?

    Begitu pula dengan PM Dr SHCM. Mukadimah kertasnya saja sudah menjadi suatu "pendedahan".
    Awal-awal beliau akur atas permintaan supaya beliau menulis yang elok-elok sahaja mengenai MHS. Tidakkah ini menganjing namanya? Jika tidak, mengapa SHCM menguar-uwarkan itu? Seolah-olah beliau hendak mwmberitahu khalayak bahawa MHS hanya suka orang bercerta yang elok-elok sahaja mengenai dirinya. Dan SHCM barangkali dapat mengesan sudut-sudut "yang tak berapa elok" dari karya MHS, tetapi itu tidak disinggungnya kerana rasa hormatnya kepada permintaan MHS, dan kerana hubungan baiknya dengan isteri MHS. Lagi pun, tak munasabah seorang PM dan seorang penyandang Ph.D main tulis saesedap tangan, guna kalimat "power giler" atau "nak" dalam sebuah kertas ilmiah, kalau bukan untuk "merendahkan" tokoh yang dibicarakannya.

    Aduhai, dari sisi ini, terserlahlah hakikat: para pembentang kertas itu kelihatannya memuji, tetapi sebenarnya mereka hendak menjolok MHS.

    Wal-Lahu'a'lam bissawab.

    ReplyDelete