Ada orang bertanya (siapa lagi jika tidak sasterawan dan sarjana) mengapa gagasan Persuratan Baru tidak disukai, tidak disambut dengan ghairah, padahal kita telah mendengar betapa ghairahnya mereka (siapa lagi jika bukan sasterawan dan sarjana) mengharapkan lahirnya “teori” sastera kita sendiri. Apa sebenarnya yang mereka mahu? Saya kira pertanyaan itu agak nakal, sengaja hendak mengenakan saya; apa yang mereka (jika bukan sasterawan dan sarjana siapa lagi) hendak kenakan itu saya tidak pasti. Jadi saya jawab agak nakal, tetapi serius dan penuh sindiran yang boleh dikira tajam menghiris. Kata saya: Sebenarnya mereka pandang rendah orang Melayu, kerana mereka telah diasuh oleh guru-guru mereka di dalam dan luar negeri bahawa yang bagus-bagus itu mesti datang daripada orang putih, orang Barat, orang asing. Orang Melayu, seperti mereka sendiri, bodoh dan tidak boleh berfikir. Orang Melayu, seperti mereka sendiri, hanya bagus untuk meniru dan menciplak daripada para “pemikir” Barat. Kerana mereka orang Melayu dan bodoh, menurut mereka (siapa lagi jika bukan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera), maka mereka tidak boleh mengesan siapa-siapa yang menciplak itu, oleh itu mereka puji penciplak idea Barat itu dan suguhkan kepada pembaca sebagai hasil pemikiran yang hebat. Itulah kehebatan mereka.
Satu perkara lagi, kata saya, Mereka ini mungkin tidak mendalam pengetahuannya dalam apa yang mereka sebut “teori” Barat, dan kerana mereka anggap perkara baru, mereka sangat gemar kerana baru mereka jumpa. Mereka membuktikan betapa ceteknya pengetahuan mereka. Ini pula diikuti dengan kesukaran mereka memahami gagasan Persuratan Baru kerana adanya kelemahan kognitif yang jelas di kalangan mereka, kerana hampir semua istilah yang mereka kenal selama ini hampir tidak berguna kerana asingnya seperti yang terdapat dalam gagasan Persuratan Baru. Misalnya, selama ini mereka tidak pernah terfikir pentingnya konsep ilmu yang benar itu dijadikan asas penerokaan ilmu dalam penulisan kreatif dan juga dalam penilaiannya (yakni, dalam kritikan). Yang paling mengejutkan mereka ialah konsep taklif. Dulu tidak pernah mereka dengar, walaupun dari segi syarak mereka sudah mukallaf. Jangan-jangan mereka pun tidak lagi berapa faham apa makna mukallaf itu, kerana masih berfikir pada peringkat mumayyiz dalam dunia ilmu. Jadi, kesimpulannya, jika benarlah mereka (tentu saja maksudnya para sasterawan, sarjana dan pengkritik) tidak menerima gagasan Persuratan Baru, maka mereka membuktikan, tanpa mereka sedari, bahawa memang benar mereka dari kumpulan kaum pinggiran (seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas) yang ke Barat pun bukan, ke Timur pun bukan. Pengetahuan tentang Barat cetek; pengetahuan tentang budaya sendiri pula kabur dan terpisah-pisah, yakni lebih cetek lagi. Orang yang bertanya tentu tidak suka mendengar penjelasan atau jawapan itu, tetapi itulah jawapan yang paling tepat dan paling baik untuk menggambarkan kedudukan mereka yang sebenarnya.
Jawapan yang diberikan itu tertumpu pada masalah kognitif. Tetapi ada masalah lain yang lebih berat. Sebenarnya mereka ini terdiri daripada orang-orang yang berpenyakit jiwanya (mungkin ada di antara mereka yang betul-betul sakit jiwa), ditutup oleh perasaan hasad dan dengki, perasaan cemburu dan marah kerana berasa tercabar, dan yang paling utama ialah kebencian yang tidak tertahan lagi apabila gagasan Persuratan Baru, menurut mereka, mencabar semua andaian mereka, semua kaedah yang mereka gunakan selama ini, dan semua penilaian mereka kelihatan begitu remeh dan lekeh apabila dijentik dengan hujah-hujah berdasarkan gagasan Persuratan Baru. Tentu saja mereka tidak mahu mengaku, untuk melindungi diri mereka daripada dituduh bersikap dan berniat jahat. Sebenarnya mereka akan jadi lebih mulia dan berhemah tinggi dengan mengaku mereka bersikap dan berniat jahat untuk melihat gagasan Persuratan Baru tidak diterima, apatah lagi digunakan sebagai kaedah paling tepat dan berkesan untuk menilai karya kreatif, yang boleh pula dipakai dengan berkesan dalam kritikan dan penulisan karya kreatif, dengan hasil analisis yang memuaskan. Ini telah dibuktikan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam analisis mereka. Misalnya, jika anda masih ragu-ragu, baca dengan teliti dan kritis analisis Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani tentang novel Melati Kota Bharu, oleh Abdul Kadir Adabi, seorang genius dari Kelantan pada zamannya. Kaedah remeh temeh yang dipakai oleh para sarjana yang tahap pengetahuannya peringkat sekolah menengah saja, tidak dapat melihat kekuatan novel itu, malah tidak berupaya dibaca secara intelektual (dalam mod bacaan intelektual, menurut istilah Prof. Ungku Maimunah).
Tentulah menarik jika kaedah yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru digunakan pula untuk meneliti, memeriksa kembali, menilai kembali, karya semua sasterawan negara yang sepuluh orang itu. Kita mahu melihat keistimewaan mereka, seperti kita dapat melihat kekuatan karya Abdul Kadir Adabi tadi, dengan menggunakan analisis dan penilaian menurut kaedah gagasan Persuratan Baru. Jika kita betul-betul ikhlas ingin melihat ketinggian mutu karya kita, dan berasa bangga mengenal pasti ketinggian mutu itu, maka jalan untuk mencapainya ialah dengan menggunakan kaedah gagasan Persuratan Baru. Oleh itu, tidak ada sebab untuk sesiapa pun berasa sangsi dan takut untuk menggunakan kaedah itu untuk menilai kembali karya para sasterawan negara kita. Tentulah sangat aneh dan tidak masuk akal jika karya mereka tidak boleh diuji dibatu analisis berasaskan gagasan Persuratan Baru. Kita mesti beri peluang kepada karya para sasterawan negara ini kelihatan bersinar dengan ilmu, yang hanya boleh diketahui dengan tepat dan jitu jika analisis dan penilaian itu berasaskan gagasan Persuratan Baru. [Nampaknya anda belum faham; oleh itu tidak perlu dijelaskan lagi.]
Mohd. Affandi Hassan, 20/12/2010
salam pak affandi,
ReplyDeletekomen pak affandi ttg isu penarikan balik novel Interlok SN Abdullah Hussain sbg teks sastera di sekolah atas alasan dikatakan menyentuh sensitiviti kaum? tk. rozan
Sdr. Rozan.
ReplyDeleteNovel itu tidak bagus, membosankan, akan menyiksa pelajar. Membunuh minat membaca mereka. Tidak sesuai. Pendekatannya mengundang kontroversi, perbahasan emosional, pertengkaran, kata mengata dll. Pelajar tidak harus diajar berkelahi dalam kelas. Pilihan tak bijak. Tapi saya kutuk tuduhan Timbalan Menteri yang memainkan isu perkauman. Awal2 lagi dia suruh pelajar bergaduh. Gila. Novel pilihan seharusnya mendorong pelajar berfikir, kenal tradisi mereka, luas pandangannya. Paling penting, pelajar harus diasuh untuk mengamalkan satu bahasa perpaduan, bahasa Melayu. Asas perpaduan adalah bahasa, bukan slogan. Oleh itu, novel paling sesuai dengan matlamat di atas ialah Jejak Warisan. Tahun 1995 novel ini telah diterima untuk jadi bacaan di sekolah2 menengah, tapi kerana korupsi, ghaib begitu saja. Sekarang patut difikirkan semula. Novel ini akan mendorong pelajar cintakan ilmu, hormat orang berilmu, dan sedar pentingnya perpaduan negara berteraskan bahasa Melayu. Tidakkah itu yang kita mahu? Wajar dan bijak jika novel Jejak Warisan ini dipilih.
salam pak affandi,
ReplyDeleteterimakasih atas respon. memang hujah kedua pak affandi, "seharusnya mendorong pelaar berfikir" adalah sama tika saya bertukar pandangan dgn penulis raja yusoff semalam, namun dlm premis pendirian yg berlainan....ya novel Jejak Warisan tulisan pak affandi ada saya miliki & lama dulu menghayati.Mungkin dlm perjalanan esok ke P.Pinang mungkin akan saya hayati semula. Soalan Tambahan (jika sudi & tidak keberatan), dahulu saya dimaklumkan dlm bual sembang dgn Dr. Muhd Nur Manuty bahawa pak affandi menetap d Bangi, namun dlm cattan blog abg Nassury diceritakan pertemuan dgn pak affandi di kelantan. maka sekadar ingin tahu dimana pak affandi menetap? Satu hari nnti ingin sangat saya ketemu setelah hampir 20 tahun saya ikuti tulisan kreatif mahupun non-fiksi pak affandi termasuk semasa d INTAN. t.kasih. rozan azen mat rasip 012 657 7878
Tn. Haji Affandi,
ReplyDeleteMaaf kerana saya bertanyakan soalan di ruangan terbaru Tn. Haji berkaitan novel "Interlok", sedangkan ia telah dijawab dalam ruangan ini.