Bolehkah kerbau berfikir? Sebenarnya kerbau tidak perlu berfikir, kerana semua kemahuannya dan keperluannya sudah sedia ada, tidak ada masalah untuk mendapatkannya. Kerbau hanya perlu berfikir apabila manusia mula menjadi kerbau, dan mula merampas segala yang dimiliki kerbau untuk keperluannya. Kerbau perlu berfikir apabila manusia mahu menandinginya dalam semua kegiatan kehidupannya sebagai kerbau. Pada ketika itulah kerbau perlu membina universitinya sendiri, untuk menandingi universiti yang dibina manusia. Jika ini berjaya dilakukan kerbau, maka mereka juga perlukan pensyarah dan profesor. Tempat mereka bukan lagi kandang kerbau, tetapi fakulti itu dan ini yang ditentukan oleh kerbau sendiri. Tidak hanya itu yang perlu mereka laksanakan. Mereka harus bersaing di peringkat antara bangsa, untuk menjamin kecemerlangan mereka sebagai kerbau global berpendidikan tinggi. Tetapi di sinilah mereka akan menghadapi masalah. Jika mereka terus berfikir seperti kerbau, maka mereka akan dimamah serigala yang juga mempunyai universiti mereka sendiri dengan para pensyarah dan profesor yang bengis dan ganas. Kerbau dan serigala tidak mungkin bekerjasama, kerana dalam konteks yang bagaimana sekalipun serigala tidak akan makan rumput atau daun-daun dan kerbau pula tidak akan makan daging. Jadi tidak akan ada persaingan dalam aspek itu, dengan itu hak kerbau untuk mendapatkan rumput terus terjamin. Tetapi serigala tidak boleh berdiam diri hanya melihat kerbau meragut rumput. Serigala perlukan makanan. Seperti yang diketahui kerbau, makanan itu ialah daging kerbau sendiri. Di sinilah akan terjadi pengorbanan yang dipaksakan, kerana kerbau akan memberikan keperluan serigala itu tanpa ada pilihan lain. Pada waktu itulah manusia akan masuk campur, tetapi bukan untuk memelihara keselamatan kedua-dua makhluk itu. Manusia akan menyembelih kerbau apabila mereka perlukan daging; manusia akan menembak serigala apabila binatang ganas itu mengganggu kerbau milik manusia. Tetapi tidak semua manusia boleh memiliki kerbau. Ramai yang tidak berkerbau. Mereka hanya dibenarkan membeli daging pemilik kerbau. Bukan saja pemilik kerbau menentukan harga daging, tetapi mereka juga menentukan tempat mana mereka akan meletakkan kerbau mereka. Kini kerbau tidak lagi bebas, kerana semuanya akan ditentukan oleh pemilik kerbau. Kerbau dengan itu tidak bebas. Tetapi perlukah kerbau kepada kebebasan? Sebenarnya kebebasan kerbau tidak tergugat walaupun dikawal ketat oleh manusia. Lagi pula kerbau memang tidak memerlukan kebebasan. Kerbau hanya perlukan makanan, dan peluang untuk berkelamin sesama kerbau. Kedua-dua keperluan ini tidak diganggu oleh manusia. Tetapi bagaimana pula dengan serigala? Bila-bila masa saja serigala akan merampas kerbau dari tangan manusia untuk dijadikan makanan mereka. Oleh itu tidak mungkin wujud kerjasama dan persefahaman antara serigala dengan manusia. Tidak mungkin wujud sistem politik yang boleh menyatukan dua makhluk ini. Manusia, kerbau, dan serigala tahu tidak mungkin wujud demokrasi dan perpaduan di kalangan tiga makhluk ini. Ketiga-tiganya kumpulan rasis yang mementingkan keperluan mereka sendiri. Hanya melalui ketuanan Melayu saja ketiga-tiga makhluk ini boleh disatukan. Jika kerbau melawan, mereka perlu disembelih. Jika serigala memberontak, mereka wajib ditembak dan dimusnahkan. Dengan itu ketuanan Melayu akan kekal, dan manusia boleh berbuat apa saja untuk memastikan ketuanan Melayu itu kekal menjadi hak manusia Melayu dari kumpulan tertentu. Tidak semua Melayu berhak berada dalam lingkungan ketuanan Melayu. Melayu yang berada di luar lingkungan ketuanan Melayu adalah biadab dan derhaka kepada Melayu yang berada dalam lingkungan ketuanan Melayu, walaupun mereka tidak membunuh dan tidak mengurung makhluk yang berbeza dengan mereka.
Sejak zaman Melaka lagi rakyat sudah belajar dan diberitahu bahawa Raja dan Sultan berhak membunuh sesiapa saja yang tidak disukai Raja atau Sultan, termasuk yang berada dalam lingkungan ketuanan Melayu. Bendahara Tun Perak tahu makna keadilan dan kezaliman ketuanan Melayu apabila anak lelakinya dibunuh kerana sebiji sepakraga terkena kepala seorang anak raja Melaka. Sekarang orang bercakap betapa pentingnya sejarah diajar di sekolah, yakni sejarah ketuanan Melayu. Adakah peristiwa yang dihadapi Tun Perak sebahagian daripada sejarah penting ketuanan Melayu? Atau sejarah itu hanya terhad kepada terbunuhnya Bendahara Seri Maharaja (perhatikan gelaran ini lebih besar daripada gelaran Raja Melaka sendiri) yang keturunan Keling itu? Anda tentu tahu siapa keturunan Bendahara ini. Datuk neneknya dan keturunannya adalah pemberontak yang membunuh raja Melayu dan pembesar Melayu untuk meletakkan Raja Kasim, keturunan Keling, sebagai Sultan Melaka bergelar Sultan Muzafar Shah, iaitu sultan yang menitahkan Hang Tuah dibunuh. Tidak mungkin kerbau dan serigala tahu perkara ini, kerana mereka berada di luar lingkungan ketuanan Melayu. Malah yang berada di dalam lingkungan ketuanan Melayu pun tidak tahu. Sesiapa yang tahu peristiwa ini tidak mahu lagi berada dalam lingkungan ketuanan Melayu itu.
No comments:
Post a Comment