Tuesday, December 21, 2010

GOSIP SASTERA DALAM BLOG PENULIS MUDA

Ini zaman gosip. Kita boleh baca gosip di mana-mana. Sejak adanya Internet, gosip sudah dibudayakan. Para sasterawan yang senior pun bergosip, dengan cara mereka. Dewan Sastera selepas Usman Awang sudah jadi majalah gosip sastera, disertai oleh para sasterawan negara sendiri. Kita harus bangga kerana gosip diceburi secara aktif oleh para sasterawan negara sendiri, satu kemajuan yang tidak pernah berlaku sebelumnya.  Jangan berasa aneh jika sasterawan negara pun menulis gosip sastera. Mereka juga manusia, seperti para wartawan akhbar yang sudah menjadikan gosip para artis dan selebriti (siapa mereka ini sebenarnya?) satu budaya bernilai berjuta ringgit, menjadi kegemaran pembaca Melayu tua dan muda. Apa yang kita boleh harap daripada para sasterawan negara ini? Mereka tukang khayal yang telah diterima sebagai seniman sasterawan (atau sasterawan seniman?), yang memang pandai menulis, tapi belum tentu pandai mengarang. Kalau mereka menulis gosip, tentang perkara remeh temeh sekadar untuk diterbitkan setiap bulan, maka itu memang trade mark mereka, jangan berasa hairan. Mereka bukan pemikir, walaupun DBP sudah buat banyak seminar tentang pemikiran mereka. Tapi sukar hendak dipegang kepala apa yang mereka fikirkan. Kita berasa kasihan melihat ahli-ahli akademik, para sarjana kita yang kelas pertama dan bertaraf global pula, tak berdaya hendak mencerakinkan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Akhirnya kita dapat kertas kerja bercorak gosip akademik, seperti yang berlaku pada seminar anjuran DBP, 9-10 November 2010 baru lepas.  Tidakkah gosip namanya apabila seorang profesor madya dengan tiba-tiba “naik sheikh” lalu dengan beraninya mengisytiharkan seseorang yang dipuji-pujinya, tanpa sebarang analisis dan hujah yang munasabah,  sebagai seorang “Raja Penyair Malaysia”?  Dalam gosip kita tak perlu punyai perasaan malu atau rasa bersalah; yang penting hanya rasa seronok; oleh itu dengan rasa seronok yang meluap-luap sang profesor madya itu tiba-tiba melantik dirinya sebagai seorang Hakim Besar Sastera!

Tetapi kita masih mundur, masih berada di tempat yang sama, sesudah beratus kali tahun hijrah disambut oleh umat Islam. Orang Islam berhijrah setiap tahun baru, tetapi tidak bergerak. Apa yang berlaku sebenarnya? Kita ambil contoh gosip ini, yang dalam bahasa Melayu lama dipanggil  mengumpat. Sesudah dibudayakan, ketika akhbar yang membela rakyat sudah jadi kaya raya kerana mengumpat (bergosip), maka mengapa budaya gosip, budaya umpat itu tidak dijadikan bahan penyelidikan penting oleh para sarjana kita, dibicarakan dalam kuliah, diajar cara-cara mengumpat yang terbaik dan berkesan, digalakkan para pelajar yang pintar menulis tesis tentang gosip, tentang mengumpat dalam budaya Melayu. Kita belum ada seorang pun lagi yang lulus ijazah tertinggi, Ph.D. dalam budaya mngumpat, dalam budaya gosip ini, padahal kita sudah mempunya ramai pakar sajak-sajak kabur, sajak-sajak sufi (yang lebih banyak mengumpat daripada ucapan bersifat kesufian), sajak-sajak hijau (sekarang orang suka warna hijau, bukan lambang PAS, tetapi lambang alam semesta).  Kita sudah diberi tahu oleh SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dia sudah tulis dan terbitkan 1000 sajak hijau ini. Berapa ramai pensajak kita yang menulis sajak-sajak gosip? Berapa ribu sajak gosip yang sudah ditulis dan diterbitkan? Prof. Rahman Shaari telah memasukkan satu kategori sajak dalam syarahan perdananya, iaitu sajak konfesi. Bolehkan beliau tambah satu kategori lagi dengan memasukkan kategori sajak gosip? 

Gosip boleh diangkat menjadi satu kegiatan budaya yang menguntungkan, seperti yang telah dibuktikan oleh akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Para ulama telah menerima gosip, atau dalam bahasa Melayu tua yang sudah tidak dipakai lagi dipanggil mengumpat, sebagai satu “amal” yang tidak bercanggah dengn nilai-nilai Islam.  Para ulama tidak pernah menegur sepatah kata pun bahawa bergosip seperti yang dilakukan oleh akhbar Melayu itu suatu dosa, suatu kesalahan adab yang boleh membuat para penggosip itu dijatuhkan hukuman tidak beradab, atau biadab. Lagi pula setiap minggu kita dihidangkan dengan gosip yang berbagai-bagai jenis, menjadi kegemaran masyarakat Melayu moden yang kaya mahu pun yang masih miskin setelah dibebaskan dari kemiskinan lebih dari setengah abad oleh kerajaan.  Jika dikumpul semua gosip ini, yang diterbitkan setiap minggu dalam edisi khas, maka kita sudah mempunyai tidak kurang dari seratus jilid tebal tentang gosip. Ini menguatkan lagi betapa perlunya gosip dijadikan mata pelajaran wajib di universiti, supaya nanti akan muncul beberapa orang profesor yang membuat pengkhususan dalam bidang gosip, atau yang menjadi pakar gosip.  Di England akhbar The Times menerbitkan edisi khusus tentang kesusasteraan, pendidikan, dan lain-lain yang bukan bercorak gosip. Edisi khusus seperti  The Times Literary Supplement (TLS) memuat tulisan daripada para intelektual terkemuka di negeri itu. Kita boleh tiru dengan mengajak para profesor dan sasterawan kita menulis gosip masing-masing dalam edisi gosip yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Kalau gosip sudah dibudayakan, tidak salah dan tidak menjatuhkan maruah untuk para profesor dan sasterawan besar menulis gosip masing-masing dalam edisi gosip yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.

Di sinilah pentingnya peranan para penulis muda yang mengendalikan blog masing-masing, yang menulis gosip dengan bergaya sastera. Jika anda mengikuti blog para penulis muda ini, anda akan berasa terkejut juga melihat dan membaca begitu banyak gosip dalam posting mereka. Komen-komen yang dibuat oleh teman-teman mereka tidak saja dipenuhi gosip, tetapi amat kaya dengan kata-kata tidak senonoh yang mengecutkan perut anda jika anda sudah berumur.  Misalnya, ada di antara mereka, para penulis muda ini, yang menulis slogan di blog mereka, “Allah lihat apa yang anda buat/tulis”, tetapi menulis seperti mereka tidak sedar slogan mereka sendiri.  Demikian kuatnya pengaruh gosip dalam kehidupan mereka.  Bahasa yang digunakan amat dahsyat yang boleh membuat kita terbeliak biji mata. Tetapi jika kita sabar, terus membaca, kita akan dapat lihat logiknya. Inilah pembaharuan yang diidamkam-idamkan oleh para sasterawan, dan mereka mendapat peluang membuat pembaharuan itu melalui blog mereka. Berasaskan kenyataan ini sahaja pun sudah jelas betapa perlunya kita mempunyai pakar gosip yang bertaraf profesor, yang boleh didudukkan setanding dengan profesor kesusasteraan dan profesor linguistik atau profesor semiotik (jika sudah wujud, tapi rasanya belum lagi).  Profesor semiotik ini tentu saja boleh membaca beratus makna yang mendalam daripada tanda-tanda yang berada di dalam budaya gosip itu.  Seperti yang kita sudah tahu, para sarjana, pengkritik sastera dan para profesor sastera, sangat gemar menilai sesuatu karya kreatif apa jenis pun dengan melihat ada pembaharuan atau tidak. Lihat saja laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang memang gemarkan pembaharuan, kerana bagi orang-orang yang sejenis dengan mereka setiap pembaharuan adalah kemajuan. Termasuk di dalamnya ialah gosip, dan ini memang diketahui oleh para penulis muda yang mengendalikan blog masing-masing, diketahui juga oleh para sahabat mereka yang menulis komentar. Mustahil tidak diketahui oleh para profesor atau sarjana sastera.

Sekarang zaman orang buat wang. Tak kira dengan cara apa saja. Dengan itu kisah-kisah al-Quran disusun begitu rupa, diberi nama tertentu, dijadikan model menulis cerita, maka jadilah perdagangan cerita al-Quran. Kalau anda mahu tahu, ini sejenis gosip yang ada standard sedikit, kerana dikaitkan dengan Kitab Suci. Tetapi tetap gosip sifatnya, kerana yang lahir daripada program seperti ini ialah cerita-cerita ringan untuk hiburan. Ini prinsip perniagaan sekarang. Mesti ada hiburan, kerana hiburan itulah yang boleh menarik minat pembaca untuk membaca dan membeli buku. Adakah ini satu penyelewengan ilmu? Kata para ulama muda, itulah cara terbaik dan berkesan untuk berdakwah. Yakni, berdakwah sambil bercerita. Itu cara Islam, kata mereka. Dan pendapat ini nampaknya sudah diterima dengan baik, tidak boleh diungkit apa-apa lagi, kerana yang memberi pendapat itu orang yang dikira ada pendidikan agama, tahu bahasa Arab, berakhlak Islam dan sebagainya. Tetapi sebenarnya tidak semudah itu, kerana cara begitu adalah timbul daripada prinsip bercerita di kalangan para sasterawan sekular yang menggunakan agama. Adakah mereka penjual agama? Yang pasti, mereka menjual buku-buku cerita yang diselang-seli dengan nasihat agama, dan ada pula pembaca yang sukakan itu, jadi buku boleh dijual, penerbit dapat banyak wang, demikian juga penulis. Kedua-duanya puas hati. Pembaca pun puas hati kerana terhibur. Tetapi ke mana pun hujah itu dibawa, akhirnya pulang kepada prinsip gosip juga. Demikian kuatnya tarikan gosip ini dalam zaman teknologi maklumat yang mengejutkan ini.

Mohd. Affandi Hassan, 21/12/2010.

2 comments:

  1. Salam sastera Sdr Mohd. Affandi Hassan :)

    ReplyDelete
  2. Puan Azmah Nordin,

    Saya berasa terhormat sekali dikunjungi oleh seorang sasterawan utama seperti puan. Terima kasih.

    ReplyDelete