Ketika rumus atom diumumkan Einstein, ada yang mengatakan pada ketika itu hanya empat orang ahli sains yang faham rumus itu, termasuk seorang ahli falsafah Inggeris yang terkenal. Jika benar begitu, maka hal itu memang wajar, kerana rumus itu benar-benar mengejutkan ahli sains, sebagai sesuatu yang betul-betul baru. Yakni, baru ditemui, bukan baru dalam erti tidak ada sebelumnya. Prinsipnya sudah ada, tetapi belum dirumuskan. Hal yang hampir sama terjadi kepada Prof. Abdul Salam, yang membuktikan semua kejadian Allah adalah berpasangan, seperti yang ditegaskan dalam Surah Yasin. Ketika itu tidak ada yang percaya, tetapi akhirnya dengan izin Allah Ta’ala, Prof. Abdul Salam dapat membuktikan kebenaran teorinya, dan dia diberi Hadiah Nobel Fizik kerana usahanya itu. Pada umumnya semua manusia adalah ketinggalan zaman apabila menghadapi perkara seperti ini, walaupun mereka berada dalam lingkungan yang sama, seperti ahli-ahli sains itu. Sudah menjadi tabiat manusia, akibat kelemahannya sebagai makhluk, untuk tidak menerima sesuatu yang baru, yang dianggapnya bersalahan dengan pengetahuan yang biasa yang ada padanya. Oleh itu apabila gagasan Persuratan Baru diperkenalkan kepada para sasterawan, penulis, sarjana dan pengkritik sastera, mereka tersentak dari mimpi ilusi sastera yang mereka kenal selama ini, apabila semua andaian mereka tentang kesusasteraan diserlahkan kepalsuannya satu demi satu, sehingga mereka seperti ayam dicabut bulu lari ke sana ke mari terkejut akibat kehilangan bulunya.
Bolehkah manusia Melayu yang beragama Islam terhindar dari sifat munafik? Pertanyaan ini kedengarannya agak pelik, seolah-olah terlalu menghina orang Melayu yang sudah beratus tahun beragama Islam. Tentu saja tidak semua termasuk ke dalam kumpulan munafik itu, malah hampir semua orang Melayu yang mengamalkan ibadat wajib dalam Islam tahu apa makna dan maksud munafik dalam konteks Islam. Perhatikan maksudnya dalam kehidupan bersastera. Jika anda seorang yang selalu mengutuk orang lain tidak beradab, bersikap kasar dalam tulisan, angkuh mempertahankan pendirian yang tidak selalunya betul, dan lain-lain tuduhan seumpama itu. Apatah lagi jika anda pernah atau selalu berkata teori-teori Barat tidak sesuai dengan nilai-nilai orang Melayu yang berteraskan Islam, tetapi pada waktu yang sama anda tidak mahu menerima sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai Barat itu. Tidakkah pendirian itu condong ke arah sikap munafik, jika tidak pun totok munafik? Jika anda seorang yang jujur dan tahu harga diri, seorang yang tinggi maruahnya, mungkin anda tidak menghalang apa juga kebaikan yang dibuat oleh orang lain, kerana anda sendiri sentiasa berbuat kebaikan itu, malah mungkin lebih lagi. Tetapi ini tidak terjadi di kalangan sebahagian besar para sasterawan, sarjana sastera, para pengkritik dan sebagainya.
Dalam menentukan kebaikan ini, jika anda seorang yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam pertimbangan anda, dan anda seorang yang tahu menghargai ilmu, anda tidak akan ragu-ragu menerima apa juga kebaikan orang lain. Maka itulah sebabnya buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid ditolak oleh para penilai yang mendakwa diri mereka kumpulan yang condong kepada Islam dengan memberi alasan buku itu tidak diplomatik. Buku ini diterima oleh Aga Khan University Institute For The Study of Muslim Civilizations sebagai salah sebuah buku terpenting dalam Abad 20. (Rujuk Gagasan Persuratan Baru, hal. 150). Kes ini sudah menjadi sejarah, suatu kes yang amat klasik yang menyerlahkan sifat munafik manusia yang tidak boleh menerima kebaikan jika yang melakukannya seseorang yang mereka tidak suka. Penjelasan lanjut telah dihuraikan dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir; rujuk bab 4). Apakah yang mendorong mereka bertindak demikian? Mereka bertindak demikian kerana mereka tidak mahu kebaikan orang lain diterima oleh masyarakat, dengan itu mereka mengadakan alasan bahawa buku itu tidak diplomatik, walaupun isinya baik. Itulah cara berfikir golongan munafik. Mereka mengaku kebaikannya sebagai pemanis mulut, tetapi mereka tidak suka kerana kebaikan itu dilakukan oleh orang lain. Hal yang sama terjadi lagi pada tahun 2010, masih baru lagi. Dewan Bahasa dan Pustaka “menghidupkan” balik Hadiah Sastera Perdana Malaysia (nama yang mereka gunakan), disingkatkan menjadi HSPM ke-19, 2008-2009. Pada tahun tersebut terdapat dua buah buku mengenai Persuratan Baru, masing-masing ditulis oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009), dan Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (UKM, 2008), ditulis bersama oleh Mohd. Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd. Tahir, dan Mohd. Zariat Abdul Rani. Hadiah untuk kritikan/penyelidikan/kajian tidak diadakan, untuk memastikan kedua-dua buah buku itu tidak dinilai, apatah lagi diberi hadiah. Terdahulu dari itu diadakan kategori ini dan hadiah telah diberikan. Keputusan untuk tidak memberikan hadiah dalam kategori ini adalah disengajakan, untuk memastikan gagasan Persuratan Baru tidak mendapat perhatian, apalagi pengiktirafan. Jelas sekali sikap anti-ilmu dan anti-intelektual yang ditunjukkan oleh DBP dan para perancang sastera di organisasi yang dikatakan menggalakkan perkembangan ilmu itu. Tidakkah ini satu helah yang jahat? Tetapi bagi golongan munafik sastera, yang selalu bercakap tentang perlunya perubahan, perlunya “anjakan paradigma” (?), perlunya diperkasakan persuratan Melayu, perlunya digalakkan pemikiran baru, dan sebagainya, semua yang “perlu” itu hanya untuk golongan mereka sendiri. Benar sekali pandangan A. Samad Ismail yang mengatakan bahawa sastera Melayu dikuasai oleh golongan Mafia sastera. Perkara ini disebut di sini, didedahkan dengan jelas, untuk memberi peringatan kepada generasi persuratan bahawa mereka harus realistik dan waspada bahawa mereka sedang dihalang secara halus dan biadab untuk memastikan generasi persuratan tidak mengambil alih generasi kesusasteraan yang mesum dan korup itu. Jika mereka tidak mesum dan tidak korup, mereka sewajarnya menerima kemunculan gagasan Persuratan Baru, sesuai dengan pengakuan mereka akan betapa perlunya perubahan dan perkembangan baru dalam persuratan Melayu.
Kumpulan munafik sastera dan golongan Mafia sastera ini memberitahu kita bahawa penilaian karya kreatif di Malaysia telah melakukan banyak kesalahan sejak berpuluh tahun, seolah-olah memberitahu kita semua betapa pentingnya kesalahan itu diperbetulkan. Bagaimana hendak diperbetulkan jika mereka sendiri tidak tahu apakah kesalahan itu? Mana senarainya? Senarai itu tidak pernah diberikan, membuktikan bahawa yang disebut kesalahan itu hanya kata-kata manis untuk kononnya memberitahu kita bahawa sudah tiba masanya kita membetulkan kesalahan itu dengan menggunakan “teori” dan pendekatan kita sendiri. Tetapi semua ucapan itu menjadi ucapan munafik apabila Panel Anugerah Sastera Negara sendiri terus menerus menggunakan “teori”, pendekatan dan nilai-nilai Barat ketika menilai karya para sasterawan negara. Dengan sokongan dan imbuhan besar daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, Panel Anugerah Sastera Negara dijadikan benteng yang kuat untuk meneruskan penggunaan “teori” dan pendekatan Barat dalam penilaian karya kreatif di Malaysia. Jika DBP sendiri menjadi penyokong kuat nilai-nilai Barat dalam sastera Melayu moden, seperti yang dapat dilihat dalam program kerja organisasi ini, dengan kerjasama dan sokongan semua universiti di Malaysia, maka tidak ada gunanya bercakap tentang perubahan. Jadi mengapa mereka masih bercakap tentang perubahan, padahal merekalah yang menentang kuat sebarang perubahan yang ingin dilakukan oleh gagasan Persuratan Baru? Siapa berani, atau mahu, jawab soalan ini? Sebenarnya kedua-dua soalan ini tidak memerlukan jawapan, kerana perilaku kumpulan munafik sastera dan golongan Mafia sastera ini memberikan jawapan yang jelas kepada kedua-dua soalan itu.
Dalam seminar yang kononnya membicarakan “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (9-10 November 2010), semua kertas kerja menggunakan pendekatan Barat, yang telah ditolak oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh jika pandangan beliau (dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14) boleh dipercayai. Nampaknya beliau menerima dengan baik pendekatan Barat yang digunakan untuk menilai karya beliau, dengan itu menafikan sama sekali apa juga pandangannya yang menentang “teori” Barat itu. Beliau sendiri tidak berasa terkilan walaupun “pemikirannya” tidak disentuh dalam seminar itu. Seminar itu tidak sedikit pun berbicara tentang “pemikiran” beliau, tetapi hampir seluruh kertas kerja memuji beliau habis-habisan, sehingga tidak cukup kata-kata pujian yang boleh digunakan, lantas seorang profesor madya mengisytiharkan tokoh ini sebagai “Raja Penyair Malaysia”. Tidakkah itu sejenis lawak jenaka yang amat melucukan, dan lebih dari itu amat memualkan?. Hakim Besar Sastera yang membuat perisytiharan ini tidak pun berbicara tentang sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, apatah lagi “pemikiran”nya. Ternyata orang-orang seperti ini tidak berasa malu sedikit pun terhadap murid-muridnya yang ramai di universiti. Kita lihat di sini bagaimana soalan-soalan di atas dijawab melalui kelakuan dan tulisan hampas para sarjana kita sendiri. Bahawa perkara begini berlaku setelah kita mempelajari kesusasteraan Melayu moden secara akademik lebih dari 53 thun menunjukkan dengan jelas di mana sebenarnya ahli-ahli akademik kelas pertama bertaraf global ini berdiri, dan di taraf mana pula karya kita berada, dan apakah kualiti para sasterawan sendiri, termasuk yang sudah digelar “sasterawan negara”.
Dilihat dalam konteks ini, apakah maksud kata-kata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang berbunyi: “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” Adakah anda termasuk dalam golongan itu? Mungkin kini anda faham mengapa saya mengkritik golongan dan kumpulan ini.
Mohd. Affandi Hassan, 12/12/2010.
No comments:
Post a Comment