Friday, December 24, 2010

MENGHIDUPKAN KEMBALI PERSURATAN MELAYU DALAM ABAD 21 MELALUI GAGASAN PERSURATAN BARU


Pendahuluan kritis:  Walaupun terdapat kejayaan yang sederhana dalam era kesusasteraan Melayu moden, namun kejayaan yang terbatas dan mengelirukan itu tidak wajar diteruskan. Kehilangan semangat tauhid dalam era kesusasteraan, dengan terhapusnya wadah ilmu dan wadah agama melalui tulisan Jawi, hasil usaha para sasterawan yang dipelopori oleh Asas 50,  maka karya-karya kreatif dalam bahasa Melayu kontang dari segi pemikiran dan hanyut dalam keghairahan menonjolkan kebebasan individu para sasterawan. Salah satu kesesatan yang disanjung oleh para sarjana dan pengkritik sastera Melayu moden ialah penemuan kembali jatidiri para sasterawan dengan penonjolan watak Si Tenggang, Hang Jebat dan lain-lain tokoh yang menghayutkan orang Melayu ke samudera kekeliruan budaya dan penyelewengan nilai-nilai bercorak Islam yang selama beratus tahun menjadi amalan di kalangan para pengarang Melayu. Apa yang disebut sebagai penemuan identiti itu sebenarnya ialah kesesatan budaya akibat kekeliruan tentang konsep ilmu dan asas tamadun Melayu.  Yang ditemui bukan identiti yang berasaskan ajaran tauhid yang selama ini menjadi pegangan para pengarang Melayu. Yang ditemui itu ialah diri peribadi yang selama ini sesat dan sasau, terumbang ambing dalam keseronokan budaya Barat yang ditelan bulat-bulat tanpa tapisan teliti berasaskan ajaran tauhid yang dipancarkan melalui konsep taklif. Kesesatan itu dilanjutkan dengan megah di kalangan para sasterawan apabila kerajaan, berasaskan nasihat yang salah, telah mewujudkan Panel Anugerah Sastera Negara untuk memilih “sasterawan negara”.  Panel Anugerah Sastera Negara dalam usahanya memilih “sasterawan negara” itu melaksanakan sepenuhnya semangat dan jiwa Barat dalam sastera Melayu moden, dengan menolak bulat-bulat nilai-nilai bercorak agama dalam tamadun Melayu yang selama ini menjadi asas penulisan para pengarang, ulama, dan cendekiawan Melayu.  Akhirnya yang terpilih bukanlah para pemikir  dan tokoh cendekiawan yang boleh dicontohi, yang melanjutkan tradisi dan tamadun Melayu berasaskan ajaran tauhid yang jelas dan kuat nilai-nilai Islamnya. Yang terpilih dan disanjung itu ialah tokoh-tokoh yang bukan tokoh sebenarnya, yang hanyut dan keliru dalam pencarian identiti berasaskan faham individualisme Barat, yang kononnya menjadi asas kemodenan (sebenarnya lebih tepat pembaratan, westernization).  Apabila timbulnya kesedaran perlunya dikembalikan semangat Islam dan jiwa tauhid dalam “kesusasteraan”, maka yang terjadi ialah penerusan pembaratan nilai dalam sekularisasi agama yang kononnya menjadi kesedaran baru di kalangan para sasterawan yang sudah mula sedar akan kesilapan mereka. Tetapi “kesedaran” itu melahirkan kekeliruan yang lebih besar apabila istilah kesusasteraan masih diteruskan, padahal kesusasteraan itulah yang menjadi punca kekeliruan para sasterawan selama ini. Masalah ini telah dibincangkan dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992).

Kembali kepada taklif.  Hasil-hasil kesusastertaan yang digunakan dalam pendidikan negara telah menjadikan para pelajar semakin bodoh, semakin jauh dari tradisi mereka, semakin kacau dalam sistem nilai mereka. Ini terjadi kerana karya-karya yang diberikan kepada mereka untuk dikunyah tidak mempunyai pegangan yang jelas, di dalamnya tidak terdapat kebijaksanaan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan remaja. Malah penggunaan apa yang dinamakan “bahasa sastera” telah melemahkan penguasaan bahasa Melayu mereka, oleh sebab bahasa itu kering dari nilai-nilai ilmu dan nilai-nilai moral yang baik. Karya sastera yang dimegahkan itu bersifat terbuka, tidak mementingkan pengajaran moral, seperti yang ditegaskan dan dihujahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Moral dan pngajaran tidak diperlukan dalam karya sastera yang bermutu tinggi, kata para penilai ini. Karya yang baik ialah yang tidak mempunyai apa-apa matlamat, yang hanyut dalam khayalan sasterawan, yang bebas tanpa batas, yang terbuka luas untuk  ditafsir sesuka hati.  Kaedah pengajaran sastera yang diasaskan daripada “teori” Barat menghendaki begitu, membiarkan manusia atau pembaca mencari sendiri nilai-nilai yang baik yang tidak semestinya terdapat, kerana kehidupan manusia yang sebenar, kata mereka, tidak terikat kepada nilai-nilai moral yang mengikat kebebasan mereka, walaupun mereka misalnya beragama Islam. Inilah jenis pengajaran yang ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang termaktub dalam laporan mereka, sudah diarusperdanakan dalam penilaian sastera dan sudah pula diterima sebagai baku dalam kritikan sastera yang diajar di sekolah dan universiti.  Kepalsuan ini hanya berjaya diserlahkan dengan munculnya gagasan Persuratan Baru yang meneliti semua karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar, yang melihat penggunaan wacana dan cerita berteraskan konsep taklif. Selama ini karya kreatif dibaca dan dinilai serta ditafsirkan dengan menggunakan “teori” Barat yang menyisihkan sama sekali keterikatan manusia kepada konsep taklif itu, dengan itu manusia tidak lagi bertanggungjawab kepada sesiapa, melainkan kepada tuntutan hawa nafsunya. Jika anda baca dengan teliti dan kritis semua laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara, anda akan melihat hakikat ini dengan jelas, sekiranya anda tidak menggunakan apa-apa juga “teori” Barat, tetapi melihatnya daripada perspektif taklif.

Kunci untuk membuka perwatakan manusia  dan memahami tingkah laku mereka ialah konsep taklif itu, oleh itu dalam penulisan karya kreatif, yang watak-wataknya ialah manusia atau binatang yang dimanusiakan, atau manusia yang dibinatangkan, maka hakikat taklif itu perlu dijadikan panduan dalam membina perwatakan dan menyusun cerita dan peristiwa dalam karya. Pemahaman yang mendalam tentang konsep taklif akan memudahkan kita memahami sesebuah karya yang ditulis oleh sesiapa saja, dari tamadun mana sekali pun.  Dari perspektif taklif, tidak ada soalan seperti “To be or not to be”, kerana semua pilihan dan keputusan akan berasaskan konsep ilmu, keadilan, dan ikhtiar terbaik untuk menyelesaikan masalah. Seperti yang dijelaskan oleh Shah Wali Allah, taklif mempunyai tiga rahsia, iaitu ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Jadi apabila watak bertanya seperti soalan di atas, daripada perspektif taklif soalan itu hanya wujud dalam konteks mencari keredaan Allah ta’ala, bukan untuk membalas dendam. Kalau orang berkata, mengapa pula dimasukkan peranan Allah ta’ala dalam drama Shakespeare, tidakkah itu haru-biru dan bertentangan dengan semangat tragedi dalam drama itu? Oleh sebab dalam Islam tidak ada apa yang disebut  tragedi itu, maka pembaca Islam harus memahami soalan itu dalam konteks Islam yang menolak tragedi, bukan terikut-ikut melihat persoalan dalam konteks tragedi seperti yang difahami di Barat. Dengan itu, sebagai pembaca atau penonton Islam, kita dapat “menikmati” drama itu dalam konteks yang betul, yakni dalam konteks taklif tadi.  Jika hal ini difahami, maka kita dapat membaca dengan selesa dan menilai dengan saksama apa juga karya yang ingin dan perlu kita baca. Tidak semua karya perlu kita baca, jika hanya untuk membuang masa. Kita harus memilih yang benar-benar terbaik, untuk dijadikan bahan pemikiran yang boleh membuat kita insaf akan makna kehidupan manusia daripada perspektif taklif tadi.  Bagi seorang penulis yang menulis novel atau cerita pendek, pengetahuan yang mendalam tentang konsep taklif akan membantunya untuk menulis tentang manusia dan cerita mereka dengan lebih berkesan, lebih indah dan bermakna. Dari situlah dia akan membina keindahan bahasanya berasaskan konsep ihsan. (Tentang aspek ini, sila lihat Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan).

Bagaimanakah bentuk karya yang indah dan bermakna?:  Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera selalu berkara, sesebuah karya seperti  novel atau cerita  pendek dikira baik dan menarik jika perenggan pertamanya memikat pembaca untuk membaca seterusnya. Tiga ukuran digunakan: baik, menarik, memikat untuk menentukan kesan awal yang diberikan oleh sebuah karya.  Dari segi apa kebaikan sesebuah karya diukur?  Unsur apakah yang terdapat dalam karya yang menarik minat pembaca?  Apakah ciri-ciri yang membuat sesebuah karya itu memikat?  Semua unsur yang dikatakan itu tidak boleh dipakai kerana satu perenggan atau perenggan pertama bukanlah sebuah karya. Sebuah karya adalah jauh lebih kompleks dari itu, yang memerlukan analisis untuk menentukan kualitinya. Tetapi ukuran berasaskan kesan awal itu boleh dipakai sebagai panduan umum apabila seseorang sedang memilih buku di kedai-kedai buku; malah bagi seorang penilai yang cekap dan berpengalaman kesan awal itu kadang-kadang digunakan untuk menentukan boleh tidaknya karya itu dimasukkan ke dalam kumpulan yang akan digunakan untuk mencari yang terbaik. Jika cara ini digunakan, dan memang banyak digunakan, maka pilihan yang dibuat pasti akan menimbulkan kritikan keras, malah perbalahan ilmiah yang berpanjangan, sekiranya karya yang dipilih didapati tidak layak apabila dinilai dengan lebih teliti. Hal ini terjadi juga dalam pemilihan untuk diberi Hadiah Nobel Sastera, apalagi jika penulis yang dipilih itu didapati, kemudiannya, melakukan plagiat. Semua ini menunjukkan kepada kita betapa subjektifnya penentuan nilai baik tidak baik sesebuah karya. Kesan awal tadi berkait dengan taste  (atau cita rasa) seseorang penilai, tidak diasaskan kepada penelitian objektif kerana tidak mungkin dilakukan dengan hanya menggunakan satu perenggan sebagai asas.  Tetapi dalam analisis yang didakwa objektif pun masih boleh dikuasai taste yang amat subjektif ketika membuat keputusan akhir. Contoh paling ketara di Malaysia ialah penilaian terhadap buku  Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, yang ditentukan oleh unsur (?) diplomatik yang menurut penilai tidak ada dalam karya itu. (Lihat Dewan Sastera, Januari 1994, hal. 17-19.  Lihat ulasan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, bab 4, diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2010).  Semua kelemahan dan kekurangan ini boleh diatasi, sebahagian besarnya, dengan menggunakan ukuran yang lebih tepat, jitu dan objektif yang  menjadi prinsip gagasan Persuratan Baru.

Dalam gagasan Persuratan Baru, konsep wacana dan cerita dipisahkan dalam konteks analisis, dengan memberi keutamaan kepada wacana.  Hal ini terjadi kerana gagasan Persuratan Baru menjadikan konsep ilmu yang benar dalam Islam sebagai asas analisis, baik yang bersifat ilmiah/kritikan mahu pun yang bersifat kreatif (merujuk kepada penulisan cerita dalam novel, cerita pendek mahu pun sajak; kerana sajak adalah juga sejenis cerita dalam bentuk karangan berangkap).  Dengan memberi keutamaan kepada wacana, kedudukan cerita dipertajam dengan meletakkan cerita dalam ruang naratif yang fungsinya diarahkan untuk menyerlahkan kehadiran wacana dalam karya. Wacana dan cerita dikemaskan dalam satu kesatuan teknik yang dipanggil stylization of ideas, atau siratan makna. Dengan menggunakan konsep stylization of ideas, karya dapat dihindar daripada menjadi propaganda cetek untuk suatu maksud tertentu, sebaliknya penyatuan antara wacana dan cerita melalui stylization of ideas akan menjadikan karya itu indah dan bermakna. Keindahan tadi dilahirkan/dihasilkan melalui penggunaan teknik stylization of ideas.  Penggunaan teknik ini penting kerana wacana yang tidak disebatikan dengan cerita, atau cerita yang tidak dikuasai wacana, akan melahirkan karya yang tidak matang kerana wacana dan cerita dibiarkan bersendirian, terasing atau terpisah satu sama lain, oleh itu cenderung untuk menjadi propaganda yang kontang dari makna yang mendalam, yang menyentuh kalbu. Contohnya banyak, di sini disebut dua buah contoh yang terkenal, iaitu novel Salina dan Ranjau Sepanjang Jalan. Dua buah karya ini mendapat perhatian dan penilaian tinggi berasaskan cerita semata-mata, bukan pengolahan dan analisis persoalan yang dikemukakan. Kedua-duanya adalah karya melodrama yang meletakkan watak utamanya dalam keadaan terkongkong, terikat oleh kemahuan pengarang untuk bercerita, bukan untuk mengolah dan meghujah persoalan yang dikemukakan dalam karya.  Oleh itu kedua-dua karya ini mengambil watak yang bodoh, tidak berfikir dan tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka, walaupun mereka berada dalam kesusahan yang teruk. Yang dijadikan watak bukanlah manusia yang berfikir, tetapi boneka yang dibiarkan hanyut tanpa tujuan. Inilah kelemahan paling ketara apabila konsep taklif tidak dijadikan asas untuk membina perwatakan, seperti yang digunakan oleh Abdul Kadir Adabi dalam novelnya Melati Kota Bharu (lihat analisis Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani tentang novel ini dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, bab 5.)  Ketiga-tiga karya ini banyak sekali menggunakan bentuk khutbah dan komentar langsung daripada pengarang, dengan perbezaan yang ketara dalam novel Abdul Kadir Adabi. Dalam novel Melati Kota Bharu khutbah digunakan dalam bentuk wacana, tetapi tidak dalam novel A. Samad Said dan Shahnon Ahmad.  Huraian mendalam Dr. Zariat haruslah dibaca bersama ulasan Panel Anugerah Sastera Negara terhadap novel A. Samad Said dan Shahnon Ahmad yang dicontohkan di sini.

Di mana letaknya penggunaan teknik stylization of ideas dalam novel Abdul Kadir Adabi, dan tiadanya dalam  Shahnon  Ahmad dan A. Samad Said?  Oleh sebab aspek ini penting, saya perturunkan kutipan yang panjang daripada kesimpulan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam makalahnya yang dirujuk di atas. Kata beliau dalam kesimpulan itu:

“Bacaan ini dengan jelas berhasil mengenal pasti kekuatan novel Melati Kota Bharu. Antaranya, saratnya idea-idea intelektual A. Kadir Adabi yang mengisi sebahagian besar ruang naratif novel.  Kesaratan idea intelektual  ini dimungkinkan dengan terbinanya wacana ilmiah yang mendominasi novel. Sehubungan itu, dan yang istimewanya di sini ialah apabila A. Kadir Adabi menjadikan usaha-usaha pembinaan wacana itu sendiri sebagai mekanisme utama dalam membangunkan novel. Ini bererti, pembangunan novel Melati Kota Bharu tidak bergantung sepenuhnya kepada cerita. Alat-alat penceritaan digembeling bukan untuk membangunkan cerita, tetapi untuk menampung pemikiran wacana, dan sekali gus membangunkan ilmu. Adalah jelas bahawa Melati Kota Bharu dibangunkan daripada usaha-usaha serius pengarangnnya untuk membangunkan satu wacana intelektual yang mantap. Ini sekali gus menjawab persoalan yang dibangkitkan pada awal perbincangan, iaitu apakah novel A. Kadir Adabi ini memikul tanggungjawab yang sama dengan tuisan-tulisan ilmiahnya, iaitu menyebarluaskan idea-idea intelektual.

“Lanjutan itu, dan merujuk perkara di atas juga ialah aspek pengkosepsian dan penjanaan novel. Berdasarkan usaha dan strategi pembangunan novel di atas, adalah jelas bahawa pada A. Kadir Adabi: novel dikonsepsikan sebagai wadah ilmiah yang sah dan dapat dipertanggungjawab untuk menyampaikan idea-idea intelektual. Dan dalam pengkonsepsian ini, A. Kadir Adabi tidak menganggap cerita sebagai ilmu, sebaliknya hanyalah sebagai alat yang dapat dimanfaatkan untuk menyalurkan pemikiran dan ilmu.  Oleh kerana itulah, idea-idea intelektual dijana dalam novel secara jelas, substantif dan sistematik. Cerita dan peranan cerita pula dikawal ketat, sesuai dengan fungsinya hanya sebagai alat penyampaian ilmu. Pengawalan ketat cerita inilah yang memungkinkan Melati Kota Bharu mencapai matlamat untuk menyampaikan ilmu dengan jaya dan berkesan. Satu perkara yang mesti diakui ialah sejajarnya pengkonsepsian dan penjanaan novel, dengan al-Quran. Dengan pengkonsepsian dan penjanaan demikian, adalah jelas bahawa pada A. Kadir Adabi: penulisan novel tidak terlepas daripada tanggungjawab Qalam yang menuntut supaya ilmu menjadi teras dalam setiap bahagian penulisan. Pemahaman ini menyimpulkan dengan jelas bahawa tradisi yang mendasari kegiatan penulisan A. Kadir Adabi adalah tradisi persuratan Islam. Tradisi persuratan Islam yang dikenalinya dan dipelajarinya sejak kecil hingga dewasa inilah yang turut menghadirkan Melati Kota Bharu.  Dan tradisi inilah yang rata-rata gagal dikesan dan difahami dalam kajian-kajian terdahulu. Kegagalan inilah yang mendorong kajian-kajian itu menerapkan kaedah bacaan/kritikan moden-Barat, dengan konsep dan terma sastera  yang asing dan bertentangan dengan tradisi persuratan Islam yang mendasari Melati Kota Bharu. Ini jelas tidak dapat berlaku adil  terhadap novel A. Kadir Adabi itu. Dalam konteks ini jugalah, gagasan Persuratan Baru (PB) cetusan Mohd. Affandi Hassan memberikan sumbangannya yang sangat bermakna. Dengan prinsip-prinsip dalam tradisi persuratan Islam yang dihidupkan kembali oleh pencetusnya, PB di satu pihak tampil sebagai satu kerangka bacaan/kritikan yang dapat meletakkan Melati Kota Bharu kembali pada kedudukan dan tradisinya yang tepat. Di pihak yang lain pula, novel Melati Kota Bharu membuktikan secara konkrit bahawa tradisi persuratan Islam yang dihidupkan semula oleh Mohd. Affandi Hassan melalui PB itu, sebenarnya bukan mustahil untuk dilaksanakan dan dibudayakan kembali.”  (Huruf condong dalam teks asal).

Perlu diingat, novel Melati Kota Bharu diterbitkan pada tahun 1939 (sebelum itu diterbitkan dalam majalah al-Hikmah mulai 1934, dan pada tahun yang sama terbit Ilmu Mengarang Melayu oleh Za’ba), lama sebelum munculnya gagasan Persuratan Baru.   Ini bermakna pendapat pengkritik dan sarjana, dan tentu saja para sasterawan sendiri, yang mengatakan gagasan Persuratan Baru mungkin hanya boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai karya-karya yang muncul kemudian, bukan yang muncul sebelumnya, terbukti dari analisis Prof. Madya Zariat tidak benar. Pendapat cetek dan tidak logik ini diutarakan untuk melindungi karya-karya para sasterawan negara supaya tidak dinilai semula dengan kritis berdasarkan gagasan Persuratan Baru, kerana terdapat ketakutan yang tidak wajar bahawa karya-karya para sasterawan negara itu akan hilang nilai sasteranya kerana memang diakui karya-karya itu tidak mempunyai tunjang ilmu. Pendapat ini sangat aneh dan tidak masuk akal, bertentangan dengan sifat ilmu dan bertentangan pula dengan dakwaan bahawa karya-karya para sasterawan negara itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai “teori” sastera yang wujud pada waktu ini. Jika benarlah dakwaan tentang kepelbagaian makna itu, maka bagaimana pula gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk melahirkan makna yang pelbagai itu?  Kegersangan ilmu dalam karya para sasterawan negara ini tidak wajar dilindungi dengan tohmahan yang jahat seperti di atas, tetapi sepatutnya dihadapi dengan berani dan jujur tanpa sebarang syak wasangka dan ketakutan untuk dinilai semula dengan menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru. Jika dengan menggunakan kaedah itu ternyata penilaian Panel Anugerah Sastera Negara tidak tepat, cetek, keliru dan palsu, maka hakikat itu mesti diterima dengan penuh tanggungjawab ilmiah. Sikap anti-ilmu dan anti-intelektual dalam bentuk apa pun harus dibuang dalam dunia akademik kita.  Kemajuan dalam kesusasteraan (baca persuratan) harus bertunjang daripada pemikiran besar para penulis, bukan berasaskan kecetekan pengetahuan yang tidak disandarkan kepada ilmu. Walau apa pun hujah dan alasan yang dikemukakan, sudah jelas bahawa kesusasteraan dan para sasterawan yang  mengembangkannya telah gagal mendidik masyarakat menjadi lebih cerdik dan mencintai ilmu. Ini bertentangan dengan tradisi persuratan berasaskan Islam yang telah berjaya, sejak beratus tahun, mengembangkan ilmu dalam berbagai-bagai bidang, dan berjaya pula melahirkan para ulama, pendeta, pemikir dan pendidik bangsa Melayu. Usaha para sasterawan melenyapkan tradisi itu dengan menggantikannya dengan tradisi Barat dan nilai-nilai Barat dalam kesusasteraan adalah suatu pengkhianatan dalam pembinaan tamadun kita, oleh itu harus ditolak supaya kita tidak lagi berada dalam alam khayal para sasterawan yang sedang bermimpi akan diberi Hadiah Nobel Sastera, tidak puas dengan gelaran “ sasterawan negara “  yang gah tetapi tidak berisi.  Tugas utama penulis baru  dalam era persuratan ialah mencerdikkan bangsanya dan membina tamadun baru berasaskan ilmu yang benar.

Mohd. Affandi Hassan, 24/12/2010.

6 comments:

  1. Salam Tuan Affandi,

    Apa pandangan tuan terhadap novel KEMI oleh Dr Adian Husaini? Pada pandangan saya, novel tersebut membangkitkan persoalan soal pluralisme dan disampaikan secara argumentasi dengan hujah-hujah yang menarik. Selain itu novel itu cuba mengangkat kewibawaan institusi pesantren/pondok yang cuba diruntuhkan oleh masyarakat jahil. sangat menarik untuk dianalisis dari sudut PB.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zarif.

    Terima kasih atas maklumat. Insha Allah saya akan cari novel itu di mana2. Mengapa sdr. tak tulis sedikit tentang novel itu? E-mail: hmaffandi@hotmail.com

    ReplyDelete
  3. pelajar bukan saja bodoh malah dah jadi jahat sepertimana yang dicitacitakan pihak pemimpin yang berkuasa hari ini.

    Para pemimpin negara hari mahukan acuan pelajar yang ada itu sama dengan mentaliti mereka yang pentingkan diri sendiri.

    ReplyDelete
  4. baru usai membaca tulisan pak affandi dlm HARAKAH...salam - rozan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam boleh kongsikan tulisan yang disiarkan itu.
      seingat saya ada beberapa siri artikel dalam Harakah...Tak pasti saya ada lihat dalam Harakah ketika itu..WA
      Sebenarnya tulisan-tulisan lama yang pernah dihasilkan dahulu memang menarik jika ditemui atau dibaca sekarang.
      Namun untuk mendapatkannya teramat rumit, jarang-jarang yang ditemui.
      Esei, kritikan dan sebagainya jika dapat diterbitkan sebagai koleksi adalah sangat berharga. Terima kasih.

      Delete
  5. Maaf, bukan Harakah. Di dalam akhbar Siasah yang tepatnya.WA.

    ReplyDelete