Usaha Dr. Zawiah Yahya menulis dan menerbitkan buku terbaru beliau, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making (Penerbit UKM, 2010) adalah suatu usaha yang terpuji dan wajar dialu-alukan. Usaha ini penting kerana dengan terbitnya buku ini, percubaan beberapa orang sarjana Melayu menjana “teori” sastera diperkenalkan kepada dunia antarabangsa. Kedua, buku ini juga boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada usaha para sarjana itu, untuk dinilai dengan kritis oleh sarjana dan ahli akademik yang mungkin akan menggunakan “teori” (atau lebih tepat, pendekatan) yang diperkenalkan dalam buku ini dalam kerja-kerja akademik mereka. Meskipun demikian, ada dua persoalan penting yang perlu dibahaskan, jika dapat dibincang secara akademik untuk menjelaskan beberapa perkara yang nampaknya masih mengelirukan, yang memerlukan penjelasan atau analisis selanjutnya supaya kekeliruan itu tidak berlanjutan dan para mahasiswa atau pengguna buku ini mendapat yang terbaik daripadanya. Dua persoalan itu ialah takrif “teori”, dan sehubungan dengan itu, persoalan kedua ialah kedudukan “teori sastera” itu.
Apakah yang ingin dicapai dan ditunjukkan oleh sebuah “teori”? Untuk menjawab soalan ini, kita memerlukan penjelasan tentang takrif teori, ciri-ciri sebuah teori, dan apa yang boleh dilakukan oleh sebuah teori. Adakah teori sama dengan pendekatan? Jika tidak sama, manakah yang lebih sesuai untuk digunakan apabila kita membicarakankan sesebuah karya kreatif? Pada waktu mana kita perlu menggunakan teori, dan ketika mana pula kita perlu menggunakan pendekatan?
Teori pada asasnya tidak sama dengan pendekatan. Sebuah teori harus berupaya menjawab beberapa persoalan yang menjadi masalah dalam sesuatu tindakan. Misalnya, apabila Panel Anugerah Sastera Negara menilai karya para sasterawan negara, adakah mereka menggunakan teori sastera atau hanya pendekatan tertentu yang mungkin mereka pilih dengan sedar, atau digunakan secara campur-aduk (eclectic) mengikut pilihan mereka sesuai dengan karya yang mereka nilai. Sebenarnya, perbezaan ini tidak jelas dalam sepuluh laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, malah lebih selamat untuk kita membuat kesimpulan bahawa “pendekatan” mereka diasaskan sepenuhnya pada cita rasa kumpulan anggota panel yang mendapat pengetahuan tentang sastera seratus peratus daripada sumber Barat. Mereka bergantung pada konsep realisme yang difaham dan dipakai di Barat untuk menentukan “bernilai” tidaknya karya yang mereka nilai. Kaedah ini digunakan dalam semua sepuluh laporan yang mereka hasilkan selama 30 tahun labih ini. Untuk mendapat gambaran terperinci mengenai perkara ini, sila rujuk analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009). Lihat juga tulisan saya sendiri dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (ATMA, UKM 2008) dan bab 4 dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (ATMA, UKM 2010). Panel Anugerah Sastera Negara melihat, menilai, dan menganalisis karya para sasterawan negara berasaskan sepenuhnya pada cara, nilai, dan ukuran yang dipakai dalam teori dan pendekatan Barat. Hal ini terjadi kerana mereka menerima hakikat bahawa karya Melayu dimodelkan sepenuhnya daripada acuan yang digunakan dalam kesusasteraan Barat. Malah tanpa Barat, mereka berpendapat tidak mungkin wujud sastera Melayu moden. Para sasterawan negara ini dipilih dan diiktiraf sebagai peniru karya Barat dan pengamal gigih segala teknik penulisan yang dipakai dalam sastera Barat. Tidak ada yang asli dalam karya para sasterawan negara ini. Itulah pandangan dan pendirian Panel Anugerah Sastera Negara yang kini telah dijadikan aliran perdana, yakni aliran yang mesti dikuti sekiranya karya seseorang penulis ingin diiktiraf.
Pandangan, sikap dan kecenderungan Panel Anugerah Sastera Negara ini terbayang jelas dalam buku Dr. Zawiah Yahya ini, yang memang beberapa kali (terakhir 2009) menjadi ahli panel. Oleh hal yang demikian, beliau tidak berasa perlu memberi penjelasan tentang maksud, makna dan tujuan “teori” sastera, ciri-cirinya dan prinsip-prisip yang digunakan dalam teori itu. Malah bagi beliau tidak akan muncul “teori” atau pendekatan yang berasal daripada pemikiran sarjana tempatan tanpa peniruan dari Barat, hatta untuk membicarakan masalah “sastera Islam” pun perlu disandarkan kepada pemikiran Barat, dengan itu hasilnya mesti relevan dalam konteks pemikiran Barat tadi. Jika terlalu asing, maka timbul masalah kejanggalan “teori” tadi kerana bertentangan dengan nilai-nilai Barat yang menjadi sumbernya. Oleh itu, cara yang baik dan sesuai ialah dengan menggunakan “teori” dan pendekatan Barat untuk membicarakan sastera Melayu, moden atau tradisional. Sebenarnya inilah juga pandangan panel yang ditubuhkan oleh DBP untuk menilai buku-buku kritikan sastera Melayu. Misalnya, sebuah panel yang dipilih oleh DBP untuk memilih karya kritikan sangat tertarik dengan sebuah buku yang “memperlihatkan kesungguhan menerapkan teori-teori Barat secara kritis dalam kesusasteraan Melayu Tradisional” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88). Berasaskan hujah itu, buku tersebut dipilih untuk memenangi Hadiah Sastera Kebangsaan dalam bahagian kritikan. Ketika membicarakan “teori” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Dr. Zawiah Yahya juga menegaskan bahawa pendekatan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh membawa beberapa “teori” Barat ke dalam “teorinya” untuk menilai kembali beberapa aspek sastera Melayu tradisional adalah baik, dengan itu secara tegas mengaitkan kesusasteraan Melayu dengan pemikiran Barat moden.
Beliau berpendapat, gagasan Persuratan Baru “menyisihkan” budaya Melayu dengan memberi penekanan berlebihan kepada Islam, seolah-olah Melayu itu tidak pernah kenal budayanya yang memang diwarisinya. Kritikan begini timbul kerana beliau tidak mengaitkan gagasan Persuratan Baru dengan epistemologi Islam, yang tidak langsung disebutnya, padahal itulah yang menjadi asas gagasan Persuratan Baru. Ini terjadi, saya agak, kerana beliau ingin menekankan peri pentingnya pengaruh Barat dalam kehidupan moden, di kalangan orang Melayu yang beragama Islam sekalipun. Tersirat di sini ialah keengganan beliau menerima epistemologi Islam sebagai asas dalam pemikiran sastera dan dalam pembentukan teori persuratan Melayu. Jika itulah pilihan beliau, dan saya kira memang itulah pilihan beliau, maka adalah wajar jika beliau beranggapan gagasan Persuratan Baru agak janggal dalam konteks moden, kerana tidak menonjolkan aspirasi moden, tetapi terlalu menekankan aspek Islamnya. Walaupun bagi orang seperti saya pendirian begini sangat aneh dan tidak akademik, jika kita maksudkan akademik itu melihat keseluruhan tamadun Melayu dan Barat dalam konteks Islam, kerana Barat yang moden sendiri muncul setelah menerima ilmu-ilmu yang dikembangkan oleh para ulama, sarjana, dan lain-lain tokoh ilmu dalam Islam, seperti yang sudah diketahui umum bagi yang membaca sejarah tamadun dunia dan peranan Islam dalam pembinaan tamadun Eropah/Barat. Apa yang dibuat oleh gagasan Persuratan Baru hanya meneruskan saja tradisi keilman itu, setelah begitu lama terputus dalam kesedaran ilmu para sarjana Islam sendiri. Oleh itu kembali kepada Islam, kembali kepada taklif, salah satu prinsip pokok dalam gagasan Persuratan Baru, bukanlah mengasingkan diri dalam dunia moden, tetapi menyedarkan kembali sikap kritis dan pemilih ahli-ahli ilmu Islam. Dalam hal ini, tidak ada penyesuaian, (seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang disenangi oleh Dr. Zawiah Yahya), tetapi penapisan kritis terhadap pemikiran Barat, seperti yang pernah dilakukan oleh para ilmuan Islam yang secara gigih membahaskan dan menghidupkan pemikiran ahli falsafah Yunani dalam konteks Islam dan berasaskan epistemologi Islam. Inilah yang perlu kita lakukan dalam Zaman Jahiliah Moden ini. Kita harus mengheret keluar para sarjana Islam yang terjerumus ke dalam gaung Jahiliah Moden itu dengan memberikan kepada mereka alternatif berasaskan epistemologi Islam. Jika mereka masih menolak, maka itu bukan masalah gagasan Persuratan Baru, tetapi masalah mereka sendiri, yang secara teperinci dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam and Secularism (1978). Golongan yang kehilangan adab ini tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka berada dalam kekeliruan besar akibat keliru dalam konsep ilmu. Mereka menjadikan kekeliruan itu sebagai asas untuk menilai pemikiran sarjana yang mereka tentang. Kumpulan anti-ilmu ini mengaku mereka adalah anti-kolonial, tetapi pada waktu yang sama mereka mempertahankan segala pengaruh kolonial itu dengan alasan itulah asas kemodenan orang Melayu yang mesti dikekalkan. Kontradiksi begini tidak timbul jika mereka tidak keliru dalam konsep ilmu.
Hanya Esei Biasa, Bukan Pendekatan Apatah Lagi “Teori”
Berasaskan kekeliruan inilah maka mereka menerima esei-esei biasa, hasil penyelidikan yang tidak begitu mendalam, yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Hashim Awang dan lain-lain sebagai pendekatan kritikan yang akan menjadi asas “teori” sastera Melayu. Esei-esei yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Hashim Awang, Dr. Shafie Abu Bakar dan Dr. Rahman Hanafiah tidak dapat dikategorikan sebagai pendekatan kritikan, apatah lagi sebuah “teori”. Esei-esei itu hanya sekadar menyenaraikan beberapa petua yang terdapat dalam sastera tradisional, atau beberapa pandangan umum tentang apa yang disebut sebagai sastera Islam, atau tentang “teks yang unggul” yang tidak pun memberikan ukuran/kriteria yang boleh digunakan untuk membezakan sebuah karya yang bermutu dengan yang tidak bermutu. Tidak satu pun di antara esei itu menyediakan sedikit gambaran, mungkin berupa ramalan, bahawa sekiranya petua mereka diikuti, maka persuratan Melayu akan maju dan tidak lagi menjadi pengekor nilai-nilai Barat. Hanya gagasan Persuratan Baru yang boleh diterima sebagai satu pendekatan, yang akhirnya mungkin akan menjadi sebuah “teori”, kerana adanya ukuran yang jelas yang boleh menentukan nilai persuratan yang akan lahir dalam Abad 21. Untuk melahirkan karya bercorak Islam yang bermutu, Takmilah akan menjadi beban yang tidak perlu kerana tidak mungkin terdapat sebuah pun karya sesempurna yang dimimpikan oleh Takmilah. Sebuah karya tetap tidak sempurna, oleh itu adalah sia-sia untuk mencapai kesempurnaan yang tidak mungkin dicapai itu. Tetapi sebuah karya bercorak Islam, yang ditulis berasaskan prinsip-prinsip yang dikemukakan dalam gagasan Persuratan Baru, mempunyai kemungkinan besar untuk menjadi sebuah karya bermutu (bukan yang sempurna, seperti yang diminta oleh Takmilah), kerana diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Lagi pula yang dipentingkan “bukan kesempurnaan” yang tidak boleh dicapai, tetapi karya yang benar-benar mendekati prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam worldview Islam. Persoalan ini telah dibincangkan degan mendalam dan jelas dalam tiga buah makalah yang diterbitkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam bulu selenggaraan beliau, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis. Makalah oleh Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, Ustaz Zulkarnain Mohamed, dan Mohd. Shahrizal Nasir, telah menghuraikan dengan jelas dan terperinci prinsip-prinsip “sastera Islam” yang boleh dipakai untuk menghasilkan karya yang bermutu, bukan yang “sempurna”, tetapi tepat dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam. Makalah Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pula telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa karya yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru telah pun ditulis dan diterbitkan dalam tahun 1939 lagi, iaitu novel Melati Kota Bharu oleh Abdul Kadir Adabi. Hal ini terjadi kerana Abdul Kadir Adabi menulis dalam tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam. Ini membuktikan bahawa kesedaran kepada hakikat ini telah lama wujud, dan bukan satu impian khayal seperti yang dianggap oleh sarjana Islam yang terputus dari tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam itu.
Apakah yang ingin dicapai oleh sebuah “teori” persuratan? Pertama sekali, “teori” (lebih tepat pendekatan) tadi perlulah mengenal pasti masalah yang ingin diselesaikannya. Kedua, “teori” tadi cuba memberi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah itu. Ketiga, “teori” itu berupaya membuat ramalan apakah yang akan terjadi nanti jika “teori” itu dijadikan panduan. Keempat, analisis dan hujah yang digunakan berasaskan “teori” itu boleh diuji kebenarannya secara tepat, jitu dan objektif. Keempat-empat syarat ini tidak wujud dalam esei Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Dr. Hashim Awang, Dr. Shafie Abu Bakar dan Dr. Rahman Hanafiah. Sebaliknya keempat-empat syarat itu menjadi prinsip gagasan Persuratan Baru. Satu huraian yang mendalam telah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERA beliau, berjudul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Huraian dan analisis Prof. Ungku Maimunah telah menyerlahkan betapa kuatnya pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden, dipelopori oleh sasterawan Asas 50 dan diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru, kedudukan itu dicabar dan Panel Anugerah Sastera Negara dikritik kerana gagal memberi arah yang betul dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia. Dengan memperkukuh pengaruh Barat dalam kritikan sastera, Panel Anugerah Sastera Negara telah menjadi satu badan yang amat negatif dan dilihat menentang sebarang usaha untuk mengembalikan peranan persuratan Melayu dalam pembinaan tamadun bangsa. Sikap negatif ini menyerlahkan kedudukan dan fungsi Panel Anugerah Sastera Negara sebagai satu badan yang anti-ilmu dan terlalu pro-Barat. (Insha Allah ada sambungannya.)
Mohd. Affandi Hassan, 4 Januari 2011.
Tuan Hj. Affandi,
ReplyDeleteTerima kasih di atas prkongsian ilmu ini. Sememangnya dunia sastera Melayu harus memartabatkan ilmu yang benar, sejajar dengan tuntutan Islam. Semua pihak harus melakukan perubahan agar sastera tidak disia-siakan. Berlapang dada menerima kritikan benar dan sentiasa positif mencari kebenaran perlu ada dalam diri setiap manusia yang cintakan ilmu. Hakikatnya, ilmu menjadi antara teras penting dalam al-Din al-Islami.
Saudara Shahrizal,
ReplyDeleteTerima kasih di atas komentar yang memberangsangkan. Apa yang Saudara sebut itu memang benar. Tapi nampaknya tidak dipedulikan. Untuk membantu generasi muda yang berminat dalam bidang ini, yang saya namakan generasi persuratan, elok jika Saudara, Dr. Rahmah dan Ustaz Zulkarnain menulis sebuah buku panduan, “Persuratan Melayu Dari Segi Islam”, setebal kira-kira 100-120 halaman. Bahannya sudah ada dalam makalah anda semua dalam buku Kedudukan Ilmu ... suntingan Prof. Ungku Maimunah. Ditulis kembali dalam cara persembahan baru yang lebih mudah difahami untuk kegunaan para penulis muda. Saya dapati ada di antara penulis muda yang mendapat pendidikan agama di negara-negara Arab, terpesona dengan teknik Barat, misalnya “magic realism”, yang mereka kononnya jadikan “realisme magis Islami”! Nyata mereka perlukan panduan. Ada yang tulis cerita pendek “Blogger Kecil Dari Syurga” ... Dan macam-macam lagi. Nak kata mereka jahil tak mungkin, tapi mengapa jadi begitu? Sekali lagi terima kasih di atas minat Saudara. Wassalam.
Saya amat mengalu-alukan cadangan Tn. Haji Affandi berkaitan penghasilan buku tersebut. InshaAllah akan saya panjangkan cadangan ini pada Dr. Rahmah dan Ustaz Zulkarnain. Boleh sahaja melibatkan Tn. Haji sendiri, Prof. Ungku Maimunah dan Dr. Mohd Zariat, jika tidak menjadi keberatan. Moga usaha yang ikhlas bakal memberi faedah buat semua khususnya "generasi persuratan", iaitu sepertimana yang Tn. Haji sasarkan.
ReplyDeleteJika tidak menjadi keberatan, saya ingin membaca komen Tn. Haji dalam ruangan blog ini, berkaitan novel "Interlok", yang menjadi isu hangat mutakhir ini.
Salam Tuan Haji, merujuk kepada cadangan saudara Mohd Shahrizal, sudi sekiranya Tuan membuat sedikit komentar mengenai novel "Interlok". Wasalam.
ReplyDeleteUntuk pengetahuan, Tuan Haji Affandi sebenarnya telah menyatakan pendiriannya tentang novel Interlok. Sila rujuk komen beliau pada posting bertarik 23 Disember 2010, di bawah tajuk "GAGASAN PERSURATAN BARU DAN CABARAN INTELEKTUAL". Moga sama-sama mendapat manfaat.
ReplyDeleteSalam kepada penanya dan pembaca.
ReplyDeleteTerima kasih Saudara Shahrizal kerana memberikan rujukan kepada penyanya. Tapi kerana perkara ini agak penting, biarlah saya tambah sedikit untuk difikirkan bersama.
Kerana agak panjang, sila lihat posting terbaru.
Saya berminat untuk membaca karya-karya baru dan lama Tuan Haji Affandi. Bolehkah hantar kepada saya senarai lengkap (pastinya tuan sendiri lebih tahu); untuk nanti saya postkan dalam blog saya:
ReplyDeletehttp://ulasbuku.blogspot.com/
e-mail saya: ulasbuku@gmail.com