Friday, December 17, 2010

PERSATUAN PENULIS WAJAR BERSIKAP ANTI-ILMU

Baru-baru ini saya ditanya oleh beberapa orang sasterawan dengan suatu pertanyaan yang saya kira aneh. Kata mereka: Mengapa persatuan penulis di negara kita bersikap anti-ilmu? Mengapa mereka tidak berminat berbahas tentang ilmu? Saya kira pertanyaan itu aneh kerana saya pernah mengemukakan pertanyaan yang agak sama kira-kira 40-50 tahun dahulu, ketika persatuan penulis tumbuh di setiap daerah dan ceruk bandar di Malaysia.  Saya memberitahu mereka, saya pernah diseranah oleh ketua-ketua persatuan penulis kerana mengkritik mereka mengabaikan perkembangan ilmu, tidak memperdulikan kebajikan penulis, lebih berminat mencari pengaruh terutama sekali di kalangan ahli-ahli politik yang berkuasa. Kemuncaknya ialah, seorang pemimpin besar mereka menyeranah saya dengan berkata, “itu orang gila!”. Jadi apabila perkara ini timbul kembali, saya fikir para sasterawan sudah salah faham, seperti saya pernah dituduh dahulu. Sekarang saya berpendapat, persatuan penulis tidak seharusnya memasukkan ke dalam agenda mereka soal-soal yang bercorak keilmuan, misalnya dengan membincangkan secara serius soal-soal seperti kedudukan ilmu dalam penulisan kreatif, tentang pengaruh Barat yang dikatakan memberi sumbangan negatif dari segi perkembangan ilmu, tentang pemikiran para sasterawan, terutama yang sudah bergelar sasterawan negara, dan lain-lain yang mengarah kepada perbincangan tentang peranan ilmu dalam penulisan. Semua ini tidak wajar dijadikan isu dalam persatuan penulis, tetapi wajar dibincangkan di kalangan ahli akademik, para pengkritik, dan mungkin juga di kalangan para “pemikir” sastera sekiranya kita mempunyai “pemikir”  sastera.

Persatuan penulis tidak mungkin memberi pandangan yang bernas dalam soal-soal keilmuan, kerana bukan itu matlamat mereka ditubuhkan. Persatuan penulis adalah sejenis NGO yang lebih berminat menggembeling para penulis untuk berkenalan sesama mereka, dan menjadi jambatan antara kerajaan atau badan-badan kerajaan untuk mendapat apa-apa faedah yang layak  diberikan kepada para penulis (atau golongan/kelompok penulis tertentu).  Kemunculan persatuan penulis memudahkan kerajaan atau badan-badan kerajaan seperti DBP, kementerian yang dulunya dipanggil Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, menyalurkan bantuan atau apa-apa juga kemudahan yang wajar diterima para penulis (misalnya menentukan siapa yang layak diberi anugerah atau gelaran). Semua ini berkaitan dengan memberi prestij kepada para penulis atau sasterawan yang dikira layak menerimanya.  Tetapi tidak semua inginkan prestij jenis itu. Dr. Fatimah Busu misalnya menolak SEA Write Award kerana beliau lebih mementingkan maruahnya sebagai seorang seniman; dan beliau juga mungkin tidak berminat digelar “sasterawan negara” walaupun ramai yang menganggap beliau sudah lama layak diberi gelaran “berprestij” itu.  Tidak pernah kita dengar mana-mana badan penulis “memujuk” anggotanya supaya menerima apa-apa juga pemberian yang diberikan kepada mereka; malah lebih kerap kita mendengar mereka membantah atau menentang apa-apa juga pemberian terhadap orang-orang (atau penulis) tertentu dengan mengemukakan sebab-sebab yang munasabah menurut pandangan mereka.  Semua ini wajar dilakukan oleh persatuan penulis kerana salah satu peranan persatuan penullis yang penting ialah menentukan kedudukan para penulis/sasterawan terus dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Jika badan-badan penulis, atau ketua-ketua badan penulis terlibat dalam soal-soal keilmuan, maka mereka akan terjebak ke dalam polemik yang boleh meruntuhkan persatuan penulis dan keharmonian yang sudah lama dibina dengan badan-badan kerajaan dan ahli-ahli politik. Itu sebabnya pada mulanya GAPENA berdiam diri melihat PPSMI dilaksanakan; hanya pada saat akhir barulah badan induk itu bangun dengan lantang “menentang” PPSMI setelah orang lain mengadakan tunjuk perasaan menentang PPSMI. Sikap GAPENA adalah wajar, menunjukkan kedewasaan dan kebijaksanaan  para pemimpin badan itu yang tidak mahu terlibat dalam apa juga kontroversi.  Dengan itu semua para penulis/sasterawan terselamat. Hanya bahasa Melayu sahaja yang diperlekehkan, termasuk oleh para “pejuang” bahasa Melayu sendiri sebelum mereka mendapat kedudukan yang selesa.

Dengan menjauhkan diri dalam sebarang kegiatan yang bersifat ilmu, atau membicarakan persoalan ilmu dalam kesusasteraan, maka badan-badan penulis tidak terlibat dalam apa-apa juga bentuk polemik yang merugikan para sasterawan atau penulis. Ingat saja bagaimana kalutnya keriuhan antara dua kumpulan sasterawan dalam tahun 1950-an, yang mewakili kumpulan “seni untuk masyarakat” dan “seni untuk seni”.  Menurut pandangan para sarjana dan ahli akademik, polemik itu sia-sia, dan memalukan bangsa Melayu, seperti yang pernah disebut oleh Prof. Dr. Sahlan Mohd. Saman. Menurut beliau: “Tragedi polemik kelompok Asraf “Seni Untuk Masyarakat” dengan kelompok Hamzah “Seni Untuk Seni” dalam dunia kritikan sastera dekad itu telah merugikan sejarah sastera dan martabat keintelektualan Melayu” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 511). Dari segi positifnya, polemik ini nampaknya telah membijaksanakan para pemimpin persatuan penulis. Oleh itu lebih bijaksana jika ketua-ketua badan penulis menyisihkan diri mereka dan persatuan yang mereka pimpin daripada terlibat dalam apa juga jenis kegiatan yang bercorak keilmuan. Bukan tugas mereka, dan tidak pernah menjadi matlamat mereka untuk menyebarkan ilmu, atau untuk membina budaya ilmu.

Mohd. Affandi Hassan, 17/12/2010.


No comments:

Post a Comment