Monday, December 6, 2010

MEMPERSIAPKAN GENERASI PERSURATAN MENGHADAPI CABARAN ABAD 21 DAN KEGAGALAN GENERASI SASTERA MENYERLAHKAN BUDAYA ILMU

Seminar Pemikiran SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh di Dewan Bahasa Pustaka pada 9-10 November 2010 yang lalu merakam kekecewaan akademik yang tidak boleh dimaafkan, disamping pembaziran masa dan kewangan yang sepatutnya tidak berlaku. 

Jika kita membaca dengan kritis kertas kerja yang kemukakan dalam seminar itu, kita akan berasa pelik dan kecewa sekali mengapa mutu akademik kita merosot begitu ketara, seperti yang ditunjukkan dalam kertas Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man (yang diarahkan sendiri oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh untuk memujinya saja), dan lain-lain kertas kerja yang keseluruhannya tidak menyerlahkan “pemikiran” tetapi hanya bercerita semula tentang apa yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.  Istilah “pemikiran” tidak dijelaskan dan tidak dilihat dalam konteks keseluruhan karya profesor ini. Misalnya, jika kita ingin bercakap tentang sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, dengan segera terbayang perbahasan beliau yang mendalam tentang konsep ilmu, konsep adab, konsep pendidikan dan sebagainya, kait mengait satu sama lain sehingga membentuk suatu pandangan yang padat menyeluruh sebagai penyelesaian kepada masalah yang dihadapi masyarakat Islam (Melayu dan lain-lain).  Adakah tidak rumusan begini terdapat dalam tulisan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Tidak sebuah pun kertas kerja cuba memberi jawapan, malah semua penulis tidak pun menyentuh aspek “pemikiran” ini.  Mereka hanya bercerita, kadang-kadang mengutip pendapat orang lain, tetapi tidak menganalisisnya dan memberi penilaian dari perspektif “pemikiran”.  Adakah ini disengajakan atau memang tidak ada “pemikiran” seperti yang kita dapati dalam kes Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tadi.  Nampaknya para penulis kertas kerja ini menghadapi masalah kognitif yang agak teruk, tidak berupaya menyaring sesuatu yang benar-benar berharga, daripada perspektif “pemikiran”, dalam begitu banyak tulisan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ini. Nampaknya kedua-dua belah pihak, orang yang dibicarakan dan para pembicaranya tidak mempunyai apa yang disebut “pemikiran” itu. Demikianlah terjadinya pembaziran yang ketara daripada projek Dewan Bahasa dan Pustaka ini. 

Di sinilah pentingnya peranan generasi persuratan dalam kedua-dua bidang, bidang kreatif dan juga bidang akademik. Generasi persuratan ini telah wujud, tetapi belum menyerlah kerana adanya halangan dari kalangan sasterawan dan golongan akademik yang cuba menyekat kemunculan mereka dalam masyarakat.  Sama ada ini terjadi kerana salah sangka, atau kerana hasad dengki yang tidak berasas, kedua-duanya merugikan bangsa Melayu dan membantut pembentukan budaya ilmu dalam tamadun Melayu. Tetapi kemunculan generasi persuratan ini tidak dapat dielakkan, bukan saja kerana kegagalan generasi sasterawan memberikan sumbangan bermakna dalam perkembangan ilmu, tetapi lebih dari itu ialah kerana tuntutan zaman. Kita sering bercakap tentang kemunculan masyarakat berilmu, tetapi tidak jelas apakah maksud “ilmu” dalam konteks itu. Oleh itu, generasi persuratan harus menyiapkan diri untuk membicarakan aspek ilmu ini bukan lagi dalam cara dan konteks generasi sasterawan yang telah gagal itu, tetapi dalam konteks peradaban Islam. Ini bermakna, generasi persuratan harus mempelajari dengan mendalam perkembangan ilmu dalam tamadun Islam, dan pada waktu yang sama mereka harus mendalami pula perkembangan pemikiran Barat supaya mereka tidak terpinga-pinga apabila dicabar nanti. Alat untuk mendapat kedua-duanya ialah penguasaan bahasa, terutama sekali bahasa Arab dan bahasa-bahasa Eropah. Tetapi ini tidak bererti bahasa Melayu boleh dipandang ringan.

Pada waktu ini penguasaan bahasa Melayu tidak diberi perhatian berat, dengan itu hasil penulisan dalam bahasa Melayu tidak begitu terjaga kualitinya. Andaian bahawa bahasa Melayu mudah dikuasai adalah silap, jika andaian itu terlalu umum. Memang benar bahasa Melayu mudah dipelajari dari segi pertuturan, jika dipelajari secara sistematik. Tetapi bahasa Melayu adalah antara bahasa yang sukar ditulis kerana terdapat kecelaruan setelah tulisan Jawi dilenyapkan oleh orang Melayu sendiri. Konsep yang digunakan tidak lagi bercorak Melayu yang erat dengan agama Islam; tetapi boleh dikatakan secara keseluruhannya bersifat sekular. Inilah bahasa Melayu moden, yang terpisah daripada ruh Islam setelah dirombak oleh para sasterawan dan ahli bahasa yang berkiblatkan teori-teori Eropah. Adakah ini bermaksud generasi persuratan harus kembali kepada bahasa Melayu yang kaya dengan ruh Islam Itu? Sesiapa juga yang membaca tulisan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang ditulis dalam bahasa Melayu akan dapat merasakan betapa pentingnya ruh Islam itu dikembalikan dalam bahasa Melayu ilmiah seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Syad Muhammad Naquib al-Attas. Inilah model yang harus diikuti, sesuatu yang mungkin susah pada mulanya, tetapi dengan kesabaran dan keinginan yang ikhlas untuk mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu, contoh itu boleh dipelajari.

Apa yang disebut bahasa sastera oleh para sasterawan bukanlah bahasa Melayu yang baik, malah itulah jenis bahasa Melayu yang kering dari ruh Islam, yang merayau-rayau dalam khayalan palsu dan meraba-meraba mencari isi dalam kekosongan ilmu. Bahasa seumpama ini perlu dijauhi oleh generasi persuratan. Oleh itu keindahan bahasa Melayu, ialah bahasa persuratan yang diasaskan kepada konsep ihsan. Dalam konteks ini, tidak seorang pun daripada sepuluh orang sasterawan negara boleh dicontohi, kerana bahasa yang mereka pakai adalah bahasa Melayu yang kontang dari segi pemikiran dan yang songsang dari segi keindahan jika dinilai dari segi keindahan berasaskan ihsan. Untuk memahami aspek ini kelihatan agak sukar, tetapi dengan kembali kepada  konsep ilmu yang benar seperti yang diajarkan oleh Islam, juga dengan pengetahuan yang agak mendalam dalam sejarah perkembangan ilmu dalam Islam,  maka generasi persuratan akan dapat menguasai tidak saja bahasa Melayu bertaraf tinggi yang kaya dengan ruh Islam, tetapi juga pengetahuan yang agak mendalam tentang perkembangan pemikiran Islam. Inilah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh generasi persuratan, yang nampaknya tidak boleh dielak; tetapi boleh dicapai dengan usaha yang sabar dan ikhlas.

Mohd. Affandi Hassan, 6/12/2010.

2 comments:

  1. Tetapi bahasa Melayu adalah antara bahasa yang sukar ditulis kerana terdapat kecelaruan setelah tulisan Jawi dilenyapkan oleh orang Melayu sendiri.

    … tetapi boleh dicapai kembali dengan usaha yang sabar dan ikhlas.

    ReplyDelete
  2. Salam, sekadar mencelah. Seharusnya Bahasa Melayu Jawi yang WAJIB digunapakai oleh masyarakat sekarang. Agak menyedihkan melihat anak Melayu ISLAM sekarang kebanyakkan tidak mahir menggunakan aksara Jawi. Menerusi aksara Jawilah kita akan mengenal jati diri kita. Lihat jiran-jiran di sekeliling kita. Sebagai contoh negara Thai, Jepun, Korea-sekadar beberapa nama, negara-negara ini menggunakan aksara mereka sendiri. Mereka boleh sahaja "merumikan" aksara tersebut, namun, dek kerana jati diri yang kuat, mereka tidak malu untuk menggunakan. Tidak dapat dinafikan juga ketika zaman penjajahan yakni zaman kolonial, pihak penjajah sendiri cuba untuk menghapuskan aksara Jawi. Kita seharusnya bangkit untuk menghidupkan kembali aksara Jawi. Hal ini disebabkan aksara Jawi itu sendiri berasal dari aksara Bahasa Arab yakni Bahasa AL-OURAN. Ayuh bangkit!!! Wasalam. P/s-Tuan Haji, teruskan kritikan tuan..

    ReplyDelete