Monday, December 6, 2010

ANTI ILMU ATAU CETEK ILMU? Seminar Pemikiran DBP yang Gagal Menyerlahkan Pemikiran

[Nota: Posting ini dibaiki dan disunting daripada posting bertarikh 3/12/2010 dengan tambahan dan pindaan]

Jikalau ahli akademik kita tidak mahu dikritik dan tidak mahu diperlekehkan, mereka harus membuktikan kemampuan akademik mereka dalam tulisan mereka, dengan menyerlahkan kemampuan intelektual mereka dalam analisis dan hujah yang mereka kemukakan. Mereka tidak boleh menjatuhkan maruah akademik mereka dengan mengemukakan kertas kerja yang tidak berkualiti, atau yang kualiti akademiknya boleh dipersoalkan. Sepatutnya persoalan ini tidak timbul, kerana pada waktu ini kita sering bercakap tentang persaingan global dan perlunya ahli akademik kita mempunyai kualiti akademik yang tinggi untuk bersaing di peringkat global. Sekarang slogan kita ialah, “Ketrampilan ilmu dan akademik”, sesuai dengan dakwaan ahli-ahli akademik kita bahawa mereka bertaraf kelas pertama dan selesa bersaing di peringkat global. Tetapi semua ini perlu dibuktikan, bukan hanya dakwaan kosong dan slogan semata-mata. Berasaskan andaian ini, kita akan bercakap sedikit tentang seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Seminar 9-10 November 2010 di DBP tentang “pemikiran” SN Muhammad Hj. Salleh adalah satu pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku, bertentangan dengan dakwaan dan slogan di atas. Tiga perkara yang amat menyerlah: (1) kertas kerja yang ditulis tergesa-gesa, tidak kritis langsung dan tidak satu pun menyerlahkan pemikiran tokoh yang diseminarkan; (2) rendahnya kualiti kertas yang tidak saja tidak akademik, tetapi mengulang perkara lama tanpa sebarang analisis yang munasabah; (3) tajuk-tajuk yang dipilih tidak satu pun dibahaskan dalam konteks pemikiran kerana istilah “pemikiran” tidak dijelaskan dan tidak ditakrifkan dalam mana-mana kertas sekalipun. Perkara yang menonjol dalam seminar ini ialah keinginan para penulis makalah untuk memuji Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, padahal  pujian dan sanjungan itu tidak dibuktikan dengan hujah dan analisis yang betul-betul akademik. Tidak seorang pun penulis kertas tahu bahawa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak mahu beliau dinilai dengan menggunakan teori dan pendekatan Barat. Sekiranya mereka tahu, maka sangatlah aneh dan ajaib bagaimana mereka masih  terus menggunakan segala macam teori Barat yang ditolak oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri.

Saya bersetuju dengan pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa kita telah sangat lama, berpuluh tahun, menggunakan pendekatan dan teori Barat untuk menilai, kata profesor itu, “kita yang bukan Barat”, yang dibentuk oleh bahasa Melayu dan budaya Melayu.  Tidakkah pandangan profesor ini satu pandangan yang perlu dibahaskan? Mengapa tidak seorang pun menyentuh perkara penting ini? Kalau teori sastera Barat itu begitu buruk, mengelirukan dan gagal menilai karya sastera Melayu, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, mengapa masih digunakan dalam makalah untuk membicarakan “pemikiran” beliau dan masih terus digalakkan dan digunakan di semua universiti yang menyediakan kursus tentang kesusasteraan Melayu? Persoalan ini memerlukan penjelasan dan analisis, supaya para sarjana kita tidak kelihatan terlalu lekeh memberi pendapat, dan para pelajar tidak pula dikelirukan dalam kuliah-kuliah yang mereka hadiri. Dalam program Akademi Sastera yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, teori-teori Barat ini digalakkan,  sementara pendekatan yang dianjurkan oleh sarjana tempatan dilarang daripada  digunakan. Adakah ini satu tindakan yang bijaksana dan jujur? Atau kita memang tidak perlu bijaksana dan jujur bila berdepan dengan soal-soal  “pemikiran” ini? Mengapa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh diremehkan begitu saja dengan tidak menghiraukan kritikan beliau terhadap pendekatan dan teori sastera Barat?  Mengapa “teori” beliau yang amat disanjung itu tidak digunakan untuk membicarakan karya beliau? Satu-satunya kertas yang agak serius ialah yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Arbak Othman, yang melihat sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dari perspektif semiotik. Tetapi usaha ini pun amat mengecewakan kerana tidak langsung dibahaskan dari segi semiotik  sajak “Pulang Si Tenggang” yang aneh itu, juga sajak “baris-baris dari muzium goethe” yang memeranjatkan itu. Kita mahu tahu, apakah tanda-tanda yang diserlahkan oleh kedua-dua sajak ini dari segi semiotik? Mengapa sajak “Pulang Si Tenggang” mesti ditolak dalam konteks budaya Melayu yang sudah diislamkan? Apa perlunya Si Tenggang ini dibawa ke dalam masyarakat Melayu moden? Apakah yang ingin dicapai melalui sajak yang mengajar bangsa Melayu menjadi kurang ajar itu? Banyak sekali persoalan yang timbul kerana ahli akademik kita telah gagal melaksanakan tugas akademik mereka untuk menilai sajak ini dengan betul-betul objektif dan berasaskan nilai-nilai budaya kita sendiri seperti yang diminta oleh Prof. Dr. Muhmmad Hj. Salleh sendiri. Mengapa permintaan beliau diremehkan begitu rupa oleh ahli-ahli akademik yang menulis kertas kerja, dengan memuji beliau bukan pada tempatnya? Beliau mahu dinilai secara kritis, adil dan objektif dengan tidak menggunakan apa juga teori dan pendekatan Barat. Permintaan beliau yang jujur dan ikhlas itu wajar diberi perhatian seperti sepatutnya diberikan kepada seorang tokoh besar seperti Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ini. Khusus buat Prof. Madya Dr. Arbak Othman, dari segi semiotik, apakah tanda yang boleh dibaca dan ditafsirkan apabila Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berkata, “dan memihak pada pintar mephistopheles”? Apakah tafsiran semiotik yang boleh diberi pada baris ini? Adakah ini hasil pemikiran yang mendalam atau hanya sejenis latah yang spontan kerana terlalu mengagumi Goethe?  Ada orang melontarkan pendapat bahawa sajak “baris-baris dari muzium goethe” ini terlalu memuja Barat, sehingga terlanjur (?) memuja Iblis yang bernama mephistopheles itu? Semua ini memerlukan penjelasan, dan sepatutnya ahli akademiklah yang mengemukakan penjelasan dan analisis itu. Mereka dibayar untuk membuat kerja-kerja akademik, kerana memang itulah profesion mereka. Tidak ada alasan untuk mengelak daripada melaksanakan tugas akademik mereka dengan objektif dan berani.

Sungguh pelik, ajaib, aneh dan amat menakjubkan apabila semua penulis kertas kerja meremehkan kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentang kesalahan para ahli akademik yang sudah berpuluh tahun (berapa puluh tahun: 30, 40, 50 puluh tahun atau lebih lama dari itu?) melakukan kesilapan dalam menilai karya sastera Melayu dengan menggunakan teori dan pendekatan Barat yang asing itu.  Tidakkah kesimpulan ini sangat penting dan wajar diberi perhatian dengan membahaskannya dengan mendalam, lebih-lebih lagi jika dilihat dalam konteks kesimpulan yang dibuat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tahun 1972 yang mengatakan, para penulis dan sasterawan itu terdiri daripada “orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan kebudayaannya sendiri”, dengan itu mereka terdiri daripada golongan pinggiran yang keliru yang “tiada dapat membedakan yang benar dengan yang palsu”.  Tidakkah kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri membenarkan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas? Jika isu ini tidak penting pada pandangan ahli-ahli akademik kita yang bertaraf antarabangsa dan kelas pertama pula, maka isu apakah yang penting bagi mereka?  Sekiranya mereka berhujah tentang aspek ini, kita akan dapat melihat serba sedikit “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang mungkin boleh dijadikan tema kajian yang mendalam  nanti, yang boleh mencerdikkan para pelajar universiti yang mengambil jurusan sastera Melayu. Dalam keadaan yang ada, dengan kualiti kertas kerja yang begitu rendah, maka tidak hairanlah mutu perbincangn tentang sastera Melayu semakin kabur, semakin menurun kualitinya, dan semakin membosankan sehingga tidak lagi diminati oleh para pelajar, kecuali bagi yang tidak ada pilihan lain, yang terpaksa mengambil jurusan sastera Melayu sekadar untuk mendapat ijazah yang rendah pula kualitinya.  Dengan itu jelas bahawa yang meminggirkan sastera Melayu ialah ahli akademik dan sasterawan sendiri, dengan sikap mereka yang tidak kritis dan kegemaran mereka mengulang sesuatu yang sudah diperkatakan sekian lama. Dr. Azman Pawi, mengutip pandangan Prof. Siti Hawa Salleh, menyentuh perkara ini dalam konteks “sumbangan” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang sekadar mengutip dan mengulang pendapat sarjana lain.  Berasaskan kesimpulan Prof. Siti Hawa Salleh, bolehkah  kita berkata bahawa sebenarnya tidak ada apa-apa yang boleh disebut sebagai “pemikiran” yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang sekira-kira boleh menjadi asas perbincangan yang menarik. Itulah sebabnya kertas kerja yang dibentangkan begitu cetek, ditulis tergesa-gesa, mengulang perkara lama, kerana tidak ada perkara yang menarik untuk dibahaskan yang telah dikemukakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Jika inilah yang dirasakan oleh para penulis kertas kerja, maka mereka mempunyai alasan untuk meremehkan kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentang kesilapan menggunakan teori dan kaedah Barat itu, kerana beliau sendiri tidak menjelaskannya, sekurang-kurangnya memberi contoh yang konkrit apakah kesilapan dan kesalahan itu.

Petaling Jaya, 6/12/2010.

2 comments:

  1. Masih ada dua tiga perkara yang nampaknya sedang mengekang para sarjana kita. Sikap "malu mata" saya fikir adalah antara yang sangat ketara. Kertas oleh Prof Madya Arbak Othman yang dibawa ke seminar MHS di DBP tempohari sebenarnya adalah antara yang dirasakan kemas dan mendalam, kendati di sana sini AO tampaknya cuba menghindar atau cuba untuk melangkaui puisi-puisi MHS yang mandek. Misalnya AO turut mengalpakan diksi "azan yang merayau" dari salah sebuah puisi MHS.

    Di tempat lain, para sarjana dan para calon sarjana atau para studen yang baru kenal dunia sastera/kritikan, memang sangat jelas tergesa-gesa menyiapkan kertas mereka. Atau antara mereka ada yang "tidak berapa sudi" alias "tidak berapa berminat", tetapi masih juga cuba menulisnya?

    Ini bukan soal kering idea di kalangan penulis kertas, tetapi sebenarnya kerana sikap keburu pihak penganjur ketika memilih penulis kertas. Di luar sana, masih cukup banyak sarjana/pengkritik yang lebih berilmu dan lebih berkelayakan untuk bercakap mengenai MHS. Mengapa orang-orang seperti Prof Dr Rahman Shaari atau Dr Fatimah Busu tidak diundang?

    Aneh bukan, kalau misalnya dalam beberapa kertas yang berfokus kepada SAJAK-SAJAK SEJARAH MELAYU karta MHS, tiba-tiba di dalam refrensi atau bibiliografinya langsung tidak dicatat kitab SEJARAH MELAYU itu sendiri? Seolah-olah yang dibaca untuk bahan kajian hanya SAJAK-SAJAK SEJARAH MELAYU beserta esei-esei lain mengenainya, tetapi kitab SM sendiri dialpakan begitu saja.

    Lihat bagaimana tidak ada satu kertas pun yang membuat perbandingan jelas antara SAJAK-SAJAK SEJARAH MELAYU dengan kitab SEJARAH MELAYU, dengan memetik dan memaparkan teks-teks yang berkaitan. Begitu juga dengan kertas yang mengaitkan SAJAK-SAJAK PENDATANG/SI TENGGANG.

    Ini betul-betul menyerupai kerja para pelajar tingkatan lima yang membuat folio mengenai sesebuah novel KOMSAS (novel Putera Gunung Tahan misalnya), yang dengan panjang lebar membincangkan novel KOMSAS itu, tetapi novel yang dibicarakan langsung tak pernah dibacanya. Yang dibaca sebaliknya adalah buku-buku bimbingan teks, buku-buku ulangkaji dan buku-buku panduan menjawab kertas soalan....

    ReplyDelete
  2. Salam, wah, berapi komentar..Bagus.

    ReplyDelete