Wednesday, July 21, 2010

Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis

Sebuah buku yang diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dari ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia, telah terbit pertengahan Julai 2010. Harga kulit lembut RM40.00; kulit keras RM60.00. Boleh didapati/dipesan di ATMA, UKM. Buku ini dibahagi kepada dua bahagian: Bahagian Pertama mengenai teori; bahagian kedua praktis. Penyumbang bahagian pertama: Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, UIA; Zulkarnain Mohamed, UKM; Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, UKM; Mohd. Affandi Hassan, P.J. Bahagian kedua: Dr. Zariat Abdul Rani; Dr. Ruzy Suliza Hashim; Dr. Washima Che Dan; Zulkarnain Mohamed; Dr. Noritah Omar; Mohd. Shahrizal Nasir; Prof. Dr. Abdul Halim Mohammad. Buku ini secara khusus membicarakan peranan ilmu dalam sastera, kreatif dan akademik. Sebuah buku penting yang wajar dihampiri/didampingi oleh para sasterawan, pengkritik, sarjana dan pelajar universiti dalam bidang sastera. Dengan terbitnya buku ini, pembicaraan tentang kesusasteraan akan berpindah kepada persuratan dengan penekanan kepada peranan ilmu yang benar dalam kegiatan penulisan, kreatif dan ilmiah. Inilah agenda Abad 21 yang mencabar para sasterawan dan sarjana. Rugi jika cabaran itu tidak ditangani dengan tuntas. Kita harus membina aliran baru yang lebih tertumpu kepada peranan penting ilmu yang benar dalam pembinaan tamadun kita. Selamat menghadapi cabaran itu.

Mohd. Affandi Hassan, 21/7/2010.

2 comments:

  1. Assalamualaikum tuan. setelah meneliti gagasan persuratan baru ini, saya mendapati terdapat persamaan antara gagasan persuratan baru ini dengan teori Takmilah iaitu berteraskan konsep tauhid. Jadi apakan perbezaan yang ketara antara kedua-dua teori ini.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Tak Bernama.

    Hati-hati bila gunakan istilah teori. Takmilah bukan teori sastera, hanya panduan umum tentang sastera Islam versi penulisnya. Tujuan teori untuk menjawab soalan berupa masalah. apakah masalah itu? Mengapa masalah itu timbul? Apa yang boleh dilakukan? Lalu dianalisis dengan mendalam, disediakan cara penylesaiannya, termasuk untuk meramal apa yang terjadi jika teori itu dipakai atau tidak dipakai. Itu teori, secara amat mudah. Takmilah bicara tentang sastera; PB bicara tentang persuratan. Bidang keduanya berbeza, walaupun prinsip tauhidnya sama. PB merombak faham anda tentang sastera, dan beritahu mengapa perlu dirombak, untuk mencapai matlamat apa, dan akhirnya untuk melahirkan karya yang bagaimana. Apa akan jadi 100 tahun akan datang jika PB dipakai? Apa akan jadi jika sastera diteruskan seperti yang difahami dan dipraktikkan sekarang? Itulah antara lain masalah teori. Kalau anda baca lambat-lambat buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, mungkin anda akan faham apakah PB dan mengapa PB diperlukan (atau tidak diperlukan jika anda tidak mahu!). PB membuat anda berfikir; sastera membuat anda meratap (atau lain2 emosi ...). Sebaik saja anda faham, anda akan tahu mengapa PB diperlukan, anda juga akan mengerti mengapa kita harus berusaha melahirkan karya persuratan dan kita pun akan faham di mana letaknya karya sastera. Terima kasih atas perhatian anda.

    ReplyDelete