Kita ambil rumusan kedua: Cerita membentuk wacana. Inilah pegangan dan kepercayaan para sasterawan. Apakah yang akan terjadi? Yang akan terjadi ialah seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika membicarakan karya-karya A. Samad Said. Menurut PASN, sebuah novel yang baik dan berjaya ialah yang meniru teknik Barat seperti realisme, naturalisme, realisme magis, stream of consciousness, dan lain-lain teknik yang dipakai di Barat. Karya itu mesti terbuka, dalam erti tidak seharusnya terarah kepada rumusan tertentu, kerana kehidupan manusia itu selalu terbuka, bebas, oleh itu tidak perlu terikat kepada moral atau ajaran tertentu. Itulah sifat yang ada pada Salina, menurut PASN, yang menjadikannya sebuah karya besar dan bernilai tinggi. Tidak perlu ada matlamat, tidak dibenarkan muncul didaktisisme dalam bentuk apa pun, terutama dalam bentuk khutbah. Inilah jenis karya kreatif yang hanyut tanpa tujuan, seperti perahu buruk teroleng-oleng di laut menunggu untuk pecah bertaburan dipukul ombak. Inilah yang terjadi kepad Salina apabila dipukul ombak gagasan Persuratan Baru. Novel itu tidak boleh dipertahankan sebagai sebuah karya besar seperti yang dicanangkan oleh PASN, tetapi bertukar menjadi hanya sebuah karya picisan yang tidak ada tujuan apa-apa, selain untuk bercerita. Kita petik pandangan Prof. Dr. Sidek Baba ketika membicarakan novel ini:
"Justeru, novel Salina yang dianggap bertaraf antarabangsa itu sudah tentu tidak sama nilainya dengan Ruba'i karya Hamzah Fansuri yang tercermin nilai-nilai falsafah yang tinggi. Persoalan dalam novel Salina tentunya lebih banyak membawa persoalan remeh-temeh yang tidak membantu meningkatkan akal insan ke tahap yang lebih tinggi. Yang terkandung dalamnya hanya siratan fenomena kehidupan yang tidak terarah dan penuh dengan kemelut" (hlm. 128-129).[Dari Jendela Islam, DBP 2010].
Karya kreatif dalam kategori “karya hanyut” seperti Salina ini, dalam konteks lain digalakkan oleh para penilai yang juga hanyut, tidak ada pegangan yang mendorong kepada kebijaksanaan. Penilai seperti PASN dan kumpulan hanyutnya akan mendorong lahirnya karya hanyut seterusnya, yang akan diberi penilaian tinggi dan pujian serta penghargaan tinggi yang melayakkannya diberi hadiah, kerana kononnya karya itu objektif, iaitu dalam makna songsang yang mereka beri yang bererti tidak mempunyai matlamat dan tujuan, tidak ada apa-apa ajaran moral di dalamnya. Mereka tidak sedar bahawa sesuatu hanya objektif jika orang yang menilainya itu tahu apa yang dibuatnya. Di sinilah pentingnya wacana, kerana wacana dalam konteks gagasan Persuratan Baru bertujuan untuk menyerlahkan kebenaran berasaskan konsep ilmu yang benar yang telah dihuraikan. Dalam hubungan ini, kita ingin menjawab soalan ini: Apakah faktor yang boleh dipakai untuk menyerlahkan kandungan ilmu yang benar dalam karya kreatif? Wacana atau cerita? Sudah jelas bahawa cerita tanpa terikat kepada wacana berasaskan konsep ilmu yang benar akan menghanyutkan sasterawan dan karyanya ke daerah yang menyesatkan, seperti yang telah dibuktikan dalam penilaian PASN terhadap karya-karya A. Samad Said.
Dalam dunia akademik, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah memberi kita bukti yang jelas perihal wujudnya “sarjana hanyut” (seperti sasterawan hanyut) dalam syarahan perdana beliau (diterbitkan dengan judul, Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, 1989), yang tidak mempunyai tumpuan dan matlamat, selain untuk “bercerita” tentang teori-teori sastera di Barat yang digunakannya untuk membicarakan sastera Melayu lama. Lebih dari 35 halaman digunakannya untuk bercerita, yang dengan tiba-tiba diakhiri dengan sejumlah senarai yang menurut beliau ialah ciri-ciri puitika sastera Melayu lama. Senarai itu bisu, tidak mampu berbicara dengan jelas tentang puitika dan sistem nilai yang dipakai dalam sastera Melayu lama. Betapa bisunya senarai itu dibuktikan dalam Laporan 1991 tentang Muhammad Hj. Salleh yang menyanjung syarahan perdana itu, tetapi tidak digunakan (kerana tidak dapat digunakan) untuk menilai karya Muhammad Hj. Salleh sendiri. Maka apakah gunanya “teori” jika tidak boleh dipakai dalam menilai karya sendiri? Jadi, karya siapa yang sesuai untuk dinilai dengan menggunakan senarai Muhammad Hj. Salleh? Atas alasan inilah saya membuat kesimpulan, Puitika Sastera Melayu bukan “teori “ sastera, tetapi hanya satu senarai yang bisu yang tidak berupaya menganalisis karya kreatif.
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah kembali ke zaman primitif 10,000 tahun dahulu untuk mendapatkan senarainya yang kononnya asli, satu zaman yang telah lama berlalu dan kandungannya sudah difosilkan oleh masa, tidak boleh dipakai lagi kecuali untuk tontonan di muzium sejarah. Tetapi jika sekiranya beliau kembali ke asal kejadian manusia, beliau akan bertemu dengan Nabi Adam ‘a.s. dan Nabi-Nabi lain, dan dari situ mengenal makna taklif. Jikalau beliau bernasib baik dan faham makna taklif, beliau tidak akan menulis sajak-sajak “Pulang Si Tenggang” (yang memuja penderhakaan) atau “Baris- baris Dari Muzium Goethe” (yang mengagumi Mephistopheles, Raja Iblis). Jikalau dibandingkan dengan pemikiran Mohd. Affandi Hassan yang menjangkau 100 tahun ke hadapan melalui gagasan Persuratan Baru, maka Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh undur jauh ke belakang untuk kononnya mencari keaslian teori sastera Melayu, tetapi akhirnya menemui satu senarai yang bisu, tidak dapat digunakan. Bagi Prof. Dr. Siti Hawa Salleh, apa yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh hanya “mengujar” perkara lama yang sudah lama diketahui umum. [Pandangan kritis beliau telah dikutip dalam tulisan yang lepas; pandangan asal beliau boleh dibaca dalam Budi Kencana, hal. 255]. (Akan disambung dalam Bahagian IV).
Mohd. Affandi Hassan, 6/7/2010.
No comments:
Post a Comment