Menurut iklan yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, satu seminar besar-besaran bertajuk “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Hj. Salleh” akan diadakan di Dewan Seminar, DBP, pada 16-17 November 2010. Seminar ini penting kerana kedudukan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai sarjana dan pensajak yang paling unggul di Malaysia sekarang akan dibuktikan melalui kertas kerja yang akademik yang ditulis oleh tokoh-tokoh akademik kelas satu yang ramai terdapat di Malaysia sekarang. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah diberi anugerah dan gelaran sebagai Sasterawan Negara dan Tokoh Akademik Negara, dua pencapaian paling tinggi yang pernah dicapai oleh seorang sarjana dan sasterawan.
Satu analisis yang mendalam dan cukup kritis harus dibuat untuk membincangkan erti dan makna istilah “pemikiran” yang kerap digunakan oleh DBP tetapi belum pernah ditakrifkan dengan jelas, supaya boleh digunakan untuk menilai dengan objektif sama ada pencapaian tertinggi itu cocok dengan sumbangan kreatif dan sumbangan akademik tokoh besar ini. Lebih baik lagi jika sumbangan beliau dianalisis dalam satu kajian perbandingan, misalnya antara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dengan pemikiran Mohd. Affandi Hassan dan lain-lain tokoh yang sesuai. Jika perbandingan dengan Mohd. Affandi Hassan tidak boleh dilakukan, kerana tarafnya terlalu rendah jika dibandingkan dengan taraf Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, sehingga perbandingan itu akan menjadi amat offensive kepada beliau dan rakan-rakan atau penyokong beliau, maka perbandingan itu tidak perlu lagi, supaya ketinggian taraf Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak terjejas. Tetapi pendapat Mohd. Affandi Hassan dalam beberapa persoalan yang beliau bangkitkan perlu juga disebut sepintas lalu, untuk menunjukkan betapa seorang tokoh yang tidak setaraf mampu juga membicarakan perkara-perkara rumit yang dilontar oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Untuk maksud ini, makalah saya dalam buku selanggaraan Prof. Ungku Maimunah, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, boleh dirujuk dan hujah-hujah yang saya kemukakan wajar dibahas dengan kritis supaya integriti akademik dan kreatif Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak tergugat dan tidak terjejas dengan kritikan saya dalam makalah itu.
Sarjana yang akan menulis kertas penting ini akan menghadapi masalah metodologi yang agak rumit. Prof. Dr. Muhammad Salleh telah memberi amaran dan peringatan penting dalam salah satu ucaputamanya yang banyak itu. Kata beliau (antara lain): “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri”. (Rujuk Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14). Adakah ini bermakna Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak mahu dinilai dengan menggunakan mana-mana teori Barat sekali pun? Ini menjadi semakin rumit kerana beliau berkata seterusnya: “Teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam”. Dengan penegasan ini, beliau tidak mahu juga dinilai oleh mana-mana “teori” sastera kita yang tidak menyeluruh dan tidak mendalam itu; dan ini bererti kita tidak boleh menggunakan “teori” beliau sendiri yang juga tidak menyeluruh dan tidak mendalam. Jadi teori mana yang boleh dipakai?
Sungguh rumit cabaran akademik yang akan dihadapi oleh sarjana yang akan menulis dan menilai sumbangan kreatif dan akademik tokoh besar ini. Sebagai jalan keluar yang penuh berliku dan sukar dilalui, saya dengan rendah hati ingin mencadangkan supaya gagasan Persuratan Baru dicuba untuk digunakan dalam analisis itu. Sekiranya tidak cocok, kerana gagasan Persuratan Baru terlalu ketat meletakkan ukuran yang perlu digunakan, maka tidak ada masalah jika Persuratan Baru ditolak demi menjaga integriti Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Nampaknya penulis makalah penting tentang pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ini tidak ada pilihan lain selain mengemukakan teori beliau sendiri yang cocok dengan kehendak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.
Jika itulah saja pilihan yang ada, maka bagaimana pula kedudukan sumber yang akan digunakan untuk menilai pemikiran tokoh besar ini? Pertanyaan ini penting kerana saya adalah antara penulis yang mempersoalkan integriti ilmiah dan kreatif beliau dalam tulisan-tulisan saya, terutama sekali dalam risalah kecil bertajuk, Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu (1994), berupa sanggahan saya terhadap Poetika Sastera Melayu. Sudah lama sekali sanggahan itu tidak terjawab, sehingga dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa pandangan saya itu memang tepat dan amat sukar disanggah. Dalam tulisan terbaru yang saya sebut di awal makalah ini, saya telah memperinci hujah-hujah saya, dengan harapan akan tampil sarjana kelas satu yang akan membahaskan hujah-hujah saya dengan sehabis kritis dan menolaknya sebagai satu pembohongan ilmiah yang memalukan. Pendirian saya tentang perkara ini adalah kesimpulan saya dalam makalah itu: “Sesiapa juga yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar. Itulah hukum alam dan jalan yang mesti dilalui oleh orang-orang berilmu”.
Maksud kesimpulan itu amat mudah: Sesiapa juga yang telah ditokohkan, dan telah pula diterima sebagai tokoh besar yang istimewa, harus bersedia untuk dicabar pendapatnya dan dinilai dengan menggunakan mana-mana teori atau kaedah sekali pun, baik dari Barat mahu pun dari negara sendiri. Jika digunakan teori dan kaedah Barat, dan didapati sesuai, maka itu membuktikan tokoh tadi memang dibina dan dijana dan dibentuk dalam nilai-nilai Barat. Walaupun beliau mungkin tidak suka diperlakukan demikian, kerana adanya kesedaran terhadap kepalsuan nilai-nilai Barat tadi, namun beliau harus menerima hakikat bahawa beliau memang dibentuk dalam acuan Barat, oleh itu beliau tidak perlu berasa malu atau tersinggung kerana itulah arus perdana yang terdapat di Malaysia. Tidakkah itu satu penghormatan yang besar?
Mohd. Affandi Hassan, 22 Julai 2010.
No comments:
Post a Comment