Thursday, July 8, 2010

Wacana Membentuk Cerita ATAU Cerita Membetuk Wacana? Atau Bukan Kedua-duanya ...ATAU Boleh Jadi Kedua-duanya? (Bahagian IV)

Bagaimanakah seorang Grandmaster dilahirkan? Di atas tapak catur yang kecil. Walaupun kecil, tapak catur adalah medan perang akal terbaik para pemain catur untuk mencapai taraf Grandmaster. Bolehkah kita gunakan tapak catur yang kecil itu untuk dibanding dengan ruang naratif yang akan digunakan oleh seorang pengarang novel atau cerita pendek? Sementara kita boleh melihat tapak catur, kita tidak boleh melihat ketangkasan strategi dan manipulasi ruang dalam kepala Grandmaster, malah seorang Grandmaster lain pun belum tentu boleh membaca strategi itu. Tetapi kita boleh melihat kehebatan seorang pengarang menggunakan ruang naratifnya dalam tulisannya, sehingga terhasil sebuah karya kreatif yang mantap dan berkualiti tinggi. Kedua-dua makhluk ini berbeza dari segi kemampuan akal dan kehebatan kekuatan kognitif mereka. Seorang Grandmaster mempunyai kemahiran berfikir dan bertindak yang hampir sama dengan seorang ahli sihir zaman Firaun, dalam erti kedua-duanya boleh memukau sesiapa juga yang memerhatikan kepandaian mereka. Tetapi kedua-duaya bukan ahli fikir yang menyusun “teori” atau kaedah analisis yang paling canggih.

Seorang pengarang besar adalah sekali gus seorang pemikir dan pencipta karya yang dari segi disiplin bekerja boleh dikatakan sama dengan seorang Grandmaster dan seorang ahli sihir zaman Firaun. Perbandingan ini kedengaran agak aneh, kerana ketiga-tiga makhluk ini walaupun manusia biasa, tetapi mempunyai matlamat yang berbeza. Seorang Grandmaster akan mendapat gelaran itu dengan mengalahkan lawannya; seorang ahli sihir akan dianggap hebat dan tinggi seni sihirnya jika dia dapat menipu pandangan manusia untuk menerima ilusi yang ditampilkannya sebagai suatu realiti; tetapi seorang pengarang tidak perlu mengalahkan sesiapa, kerana dia tidak mempunyai lawan yang perlu dikalahkan; tidak juga perlu menipu pembaca untuk menerima hasil ciptaannya sebagai yang paling sempurna pernah dihasilkan oleh manusia. Yang perlu dilakukan oleh seorang pengarang besar hanya satu perkara saja: menggunakan ruang naratif yang ada padanya untuk mencipta sebuah karya yang paling sempurna dari segi wacana dan penggunaan ruang naratif tadi. Inilah yang ingin dilakukan melalui gagasan Persuratan Baru. Oleh itu rumusan yang berbunyi: Wacana membentuk cerita, bukanlah rumusan main-main. Rumusan itu menekankan aspek disiplin dalam penggunaan ruang naratif untuk memastikan tidak terjadi/tidak berlaku pembaziran dari segi pengolahan cerita yang terarah untuk mencapai maksud yang ditetapkan.

Sebagai contoh: Jika seorang pengarang ingin mengupas dengan mendalam masalah perbankan Islam, dia mungkin mengajukan satu pertanyaan dan cuba menjawabnya, misalnya: Benarkah wujud perbankan Islam, atau hanya satu ilusi ekonomi yang timbul dari keperluan “mengislamkan” bank riba? Masalahnya rumit, kerana dari segi huraiannya, terdapat dua pandangan yang sama kuat: memang ada bank Islam; atau tidak ada bank Islam, yang ada hanya penyesuaian mudah bank riba. Tetapi sebenarnya terdapat pandangan ketiga: yang ada dan perlu diwujudkan sebagai satu sistem moden ialah Baitul Mal Negara. Pilihan ketiga ini penting kerana penubuhan Baitul Mal Negara adalah satu kewajipan sebuah negara yang dikuasai oleh pemimpin Islam; kerana dari situ akan mengalir keadilan dan pembelaan terhadap rakyat yang tidak berada. Tetapi bolehkah Baitul Mal Negara itu wujud dalam sistem ekonomi kapitalis yang ada? Ternyata bank riba dan bank Islam tidak menghadapi masalah itu, kerana di dalam bank riba pun boleh diselit “bank Islam” sabagai satu produk. Jelas sekali bank riba dan bank Islam yang ada sekarang cukup serasi. Oleh itu apa bezanya? Masalahnya agak rumit, memerlukan pengetahuan ekonomi dan perbankan, selain fasih dalam selok-belok kedudukan Baitul Mal dalam negara Islam. Apakah kesudahan novel itu mengenai masalah ini akan ditentukan oleh pengarang melalui wacana yang dipilihnya; dan untuk menjadikan karya itu menarik dan memikat, dia tidak dapat mengelak daripada menggunakan teknik stylization of ideas (akan dibincangkan kemudian). Karya berasaskan ilmu yang benar dan disiplin kewacaanaan yang ketat begini dipanggil karya persuratan, bukan karya sastera, yang secara sedar berasaskan emosi, yang hanyut dalam cerita (lihat kembali pandangan Prof. Dr. Sidek Baba yang dikutip di atas). (Akan disambung dalam Bahagian V).

Mohd. Affandi Hassan, 8/7/2010.

1 comment:

  1. Salaam.

    Tn. Affandi, di mana boleh saya temukan karya-karya tuan untuk dibeli? Saya berminat dengan Persuratan Baru dan telah pun memiliki beberapa karya tuan yang terbit.

    Terima kasih.

    ReplyDelete