Apakah takrif “pemikiran” apabila kita ingin berbicara tentang pemikiran seseorang? Jikalau kita ingin berbicara tentang pemikiran Iqbal dalam syair-syairnya, kita boleh menggunakan kesimpulan yang beliau gunakan sendiri dalam syair-syairnya, iaitu mengenai pembinaan peribadi Muslim yang bebas merdeka, yang hanya ingin menjadi hamba Allah SAW. Begitu juga, apabila kita ingin berbicara tentang pemikiran Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, kita akan berbicara tentang konsep ilmu, tentang adab dan kehilangan adab dalam masyarakat, dan tentang kemunculan pemimpin palsu dalam masyarakat. Tetapi bagaimana pula apabila kita ingin berbicara tentang “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Belum lagi ada satu rumusan yang jelas seperti dalam contoh di atas, yakni tidak ada sesuatu yang menonjol seperti contoh di atas yang datang daripada Tokoh Akademik Negara ini. Adakah ini memberi isyarat beliau bukan seorang pemikir? Pandangan dan kesimpulan beberapa orang sarjana terkenal di Malaysia nampaknya menuju kepada kesimpulan itu. Misalnya, Prof. Dr. Siti Hawa Salleh, ketika berbicara tentang syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang bertajuk Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, membuat kesimpulan yang agak mengejutkan, dengan menganggap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tak ubahnya seperti seorang tunanetra yang berada di taman pada malam yang gelap gelita, tersembam di lereng dunia sastera tradisional, tidak mengenal dan tidak dapat membezakan jenis-jenis bunga yang ada di dalam taman itu. (Lihat tulisan beliau dalam Budi Kencana, hal. 255). Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan pula berpendapat, dari raut muka Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh terbayang keresahannya, yang tergesa-gesa dan tidak teliti dalam menghasilkan bukunya Menyeberang Sejarah (kumpulan eseinya). Prof. Dr. Mohd. Mokhtar kemudiannya menyenaraikan banyak kelemahan yang terdapat dalam tulisan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. (Rujuk makalah beliau dalam Rangkaian Pemikiran dalam Karya Sastera, DBP 2006).
Apa yang disebut oleh Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan tidak relevan dengan soal pemikiran. Masalah itu adalah masalah penyelidikan dan metodologi yang baik. Oleh itu harus dibezakan antara pemikir dengan penyelidik. Dalam kes Iqbal dan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, sudah jelas dan terang mereka adalah pemikir. Tetapi tidak dalam kes Prof. Dr. Muhammad Hj. Saleh. Beliau hanya seorang penyelidik, yang menjalankan usahanya untuk mengetahui seberapa banyak maklumat sama ada untuk kegunaan sendiri atau orang lain. Seorang pemikir mengenal pasti persoalan yang menjadi masalah dalam masyarakat; dan dari situ dia menghuraikan masalah itu; kemudian merumuskan jalan penyelesaian. Ini sangat jelas dapat dilihat dalam kes Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Masalahnya orang Islam dikuasai oleh sekularisme; dan ini menyebabkan mereka jadi keliru dari segi memahami konsep ilmu yang benar menurut Islam. Hasil pemikiran Prof. Syed Naquib al-Attas ialah betapa pentingnya difahami konsep ilmu yang benar menurut Islam, supaya orang Islam tidak kehilangan adab, yang akhirnya membuat mereka menerima kehadiran pemimpin palsu dalam masyarakat. Dalam kes Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, apa yang dibuatnya ialah menulis esei membicarakan perkara-perkara yang menarik perhatiannya. Dia hanya mengumpul maklumat, yang tidak semestinya tepat. Tetapi maklumat itu masih berguna, jika kita tahu menggunakannya. Umpamanya tentang didaktisisme dalam karya Melayu. Ini bermakna karya Melayu itu mempunyai ciri untuk mengajar, memperingat, mendorong membuat kebaikan, dan sebagainya. Tetapi ciri ini tidak diterima oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan teman-temannya dalam Panel Anugerah Sastera Negara, yang dengan tegas menolak karya yang didaktik, seperti dalam laporan mereka terhadap A. Samad Said. Dalam laporan terbaru tentang Anwar Ridhwan, mereka masih menolak apa juga ajaran yang bersifat didaktik, oleh itu mereka menyanjung cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” walaupun bertentangan dengan penemuan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa dalam sastera Melayu, karya yang baik itu mesti mengutamakan moral, oleh itu didaktik. Kontradiksi begini tidak akan timbul jika para Anggota Panel Anugerah Sastera Negara dan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri terdiri daripada para pemikir yang berwibawa. Perbezaan yang disebutkan di sini harus diambil kira oleh sesiapa juga yang akan menulis makalah terperinci membicarakan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sama ada benar seorang pemikir, atau hanya seorang penyelidik. Ini bermaksud, beliau adalah seorang ahli akademik, yang tidak semestinya seorang pemikir. Persoalan ini mesti jelas, jika tidak kita akan bercakap tentang lembu, padahal kita maksudkan seladang. Pemikiran begini akhirnya akan berakhir dengan lahirnya “pemikiran selembu” yang akan terus mengelirukan kita.
Jika anda membaca sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh, anda akan terkesan melihat kegemaranya yang luar biasa untuk menulis sajak-sajak catatan mengenai lawatannya ke luar negeri. Oleh Ahli Panel Anugerah Sastera Negara (APASN), kelakuan ini dianggapnya baik, kerana menurut mereka sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh berbicara tentang berbagai-bagai pengalaman pensajak ketika berada di luar negeri. Sekarang perhatikan pula kelakuan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam membuat penyelidikan, sama saja caranya dengan kelakuannya menulis sajak-sajaknya. Jika dalam sajaknya dia menulis tentang perkara tertentu hasil pengalamannya di luar negeri, maka dalam penyelidikan pula beliau memilih tajuk-tajuk yang menarik minatnya. Oleh kerana beliau bukan seorang pemikir, maka jika ada pendapatnya yang mungkin menarik perhatian, tidak dipakainya kerana bukan berada dalam sistem pemikirannya. Sebagai contoh, ambil saja gesaannya supaya setiap tulisan yang berupa kritikan dan penilaian dimulai dengan “langkah kaedah” (istilah beliau sendiri) yang ditulis dengan jelas sebagai pendahuluan yang akan menjadi panduan dalam huraian seterusnya. Saranan ini tidak dibuatnya dalam laporan Anugerah Sastera Negara yang beliau jadi ahli panel. Mengapa ini terjadi? Kerana beliau mencadangkan “langkah kaedah” bukan sebagai ahli fikir, tetapi hanya sebagai penyelidik. Kalau mahu boleh pakai, tak mahu tak apa. Tetapi jika itu prinsip seorang ahli fikir, maka prinsip itu berada dalam sistem pemikirannya, oleh itu tidak boleh diketepikan begitu saja. Hal ini mesti difahami dengan teliti oleh sesiapa saja yang ingin menulis tentang pemikiran seseorang.
Dengan menggunakan saranan yang dicadangkan di sini, kita akan dapat menghuraikan dengan lebih objektif dan jitu peranan pemikiran ini, mengenal pasti ciri-cirinya, meletakkan ukuran yang objektif yang boleh dipakai apabila kita ingin berbicara tentang pemikiran. Pendeknya, kita meletakkan satu standard yang boleh dijadikan ukuran. Dengan itu usaha DBP tidaklah sia-sia, tidak menambah kekeliruan yang kini berkeliaran apabila kita berbicara tentang pemikiran sasterawan negara misalnya. Ahli akademik tidak patut ambil mudah tentang persoalan yang peting ini. Mereka harus menjelaskan, bukan terus mengelirukan, atau menambah kekaburan kepada perkara yang sudah jelas.
Semoga penjelasan yang ringkas ini boleh membantu penulis makalah yang akan berbicara tentang “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam seminar khusus untuknya.
Mohd. Affandi Hassan, 26/7/2010.
No comments:
Post a Comment