Tajuk kali ini seolah-olah satu teka-teki, memaksa pembaca berfikir sendiri dan membuat pilihan mengikut mana satu yang difikirkannya munasabah. Atau boleh jadi juga kesemuanya tidak munasabah, dan perlu ditolak kesemuanya. Apa juga pilihan dibuat, perkara penting ialah hujah dan bukti yang dijadikan sandaran ilmiah kepada pilihan yang dibuat itu. Jika hanya berasaskan perasaan, atau sangkaan, maka itu bukan pilihan; hanya sekadar permainan teka kata sahaja, tidak boleh dijadikan pegangan. Sekarang kita lihat apa sebenarnya maksud tajuk kita kali ini.
Gagasan Persuratan Baru mempertentangkan dua perkara yang kelihatan bertentangan, tetapi sebenarnya berkait rapat. Masalahnya ialah: Mana satu yang lebih utama? Mengapa? Selama ini soalan-soalan begini tidak pernah ditanyakan, oleh itu apabila gagasan Persuatan Baru diperkenalkan, golongan sasterawan, pengkritik dan sarjana sastera secara spontan menolaknya hidup-hidup, tanpa sebarang percubaan serius untuk memahaminya. Dalam keadaan demikian, gagasan Persuratan Baru mencabar mereka untuk mengemukakan hujah mereka mengapa karya kreatif tidak boleh dibicarakan dalam konteks wacana dan cerita; dan penulisan karya kreatif pula berasaskan kefahaman yang mendalam dua aspek yang bertentangan tetapi berkaitan itu.
Saya tidak perlu mengulang apa yang telah saya tulis dan huraikan dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) dan Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008), oleh itu saya akan terus membicarakan tajuk ini dengan andaian pembaca tahu sedikit sebanyak tentang gagasan Persuratan Baru. Jika mereka belum tahu, dua buah buku di atas boleh dirujuk. Kedua-duanya senang didapati dan harganya murah, walaupun idea di dalamnya sangat mahal!
Bagaimanakah otak manusia bekerja? Pada umumnya semua orang Islam tahu otak manusia itu diisi dengan konsep asas, iaitu dimulai dengan konsep tauhid, diikuti dengan taklif, selepas itu dikembangkan dengan konsep-konsep yang menjurus kepada fahaman tauhid atau menyeleweng daripada fahaman itu. Di tengah-tengahnya tercegat keraguan, mana satu yang akan jadi pilihan. Pada umumnya manusia “moden” memilih untuk menyeleweng daripada faham tauhid dan taklif; oleh itu manusia kembali kepada dirinya sendiri dan menentukan semua pilihannya mengikut kemahuan peribadinya. Untuk menentukan pilihan peribadi itu berasas, maka manusia mencipta kaedah berfikir yang mereka namakan falsafah, dan seterusnya berkembang hingga ke hari ini. Demikianlah menjelmanya segala macam “teori” sastera dan “teori” kritikan sastera. Para sasterawan dan sarjana sastera di Malaysia sangat bangga memperagakan nama-mana “teori” itu, atau menelannya bulat-bulat sebagai sesuatu yang enak untuk dikunyah oleh otak mereka yang kebetulan hanya kenal “teori-teori” yang pada umumnya diambil dari Barat. Oleh sebab pengambilan (lebih tepat peniruan) ini telah lama berlaku, diterima dengan bangga sebagai sesuatu yang tidak boleh tidak mesti dipakai dalam mencipta karya kreatif dan menganalisis serta menilainya, maka ambilan itu dijadikan arus perdana dalam kesusasteraan Melayu moden, dirayakan dengan segala macam peraduan dan hadiah, dan akhirnya dijadikan tonggak anugerah tertinggi negara yang diberi nama Anugerah Sastera Negara, dengan gelaran yang dikuduskan sebagai Sasterawan Negara. Huraian ringkas ini cukup untuk kita melihat bagaimana kita telah memilih jalur kedua, iaitu yang mengarah kepada penyimpangan daripada jalur pertama berasaskan tauhid dan taklif. Gagasan Persuratan Baru ingin mengembalikan kita kepada jalur pertama itu, sesuai dengan fitrah manusia.
Untuk kembali kepada jalur pertama, jalur fitrah manusia, maka kita harus memahami hakikat ilmu; diikuti dengan hakikat insan; seterusnya memahami hakikat amal; dan diakhiri dengan hakikat dan fungsi sastera (lebih tepat persuratan), untuk memastikan yang kita cipta sebagai karya kreatif itu sesuai dengan cara otak manusia berfikir yang dihuraikan oleh Islam. Perkara ini telah dihuraikan dengan agak mencukupi dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Bagaimana boleh dipraktikkan telah dihuraikan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Sebuah buku baru yang sedang diusahakan oleh Prof. Ungku Maimunah, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, akan terbit Julai 2010, Insha Allah. Nampaknya, persediaan untuk kembali ke jalur pertama itu sudah dibuat dengan teratur.
Kini yang perlu dilakukan ialah memahami konsep wacana dan cerita dalam Persuratan Baru. Mujurlah dua konsep penting ini telah dihurai dan dianalisis oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam dua buah buku penting beliau: dalam syarahan perdana beliau bertajuk, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu (2007), dan dalam kuliah MASTERA, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (2009). Dua buah buku ini wajib dibaca oleh sesiapa juga yang ingin mengetahui tentang gagasan Persuratan Baru, terutama tentang makna dan peranan wacana dan cerita dalam PB.
Untuk memahami rumusan “wacana membentuk cerita”, kita ambil beberapa kisah daripada al-Quran dan hadis. Daripada hadis kita dapat sebuah hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim (hadis no. 20 dalam Riyad al-Salihin oleh Imam Nawawi, terjemahan Dr. Mahmud Matraji, 1993, Bairut) yang menceritakan perihal seorang penjahat yang telah membunuh 99 orang yang tidak berdosa. Penjahat itu ingin bertaubat, lalu menemui seorang rahib. Dia bertanya sama ada Allah Ta’ala akan menerima taubatnya dan mengampunkannya. Si rahib menjawab tidak mungkin, lalu dibunuhnya. Dia mendatangi orang alim yang lain pula, yang memberitahunya supaya pergi ke suatu tempat perkumpulan orang-orang yang suka bertaubat. Dia mati di tengah jalan, tidak sempat sampai ke tempat itu. Terjadilah perkelahian kecil antara Malaikat Azab yang ingin mengambilnya membawa ke neraka; tetapi dibantah Malaikat Rahmat yang ingin membawanya ke syurga. Lalu Allah menghantar Malaikat Pengantara untuk menyelesaikan masalah. Dari tempat matinya penjahat tadi diukur berapa jauhnya permulaan perjalanannya; juga diukur berapa jauh pula tempat yang ditujunya. Hanya sehasta (atau lebih kecil dari itu) lebih panjang daripada permulaannya. Dan itu sudah cukup untuknya diampunkan kerana keikhlasannya dan usahanya yang suci. Cerita dalam hadis ini amat menarik kerana cerita ini menggambarkan bagaimana konsep taubat diwacanakan dalam bentuk cerita. Jelas di sini cerita digunakan untuk memberi takrif kepada konsep taubat. Walaupun wataknya seorang pembunuh, tetapi kerana keazamannya untuk bertaubat, dan keikhlasannya berusaha mendapatkannya, maka dia diampunkan. Perhatikan bagaimana sang rahib menggunakan akalnya untuk membuat keputusan, dengan itu menyekat perjalanan menuju kebaikan itu. Keputusan itu salah, kerana yang memutuskan boleh tidaknya taubat itu diterima bukan sang rahib, tetapi Allah Ta’ala. Jelas yang penting ialah autoriti, kuasa mutlak yang dipunyai oleh Allah Ta’ala sahaja. Semua ini tidak mungkin difahami jika tidak digunakan konsep ilmu yang benar, sebagai asas untuk menentukan segala nilai dan bentuk amal yang betul. (Akan disambung)
No comments:
Post a Comment