Dengan adanya gagasan Persuratan Baru sebagai kaedah analisis dengan mengemukakan beberapa ukuran yang boleh diuji ketepatannya, maka karya-karya kreatif seperti novel, cerita pendek, dan lain-lain akan dibahagikan kepada tiga kategori: karya persuratan; karya sastera; karya popular/picisan/erotik. Pembahagian ini penting kerana karya persuratan diasaskan kepada konsep ilmu yang benar, dengan menjadikan taklif sebagai ukuran utama yang mentakrifkan konsep-konsep lain seperti wacana, cerita, paksi naratif, ruang naratif, stylization of ideas, hasil karya yang mengarah kepada kebaikan, kebijaksanaan dengan mengemukakan persoalan yang boleh membina manusia untuk memastikan hakikat taklif tadi tidak diselewengkan. Penjelasan ini sangat penting apabila karya persuratan dibandingkan dengan karya sastera. Dalam karya sastera, yang diutamakan ialah kejahatan manusia, tragedi yang mereka alami, hawa nafsu yang menjadi panduan dalam menentukan sesuatu keputusan (misalnya: kejayaan dan kebahagiaan hidup ditentukan oleh harta, kedudukan, pangkat dan sebagainya, walaupun semua itu diperolehi dengan melanggar hakikat taklif). Keputusan berasaskan hawa nafsu ini adalah keputusan yang berpandukan emosi, bukan akal yang sihat. Itulah yang terjadi dalam karya-karya sastera yang dipuji-puji oleh PASN, seperti yang telah dihuraikan terhadulu. Ini berbeza dengan keputusan yang diambil berasaskan taklif. Di dalam konsep taklif itu tersirat tiga rahsia besar yang boleh memandu manusia supaya tidak menyeleweng daripada jalur pertama yang disebut dahulu. Tiga rahsia besar itu ialah ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar.
Taklif menuntut manusia melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan yang benar, kerana dari ilmu yang benar saja dia dapat melaksanakan keadilan dalam kehidupannya, yakni dia tahu menempatkan sesuatu kena pada tempatnya; dan kebolehan inilah yang akan membantunya membuat pilihan yang betul dalam kehidupannya. Itulah ikhtiar, iaitu memilih yang terbaik dalam konteks ilmu yang benar dan keadilan tadi. Jika hakikat ini difahami oleh para penulis dan pengarang, maka sudah tentu karyanya akan memperlihatkan ciri-ciri taklif yang disebutkan itu. Dan para sarjana yang menganalisis karya itu, serta para pengkritik yang membuat penilaian, akan melihat aspek wacana dan cerita dalam konteks taklif, tidak hanya dalam konteks cerita yang hanyut seperti yang berlaku pada waktu ini. Dengan itu hasilnya akan lebih mantap, lebih akademik dari segi pemikiran dan pengolahan, dan lebih berfaedah untuk dirinya dan pembacanya. Aspek keindahan berasaskan konsep ihsan dijelmakan melalui teknik stylization of ideas. Lebih utama dari keduanya itu ialah para pelajar akan mendapat faedah yang terbaik, berupa penelitian yang akan membuat mereka lebih cerdik, dan berani membuat keputusan sendiri, tidak menjadi pak turut. Inilah dinamika yang disediakan dalam gagasan Persuratan Baru, yang tidak ada dan tidak mungkin ada dalam mana-mana “teori” dan kaedah Barat yang paling canggih sekali pun. Sesiapa juga yang ingin mempertikaikan kenyataan dan kesimpulan ini boleh melakukannya dengan mengemukakan kajian perbandingan yang mendalam, bukan sekadar melepas batuk di tangga saja. Cabaran ini wajar disambut oleh ahli-ahli akademik yang merasa mereka mempunyai kekuatan kongnitif yang istimewa dan dapat membicarakan soal-soal falsafah dan pemikiran dengan mendalam dan terperinci. Gagasan Persuratan Baru menunggu orang-orang yang “berwibawa” ini memperkatakan peranan ilmu yang benar dalam penulisan kreatif dan penilaiannya. Amat wajar jika karya-karya yang sudah terbit itu dianalisis dengan menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru untuk melihat kualiti sebenar karya itu dan kualiti analsis para penilai sendiri, di samping menunjukkan keupayaan gagasan Persuratan Baru melaksanakan tugas ilmiahnya dengan objektif jika dibandingkan dengan “teori-teori” Barat yang menjadi pegangan ahli-ahli akademik, sarjana dan yang sejenis dengan mereka.
Ahli-ahli akademik dan para sarjana tidak seharusnya merendahkan darjat mereka ke taraf yang paling rendah dengan menjadi kumpulan picisan dengan menyebarkan gosip dan fitnah terhadap seseorang tokoh yang mereka tidak berkenan, dan lebih buruk lagi cuba menghalang kebebasan akademik di kalangan para pelajar dengan menidakkan permintaan para pelajar untuk menggunakan gagasan Persuratan Baru sebagai landasan kajian mereka. Cerita-cerita karut begini memang wujud dan timbul dari semasa ke semasa, termasuk ketika diadakan peraduan menulis kritikan dalam projek Akademi Sastera yang diadakan baru-baru ini. Adakah ahli-ahli akademik ini mahu para pelajar mereka forever (penggunaan bahasa Inggeris ini disengajakan) berada di tahap “pelajar tahun empat” yang menjadi kebanggaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? (Rujuk tulisan beliau dalam Berita Harian/Berita Minggu bertarikh 25 Disember 1983; 1 Januari 1984; 22 Januari 1984, untuk melihat contoh-contoh keistimewaan “pelajar tahun empat” ini.) Bagaimana jika pensyarah dan profesor sendiri masih berada di tahap pelajar tahun empat itu? Kemungkinan itu ada, malah dapat dilihat dalam tulisan-tulisan mereka yang memang setaraf dengan kertas “assignment” pelajar tahun empat, walaupun mereka sudah lama berada dalam dunia akademik dan sudah berjaya mendapat gelaran tertentu sebagai bukti pencapaian akademik mereka. Kritikan (atau pandangan kritis) Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan dan Prof. Madya Dr. Ramli Isin dalam tulisan mereka yang diterbitkan dalam buku Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera (DBP, 2006) menceritakan perkara ini dengan agak baik dan wajar mendapat perhatian kita semua. Dalam dunia akademik Barat, khususnya di Amerika Syarikat, masalah ini (kerana perkara ini memang suatu masalah besar dalam dunia akademik kita) dibincangkan dengan tegas dan kritis oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit (2005, daripada esei 1982), dan dibahaskan oleh ahli-ahli akademik (dalam bidang falsafah) dengan agak riuh. Mereka pun menghadapi masalah seperti kita juga, kerana mereka pun manusia macam kita juga. Tetapi huraian terbaik, jelas dan sangat berfaedah ditelaah telah dilakukan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam And Secularism (1978), yang membicarakan soal “kekeliruan dalam konsep ilmu”, tentang kehilangan adab, dan merebaknya para pemimpin palsu dalam masyarakat, termasuk dalam dunia akademik. Nampaknya buku ini dibenci oleh ahli akademik, membuktikan betapa benarnya pemerhatian dan analisis Prof. Naquib tentang masalah kehilangan adab itu. Sejauh mana kita berada dalam dunia “bullshit” yang dibincangkan oleh Prof. Frankfurt itu? Gagasan Persuratan Baru mencuba mengembalikan adab yang hilang dalam persuratan Melayu itu dengan mengajak ilmuan, penulis dan para sasterawan kembali kepada taklif. Itulah jalan yang paling baik bagi orang yang berakal sihat. (Bahagian akhir akan menyusul).
No comments:
Post a Comment