Kemunculan gagasan Persuratan Baru menyerlahkan pentingnya kedudukan ilmu yang benar dalam penulisan kreatif, dengan memberi penekanan kepada konsep taklif, wacana dan cerita sebagai tiga konsep asas untuk dijadikan panduan dalam penulisan kreatif dan juga dalam analisis dan penilaian karya kreatif dan akademik. Ilmu yang benar merujuk kepada sumber al-Quran, Sunah Nabi SAW, ijmak ulama, pengalaman kerohanian para ahli sufi tingkat tinggi seperti Ibn Arabi dan tokoh-tokoh sufi yang setaraf dengannya (selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunah). Penemuan ahli sains dalam berbagai-bagai bidang ilmu masing-masing boleh diterima sekiranya selaras dengan sumber asal, Al-Quran dan Hadis dan ijmak. Ilmu yang benar dalam Islam bukan sekadar pengetahuan dan kemahiran yang mengiringinya, tetapi bersandarkan akidah yang ditentukan oleh al-Quran dan Sunah.
Yang disebut di sini ialah asasnya, bukan perincian. Misalnya: dalam Ilmu Jiwa (psikologi), pendapat Freud tidak boleh dipakai sebelum ditapis dan dinilai dengan kritis berasaskan sumber tadi; misalnya, pendapatnya tentang hakikat insan adalah bertentangan dengan yang difahami dalam Islam (sebagai contoh rumusan Imam Ghazali tentang hakikat insan). Oleh sebab itu, sekiranya pandangan Freud dan cabang-cabang yang terhasil daripada pendapat asalnya, hendak digunakan dalam menganalisis dan menilai karya kreatif, maka pandangan itu hendaklah dilihat dalam konteks hakikat insan dalam Islam, untuk mengelak kekeliruan. Artinya: pakai dengan kesedaran yang mendalam tentang hakikat ilmu yang benar, bukan dipakai tanpa rujukan dalam kerangka yang disediakan oleh Islam dalam tulisan para ulama yang berkenaan. Peringatan ini penting kerana sudah menjadi kebiasaan bagi sarjana, pengkritik dan sasterawan Melayu untuk menerima sesuatu yang berasal dari Barat tanpa saringan berasaskan konsep ilmu yang benar. Jika ini terjadi di universiti, maka kecelakaan ilmiah yang akan berlaku amat serius dan boleh membawa padah yang amat buruk dalam pemikiran dan cara bertindak anggota masyarakat. Sarjana Islam tidak harus mendedahkan dirinya untuk ditipu dan tertipu dengan pemikiran Barat, oleh itu dia harus mengetahui dengan mendalam tradisi keilmuan Islam dalam tamadun Islam, dan juga asas pemikiran Barat yang ingin dipakainya. Dengan itu dia akan memakainya sebagai orang yang berilmu, bukan sebagai peniru seperti yang terjadi pada waktu ini. Untuk mencapai kedudukan yang diingini bukan lagi satu harapan, tetapi satu kemestian ilmiah yang tidak boleh dipandang remeh.
Sikap positif umat Islam terhadap ilmu telah diisyaratkan oleh Rasulallah SAW dalam sabda baginda: Hikmah itu kepunyaan orang Islam yang hilang; di mana saja kamu bertemu, ambillah. Tidak ada sikap anti-ilmu dalam Islam. Sikap anti-ilmu itu hanya berada di kalangan Panel Anugerah Sastera Negara, dan kumpulan yang sejiwa dengan mereka, yang tidak boleh menerima kehadiran pemikiran kritis yang dianggap menggugat kedudukan mereka yang bertenggek di tebing curam “teori” Barat, yang sebenarnya tidak mereka kuasai dan fahami dengan mendalam dasar-dasar falsafahnya. Kerakusan mereka meniru dan menerima apa juga yang datang dari Barat menguatkan semangat mereka untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai kumpulan anti-ilmu, dengan membenci tokoh-tokoh ilmuan yang tidak mampu mereka saingi seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, seorang ahli fikir Melayu yang setanding dengan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang silam mahu pun yang kontemporari. (Akan disambung dalam Bahagian III.)
No comments:
Post a Comment