Friday, September 27, 2019

ANALISIS TERBAIK TENTANG NOVEL MINI-ENSIKLOPEDIA PUJANGGA MELAYU




Catatan: Allahyarham Adib telah diberi keadilan sewajarnya walaupun terdapat usaha pihak tertentu untuk menutup kebenaran dengan menggunakan kedudukan rasmi mereka. Dalam kes Pujangga Melayu pula, amat jelas terdapat sekumpulan pengganas sastera yang berusaha menafikan kehebatan PUJANGGA MELAYU untuk melindungi karya picisan para sasterawan negara. Sila baca kembali entri ini untuk melihat bagaimana keganasan dan kekejam intelektual  berlaku dalam  sastera Melayu moden untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara yang karya mereka tidak dapat menandingi karya yang menentang kedudukan palsu para sastrerawan negara ini. Keadilan intelektual wajib ditegakkan!



 
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam buku beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, cetakan pertama 2009), amat berhati-hati dan sangat cermat ketika menghuraikan dan menganalisis Gagasan Persuratan Baru. Bagi saya inilah contoh kecemerlangan akademik yang tidak dapat diremehkan oleh sesiapa saja yang mempunyai maruah akademik yang tinggi dan murni.  Dengan terbitnya buku penting ini, tidak ada apa-apa alasan pun dari para sarjana sastera, para pengkritik, dan para sasterawan sendiri, untuk tidak menerima kemunculan PB sebagai satu alternatif yang akan memberi kecemerlangan baru dalam perkembangan ilmu, persuratan Melayu, dan penghasilan karya kreatif yang berteraskan konsep ilmu yang benar.  Reaksi sehabis kecil yang boleh dilakukan oleh para sarjana sastera dan para pengkritik, termasuk juga para sasterawan, ialah menolak analisis ini sebagai hanya permainan akademik yang tidak bermakna apa-apa dalam perkembangan ilmu.  Tentu saja lebih baik jika mereka memberikan sanggahan mereka yang objektif untuk menolak kehadiran PB sebagai satu alternatif yang diperlukan dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia.  Sikap membisu yang mereka ambil tidak memberi faedah kepada mereka, malah boleh disifatkan sebagai menghalang perkembangan ilmu dan pemikiran baru dalam sastera Melayu.  Walaupun kehadiran PB menjadi cabaran besar kepada pemilihan para sasterawan negara, namun PB tidak berminat untuk menghukum para sasterawan negara ini, kerana PB hanya berminat memberikan analisis yang objektif kepada karya para sasterawan negara ini dilihat daripada ukuran yang diberikan oleh PB.  Dalam dunia akademik, cabaran seumpama ini adalah biasa dan perlu dihadapi dengan kontan oleh sesiapa juga yang berasa tercabar.

Peluang untuk para penentang PB memberikan sanggahan mereka menjadi lebih mudah dengan adanya buku Dinamika Pemikiran Sastera Melayu ini. Oleh itu, apa lagi yang anda tunggu, pengayuh sudah di tangan, gerakkanlah perahu akademik anda ke arah mana yang anda mahu dalam sungai besar akademik yang kini terbuka luas untuk diteroka oleh sesiapa saja yang berminat.  Waktu untuk mendiamkan diri sebagai “lembu kenyang”  tidak boleh diterima dalam dunia akademik yang sudah berubah.  Sebagai ahli akademik, anda tidak wajar mendiamkan diri apabila dicabar untuk tampil memberikan  hujah anda yang masih berpegang kepada kekeliruan dalam memahami konsep ilmu seperti yang difahami dalam kebudayaan anda sendiri. Tamadun yang anda warisi sekarang dibina oleh para cendekiawan dan para ulama yang jelas konsep ilmunya; oleh itu anda tidak mempunyai hujah sama sekali untuk menafikan kehadiran mereka dalam pembinaan tamadun yang kita semua warisi sekarang, tamadun yang berasaskan konsep persuratan yang bertunjangkan ilmu yang benar.

Dalam konteks inilah telaah anda yang jujur dan kritis terhadap buku Dinamika Pemikiran Sastera Melayu akan memberikan pencerahan yang amat anda perlukan untuk memahami perkembangan ilmu dalam pembinaan tamadun Malaysia.  Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya itu memberi analisis yang amat cermat terhadap novel persuratan Pujangga Melayu, yang wajar didekati dengan kritis oleh sesiapa juga yang berkecimpung dalam dunia sastera; lebih-lebih lagi apabila penilaian seorang sarjana terhadap novel Naratif Ogonshoto tidak boleh dipertahankan, oleh itu harus diterima kesimpulan bahawa novel itu adalah sebuah novel picisan jika dinilai daripada perspektif ilmu dan keterampilan pemikiran pengarangnya ketika menghasilkan novel itu.  Percubaan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk meletakkan novel itu sebagai novel Melayu teragung yang tiada tandingannya, sebuah karya agung sepanjang zaman, ternyata tidak berasas kerana tidak berlandaskan konsep ilmu yang benar yang sudah menjadi asas perkembangan persuratan Melayu sejak beratus tahun. Tidak mungkin sarjana ini tidak tahu hakikat sejarah ini. Walau  bagaimana pun, kita bersedia menerima analisis beliau sekiranya beliau menolak kesimpulan yang diberikan ini sebagai tidak berasas. Kemukakan hujah anda kerana itulah pilihan terbaik dan paling selamat untuk menjaga maruah akademik anda.

Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah meletakkan pencapaian penyelidikan akademik yang tinggi untuk diteladani oleh para sarjana sastera yang kebanyakannya agak selekeh hasil “penyelidikan” atau analisis mereka. Saya telah mengemukakan contoh-contoh yang terlalu jelas keselekehannya, seperti syarahan perdana yang dikemukakan oleh Prof. Rahman Shaari tentang sajak-sajak Melayu, hasil penyelidikan Dr. Mawar Shafei tentang novel-novel Anwar Ridhwan, kajian  Dr. Norhayati Ab.Rahman tentang “the poetics of adultery” dalam sastera Indonesia dan Malaysia, tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang Naratif Ogonshoto sebuah novel oleh Anwar Ridhwan, dan yang paling menonjol ialah sikap anti-ilmu dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 anjuran ITBM yang tidak langsung menyebut peranan ilmu yang benar dalam kritikan sastera.  Kita dapat melihat bagaimana sarjana sastera berlumba-lumba kononnya “memperkenalkan” kaedah baru dalam kritikan dan teori sastera yang diambil dari Barat seluruhnya, menunjukkan mereka tidak mampu berfikir secara kritis, hanya menjadi peniru buta sahaja. Semua ini anda boleh lihat dalam kertas kerja Seminar Pemikiran Sasterawan Negara yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Walaupun Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pernah mengatakan tidak wajar teori sastera Barat dijadikan ukuran dalam kritikan karya Malaysia yang ditulis dalam bahasa Melayu, namun beliau sendiri menerima dengan baik, malah bangga, apabila karyanya dinilai dari perspektif Barat dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.  Semua mereka ketakutan apabila digesa menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas kritikan sastera Melayu. Kata mereka, sastera Melayu dihasilkan berasaskan teori sastera Barat, tidak berasaskan nilai-nilai Islam; oleh itu tidak wajar jika karya mereka dinilai daripada perspektif Islam. Bagi mereka, inilah jawapan yang paling akademik dan jujur!

Hendak ke mana kamu semua, para sasterawan negara dan sarjana sastera?  Pertanyaan ini tidak dapat dielakkan, oleh itu mereka wajib menjawabnya atau memberi penjelasan yang munasabah.  Lebih-lebih lagi apabilapernah menegaskan karya sastera Melayu mesti dinilai daripada perspektif Melayu, bukan perspektif Barat atau Islam. Sehingga ini belum lagi ada penjelasan tentang keputusan yang aneh ini. Siapakah di antara sarjana sastera yang akan tampil memberi penjelasan tentang perkara ini?  Yang pasti, tiada seorang pun di antara mereka yang mempunyai keupayaan akademik yang tinggi untuk membicarakan persoalan yang rumit ini. Kerana semua mereka telah menolak PB, maka mereka kini berada dalam kebingungan yang aneh yang tidak sepatutnya dialami oleh para sarjana.

Itulah situasi yang kita hadapi sekarang dalam sastera Melayu. Semua ini hasil dari kegigihan mereka menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif yang terbaik, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Dan juga dalam rencana akademik beliau, “Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to Western Literary Methodologies” (ASIATIC, vol. 9, no. 1, June 2015).  Dua dokumen penting ini nampaknya tidak dibaca atau tidak diketahui oleh para sarjana sastera, kerana keangkuhan mereka untuk tidak menerima perubahan walaupun dahulunya mereka bising seperti murai bercakap tentang perubahan paradigma dalam sastera Melayu.  Sekiranya ada konsep munafik dalam sastera, mungkin inilah wajahnya.

Keangkuhan kumpulan Mutual Admiration Club ini menjadi penghalang besar kepada perkembangan pemikiran dan pendekatan baru dalam sastera Melayu.  Inilah kumpulan yang memilih para sasterawan negara dan yang mempertahankan sasterawan negara itu secara picisan sekali, sama picisannya dengan karya para sasterawan negara sendiri. Supaya berlaku adil, saya sering menawarkan supaya karya kreatif dan akademik saya dinilai bersama karya mereka. Sehingga ini mereka tidak melayan cabaran ini kerana mereka yakin mereka akan kelihatan jelas sebagai kumpulan penulis picisan dan cetek meraba-raba dalam bidang akademik.  Sekali lagi kita dapat melihat kebenaran kesimpulan ini dalam buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, yang diselenggarakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Apakah kesimpulan kita dalam perbincangan ringkas ini?  Ada dua keadaan yang memerlukan penjelasan untuk keluar dari kekeliruan tentang peranan ilmu ini. Pertama, para sarjana yang menerima teori sastera Barat sebagai jawapan dan asas perkembangan sastera Melayu perlu memberi penjelasan mengapa dalam konteks itu mereka perlu menolak peranan Islam yang definitif dalam perkembangan kebudayaan Melayu seperti yang telah dihuraikan dengan mantap sekali oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hingga kini mereka belum lagi membuktikan kesimpulan Prof. Syed Naquib itu bertentangan dengan jalannya sejarah Alam Melayu yang menerima Islam sebagai teras kebangkitan tamadun Nusantara.  Kedua,  dari segi apa pencapaian kreatif dan akademik para sasterawan dan sarjana yang menjadikan teori Barat sebagai panduan mereka telah melonjakkan kemajuan berfikir dalam perkembangan kebudayaan dan pemikiran yang berasaskan konsep ilmu yang benar.  Adakah dua keadaan ini saling bertentangan sehingga memaksa kita memilih salah satu, dan jika ini berlaku apakah kesannya terhadap perkembangan ilmu? Kita lihat nanti reaksi mereka, yang saya yakin akan mendiamkan diri dalam sikap dan tabiat “lembu kenyang” yang telah dibudayakan oleh para sasterawan dan sarjana sastera.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 Ogos 2018.


Monday, September 23, 2019

PEMBAKUAN UKURAN YANG TERTINGGI YANG TELAH DISEDIAKAN KEPADA KITA



Pada halaman 146, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019), terdapat kutipan ini:

“Bayangkan anda seorang Imam Ghazali yang menulis Tahafut al-Falasifah, atau seorang Ibn Rushd yang kemudiannya menulis Tahafut al-Tahafut, ketika itu anda akan dapat merasakan gempuran perbahasan tentang ilmu daripada dua orang ulama dan ahli ilmu dalam Islam, dan anda mendapat faedah daripada kedua-duanya walaupun mereka bertentangan pendapat. Itulah pembakuan ukuran yang tertinggi yang telah disediakan kepada kita semua yang mencintai ilmu dan ingin memberi sumbangan besar dalam perkembangan ilmu. Dengan kesedaran itu, para ahli akademik, atau sarjana, atau pengkritik sastera, tentulah akan menjaga standard mereka dalam bidang ilmiah ini, supaya tidak kelihatan terlalu lekeh padahal telah menulis tesis atau buku yang tebal-tebal. Buku atau tesis boleh saja tebal, tetapi anda sendiri tidak patut bermuka tebal melahirkan buku atau tesis yang amat kerdil dari segi sumbangan terhadap ilmu atau bidang pilihan anda.”

Pengaruh Hindu-Buddha terlalu kuat dalam sastera Melayu, yang melahirkan Brahmin Sastera  yang tidak boleh dikritik, kerana mereka dianggap “suci” tanpa sebarang kelemahan. Itulah kedudukan yang diberikan kepada para sasterawan negara oleh para sarjana sastera dan sasterawan sendiri, dengan sokongan kuat pemerintah, yakni ahli politik, yang direstui oleh Yang di Pertuan Agong sendiri melalui tauliah yang dianugerahkan baginda.  Inilah kedudukan yang akhirnya melahirkan kekaguman melampau terhadap teori sastera Barat dan para sarjana sastera mereka.  Inilah yang kita lihat dan yang kita dapat jika kita membaca kertas kerja para sarjana yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara dalam seminar yang dianjurkan oleh DBP.  Dalam konteks perkembangan ilmu dan perkembangan intelektual, keadaan ini bertentangan dengan jalan sejarah yang dilalui oleh bangsa Melayu yang menghormati ilmu yang benar disampaikan oleh para ulama dan para cendekiawan mereka. Golongan pinggiran yang menentang jalan sejarah ini, yang dipanggil para sasterawan dan sarjana sastera, muncul sebagai penyeleweng jalan sejarah itu setelah mendapat pengaruh yang begitu besar daripada teori Barat yang tidak pun mereka kuasai, yang jika mereka tahu mungkin mereka akan menolak teori Barat yang menolak Tuhan itu. Golongan inilah yang menjadi penganut tegar falsafah (?) pandirisme dalam sastera Melayu, yang menjadi pembela dan pelindung kepada para sasterawan negara. Lihat buku Pandirisme dalam Komuniti Dunia  untuk memahami mengapa konsep pandirisme ini penting dalam perkembangan sastera Melayu.

 Pandirisme wujud setelah konsep ilmu yang benar itu ditolak oleh para sasterawan dan sarjana sastera.  Falsafah pandirisme inilah yang diajarkan kepada maha siswa pengajian Melayu di universiti Malaysia, kecuali di UKM dan UPM yang menerima Gagasan Persuratan Baru sebagai satu disiplin pengajian sastera berasaskan konsep ilmu yang benar.  Pemilihan para sasterawan negara itu sendiri pun menyerlahkan bagaimana pandirisme menjadi asas  pemilihan sejak tahun 1981 hingga sekarang.  Tidak seorang pun di antara para sasterawan negara itu menulis karya mereka berasaskan konsep ilmu yang benar; malah seluruhnya berpandukan teori sastera Barat yang menjadikan kebebasan berkarya sebagai asas penulisan kreatif.  Betapa degilnya golongan ini mendakap teori sastera Barat yang anti-agama itu mendorong mereka mengemukakan bermacam-macam slogan, yang nampaknya berakhir dengan slogan baru “sastera untuk pembangunan”.  Maksud pembangunan di situ ialah pembangunan material seluruhnya; jiwa manusia ditinggalkan kosong walaupun diisi dengan pandirisme yang menjadi asas penulisan kreatif mereka. Contoh-contoh kepalsuan pandirisme ini sudah pun dibahaskan dalam Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Para sasterawan negara, dalam kejahilan mereka yang didorong oleh keinginan besar untuk berbohong, mengatakan manusia perlukan sastera untuk hidup sempurna.  Mereka berkata dengan berani tanpa sebarang tanggungjawab ilmiah bahawa pengajaran sastera itu akan menjadikan pelajar bijak dan sensitif kepada kejahatan. Di mana buktinya? Dalam budaya Barat sekali pun bukti itu tidak ada, walaupun mereka berpendapat sastera itu lebih baik daripada agama dan kitab-kitab agama.  Adakah faham ini sudah merebak di Malaysia?  Pendapat yang tidak siuman ini diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera, dengan itu mereka meletakkan hiburan dalam sastera lebih tinggi daripada kebenaran agama berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajarkan al-Quran.  Saya ulangi perkara ini berkali-kali untuk memperingatkan anak-anak muda bahawa mereka tidak boleh dibohongi dan ditipu oleh pendapat palsu yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera.  Bukti bahawa inilah pegangan mereka boleh kita lihat dalam ucapan mereka bahawa pengajaran sastera adalah wajib untuk membina peribadi unggul para pelajar, dengan memberi contoh karya para sasterawan negara itulah yang akan menyedarkan pelajar betapa pentingnya membaca karya para sasterawan negara untuk membina peribadi unggul mereka sendiri.  Bagaimana karya picisan yang dihasilkan oleh para sasterawan negara ini boleh membina peribadi unggul? Satu-satunya cara atau kaedah untuk melihat kepalsuan pendapat para sasterawan negara dan sarjana sastera ini ialah dengan menguji pendapat mereka berasaskan konsep ilmu yang benar, yang diberi penjelasan yang mudah difahami, diberikan dalam buku Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2 (Penerbit UKM, 2014, 520 halaman; diberikan contohnya sekali.)

Para sasterawan dan sarjana sastera telah menolak buku ini dengan alasan bahawa buku ini menolak teori sastera Barat yang dipakai secara rasmi dalam pendidikan sastera di Malaysia.  Inilah keputusan Kementerian Pendidikan yang telah disahkan oleh Menteri kasut hitam sendiri.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 23 September 2019.



Saturday, September 21, 2019

KESELEKEHAN PARA SASTERAWAN NEGARA DAN PENYOKONG MEREKA AMAT MEMALUKAN GOLONGAN INTELEKTUAL



Keterbukaan saya untuk dicabar dari segi kreatif, akademik dan pemikiran tidak mungkin dijawab oleh gerombolan sastera yang saya kritik kerana mereka tidak mempunyai hujah. Tetapi ini tidak penting. Pada hakikatnya mereka menganggap kritikan terhadap mereka hanya salakan anjing yang tidak memberi bekas sedikit pun. Mungkin agak bising sekali sekala, tetapi tidak menggugat kedudukan mereka sebagai sasterawan picisan atau sebagai sarjana yang sesat dalam belantara ilmu yang kedudukannya sebagai sarjana yang cetek meraba-raba akan  terus kekal dalam keadaan itu, oleh itu tidak menjadi sesuatu yang memalukan mereka. Menjadi bodoh dan cetek meraba-raba tidak merupakan sesuatu yang memalukan di Malaysia asalkan seseorang sarjana mempunyai kedudukan tertentu dalam lingkungan sarjana di universiti. Maka merebaklah budaya mengajar menjadi bodoh di universiti Malaysia dalam bidang sastera.  Kedudukan ini mendapat sokongan dan dukungan dari DBP dan ITBM, dengan sokongan kuat daripada Menteri Pendidikan kasut hitam yang tidak dapat dan tidak mahu membezakan antara konsep ilmu yang benar dengan hanya maklumat cetek. Sebagai Menteri kasut hitam, dia bergantung pada maklumat yang cetek itu.   Inilah orangnya yang memilih sasterawan negara ke 14!!

Apa yang berlaku di Malaysia bukanlah perkara baru, atau wujud di Malaysia saja. Bergembiralah anda semua bahawa hal ini adalah perilaku manusia seluruh dunia. Kejahatan adalah milik semua manusia; kebaikan adalah milik orang beragama yang insaf akan keterbatasannya dan amat memelihara konsep nahi mungkar amar makruf dalam Islam. Jika para sasterawan, yang kemudiannya diangkat menjadi sasterawan negara, faham dan mempraktikkan konsep Islam yang menjadi anutan mereka, bahawa tugas besar mereka sebagai manusia beragama ialah memerhatikan dengan teliti bahawa perilaku nahi mungkar amar makruf itu dipelihara dalam semua perilaku manusia beragama. Lebih-lebih lagi di kalangan para penulis atau sasterawan, dan mendapat pemerhatian ketat daripada para sarjana yang akan menilai mereka (para sasterawan) daripada perspektif itu. Masalah besar yang kita hadapi ialah tidak ada sasterawan dan tidak pula dilaksanakan di kalangan para sarjana sastera konsep amar makruf nahi mungkar itu. Semua mereka sangat yakin bahawa dalam dunia penulisan kreatif, tidak ada batas tertentu yang boleh menghalang seseorang penulis membuat keputusan untuk tidak melanggar dua perkara itu. Contoh terbaik telah saya kemukakan dalam kes Shahnon Ahmad yang mempertahankan mengapa dia menulis novel lucah; dan khusus untuk Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, kesedaran begini  tidak ada, seperti yang dibuktikannya dengan menerima Mephistopheles (Raja Iblis) sebagai contoh kebebasan manusia. Kita lihat ini dalam sajak beliau yang sudah acap kali saya sebut dan turunkan buktinya. Para sasterawan menolak konsep Islam ini, kerana bagi mereka dalam sastera tidak ada unsur didaktik yang terkandung dalam prinsip Islam tadi.  Dalam hal ini para sasterawan Melayu menunjukkan kehebatan mereka menerima konsep Barat yang kononnya tidak boleh didaktik dalam karya kreatif kerana ini akan menjadikan karya itu tidak bermutu lagi, maka diharamkan oleh para sasterawan ini apa juga jenis yang mereka sifatkan sebagai khutbah atau nasihat yang jelas, kerana perbuatan itu merendahkan nilai karya mereka. Tidak pelik jika para sasterawan ini menerima prinsip Barat dalam penulisan dan menolak prinsip Islam kerana mereka berpendapat karya mereka tidak akan bermutu dan tidak akan dianggap sebagai karya antarabangsa jika berunsur Islam atau yang dengan tegas memperjuangkan prinsip-prinsip Islam.  Hakikat ini tidak boleh dan tidak dapat disembunyikan, terlalu jelas terbentang luas.  Pembohongan adalah senjata yang selalu berjaya digunakan oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Sila baca dengan kritis buku  Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu (2019).

Dalam konteks ini anda boleh fikirkan pendapat seorang sarjana sastera terkenal Barat yang amat dikenali di Malaysia. Kata beliau: “The argument is that there is simply no way of measuring literary worth. Any analysis is simply a subjective fiddling with  the text and has no objective value. Therefore, the choice of what texts we ought to have students read must be made on very different sorts of grounds. Those grounds are frankly political.” (Cleanth Brooks, “In defence of the canon”, Partisan Review, Spring 1991.)

Inilah juga yang terjadi di Malaysia. Tanpa pengaruh politik, tidak mungkin akan wujud sasterawan negara 1981, yang dimungkinkan dengan persetujuan Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.  Anda boleh bertanya, “Apa salahnya  dengan pengaruh politik?” Ini satu pertanyaan yang bodoh dan angkuh, kerana kedua-dua belah pihak mendapat faedah daripada persetujuan mewujudkan sasterawan negara itu, walaupun bertentangan dengan sejarah intelektual Melayu yang diasaskan kepada sumbangan ulama dan golongan cendekiawan. Para sasterawan tidak termasuk dalam golongan ini, mereka adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba.  Satu kecelakaan besar sekiranya golongan pinggiran ini dibawa ke dalam masyarakat untuk menentukan nilai-nilai baru yang palsu, seperti yang saya huraikan dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019).  Kerana adanya pengaruh politik yang menentukan kedudukan karya sastera, maka kecelakaan besar ini diusahakan untuk dijadikan sumber pengajaran di sekolah dan di universiti, dengan dukungan dan sokongan Kementerian Pendidikan, terutama peranan Menteri Pendidikan kasut hitam yang dengan terang-terang mempengaruhi pemilihan sasterawan negara ke-14 baru-baru ini.

Para sasterawan dan sarjana sangat bangga kerana adanya pengaruh politik ini dalam kegiatan sastera, kerana faedah kewangan yang mereka dapat, yang menurut istilah anak muda sekarang dipanggil dedak. Mengapa perkataan ini menjadi pilihan agak aneh, kerana yang makan dedak selain ayam dan itik ialah juga babi.  Inilah hakikat politik DAP yang memberi dedak kepada para sasterawan negara berupa imbuhan bulanan sebanyak lima ribu; tetapi para sasterawan negara ini tidak puas hati, sebagai ekspresi ketamakan mereka, maka mereka minta dinaikkan menjadi 10,000.  Wang rakyat yang membayar cukai digunakan untuk memberi habuan yang tidak sepatutnya kepada para sasterawan negara picisan ini.

Perkembangan ini tidak saja merosakkan nilai-nilai murni dalam masyarakat Malaysia, tetapi juga dari segi ekonomi merupakan satu pembaziran yang tidak wajar hanya untuk memuaskan hati segelintir penulis picisan yang diberi gelaran sasterawan negara.  Generasi akan datang akan mengutuk perbuatan ini kerana bertentangan dengan konsep keadilan yang difahami dalam Islam; oleh itu perbuatan ini adalah satu kezaliman yang tidak sepatutnya berlaku jika kita semua kembali kepada konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam.  Adakah golongan ini kumpulan yang anti-Islam? Lebih tepat jika kita hanya berkata mereka adalah golongan yang jahil, dan melanjutkan kejahilan itu dengan menolak konsep ilmu yang benar yang cuba ditanam dalam kegiatan kreatif oleh Gagasan Persuratan Baru.  Kebencian mereka terhadap PB membuat mereka dengan bangga dan sombong sanggup menjadi hamba teori sastera Barat yang mereka tidak fahami dengan mendalam, tidak sedar bahawa tiada sebuah pun teori sastera Barat itu mengaku pentingnya nilai-nilai agama dalam penulisan kreatif supaya maruah manusia tidak diruntuhkan oleh Iblis yang memainkan peranan aktif dalam memesongkan para sasterawan untuk menolak konsep ilmu yang benar itu.  Inilah gambaran yang berlaku dalam dunia penulisan para  sasterawan negara yang mereka pertahankan, bangga berada dalam kejahilan mutlak yang boleh dibaiki untuk mencapai keadilan murni dalam kegiatan kreatif, supaya tidak lagi lahir karya-karya picisan yang menentang kebenaran. Untuk memahami kesimpulan ini, anda dipersilakan membaca dengan kritis Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Para sarjana dan sasterawan berkata sastera Melayu moden tidak akan wujud tanpa pengaruh Barat, yang telah memberi acuan penulisan kepada para sasterawan  bagaimana menulis cerita pendek, sajak, novel, drama, kritikan sastera, dan lain-lain yang terdapat dalam sastera Barat.  Barangkali pada peringkat permulaan pendapat ini benar, tetapi dalam perkembangan selanjutnya, peniruan itu membekukan daya kreatif para sasterawan apabila yang mereka sebut sebagai pembaharuan itu berakhir dengan perubahan nilai dalam masyarakat Melayu apabila para sasterawan menganggap nilai-nilai Islam menjadi halangan untuk pemodenan sastera Melayu. Dengan itu para sasterawan ini menolak konsep ilmu yang benar yang mereka anggap tidak mempunyai peranan dalam perkembangan sastera Melayu moden. Keadaan inilah yang saya namakan hanyut dalam belantara teori sastera Barat, meraba-raba tidak tahu jalan keluar kerana menolak konsep ilmu yang benar itu.  Inilah kedudukan terbaru yang ditonjolkan oleh Menteri Pendidikan kasut hitam, yang tidak saja menolak konsep ilmu yang benar, tetapi juga terus mempersetankannya sebagai tidak relevan dan bertujuan untuk menyekat kemajuan orang Melayu khususnya. Maka itulah dibuat keputusan oleh Menteri kasut hitam ini bahawa Gagasan Persuratan Baru perlu ditolak kerana bertentangan dengan polisi Kerajaan Pakatan Harapan yang tidak memberi penekanan kepada nilai-nilai Islam, sebaliknya menerima multi-lingualisme sebagai satu-satunya polisi yang sesuai untuk semua rakyat Malaysia, walaupun ini bertentangan dengan kehendak Perlembagaan yang telah memutuskan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 21/9/2019