Thursday, August 30, 2018

PERANAN TIGA QUL DALAM BIDANG SASTERA



Peranan Tiga Qul ini saya sebut pertama kali dalam entri bertarikh 24 Ogos 2018 (“Pujangga Melayu dan Hadiah Nobel”), untuk memberi cara paling mudah memahami peranan PB dalam kritikan sastera. Aspek Tiga Qul ini telah dibincang dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid.  Rujuk terutamanya hal.  15-29.  Walaupun dalam teks itu tidak terdapat istilah Tiga Qul, inti sari yang diberikan dalam hal. 15-29 itu membicarakan peranan Tiga Qul ini.  Istilah Tiga Qul yang diperkenalkan dalam entri 24 Ogos 2018 itu  bertujuan untuk memudahkan sesiapa juga yang mahu memahami PB mendapat inti sari PB dengan meneliti tiga surah akhir al-Quran itu.  Seluruh falsafah persuratan yang dibincang di dalam PB berada di dalam Tiga Qul itu, dengan itu akan memudahkan para sarjana yang tidak biasa dengan  pemikiran Islam mendapat prinsip yang paling asas dalam PB. Anda boleh memahami konsep tauhid dan taklif dengan memahami secara mendalam prinsip-prinsip yang mendasari Tiga Qul itu.  Jika dengan memahami Tiga Qul ini anda masih menolak, atau ragu-ragu untuk menerima PB,  maka sahlah ada sesuatu yang tidak beres dalam “pemikiran” anda.  Apakah perkara-perkara yang tidak beres itu? Hanya anda sendiri yang boleh menjawab pertanyaan ini.

Saya hanya ingin menegaskan secara tuntas, sesiapa juga yang bergelar sarjana sastera atau profesor/pensyarah sastera, boleh bertindak sebagai pengkhianat sastera Melayu jika mereka tidak mahu kembali kepada sumber ilmu daripada al-Quran. Mereka menghasut masyarakat supaya tidak menerima Gagasan Persuratan Baru  dengan alasan yang amat lemah bahawa sastera tidak kena mengena dengan agama dan nilai-nilai agama, mana-mana agama sekali pun.  Dengan pendapat palsu ini, maka mereka ini menyamakan faham agama dengan penderhakaan terhadap agama seperti yang diagungkan di Barat. Bacalah mana-mana teori Barat sekali pun, anda akan melihat inilah fahaman mereka. Kecuali satu perkembangan baru dalam tulisan terakhir Harold Bloom, nabi sastera Mana Sikana yang banyak mencedok istilah sastera sarjana ini. (Lihat tulisan    dalam Dewan Sastera 1978 yang mengkritik peniruan bodoh dan dangkal  ini). Para sarjana sastera bersetuju penuh dengan ciplakan istilah ini kerana ini bagi mereka satu kemajuan yang kemas kini tentang sastera Barat.

Dengan memahami Tiga Qul, anda akan dapat memahami dengan lebih mudah dan lebih meyakinkan pandangan Shah Wali Allah al-Dahlawi tentang konsep ilmu, keadilan dan amal yang baik yang terhasil dari kefahaman tentang ilmu dan kedudukan konsep keadilan dalam kehidupan manusia. Inilah inti sari yang menjadi pegangan Gagasan Persuratan Baru. Yang  sebenarnya cukup mudah difahami jika anda mahu memahaminya. Lain halnya jika anda memilih untuk menjadi bodoh dengan alasan dengan berselindung di sebalik kebodohan itu anda tidak perlu memahami PB yang anda anggap sukar difahami, dan terlalu ideal untuk dijadikan panduan dalam penulisan karya kreatif dan kritikan sastera. Tetapi jika itulah alasan anda, anda harus sedar kebodohan bukanlah suatu defence. Orang yang bodoh pun boleh dihukum apatah lagi jika dia berpura-pura bodoh untuk melepaskan diri dari taklif, melepaskan diri dari memahami sesuatu yang mudah dan boleh difahami oleh manusia yang normal. Nampaknya inilah yang terjadi di kalangan para sarjana, pengkritik dan sasterawan yang menolak PB dengan alasan yang tidak masuk akal. Dilihat dari perspektif ini, mereka ini tidak layak dijadikan ikutan, apatah lagi meletakkan diri mereka sebagai penentu nilai-nilai dalam kesusasteraan. Orang yang secara jelas mengaku bodoh untuk tidak dibebankan dengan tanggungjawab, tidak wajar dijadikan ikutan seperti yang terjadi dalam sastera Melayu. Inilah aspek lain dari penolakan terhadap Panel Anugerah Sastera Negara, para sasterawan negara yang mereka pilih, dan gelaran sasterawan negara itu sendiri.  Inilah inti sari penghujahan tentang mengapa kita tidak perlukan sasterawan negara.

Menolak ciri-ciri manusia yang ditekankan dalam Tiga Qul, yang di dalamnya termasuk juga peranan syaitan dan Iblis dalam kehidupan manusia, bererti anda meletakkan diri anda dalam kandang pandirisme. Adakah pilihan ini yang terbaik? Bahawa pilihan ini menjadi pilihan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera, untuk hanya menafikan kewajaran PB sebagai falsafah persuratan, adalah satu pilihan yang mendedahkan diri anda kepada tekanan intelektual yang boleh membuatkan anda tidak siuman. Tentu saja ini bukan pilihan para intelektual dan orang-orang berilmu. Oleh itu, bagaimana anda boleh dengan yakin sekali mengatakan pilihan yang tidak siuman ini adalah pilihan yang terbaik untuk sastera Melayu?

Perbincangan kita setakat ini cukup mudah dan cukup jelas untuk mengembalikan sifat siuman anda dalam kehidupan intelektual anda sebagai sarjana, sasterawan dan pengkritik.  Oleh itu, apakah hujah anda untuk menolak PB? Katalah anda tidak menolaknya, mengapa anda masih meletakkan diri anda dalam kandang pandirisme sehingga sanggup membuat penilaian yang amat picisan ketika membicarakan novel Naratif Ogonshoto yang picisan itu.  Dalam konteks inilah saya mengemukakan Hikayat Salim Adil sebagai contoh karya yang istimewa yang gaya dan strukturnya tidak terdapat di mana-mana dalam sastera dunia. Saya menunggu penafian atau bantahan anda dengan mengemukakan contoh dari sastera dunia untuk membuktikan saya silap atau terlalu mengada-ada. Kita perlukan bantahan anda untuk membuktikan anda mempunyai maklumat yang kemas kini yang dengannya anda berhak menolak kebenaran seperti yang anda lakukan sekarang terhadap PB.  Tentulah aneh jika anda memilih pengkhianatan terhadap ilmu dan terhadap sastera Melayu dengan menolak konsep ilmu yang dijadikan asas perkembangan persuratan dalam perkembangan kebudayaan  dan kesenian Melayu (Malaysia).  Adakah telah terjadi “perjanjian syaitan” seperti yang diceritakan Goethe dalam bukunya Faust itu? Saya lebih cenderung untuk menerima andaian ini berasaskan pemujaan terhadap Mephistopheles yang terdapat dalam sajak Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, “baris-baris dari muzium goethe”. (Dalam buku beliau, sebuah unggun di tepi danau, (DBP 1996, hal. 5.) (Saya telah sebut perkara ini lama dulu dalam blog ini dan dalam tulisan lain.)  Baris pertama sajak ini dimulai dengan, “kau juga milik kami, Goethe”, diikuti seterusnya dalam baris-baris yang hebat ini: “sepertimu aku terlantar/ pada sungai takdir/ sekali murung sebagai sarjana/ tetapi sering bercermin kaca rusuh/ dan memihak pada pintar Mephistopheles”. hal. 5)  Jika itulah pendirian para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera, maka itulah juga pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia.  Dengan itu pelajar dan mahasiswa terus diajar oleh para pensyarah dan profesor sastera mereka untuk terus menjadi bodoh.  Hanya dengan memahami dan melaksanakan ajaran Tiga Qul seseorang akan menjadi siuman dan tidak terdorong untuk terpengaruh dengan “perjanjian syaitan” yang memakai logik dan ukurannya sendiri  ketika membuat perhitungan.  Tidak mungkin sastera Melayu berada dalam keterikatan kepada “perjanjian syaitan” walaupun ada di antara mereka kagum kepada tokoh Iblis yang bernama Mephistopheles itu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 30 Ogos 2018.

No comments:

Post a Comment