Kepercayaan melampau kepada sastera/karya
sastera adalah tinggalan dari daki puaka realisme dalam sastera Melayu.
Daki-daki puaka realisme ini mempersendakan realisme hakiki seperti
golongan Jahiliah dahulu mempersendakan isra' dan mi'raj. Golongan puaka realisme
ini tidak saja biadab, tetapi berusaha keras untuk menjadikan kebiadaban itu
budaya arus perdana sebagai asas pembentukan nilai dalam masyarakat beragama.
Inilah yang akhirnya melahirkan pandirisme dalam kesusasteran Melayu moden,
dalam politik, kebudayaan, pendidikan, bahasa, dan dunia akademik. Kata
pengampu (ampu berarti sokong; pengampu=pendukung) pandirisme, ujian sebenar
harga diri manusia ialah kemanusiaannya. Menurut mereka, kemanusiaan adalah
konsep bumi, yang menjadi realiti kehidupan manusia, oleh itu tidak kena
mengena dengan semangat "alien" dari angkasa (ukhrawi).
Itulah inti-pati faham sastera yang menjadi pegangan para sasterawan di
Malaysia. Mereka menolak adanya konsep ilmu yang benar, kerana penerimaan
kepada konsep itu secara automatis mengikat mereka kepada nilai-nilai yang
bersifat ukhrawi, yang kata mereka tidak berakar di bumi, oleh itu merupakan
nilai-nilai asing yang tidak perlu diberi perhatian oleh manusia yang mempunyai
sifat kemanusiaannya. Mereka tidak sedar, pendirian begitu adalah puncak
pandirisme yang tidak layak diberi perhatian kerana hanya akan membuang masa.
Dalam konteks inilah disiarkan kembali dua posting lama untuk difikirkan
kembali.
I
Perubahan Nilai Yang Merugikan Tamadun Melayu
Ketika menulis latihan ilmiahnya yang bertajuk
“Pengarang-pengarang Melayu di Singapura Selepas Perang Dunia II (1946-1958)” (Bahasa,
no. 7, akhir 1965; hal. 3-55), Ismail Hussein (kini Tan Sri Prof. Emeritus)
menunjukkan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” tidak terkenal/popular
sehingga pertengahan (?) tahun 1950-an. Beliau menggunakan istilah “pengarang”
untuk judul latihan ilmiahnya dan dalam analisisnya. Apa yang disebut golongan
tua yang menulis novel, cerita pendek dan lain-lain, tidak memanggil diri
mereka “sasterawan”, tetapi pengarang. Hanya penulis-penulis muda seperti Keris
Mas, A. Samad Ismail, Usman Awang, Hamzah, MAS (Mohammed Ariff Singapura), dan
lain-lain yang mendapat dan menerima pengaruh dari Indonesia, yang menganggap
diri mereka maju atau progresif, dengan bangga menggelar diri mereka sebagai
“sasterawan”, sebagai tanda terputusnya mereka dengan “golongan tua” yang
mereka anggap sudah ketinggalan zaman, bukan golongan progresif. Maksud
progresif itu ialah kecenderungan kepada faham sosialis, atau golongan kiri,
dalam politik dan kebudayaan, sedangkan golongan tua lebih dekat kepada Islam.
Maka apabila mereka menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (seterusnya Asas 50),
mereka dengan lantang meneriakkan slogan “sastera untuk masyarakat”. Selepas
Tanah Melayu merdeka 1957, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (yang ditubuhkan
1956 di Johor Bahru) dipindahkan ke Kuala Lumpur, para sasterawan Asas 50
memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu baru. Mereka
juga rapat dengan ahli-ahli politik UMNO, dan berjaya mempengaruhi ahli politik
itu untuk memberi hadiah “Pejuang Sastera” kepada sasterawan golongan kiri dari
kumpulan Asas 50. Dalam tahun 1981, Keris Mas, tokoh Asas 50 yang terkenal
sebagai penulis cerita pendek dan penulis esei sastera, dinobatkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional sebagai Sasterawan Negara pertama. Selepas itu
berturut-turut sasterawan Asas 50 atau yang bersimpati dengan mereka diberi
anugerah yang sama; terakhir ialah Anwar Ridhwan yang banyak membantu dan
membela golongan ini dalam tulisan-tulisannya dan dalam kuliah sasteranya di
Jepun. Dengan terlantiknya Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara ke-10, maka
berakhirlah pengaruh Asas 50. Bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa dengan
kehadiran 10 orang Sasterawan Negara ini istilah “kesusasteraan” dan
“sasterawan” yang dipopularkan oleh Asas 50 dan diterima untuk dirasmikan oleh
Kerajaan Barisan Nasional akan kekal dan tidak boleh dicabar lagi? Perkara ini
akan dibincangkan kemudian.
Kemunculan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan”
menandakan berakhirnya tradisi persuratan yang kaya dalam tamadun Melayu. Malah
istilah “persuratan” itu sendiri tidak disukai dan dimomokkan sebagai
mencerminkan kemunduran, sedangkan “kesusasteraan” itu mencerminkan kemajuan,
sifat progresif para “sasterawan”. Bagi Asas 50, usaha mereka yang pertama
ialah menghapuskan tulisan Jawi, meskipun terdapat di antara mereka yang
menjadi editor akhbar dan majalah yang bertulisan Jawi. Akhbar Warta
(Bil. 58, bertarikh 6 April 1954) menggunakan tajuk berita yang besar dan
panjang untuk menarik perhatian orang Melayu tentang matlamat sebenar Asas 50
dalam perjuangannya. Inilah tajuk berita itu: “Memorandum Asas 50: Sebabnya
Pertubuhan Mereka Menyokong KGMS (Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura)
Mencadangkan Rumi Menjadi Tulisan Rasmi Melayu. Tulisan Jawi tidak ada
hubungannya sama sekali dengan Agama Islam. Bahasa Melayu Tidak Perlukan
Tulisan Jawi. Orang Turki Telah Menyingkirkan Tulisan Arab.” Menurut pandangan
Asas 50, hanya dengan tulisan Rumi saja “kesusasteraan” Melayu baru dapat
dimajukan. Pada ketika itu, pendirian Asas 50 amat mengejutkan orang Melayu,
dengan itu akhbar Warta menyiarkan sepenuhnya Memorandum Asas 50 untuk
diteliti oleh orang Melayu. Walaupun pendirian Asas 50 tentang bahasa Melayu
dan tulisan Jawi itu karut, bertentangan dengan fakta sejarah perkembangan
bahasa Melayu sendiri, namun dengan pendirian itu mereka telah membuktikan
kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan
pengukuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia 1972 yang mengatakan, “Golongan
pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’
dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang
tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan
Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang-orang yang dari segi
kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada
jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang
terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun
terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan
Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang
terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai
oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang
palsu”.
Kita lihat nanti bagaimana para pengasas Asas 50
membuktikan sekali lagi kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas itu, dalam tahun 1981, apabila mereka mewujudkan Sekretariat Anugerah
Sastera Negara, dengan Keris Mas muncul sebagai penerima gelaran “sasterawan
negara” yang pertama. Dengan tertubuhnya sekretariat itu dan terpilihnya sasterawan
negara dari kalangan mereka, maka kesusasteraan dan sasterawan diberi kedudukan
istimewa, dengan itu tidak saja meminggirkan tulisan Jawi, tetapi juga
meminggir dan mengetepikan persuratan Melayu yang telah berjasa besar dalam
membina dan mengembangkan bahasa Melayu itu. Yang muncul dengan megah dan
bergaya sekarang ialah para sasterawan dan karya mereka yang diberi sanjungan
tinggi, walaupun pada hakikatnya mereka adalah dari kumpulan orang yang
“keliru” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam
syarahan pengukuhannya. Adakah perubahan dari persuratan kepada kesusasteraan
memberi keuntungan kepada orang Melayu?
Dalam makalahnya, Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad
Othman menjelaskan bagaimana konsep al-adab dalam persuratan Arab berubah
makna, sehingga disempitkan menjadi “kesusasteraan” dalam zaman moden. Persis
inilah yang terjadi dalam persuratan Melayu sendiri. Sekitar tahun 1920-an
hingga 1940-an, majalah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di
Kelantan, menggunakan istilah “al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis,
atau istilah pengarang yang sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib”
memperlihatkan kepekaan para editor majalah dan akhbar ketika itu kepada
tradisi penulisan dalam Islam yang berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika
Asas 50 ditubuhkan, para pendukung pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah
itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan mereka tidak wujud sama sekali kesedaran
kepada wujudnya tradisi penulisan dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan
teladan dari Barat sepenuhnya, dengan itu memutuskan sama sekali apa juga
ikatan dengan warisan persuratan Melayu yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai
Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak dan cerita pendek dalam karya-karya
mereka, mereka membebaskan diri mereka daripada apa juga pengaruh Islam.
Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina yang pada mulanya ditolak oleh
juri peraduan kerana dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam, menjadi
karya besar setelah diiktiraf oleh seorang sarjana Belanda sebagai sebuah karya
bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai sebuah karya yang tidak lagi bercorak
Islam yang dianggap mundur dan menghalang kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam
yang menjadi panduan dalam penilaian para juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan
itu Salina muncul sebagai karya besar sastera Melayu moden dan
diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga memungkinkan penulisnya
dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya perubahan nilai berlaku
dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada mulanya, mereka terima
dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan mereka dengan itu tidak
lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan tradisi persuratan Melayu
yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam penilaian mereka terhadap karya
itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat sepenuhnya, seperti yang
ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985.
II
Beban Intelektual, Beban Akademik, dan Beban Moral Dalam
Kesusasteraan Melayu Moden
Masalah tiga beban besar dalam
kesusasteraan Melayu moden tidak pernah dibincangkan, kerana selama ini masalah
ini tidak disedari, sehinggalah ditimbulkan oleh gagasan Persuratan Baru dalam
analisis dan penilaian tentang karya kreatif para sasterawan dan sasterawan
negara. Ketiga-tiga beban ini saya rangkum dalam ungkapan “keaiban intelektual”
yang menjadi masalah besar dalam kesusasteraan Melayu moden. (Rujuk Peradaban
Melayu Timur Laut, DBP Wilayah Timur 2005, hal. 209-226). Secara tidak
langsung persoalan ini telah ditimbulkan oleh dua orang sarjana yang
kedua-duanya menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Prof. Dr. Muhammad
Hj. Salleh pernah membangkitkan perkara ini dalam kata-kata beliau seperti
berikut: “... sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di
Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa
Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan
dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Teori dan
Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14). Puluhan tahun itu
berapa tahun? Tiga puluh tahun? Paling kurang dua puluh tahun, tidak mungkin
dalam masa sepuluh tahun ini. Saya lebih cenderung untuk memulai tarikhnya
tahun 1981, apabila Panel Anugerah Sastera Negara ditubuhkan. Sejak itulah
secara rasmi teori Barat digunakan sepenuhnya untuk menilai karya kreatif para
sasterawan Melayu yang dilantik menjadi “sasterawan negara”. Sejak itulah
bermulanya, secara rasmi dan dengan pilihan sendiri, penggunaan teori Barat
dalam kritikan dan penilaian karya sastera. Sebelum itu tidak rasmi, kerana
belum dikanunkan. Mulai tahun 1981, Panel Anugerah Sastera Negara mengkanunkan
teori kritikan sastera Barat sebagai satu-satunya teori yang sah digunakan dan
perlu digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara. Inilah yang mereka
namakan aliran perdana dalam sastera Melayu moden. Turut mengkanunkannya ialah
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri, yang hingga sekarang masih menjadi
anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Perkembangan yang menarik ini telah
dianalisis dan dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir
dalam Kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP
2009). Seorang anggota Panel yang lain, Prof. Dr. Zawiah Yahya, secara
radikal (mungkin lebih tepat secara sinikal) berkata, “we have to
unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our
universe and replace them with the centrality of our own country and our
own region ...”, maka dengan itu, “we will approach a text with our own
cultural schema to interpret.” Bagaimana hendak dilakukan? Masih
kabur, malah masih sangat gelap, tiada penjelasan sedikit pun yang boleh
membantu kita untuk melaksanakan gesaan yang radikal (atau sinikal)
ini. Supaya perkara ini boleh dilihat dengan lebih terperinci, sila
rujuk posting bertarikh 25 Mei 2011, bertajuk “Fitnah dalam politik dan fitnah
dalam sastera”. Dua orang anggota Panel Anugerah Sastera Negara ini
dengan jelas menggambarkan betapa beratnya beban intelektual, beban akademik,
dan beban moral dalam kritikan sastera Melayu. Orang yang kita harapkan
akan menjelaskan yang kacau, membetulkan yang salah (mereka sedar akan kesalahan
itu, tetapi tidak tahu apakah kesalahan itu), sebaliknya menambahkan lagi beban
itu dengan ucapan yang langsung tidak bermakna kerana tidak dapat dijelaskan
secara akademik. Inilah jenis “pemikiran” yang dijadikan aliran perdana dalam
kritikan sastera Melayu. (Catatan: maksud ‘fitnah’ di sini ialah
‘musibah’.)
Beban intelektual ini terlihat jelas dalam
cara Panel Anugerah Sastera Negara menulis laporan mereka. Jika anda baca
laporan itu secara kritis, anda akan berasa hairan bagaimana sekumpulan sarjana
yang dikatakan pakar dalam kesusasteraan, tidak menampakkan keaslian mereka
dalam membuat analisis dan penilaian. Seluruh konsep dan istilah yang
mereka gunakan diambil bulat-bulat dari buku-buku teori kritikan Barat. Mereka
memuji para sasterawan yang pandai meniru, seperti A. Samad Said yang meniru
teknik Barat, kerana mereka sendiri adalah peniru yang paling unggul. Apakah
yang mereka tiru dan pakai tanpa kefahaman yang wajar tentang teori sastera
Barat? Paling jelas ialah kekeliruan mereka dalam memahami konsep realisme,
yang mereka puji dijadikan asas penulisan oleh para sasterawan. Mereka tidak
jelaskan mengapa realisme itu bagus dan dari segi apa realisme itu perlu
dijadikan ukuran dalam kemajuan penulisan novel, cerita pendek dan lain-lain.
Apakah kesan beban intelektual ini?
Pertama sekali, kesan paling buruk ialah pemikiran tentang sastera menjadi
mandul, ketinggalan zaman, dan diikuti dengan sikap negatif kepada perubahan,
yakni orang-orang ini menjadi golongan yang anti-perubahan. Kemandulan
intelektual ini tidak dapat dielakkan, kerana mereka tidak berupaya menghadapi
pengaruh Barat itu secara akademik, kecuali hanya untuk menjadi peniru. Sebagai
peniru, mereka ketinggalan zaman. Sebagai contoh, mereka ini masih menggunakan
kaedah Kritikan Baru (New Criticism) dalam analisis mereka, walaupun kaedah itu
telah diambil-alih oleh dekonstruksi sejak pertengahan 1960-an di Amerika
Syarikat. Mengapa mereka masih menggunakan kaedah lama? Kerana hanya itulah
saja yang memikat minat mereka kerana lebih senang difahami (adakah mereka
benar-benar faham?) dan lebih senang digunakan dalam analisis. Mereka sebut
dekonstruksi, tetapi tidak berminat kerana mereka dapati agak sukar difahami.
Ada usaha daripada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mendorong pengkritik sastera
menggunakan dekonstruksi, tetapi dia sendiri terkejut apabila karyanya
dianalisis daripada perspektif itu, yang hasilnya tidak menyenangkan beliau.
Contoh ini perlu diberi perhatian, kerana dari contoh ini kita dapat lihat
bagaimana para sarjana kita menggunakan pendekatan tertentu untuk memuji, bukan
untuk mengkaji dengan kritis sesebuah karya atau sumbangan sebenar seorang
sasterawan. Kita boleh lihat kebenaran kesimpulan ini dalam kertas kerja
yang membincangkan “pemikiran” para sasterawan negara dalam seminar yang
dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Khusus mengenai Prof. Dr. Muhammad
Hj. Salleh, anda boleh lihat bagaimana kesemua kertas kerja ditulis untuk
memuji beliau. Tidak terdapat kertas yang agak kritis. Sebabnya ialah kerana Dewan
Bahasa dan Pustaka sendiri telah meletakkan syarat, setiap kertas kerja
mestilah ditulis untuk hanya memuji, bukan mengkritik. Menurut DBP, tidak ada
gunanya dilantik sasterawan negara, jika mereka kemudiannya dikritik dan
dinilai semula. Inilah kemuncak kemandulan intelektual yang saya maksudkan,
yang menjadi beban kepada kesusasteraan Melayu moden. Kemandulan
intelektual ini mengakibatkan lahirnya sikap negatif kepada apa juga perubahan
untuk memajukan pemikiran dalam persuratan Melayu moden. Keyakinan golongan ini
kepada teori Barat menjadikan mereka tidak boleh menerima sebarang cabaran
terhadap teori yang mereka pegang. Dalam program Akademi Sastera yang
dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Universiti Malaya dan lain-lain,
ditekankan bahawa hanya pendekatan Barat saja boleh digunakan dalam
menganalisis karya yang ditandingi. Di ASWARA, yang dikendalikan oleh
Kementerian Kebudayaan etc., pengelola bahagian sastera menekankan hanya
pendekatan Barat saja yang boleh digunakan; semua teori tempatan diharamkan
dengan alasan belum diuji kesesuaiannya. Strategi ini bagus kerana ada alasan
untuk menyekat gagasan Persuratan Baru masuk ke ASWARA!. Sikap
anti-ilmu begini adalah kesan langsung daripada pengaruh Barat dalam
sastera Melayu. Kesan langsung ini akhirnya menyemarakkan perasaan hasad
dengki yang berlebihan di kalangan segolongan sarjana dan sasterawan, untuk
mempertahankan kedudukan mereka daripada dicabar oleh pendekatan yang berbeza
daripada yang mereka pegang.
Beban akademik pula menimbulkan kegersangan
pemikiran dalam penyelidikan sastera di universiti dan dalam penerbitan. Ini
terdapat dalam kegiatan akademik “pakar” sekali pun. Saya ingin sebut dua
contoh kerana kedudukan mereka agak “istimewa” dalam kesusasteraan Melayu
moden. Contoh pertama saya ambil dari Prof. Rahman Shaari. Saya akan bincangkan
syarahan perdana beliau (2004): Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan.
Saya juga akan bincang syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (1989): Puitika
Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan. Kedua-dua contoh ini
penting kerana mereka telah diterima oleh teman-teman mereka dan diakui sebagai
pakar sastera Melayu moden yang unggul dan cukup berwibawa oleh murid-murid
mereka.
Syarahan perdana Prof. Rahman Shaari dan
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bagi saya mengecewakan, terlalu jauh terkebawah
daripada standard yang saya jadikan ukuran, yakni syarahan pengukuhan Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972). Saya telah memberi pandangan kritis
terhadap syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad dalam sebuah risalah panjang, Medan-medan
Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahana Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh (Sarjana dan Sasterawan Negara) (1994). (Disiarkan
pertama kali dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991). Walaupun Prof.
Dr. Muhammad Hj. Salleh mempunyuai pelajar 4000-5000 yang pengetahuan
sasteranya jauh lebih mendalam daripada pengetahuan Mohd. Affandi Hassan
sendiri, namun hingga kini beliau dan para pelajarnya itu tidak pernah
menyanggah kembali pandangan dan kritikan Mohd. Affandi Hassan. Saya
diberitahu, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berkata, Mohd. Affandi Hassan
tidak layak mengkritik syarahan perdana beliau, kerana tidak mempunyai
kedudukan akademik yang setaraf dengan beliau, bukan seorang profesor dan tidak
pula seorang sarjana sastera yang diakui. Agak menarik apabila Prof. Rahman
Shaari juga mempunyai sikap dan pandangan yang hampir serupa, malah bagi saya
terasa sangat aneh mengapa beliau memilih untuk menunjukkan sikap tidak sopan
apabila beliau menujukan komennya untuk merendahkan kedudukan akademik
saya dan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, tanpa memberikan sebarang hujah dan
analisis secara akademik, ketika beliau mengulas syarahan perdana Prof.
Ungku Maimunah. (Lihat komen beliau dalam Mingguan Malaysia, 16/12/2007).
Inilah kesimpulan beliau: “Kandungan buku ini [Kritikan Sastera Melayu:
Antara Cerita Dengan Ilmu] merupakan salinan (carbon copy) pandangan
pengkritik itu [Mohd. Affandi Hassan]. Sukar sekali untuk kita menemukan
pandangan Ungku Maimunah sendiri, malah kelihatannya Ungku Maimunah memang
berhasrat membiarkan ketiadaan pandangannya. Mungkin beliau berpendapat,
eloklah beliau menyampaikan pandangan Mohd. Affandi Hassan melalui satu
syarahan perdana, kerana Mohd. Affandi tidak mempunyai kedudukan untuk berbuat
demikian.” (Huruf condong ditambah).
Jelas sekali beliau tidak mempunyai
pengetahuan dan maklumat yang paling asas sekalipun tentang Gagasan Persuratan
Baru untuk membolehkan beliau memberikan komen yang objektif, oleh itu beliau
tidak dapat mengesan pembaikan dan tambahan (tentang gagasan PB) yang dilakukan
oleh Prof. Ungku Maimunah dalam syarahan perdananya. Apa yang dibuat oleh
Prof. Ungku Maimunah ialah menganalisis dan menilai pandangan saya tentang
gagasan Persuratan Baru, sambil menambah pendapat beliau sendiri yang
membolehkan sarjana seperti Prof. Rahman Shaari lebih senang memahami PB.
Misalnya, beliau mengemukakan konsep ruang naratif, konsep mod bacaan
intelektual dan mod bacaan cerita, isian ilmu dan isian cerita, untuk menyebut
beberapa sumbangan beliau yang cukup berguna untuk membantu sesiapa juga yang
ingin memahami gagasan Persuratan Baru. Tetapi kelemahan Prof. Rahman
Shaari paling menonjol ialah beliau tidak pun membaca syarahan perdana Prof.
Ungku Maimunah. Jika kita andaikan beliau membacanya, maka jelaslah beliau
tidak faham, oleh itu kesimpulan beliau tadi tidak berasas sama sekali, kecuali
untuk merendah dan mempersendakan saja. Dari halaman pertama hingga halaman 58,
Prof. Ungku Maimunah memberikan maklumat dan analisis yang mendalam tentang
faham sastera yang dipegang para sasterawan dan faham kritikan yang menjadi
ikutan para sarjana dan pengkritik sastera, termasuk Prof. Rahman Shaari
sendiri. Kedua-duanya menjadikan aspek cerita sebagai tunjang penghujahan
mereka, dengan meminggirkan ilmu atau apa-apa aspek yang bersifat ilmu. Huraian
Prof. Ungku Maimunah memberi kita gambaran yang sangat berguna untuk kita
memahami mengapa kita menghasilkan karya sastera seperti yang kita terima dan
cara kritikan yang juga meletakkan cerita sebagai aspek utama dalam
kesusasteraan (karya kreatif). Hanya mulai bahagian akhir halaman 58 hingga
seterusnya beliau berbicara tentang gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif.
Di sini pun beliau tidak menyalin tulisan Mohd. Affandi Hassan seperti yang
dituduh oleh Prof. Rahman Shaari. Sebaliknya, Prof. Ungku Maimunah menjelaskan
dalam analisis beliau mengapa gagasan Persuratan Baru itu dapat diterima
sebagai alternatif yang lebih baik daripada fahaman sastera yang dipegang
sekarang, kerana PB mengutamakan ilmu yang benar, dengan itu meneruskan warisan
persuratan Melayu yang sudah beratus tahun dikembangkan oleh para pujangga
Melayu dan Islam, yang hasilnya belum lagi dapat ditandingi oleh mana-mana
sasterawan negara sekali pun. Jadi jelas tidak timbul langsung perkara carbon
copy yang ditohmah oleh Prof. Rahman Shaari. Prof Ungku Maimunah
memberikan kesempatan yang begitu luas kepada pembacanya, termasuk Prof. Rahman
Shaari, untuk mempertikai secara ilmiah analisis beliau. Mengapa ini tidak
dilakukan oleh Prof. Rahman Shaari? Jawapannya cukup jelas: beliau tidak
membaca buku Prof. Ungku Maimunah; dan andainya beliau membacanya, beliau tidak
faham. Terdapat dua kelemahan beliau di sini: pertama, kemampuan kognitifnya
menjadi halangan untuk beliau memahami analisis Prof. Ungku Maimunah. Kedua,
dari segi adab akademik dan etika penulisan, beliau tidak berasa penting
memberi perhatian kepada dua perkara itu, oleh itu beliau memilih untuk
berbicara sebagai pembicara yang tidak membaca dan tidak memahami persoalan
yang begitu penting yang diketengahkan oleh Prof. Ungku Maimunah. Hal ini
dapat dilihat dengan jelas dalam dua aspek: pertama dalam kesimpulan beliau
tentang PB; kedua dalam syarahan perdana beliau yang secara persis membuktikan
dengan meyakinkan betapa kecenderungan kepada cerita itu tidak saja menjadi
amalan para sasterawan, tetapi juga menjadi tabiat para ahli akademik seperti
Prof. Rahman Shaari yang seluruh syarahan perdananya itu adalah pembebelan
sebuah cerita biasa tentang sajak Melayu, tanpa sebarang analisis dan tiada
pula penghujahan yang membolehkan kita memahami perkembangan sajak-sajak Melayu
sejauh ini.
Mengenai kesimpulan beliau tentang PB,
inilah kata-kata beliau: “Gagasan ini mudah, iaitu ringankan cerita dan
beratkan ilmu. Pelaksanaannya juga tidak sukar, kerana sebarang karya yang
dipenuhi hujahan yang mantap adalah karya yang dikehendaki. ... saya
masih yakin saya dapat menghasilkan karya yang berpadanan dengan kehendak
Affandi, Ungku Maimunah dan Zariat itu, jika nanti saya terdorong.” Kesimpulan
ini tidak saja mengarut, tetapi jelas timbul dari seorang profesor yang
tidak membaca buku yang dinilainya, atau jika sekiranya beliau baca, tidak
memahaminya. Jika beliau seorang ahli akademik yang menulis dalam konteks adab
akademik dan etika perbahasan yang menjadi amalan dalam dunia akademik, beliau
akan terlebih dahulu membahaskan beberapa perkara utama dalam syarahan Prof.
Ungku Maimunah (beliau harus tahu apakah isu-isu utama itu jikalau beliau tidak
menghadapi masalah kognitif), kemudian memberikan pendapat kritis beliau.
Contoh paling jelas: adakah beliau faham konsep stylization of ideas dan
bagaimana konsep itu dapat dikaitkan dengan matlamat karya persuratan untuk
sampai ke tahap “indah dan bermakna”? Tidakkah ini satu cabaran akademik
dan kreatif sekali gus? Ketika itu barulah beliau boleh berkata, “gagasan ini
mudah, iaitu ringankan cerita dan beratkan ilmu”. Sebagai seorang profesor yang
sudah memberikan syarahan perdananya, beliau tidak boleh lagi berkata sesuka
hati sebagai seorang pelajar tahun pertama yang baru ingin mengenal sastera!
Dari perspektif inilah saya akan bicarakan
syarahan perdana Prof. Rahman Shaari. Jika kita gunakan istilah “syarahan
perdana” dalam konteks kematangan penyelidikan dan penguasaan “ilmu” seseorang
profesor dalam bidangnya, maka “syarahan perdana” yang diberikan oleh Prof.
Rahman Shaari tidak boleh digolongkan dalam kategori itu. Ini hanya syarahan
biasa, mungkin satu kuliah biasa saja tentang “cerita” sajak-sajak Melayu
moden. Di dalam syarahan ini tidak ada analisis dan penghujahan yang mantap,
sesuatu yang tidak mungkin terjadi kerana tajuknya begitu umum, tidak
dikonsepsikan dalam konteks satu syarahan ilmiah yang bertujuan meneroka dengan
mendalam bidang yang dipilih. Hasilnya ialah sejenis resensi biasa tentang apa
yang berlaku dalam sajak-sajak Melayu dari zaman permulaan hingga yang terkini.
Hanya sebuah cerita, yang tidak memberi apa-apa “insight” tentang sajak
Melayu. Apa yang dilakukan oleh Prof. Rahman Shaari tidak lebih dari menderetkan
beberapa kategori sajak menurut penjenisan subjektif yang dibuatnya: ada jenis
sajak patriotik, ada sajak imaginatif (?), ada sajak sukar, dan lain-lain
kategori. Apakah yang hendak ditunjukkan oleh profesor ini? Beliau sendiri
tidak jelas, oleh itu setiap kategori yang dikemukakannya tidak dapat membantu
kita memahami mengapa sajak-sajak Melayu ditulis dalam bentuknya yang kita
terima sekarang, mengapa tiadanya pemikiran yang mendalam dalam sajak-sajak
itu, mengapa sajak-sajak itu lebih merupakan sajak-sajak peristiwa yang
berbentuk topikal, dan “mengapa” yang macam-macam lagi. Sekiranya beliau
seorang yang tajam pemerhatiannya dan mempunyai kebolehan menganalisis yang
tangkas bermain dengan idea, dia mungkin dapat melihat beberapa pola dalam penulisan
sajak-sajak Melayu. Misalnya, benarkah terdapat sajak-sajak intelektual, dan
siapakah pensajaknya? Apakah persoalan yang mereka kemukakan dalam sajak-sajak
intelektual itu? Mengapa begitu banyak sajak-sajak protes ditulis, apakah
persoalannya dan mengapa persoalan itu menjadi pilihan pensajak? Adakah semua
pensajak Melayu bersifat suka mamprotes melalui sajak-sajak mereka? Kita selalu
dengar wujudnya sajak-sajak romantis. Apakah ciri sajak romantis? Mengapa
ditulis dan oleh siapa? Tetapi yang lebih penting, yang akan benar-benar
membuat kita tidak berasa malu menggunakan istilah “penyair” dan puisi, ialah
penemuan kita nanti siapakah tokoh yang dapat digelar penyair itu? Apakah
sumbangannya dari segi pemikiran dan pemuisian? Kita sepatutnya sudah boleh
menulis dalam konteks yang dibayangkan di sini, mengingat kita mempunyai
beribu-ribu pensajak dan semua mereka menggelarkan diri mereka “penyair”. Dalam
konteks ini, adakah istilah “penyair” itu tepat dan saksama untuk
digunakan? Berkaitan dengan persoalan ini juga ialah persoalan mengapa
tidak terdapat sajak falsafah, sajak keagamaan yang membicarakan falsafah Islam
dan ajaran Islam, atau sajak-sajak jihad. Di dalam cerita tentang sajak yang
dipaparkan oleh Prof. Rahman Shaari ini, tidak ada langsung dikemukakan
sajak-sajak keagamaan. Adakah ini membuktikan kesusasteraan Melayu moden, dan
sajak-sajak moden, meminggirkan persoalan ilmu dan persoalan agama ini? Padahal
para pensajak ini semuanya beragama Islam. Apa sudah jadi terhadap mereka? Kita
mahu tahu kerana ini akan membuktikan kepada kita sifat dan hakikat sastera
Melayu moden itu sendiri, sejauh mana dekatnya dengan Islam dan sedekat mana
pula jauhya dengan Islam? Semua ini perlu dibahaskan, kerana dari perbahasan
bercorak begini saja baru kita dapat berkata: sajak-sajak Melayu moden telah
memberi sumbangan yang besar dalam pembinaan tamadun bangsa Melayu moden.
Kerana ini tidak dianalisis dan dinilai dengan teliti dan objektif, kita tidak
sekali-kali boleh berkata sajak-sajak dan para pensajak telah memberi saham
yang besar dalam pembinaan tamadun kita, kerana kita tidak mempunyai bukti yang
dihujahkan dengan mendalam. Oleh itu, apa yang disebut syarahan perdana tentang
sajak-sajak moden yang mantap itu sebenarnya hanyalah sebuah esei biasa yang layak
ditulis oleh seorang pelajar tahun pertama yang baru belajar tentang sastera,
atau paling baik ditulis oleh pelajar tahun empat Prof. Dr. Muhammad Hj.
Salleh. Tetapi tidak sekali-kali boleh diterima sebagai sebuah syarahan
perdana seorang profesor.
Kita agak keras dalam membuat penilaian
ini, tetapi ini tidak dapat dielakkan, kerana kita kini berdepan dengan
perkembangan ilmu di universiti. Adakah “ilmu” itu hanya sejenis cerita biasa
tentang sesuatu tajuk yang kita pilih, atau terdapat ciri-ciri lain yang
menjadikan tajuk itu satu tajuk yang penting dalam perkembangan ilmu, yang
mesti dihuraikan dengan mendalam dalam satu analisis yang cermat dan
benar-benar untuk menyumbang dalam bidang ilmu. Dari perspektif ini,
istilah “syarahan perdana” yang kita pakai seharusnya mencerminkan kecanggihan
berfikir dan menganalisis sesuatu persoalan besar dalam bidang ilmu yang kita
pilih, bukan hanya sejenis ocehan biasa seperti yang dikritik oleh Martin
Heidegger. Dalam pengertian yang sepatutnya kita gunakan untuk istilah
“syarahan perdana” itu, kita dapat menerima “syarahan perdana” yang diberikan
oleh Prof. Ungku Maimunah sebagai “syarahan perdana” kerana ciri-ciri ilmiahnya
sangat ketara, dan syarahan itu benar-benar memberi sumbangan yang besar dalam
usaha memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu moden. Tetapi
ciri-ciri ini tidak ada dalam “syarahan perdana” Prof. Rahman Shaari. Oleh itu,
tidak perlulah beliau “berasa terkilan” kerana Mohd. Affandi Hassan tidak
berpeluang mengucapkan “syarahan perdana” beliau, jika yang akan beliau lakukan
hanya meluahkan sejenis ocehan dengan pretensi akademik yang sebenarnya tidak
akademik. Kita tidak perlukan “syarahan perdana” selak kain seperti yang
dilakukan oleh Ratu Balqis, yang tidak dapat membezakan antara realiti semu,
atau ilusi, dengan realiti hakiki bahawa air yang dilihat Balqis bukanlah air,
tetapi hanya lantai berkilat untuk dipijak, bukan kolam untuk direnangi.
Barangsiapa yang tidak faham ibarat ini, maka orang itu tidak layak memberikan
syarahan perdananya walaupun dia sudah jadi profesor seratus tahun!
Kelemahan paling besar dan paling menonjol
dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari ialah aspek teori dan kaedah yang
digunakan. Pertama sekali, seperti yang telah saya sebut, tajuknya terlalu umum
dan tidak mengarah kepada “tujuan terakhir semua kajian”, seperti yang
ditegaskan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, “ialah menemukan suatu teori
untuk bidangnya, yang dalam liputan dan perbincangannya dapat menerangkan,
sekurang-kurangnya dengan wawasan terbaru, makna bidang itu sendiri.” Petua
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah tepat dan perlu dijadikan panduan,
walaupun beliau sendiri gagal melakukannya dalam syarahan perdana beliau
sendiri. Kita sebenarnya tidak mendapat apa-apa yang berguna atau
yang luar biasa setelah membaca syarahan perdana Prof. Rahman Shaari, kecuali
menemui beberapa buah sajak yang menurutnya “mantap”, yang telah kita temui
lebih awal daripada beliau. Definisi “mantap” itu sendiri pun tidak jelas,
hanya mengutip pendapat atau pandangan beberapa orang sarjana, penulis sajak,
dan kupasan ringkas (terlalu ringkas) beliau sendiri yang tidak jelas. Daripada
H. Coombes diambil idea “poetic thought” (diterjemahkan sebagai “pemikiran
puitis”): “Puisi yang memuatkan pemikiran tinggi yang dibaluti teknik dan stail
yang indah” (hal. 9). Sekejap kemudian Prof. Rahman Shaari memberikan sanggahan
kecil: “Kemantapan puisi tidak ditentukan oleh ciri yang di atas saja.” Lalu
beliau mengutip pendapat Subagio Sastrowardoyo (ejaan Ensiklopedi Sastera
Indonesia, hal. 760) yang menurutnya kekuatan puisi moden amat bergantung
pada keaslian pengucapan penyair (hal. 10). Penyair tidak mengulang ucapan yang
sedia ada. “Isi tidak akan dapat menghasilkan kemantapan karya jika tidak
dibantu keaslian yang memikat”. Dan inilah kesimpulan beliau: “Kemantapan
akhirnya terlihat bergantung pada keupayaan penyair mengeksploitasikan bahasa
hingga menghasilkan puisi yang tebal dengan unsur estetika”. Entah
bagaimana kita membaca kesimpulan yang aneh ini: “Penyair mungkin
mengaplikasikan pengetahuan psikologi (terutama psikoanalisis) dan falsafah
...” untuk menulis sajak yang mantap, lalu disebut nama Baha Zain dan Subagio
Sastrowardoyo sebagai contoh penulis yang menggunakan psikologi. (Sekadar
catatan kecil: Baha Zain sebenarnya terpengaruh oleh Subagio, atau
sekurang-kurangnya mendapat ilham daripada penulis Indonesia itu. Prof. Rahman
Shaari menegaskan, dua orang penulis ini terpengaruh oleh
psikoanalisis!). Dengan berkata, isi tidak menentukan kemantapan sesebuah
sajak, tanpa keaslian bahasa yang memikat, maka beliau telah menafikan
sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh yang menurut beliau, “Penekanan terhadap
pemikiran dalam sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh tidak terlalu mencabar fikiran
pembaca, kerana pengutamaannya bukanlah aspek itu, sebaliknya dia bersajak
dengan perasaan yang ditipiskan. Baginya, sajak-sajak tidak boleh terlalu
emosional, kerana ketebalan emosi akan dengan sendirinya menipiskan pemikiran”
(hal. 35). Apakah maksud Prof. Rahman Shaari dengan kesimpulan ini? Dia
mengatakan sajak “Pulang Si Tenggang” menggoncangkan fikiran (hal. 31).
Sajak itu tidak mempunyai pemikiran apa-apa, hanya sebuah naratif peribadi
penulisnya yang berasa bangga menjadi kurang ajar (bukan terpelajar) setelah
lama belajar di Amerika Syarikat; bahasanya juga biasa saja, malah ada yang
berkata agak “prosaik”, bukan bahasa “puisi”. Jadi di mana kemantapan sajak
ini? Sajak ini menjadi terkenal kerana pensajak menggunakan Si Tenggang sebagai
model manusia Melayu baru sepertinya; dan model ini ditentang kerana tidak
mencerminkan nilai-nilai tamadun Melayu yang baku, yang menentang penderhakaan
dan perangai yang biadab, terutama sekali terhadap ibu bapa. Inilah
contoh beban intelektual dan beban moral yang paling baik yang diberikan kepada
kita oleh seorang pensajak Melayu. Sajak ini tidak boleh dianggap sajak
intelektual kerana nialai-nilai intelektualnya tidak ada, tetapi kaya dengan
faham individualisme Barat yang meletakkan diri individu, terutama
seorang pengarang, sebagai ukuran baru (?) dalam menilai kemajuan diri peribadi
dan masyarakat. Faham ini telah ditolak oleh tamadun Melayu yang berteraskan
Islam. Jadi di mana istimewanya sajak ini? Jika kita memakai ukuran yang
dicadangkan oleh Prof. Rahman Shaari sendiri sekali pun, sajak ini bukanlah
sebuah sajak yang mantap, tetapi boleh diterima sebagai sebuah sajak naratif
yang menarik yang menceritakan kehilangan peribadi seorang penulis Melayu yang
tidak kenal budayanya sendiri, dan dalam pencarian itu dia menemui Si Tenggang
yang dikutuk oleh masyarakatnya. Adalah malang bagi Prof. Dr. Muhammad
Hj. Salleh sendiri apabila percubaannya untuk menonjolkan dirinya sebagai Si
Tenggang moden tidak diterima oleh masyarakat, kecuali oleh segelintir kecil
peminat sajak yang cita rasanya dalam seni berada di tahap rendah (crude).
Untuk melihat kejituan kesimpulan yang objektif ini, anda dipersilakan untuk
menggunakan gagasan Persuratan Baru untuk menganalisis dan menilai sajak ini
dengan kritis. Pilihan ini tepat, kerana anda tidak boleh “menggunakan
teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya
dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula” (Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh, dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau,
DBP 2005, hal. 14).
Prof. Rahman Shaari telah mensia-siakan
peluang yang baik melalui syarahan perdananya untuk mengenal pasti siapakah
tokoh sebenar persajakan Melayu yang layak digelar “penyair”. Kita
mempunyai ramai pensajak (yakni penulis sajak), tetapi belum ada seorang
penyair yang boleh dibanggakan. Dalam konteks ini, adalah lebih
bermanfaat dan lebih munasabah untuk membuat kajian mendalam bidang persajakan
ini dengan matlamat untuk mencari, jika ada, pensajak yang layak digelar
“penyair”. Prof. Rahman Shaari terlepas peluang ini kerana beliau tidak
membuat kajian menyeluruh, oleh itu beliau tidak merujuk dua buah buku penting
oleh Prof. Dr. Ali Ahmad, Perintis Sajak-Sajak Melayu (Penerbit Fajar
Bakti, 1971), dan Tema Sajak-Sajak Melayu 1933-1969 (Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1974). Dalam buku pertama, Prof. Ali menyenaraikan sejumlah nama
pensajak yang dikenal pasti olehnya layak dipanggil “pelopor sajak-sajak
Melayu”. Berapa orang di antara mereka yang masih hidup dalam dunia persajakan?
Apakah sumbangan mereka? Siapa di antara mereka yang menonjol dan layak digelar
“penyair”? Dengan meneliti, mengkaji, menganalisis dan menilai pensajak
terkemuka di antara mereka, kita mungkin akan bertemu dengan seorang (atau lebih)
tokoh yang benar-benar layak digelar “penyair”. Pada waktu ini, istilah
“penyair” sama tarafnya dengan air suling, atau tinggi sedikit tarafnya air
mineral semula jadi. Berapa ribu “penyair” yang ada di Malaysia? Di antara
beribu jumlahnya itu, tidakkah terserlah seorang dua yang benar-benar layak
digelar “penyair”? Jika jalur penyelidikan ini yang diambil oleh Prof. Rahman
Shaari, yang ternyata lebih sukar tetapi berguna untuk kepuasan akademik, maka
kita mungkin akan bersua dengan seorang atau dua pensajak yang boleh
dipertahankan sebagai “penyair”. Panel Anugerah Sastera Negara telah
memilih beberapa orang, tetapi adakah mereka benar-benar layak digelar
“penyair”? Nampaknya sukar, kerana setiap sasterawan negara telah
diseminarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dari perspektif “pemikirannya”,
tetapi tiada seorang pun yang muncul sebagai “pemikir”. Malah Prof. Rahman
Shaari sendiri, bila ditanya oleh Mohd. Affandi Hassan, adakah A. Samad Said
seorang pemikir, menjawab secara negatif. Tetapi beliau, menurut Prof. Rahman
Shaari dalam syarahannya, adalah di antara pensajak mantap yang berjaya
menghasilkan beberapa buah sajak “mantap”. Jadi apanya yang mantap jika beliau
tidak boleh dianggap seorang “pemikir”? Atau memang sifat “penyair” tidak
perlu berfikir dan tidak wajar dinilai dari segi pemikirannya? Semua persoalan
ini perlu dijawab secara akademik. Tidak cukup dengan hanya menggunakan retorik
peragaan seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam
syarahan perdananya. Sebenarnya huraian Prof. Ali Ahmad dalam dua buah
bukunya itu jauh lebih sistematik dan lebih akademik dan lebih bermanfaat
daripada syarahan perdana Prof. Rahman Shaari yang salah fokus itu.
Matlamat yang ditetapkan oleh Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh bahawa “tujuan semua (huruf tebal ditambah)
kajian ialah menemukan suatu teori untuk bidangnya” saya kira tepat dan wajar
dijadikan panduan. Saya pasti Prof. Rahman Shaari membaca syarahan perdana
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan bertemu dengan petua itu, dan saya kira
beliau tidak menolaknya. Beliau mempunyai peluang lagi untuk mengemukakan
syarahan perdana beliau lagi. Saya dimaklumkan, di Papua New Guinea, seorang
profesor boleh mengemukakan tiga syarahan perdana, di universiti yang
berlainan, sekiranya beliau dijemput untuk mengemukakan penemuan terbaru dalam
bidang penyelidikannya. Saya fikir universiti di Malaysia patut mencontohi
Papua New Guinea. Saya sendiri pernah bertemu dengan seorang tokoh dari Papua
New Guinea di Washington 1994 ketika menghadiri seminar berkenaan peranan etika
dalam pentadbiran awam. Beliau mengepalai satu organisasi penting, “The
Ombudsman Institute/ Organization” (nama yang tepat sudah lupa). Sebarang
jawatan politik di negara itu perlu mendapat pengesahan dari jabatan ini bahawa
tokoh politik itu tidak rasuah; hanya setelah disahkan barulah beliau boleh
dilantik sebagai seorang Perdana Menteri. Tidakkah ini baik? Malaysia pun
sepatutnya mencontohi Papua New Guinea dalam aspek rasuah ini; dan tentu saja
dalam dunia akademik pula untuk memberi peluang kepada sesiapa juga profesor
yang gagal dalam syarahan perdana pertamanya boleh mengemukakannya sekali atau
dua kali lagi di universiti yang berlainan dalam bidang yang sama dengan tajuk
yang berbeza. Jika pelajar dibenarkan mengulang sekiranya gagal dalam
peperiksaan akhir, tidaklah mengaibkan sekiranya seorang profesor pun
dibenarkan untuk mengulang memberikan syarahan perdananya sekali lagi untuk
memastikan kualiti penyelidikannya tidak memalukan universiti. Orang
seperti saya, yang tidak berpeluang memberikan syarahan perdana, tidak perlu
mengulang, hanya perlu menulis dan menerbitkan tulisan yang tidak memalukan
dunia akademik dan layak diterima sebagai sumbangan kecil dalam dunia ilmu yang
luas ini. Nampknya saya agak berjaya, walaupun dari segi akademik tak ada
glamor langsung!
Jika kita terima petua Prof. Dr. Muhammad
Hj. Salleh, dan tak ada sebab kita tidak boleh menerimanya, maka apakah “teori”
yang ditemui oleh Prof. Ungku Maimunah dalam syarahan perdananya? “Teori”
itu, jika kita mahu menamakannya sebuah teori, mempunyai manfaat besar kepada
para sasterawan dan pengkritik sastera, termasuk sarjana sastera. Prof. Ungku
Maimunah telah menunjukkan tanpa ragu-ragu, dan begitu meyakinkan, bahawa cerita
memainkan peranan utama dalam sastera dan kritikan sastera di Malaysia.
Buktinya ialah dua syarahan perdana yang dibicarakan di sini, yang totok
berkisar soal cerita dan bagaimana cerita itu disampaikan. Teknik yang dipakai
oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Rahman Shaari ialah teknik retorik
peragaan. Dalam tangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh retorik peragaan
itu dilakukan dengan memberi senarai teori Barat dan nama-nama teoris (istilah
Prof. Siti Hawa Salleh); dalam tangan Prof. Rahman Shaari pula retorik peragaan
itu disampaikan dalam bentuk senarai jenis-jenis sajak “mantap”, tanpa analisis
yang meyakinkan. Dalam tangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, senarai “konsep
keindahan” terlalu lewat sampai diujung syarahan, sehingga tinggal bisu tidak
sempat berbicara dengan fasih dan lancar mengenai aspek keindahan dalam sastera
tradisional Melayu. Dengan itu “teori” Puitika Sastera Melayu tinggal
tergantung, hingga kini belum tahu bila akan diturunkan dari tali gantung
supaya dapat digunakan. Mujurlah dalam syarahan perdananya Prof. Ungku
Maimunah berjaya merumuskan apa yang saya namakan, buat sementara waktu,
sebagai Teori Beban Akademik (atau mungkin juga boleh dipanggil Teori
Keaiban Intelektual) dalam kesusasteraan Melayu moden. Nama ini tidak
diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah, tetapi diberikan oleh saya untuk dipakai
oleh para sasterawan dan pengkritik serta sarjana sastera dalam pembicaraan
mereka tentang sastera Melayu moden. Dengan adanya Teori Beban Akademik
ini, saya kira para sasterawan dan sarjana sastera akan lebih mudah memahami
mengapa terdapat perbezaan besar antara konsep persuratan yang melahirkan karya
persuratan dan konsep kesusasteraan yang melahirkan karya sastera, yang
termasuk di dalamnya karya lucah, picisan dan erotik seperti novel TIVI
oleh Shahnon Ahmad, seorang sasterawan negara.
Jika kita meneliti syarahan perdana Prof.
Dr. Muhammad Hj. Salleh, kita pasti akan bersetuju dengan kesimpulan Prof. Siti
Hawa Salleh ini: “Muhammad, yang pada satu ketika dituduh ‘tersungkur di kaki Sejarah
Melayu’ ini, seperti seorang tunanetra yang berada di taman pada malam yang
gelap gelita, tersembam pula di lereng dunia sastera tradisional. Tidak berdaya
lagi beliau membezakan melur biasa dengan melur susun, mawar kecil dengan mawar
besar, mawar merah dengan mawar putih, dan kenanga dengan cempaka. Kita dibawa
sekejap ke Barat, sekejap ke timur, dilayur dengan berbagai-bagai nama teori
dan teoris sambil diberitahu, betapa amat rumit masalah sastera Melayu
tradisional itu. Dan apa yang dilakukannya tidaklah lebih daripada mengujar
sahaja.” (Budi Kencana, hal. 255).
Tepat dan jitu sekali kesimpulan Prof.
Siti Hawa Salleh ini: “Apa yang dilakukannya tidaklah lebih daripada mengujar
sahaja”. Inilah yang dimaksudkan dengan “idle talk” oleh Martin
Heidegger; yakni omongan dan ocehan yang tidak menyerlahkan pemikiran dan
analisis, tidak meneroka pemikiran baru yang diberi huraian menarik untuk
membuat kita lebih memahami persoalan yang dikemukakan. Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh tidak mampu melakukannya, oleh itu beliau mengambil jalan
mudah dengan bercerita tentang sastera tradisional, terutama sekali tentang
sastera lisan, tetapi memakai istilah moden seperti teks, khalayak, genre, dan
sebagainya, yang kesudahannya tenggelam dalam retorik peragaan yang
dipanggil idle talk oleh Heidegger, tanpa menghasilkan sebarang
kesimpulan dalam bentuk teori. Padahal itulah yang dicarinya: “Tujuan terakhir
semua kajian ialah menemukan suatu teori untuk bidangnya, yang dalam liputan
dan perbincangannya dapat menerangkan, sekurang-kurangnya dengan wawasan
terbaru, makna bidang itu sendiri” (hal. 10). Apakah yang beliau capai?
Hanya sederet senarai tentang ciri-ciri kesusasteraan Melayu tradisional, yang
disenaraikannya di bawah tajuk, “Konsep Keindahan” (hal. 34-38), tanpa sebarang
analisis. Padahal itulah yang kita tunggu-tunggu. Syarahan perdana ini
tidak lebih daripada retorik peragaan semata-mata, seperti yang disebut oleh
Prof. Siti Hawa Salleh dalam kata-katanya: “Kita dibawa sekejap ke Barat, sekejap
ke timur, dilayur dengan berbagai-bagai nama teori dan teoris sambil
diberitahu, betapa amat rumit masalah sastera Melayu tradisional itu.”
Retorik peragaan ini sudah menjadi trade mark Prof. Dr. Muhammad
Hj. Salleh. Dalam tahun 1984, beliau memberi petua bagaimana menulis kritikan
sastera yang bermutu dengan memberi petua yang memang bernas, tetapi
tidak diikutinya. Prinsip penting kritikan, menurut beliau, ialah “menimbulkan
apa yang sebenarnya terdapat dalam karya yang dikajinya”. Untuk melakukannya,
seorang pengkritik (juga seorang penyelidik) mestilah menyediakan “langkah
kaedah” (istilah beliau sendiri) yang tepat dan sesuai untuk mencapai matlamat
kritikan atau penyelidikan itu. (Lihat tulisan beliau dalam Berita Minggu,
25 Disember 1983 dan 1 Januari 1984; dan ulasan saya dalam Kedudukan Ilmu
Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 327-331). Dalam syarahan
perdana beliau, kita tidak melihat adanya usaha menyediakan “langkah kaedah”
yang dipetuakannya itu, kerana beliau terlalu terikat kepada retorik peragaan
yang dipaparnya dalam bentuk latar belakang yang terlampau rimbun dengan cerita
yang dimaksudkan oleh Prof. Siti Hawa Salleh tadi, memakan halaman yang begitu
banyak, dari permulaan syarahan, hal. 10 hingga hal. 34. Kita tidak boleh menerima
latar belakang yang begitu panjang sebagai sejenis “langkah kaedah” yang beliau
maksudkan dan yang kita fahami, kerana apa yang dilakukannya hanyalah satu
pemerian biasa dalam konteks retorik peragaan tadi. Kita tidak dapat
menerimanya sebagai langkah kaedah kerana pada halaman 34 dengan tiba-tiba
beliau melompat kepada tajuk “Konsep Keindahan” (dalam sastera tradisional?)
yang sekali lagi hanya berupa “kesimpulan” yang tergantung daripada retorik
peragaan yang panjang itu. Di sini tidak ada analisis, penghujahan dan
pembuktian yang kita tunggu-tunggu, untuk melihat dengan konkrit apakah
sebenarnya yang dikatakan “puitika sastera Melayu” (tradisional?) itu. Senarai
yang beliau berikan tinggal sebagai satu senarai yang bisu, yang terasing
daripada pendahuluan panjang dalam retorik peragaan yang merayau-rayau dari
Barat ke timur untuk akhirnya tenggelam di Selat Melaka, dihanyutkan ke Laut
China Selatan! (Ulasan saya seterusnya boleh dibaca dalam buku Medan-medan
Dalam Sistem Persuratan Melayu.)
Dalam dua syarahan perdana ini kita lihat
bagaimana beban intelektual, beban akademik, dan beban moral saling membebankan
satu sama lain untuk melahirkan syarahan perdana yang kualitinya sebagai hasil
penyelidikan mendalam amat diragui. Kedua-dua profesor ini hanya berjaya
memperagakan retorik peragaan yang berlebihan, tetapi gagal memberikan analisis
yang mendalam dalam bidang atau tajuk yang mereka pilih. Timbul
persoalan: Apakah yang menghalang tercapainya kualiti yang kita harapkan yang
sepatutnya ada di dalam syarahan perdana? Halangan pertama ialah dari segi
konsep ilmu yang keliru. Akibatnya, kedua-dua profesor ini tidak bertemu subjek
yang sepatutnya menjadi tumpuannya. Dalam kes Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh,
beliau hanyut dalam retorik peragaan kerana terlalu terpengaruh dan bergantung
sepenuhnya kepada teori sastera Barat untuk membicarakan sastera tradisional
Melayu. Beliau tidak bertemu dengan subjeknya, yang jauh lebih cerdik daripada
beliau sendiri. Sekiranya beliau mempunyai konsep ilmu yang mantap, yang tidak
keliru, beliau tidak akan hanyut begitu jauh hingga terantuk teruk ke era
animisme, kemudian terpelantun ke era pascamodernisme tentang makna dan peranan
pengarang, dan di sinilah beliau terpinga-pinga tidak dapat memahami apakah
yang ingin dicarinya, lalu dengan tiba-tiba seolah-olah terkejut dari mimpi
aneh, beliau memberikan “kesimpulan” yang bukan kesimpulan, kerana tergantung
di pancang “langkah kaedah” yang begitu janggal dan longgar, lantas terlucut
dari tali akademik lalu lemas dalam retorik peragaan tanpa memberikan kita
makna yang jelas apakah sebenarnya “puitika sastera Melayu” yang dicarinya
itu. Kelemahan ini amat ketara apabila apa yang dinamakan oleh beliau
“teori” puitika sastera Melayu tidak dapat digunakan untuk menganalisis karya
sastera. Yang diberikan oleh beliau bukannya “teori” sastera, tetapi
hanya sebuah penglipur lara akademik, seperti kesimpulan Prof. Siti Hawa
Salleh.
Dalam kes Prof. Rahman Shaari pula, beliau
bertindak sebagai seorang pelawat Muzium Seni atau Art Gallery, yang ingin
melihat lukisan cantik, lalu memilih beberapa buah lukisan yang disukainya,
lantas memberi pendapatnya yang amat subjektif dengan berkata, “Wah, lukisan
ini cantik. Lukisan ini mantap. Saya suka lukisan ini!” Itulah yang
dilakukannya terhadap sajak-sajak yang menjadi pilihannya, yang
dikelompokkannya dalam kategori yang tidak semestinya mencerminkan sifat dan
ciri sajak tersebut. Sebagai contoh, sajak “yang menggoncang fikiran” (sebagai
satu kategori) tidak dapat diterima dalam konteks kategori yang dinamakannya:
Sajak “Pulang Si Tenggang” tidak menggoncangkan fikiran, sebaliknya hanya
menimbulkan kontroversi yang tidak perlu akibat menjadikan Si Tenggang sebagai
seorang wira. Inilah sikap seorang romantis dalam pengertianya yang terdapat
dalam sastera Barat, yang ingin mencari kelainan semata-mata untuk mencari
kelainan, tetapi tidak memberi makna yang sepatutnya. Apakah makna yang
sepatutnya itu? Bagi masyarakat Melayu, Si Tenggang adalah simbol perderhakaan
seorang anak terhadap ibunya, tidak boleh diterima sebagai wira dalam betuk
yang bagaimana sekali pun kerana perbuatan itu dianggap kurang ajar, biadab dan
dengan sengaja menentang nilai-nilai yang telah diterima sebagai baku dalam
kebudayaan Melayu. Tetapi persis itulah yang ingin dilontarkan oleh Muhammad
Hj. Salleh: dengan melontar nilai tamadun yang sudah baku itu keluar dari sifat
asasinya sambil melontarkan nilai songsang masyarakat moden yang
individualistik, yang sumbernya tulen dari nilai-nilai Barat yang asing
itu. Pembaca yang tidak melihat sajak ini dalam konteks yang sepatutnya
seperti yang dijelaskan di sini, akan memuji sajak ini bukan kerana
keindahannya, tetapi kerana “kelainannya” semata-mata. Kelainan itu ditafsirkan
dalam konteks “intelektualisme” palsu berasaskan kemahuan peribadi penulis,
bukan gambaran sebenar nilai-nilai yang sudah baku dalam kebudayaan yang
diwarisi oleh si pensajak. Untuk menguji kebenaran kesimpulan ini, kita boleh
mengemukakan soalan ini, dan cuba menjawabnya dengan jujur: Adakah kita berasa
bangga menerima sajak/karya seperti ini? Jawapannya terpulang kepada kejujuran
anda sendiri, dan sejauh mana anda mengetahui nilai-nilai budaya anda sendiri,
dengan itu sejauh mana pula anda sudah terpesong atau masih menerima
nilai-nilai tamadun anda sendiri.
Dalam budaya akademik di Malaysia, kita
mempunyai dua istilah untuk syarahan ilmiah seseorang profesor: Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas menggunakan istilah “syarahan pengukuhan”, manakala
selepas beliau istilahnya “syarahan perdana”. Dari segi ilmu, istilah yang
digunakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itulah yang tepat, kerana
dalam syarahan itu sang profesor mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang ahli
ilmu, seorang ahli akademik, dengan mengemukakan hasil pemikiran dan
penyelidikan beliau yang terbaik dalam bidangnya, yang boleh dijadikan ukuran
dalam pencapaian ilmiahnya dan juga dalam pencapaian ilmiah dalam
bidangnya. Tetapi tidak demikian halnya dengan istilah “syarahan
perdana”, yang tidak semestinya mencirikan pencapaian ilmiah yang tinggi
dan unggul seperti dalam konteks “syarahan pengukuhan”. Sering kali syarahan
perdana itu lebih tertumpu untuk bercerita, dalam bentuk tersendiri yang
dipilih oleh ahli akademik yang mengucapkannya. Sebaliknya, dalam syarahan
pengukuhan seperti yang diucapkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas,
amat jelas di situ beliau mengemukakan wacana pemikiran beliau yang
lengkap dengan penghujahan yang kuat, seperti terbukti tiadanya sebarang
cabaran ilmiah untuk menolak kesimpulan beliau dalam syarahan pengukuhan itu.
Di sini sekali lagi huraian yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam
syarahan perdana beliau (yang sebenarnya lebih tepat dipanggil
syarahan pengukuhan) tentang cerita dan wacana dalam pemikiran sastera
Melayu dapat membantu kita melihat sifat hakiki syarahan perdana Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Rahman Shaari yang hanya bercerita, dengan
pretensi cerita itu bersifat akademik; samalah seperti para sasterawan mendakwa
mereka juga menerapkan ilmu dalam karya mereka kerana kesusasteraan, kata
mereka, memang bercerita untuk menyampaikan ilmu. Tetapi anggapan ini ditolak
bulat-bulat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menegaskan dalam laporan
mereka bahawa karya sastera tidak perlukan ilmu. Lebih penting lagi, Prof. Rahman
Shaari sendiri menerima kesimpulan itu sebagai sifat hakiki karya sastera.
Dalam kata-kata beliau sendiri: “Dalam karya kesusasteraan, jika ada pendidikan
atau ilmu, itu bukanlah syarat. Karya kesusasteraan yang menekankan ilmu secara
yang ketara dianggap karya didaktik.” (Lihat tulisan beliau, “Dorongan dalaman
dan karya”, Sinar Harian, 5 Jun 2011). Tidak hairan beliau
menerima dengan baik, dengan pujian, sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh
seperti “Pulang Si Tenggang” yang bertentangan dengan budaya Melayu baku yang
menolak sikap angkuh dalam sajak tersebut; malah Prof. Rahman Shaari tidak
keberatan juga menerima sajak “Baris-baris dari Muzium Goethe” yang antara lain
mengagumi kepintaran penipuan Iblis dalam karya Goethe yang terkenal, Faust.
Jika kita boleh terima kategori sajak yang mengggocangkan fikiran, maka
nyatalah sajak ini memang menggoncangkan iman penulisnya yang berkata: “Dan
memihak pada pintar Mephistopheles”! Apakah maksud Prof. Dr. Muhammad Hj.
Salleh dalam baris sajaknya ini? Prof. Rahman Shaari ternyata tidak membaca
sajak ini, oleh itu tidak menyebutnya sebagai sajak yang mantap. Sekiranya
beliau membacanya, apakah yang membuatnya tidak peka kepada baris yang
benar-benar “menggoncangkan” ini? Beliau tidak sedar tentang perkara ini
kerana faham sastera yang dianutnya tidak cukup sensitif untuk mengesan
kesongsangan baris yang pelik ini.
Beban intelektual, beban akademik, dan
beban moral yang paling berat dan paling besar ialah konsep kesusasteraan itu
sendiri, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam
laporan mereka, dan diperkukuh oleh dua orang profesor dalam syarahan perdana
mereka yang kita bicarakan di sini. Penilaian kembali beberapa karya para
sasterawan negara membuktikan penegasan Panel Anugerah Sastera Negara adalah
betul dari segi beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang
terdapat dalam kesusasteraan Melayu. Tidak seorang pun di antara para
sasterawan negara ini muncul sebagai penulis yang tidak keliru konsep ilmunya
dan jelas pula konsep seninya. Semua mereka terbelenggu oleh pengaruh teori dan
nilai-nilai Barat dalam memahami konsep sastera yang menjadi panduan mereka.
Dari segi itu mereka masih terjajah dan agak selesa dalam penjajahan pemikiran
dari Barat itu. Dalam konteks inilah kita boleh berkata bahawa Panel Anugerah
Sastera Negara dan para sasterawan yang mereka nilai dan pilih sebagai
sasterawan negara akan bisu tanpa teori sastera Barat; kesimpulan ini juga
boleh ditujukan kepada sebahagian besar sarjana sastera sendiri. Walaupun
sering kali disebut adanya usaha menghasilkan apa yang dinamakan “sastera
Islam” atau pendekatan kritikan berunsur Islam, namun usaha itu masih dilihat
dalam konteks teori sastera Barat. (Rujuk syarahan perdana Prof. Ungku
Maimunah yang membincangkan isu ini dalam pelbagai aspek dan konteks.) Konsep
sastera ini tidak menjurus kepada kebaikan, terlalu pekat dengan emosi dan
kemahuan untuk berlebihan dalam mengemukakan cerita (contoh: Ranjau Sepanjang
Jalan, Salina, dalam sajak “Pulang Si Tenggang” etc); tidak mendorong
penulis dan pembaca ke arah kecerdikan kerana yang diutamakan bukan wacana,
tetapi cerita sekadar untuk bercerita, apatah lagi apabila khutbah dikutuk dan
diremehkan kerana kononnya sastera harus bebas lepas dari sebarang unsur didaktik
untuk dinamakan sastera; dari segi moral sudah jelas, apabila perbezaan antara
kebenaran dan keindahan tidak ditonjolkan; dalam persuratan Islam
keindahan itu berkait rapat dengan kebenaran, dan sesuatu yang benar itu tetap
indah kerana dapat meningkatkan kesedaran manusia mengenal dirinya, bukan
menjadikannya lebih jauh tersasar seperti yang berlaku dalam sastera yang
menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera di Malaysia. Contoh
betapa jauhnya satu penilaian tersasar dari hakikat sebenar karya, terdapat
dalam penilaian seorang sarjana, murid Shahnon Ahmad, yang secara
mengaibkan memuji karya Shahnon yang picisan, erotik dan kaya adegan seks, TIVI,
sebagai sebuah karya yang berciri “sufistik” yang indah! Karya ini telah
dianalisis dan diberi penilaian yang objektif oleh Prof. Madya Mohd. Zariat
Abdul Rani dalam sebuah makalahnya yang diterbitkan dalam Gagasan Persuratan
Baru: Pengenalan dan Penerapan (lihat hal. 354-379). Supaya
kekeliruan yang telah mencapai taraf tidak siuman ini dibendung dengan
tegas, maka konsep persuratan dan kesusasteraan harus dibezakan dan dihurai
dengan mendalam. Perbezaan antara persuratan dan kesusasteraan adalah perbezaan
yang asasi, yang perlu difahami oleh para penulis dan sarjana supaya beban
intelektual, beban akademik, dan beban moral yang mereka tanggung pada waktu
ini boleh dilepaskan dan mereka akan menjadi penulis yang bebas dari ikatan
ketiga-tiga beban yang disebutkan itu, supaya dengan itu mereka betul-betul
bersedia untuk menulis dan berhujah dalam konteks taklif, yang di dalamnya
tersembunyi tiga rahsia taklif, iaitu ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha
ikhtiar. Rahsia ketiga, usaha ikhtiar, merujuk kepada kemampuan membuat pilihan
terbaik dan tepat berasaskan ilmu yang benar, dengan itu barulah para penulis
dan sarjana ini dapat berlaku adil dalam usaha mereka. Pengertian yang
mendalam tentang hakikat taklif itulah yang akan membebaskan mereka daripada
beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang kini membelenggu
mereka. Tepat sekali peringatan Prof. Ungku Maimunah: “Dalam konteks ini
warisan yang mengajak kita menjulang ilmu sewajarnya dipelihara dan dibudayakan
dengan penuh bangga, bukan diremehkan dengan nada sinis atau jenaka, khususnya
apabila tidak berupaya untuk menyanggahnya.” (Kritikan Sastera Melayu:
Antara Cerita Dengan Ilmu, hal. 67).
Wallahu a’lam.
Dari catatan 2011.
No comments:
Post a Comment